Selasa, 7 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 2




      Tepat pukul lima petang, Hafizah segera mengemaskan buku buku pelajarnya yang berselerak di atas meja kemudian memasukkannya ke dalam sebuah beg besar berwarna hitam yang terletak di atas kerusi. Dia kemudiannya bergegas keluar dari bilik guru dan menuju ke kereta. Setelah menghidupkan enjin kereta dan menunggu selama beberapa minit, kereta kepunyaan Hafizah itu segera meluncur di jalan raya untuk pulang ke rumah.

        Sedang dia memandu itu, dia mendengar alunan muzik yang dipancarkan dari corong radio. Terdengar muzik muzik klasik sekitar tahun 50an dan 60an dari radion Klasikfm. Mendengar lagu lagu klasik itu mengingatkannya kepada Razali – bapanya yang sedang berada di rumah. Bapanya memang suka mendengar lagu lagu klasik sejak dahulu. Apabila teringat tentang bapanya, tiba tiba kenangan ketika dia masih kanak kanak dan remaja kembali menerjah kotak fikirannya.

      Dia teringat lagi ketika dia masih kecil, dia acapkali dimarahi oleh ibu bapanya sekiranya dia bergaduh dengan adiknya, Norin. Ibu bapanya selalu membela Norin walaupun kadang kadang Norin yang salah atas alasan dia sudah besar. Lebih parah lagi apabila bapa atau ibunya akan percaya dengan tuduhan Norin terhadap dirinya sehingga dia dimarahi dengan teruk oleh kedua dua orang tua itu.

       Pernah satu ketika dia bergaduh dengan Norin kerana Norin tidak mahu menghantar pinggan yang telah digunakannya ke dapur. Jika dia tidak mendesak Norin untuk menghantar pinggan itu, sudah pasti ibunya akan menyuruh dirinya untuk menghantar pinggan tersebut ke dapur walaupun dia tidak menggunakan pinggan itu. Sebagai anak manja, Norin tidak mahu mendengar kata katanya malah budak itu buat tidak tahu sahaja. Kelakuan Norin itu mengundang kemarahannya lalu mereka bergaduh dan sudah pasti dia yang menang kerana dia sudah besar. Apabila ibu mereka datang, Norin membuat tuduhan dengan mengatakan bahawa dia mengetuk kepala Norin dengan pinggan itu walhal sebenarnya tidak. Oleh kerana ibunya percaya dengan kata kata Norin, tanpa usul periksa kepalanya pula diketuk oleh ibunya dengan menggunakan pinggan tersebut. Norin menuduhnya kerana budak itu tidak puas hati apabila  kalah bergaduh dengan dirinya.

      Walaupun perbuatan itu dilakukan oleh Norin itu ketika budak itu masih kecil, namun dia tetap tidak berpuas hati. Dia bukan tidak berpuas hati kepada Norin, tetapi kepada ibunya yang gemar menyebelahkan Norin atas alasan Norin masih kecil dan dia sudah besar. Dia yang sepatutnya mengalah kepada Norin walaupun budak itu yang salah. Dia juga tidak berpuas hati kerana ibu selalu menghukumnya tanpa usul periksa. Perasaan tidak puas hati itu semakin menebal apabila dia sudah meningkat dewasa sebelum bertukar menjadi dendam kesumat sehingga ke hari ini.


        Namun, itulah bukan punca utama dia membenci kedua dua orang tua itu. Banyak lagi perbuatan kedua dua orang tua itu yang dia tidak boleh terima. Mereka mendidiknya dengan kasar sehingga dia tidak merasa kasih sayang daripada dua warga emas itu sebagai ibu bapanya. Jika diceritakan satu persatu kesalahan dua orang tua itu, buku setebal 500 muka surat pun belum tentu dapat menamatkannya. Kerana didikan kasar dan berat sebelah kedua dua orang tua itulah yang menyebabkan dia menjadi benci kepada mereka berdua.

        Memang dia tahu bahawa membenci ibu bapa menjadikannya seorang anak derhaka. Namun, sehingga kini sukar dia  mahu lupakan apa yang telah mereka lakukan kepada dirinya. Dia sangat sedih kerana dikurniakan oleh Allah dua orang tua itu sebagai ibu bapanya. Dia selalu berasa cemburu melihat orang lain yang dapat menyayangi ibu bapa mereka sepenuh hati – tidak seperti dirinya.

        Kerana didikan kedua dua orang tua itulah yang telah menyebabkan dia menjadi manusia yang penakut dan introvert. Dia menjadi manusia yang sukar untuk bercampur dan berkomunikasi dengan orang lain dengan sempurna. Kerana kelemahannya itu, menjadikannya sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Nasib baik kerjaya sebagai seorang guru ini diminatinya. Jika tidak, sudah tentu nasibnya sama seperti bapa saudaranya yang acapkali bertukar tukar kerja sehingga hidup melarat sampai ke hari ini.

       Dia melepaskan keluhan berat. Dia sendiri tidak tahu sampai bila dendam kesumat yang wujud dalam hatinya ini terhadap kedua dua ibu bapanya itu boleh padam. Mungkin apabila melihat mereka berdua menderita atau sengsara, baru hatinya puas. Tetapi masakan dia mahu menyeksa orang tuanya sendiri semata mata untuk melihat mereka menderita. Dia boleh dilaknat oleh Allah jika melakukan perbuatan itu. Namun, dia tidak boleh menipu dirinya. Sampai bila pun dia akan benci kepada dua makhluk itu.

        Setelah memandu selama 15 minit, dia sampai ke pintu pagar rumahnya. Dia segera keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar rumah tersebut. Setelah pintu pagar dibuka, dia masuk semula ke dalam kereta dan memandu kereta itu masuk ke dalam kawasan rumah serta memakirkan keretanya di dalam garaj. Sebelum masuk ke dalam rumah, dia mengunci terlebih dahulu pintu pagar yang dibukanya tadi.

        Dia meninjau-ninjau ke dalam rumah untuk mencari tahu apa yang ibu dan ayahnya sedang buat di dalam rumah. Terdengar suara dari peti televisyen berkumandang di dalam rumah itu.  

        “Assalamualaikum...” Dia memberi salam tatkala kaki kanannya mencecah lantai rumah. Dilihatnya Fauziah sedang makan kuaci yang dibelinya semalam sambil menonton televisyen. Dia juga melihat  kulit kulit kuaci bertaburan di atas meja yang terletak di tengah tengah ruang tamu rumah itu.  

      “Waalaikumussalam. Dah balik kau nak. Ayah kau tak ada. Dia keluar minum minum kat kedai. Dia kata rumah kau takde kopi. Jadi dia pergi kedai sebab nak minum kopi.” Ujar Fauziah berbelit belit. Dia memasukkan isi kuaci terakhir ke dalam mulutnya kemudian membuang kulit kuaci tersebut di atas meja.

           Melihat kulit kuaci bertaburan di atas meja itu, hati Hafizah mendidih dengan serta merta. Lahar kemarahannya sudah melonjak-lonjak ke kepala. Baru sehari ibunya tinggal di rumah, orang tua itu sudah mula menyakitkan hatinya.

       “Kenapa ibu buang kulit kuaci tu kat atas meja?! Kenapa tak masuk dalam plastik?!” Hafizah bertanya dengan nada marah. Namun cuba dikawal nada suaranya itu supaya tidak tinggi. Dia cuba bersabar dan beristighfar di dalam hati.

      “Ibu tak jumpa plastik nak tampung kulit kulit kuaci ni. Takpe, nanti ibu kemas. Jangan risau ye. Kau pergilah berehat. Ibu nak masak makan malam tadi tapi tak tahu nak masak apa. Rumah kau ni banyak barang dapur yang tak ada.” Kata Fauziah tenang. Hafizah melepaskan keluhan kasar. Kemudian kakinya melangkah ke dapur. Dia bersungut di dalam hati.

       Sampai sahaja di dapur, hatinya semakin sakit dan geram. Pinggan dan cawan yang digunakan oleh dua orang tua itu semasa makan tengah hari tadi tidak dibasuh. Dan sudah pasti dia tidak biasa dengan keadaan itu. Lazimnya apabila dia pulang ke rumah pada waktu petang, keadaan rumahnya sama seperti ketika dia pergi mengajar di sekolah pada waktu pagi. Sekarang keadaan itu berbeza dan menyakitkan matanya.

       Matanya tiba tiba tertancap pada rak paling besar yang ada di dapur itu. Rak itu menyimpan barang barang runcit yang kering seperti gula, minyak masak, garam, milo dan sebagainya. Dia melihat begitu banyak barang barang yang dikeluarkan dari rak itu tidak disusun dan dimasukkan semua ke dalam rak tersebut. Barang barang itu hanya diletakkan di atas meja. Kemudian dia melihat tumpahan serbuk teh dan serbuk milo di atas meja juga tidak dibersihkan. Hatinya benar benar mendidih pada waktu itu. Dia sudah tidak boleh tahan lagi. Segera dihayunkan kakinya ke ruang tamu.

         “Ibu, kenapa dapur tu macam kapal pecah? Ibu dan ayah cari apa kat dapur tu? Harta karun?” Hafizah menyindir. Mencerlang matanya memandang wajah tua ibunya yang sudah mencecah usia 70 tahun itu.

      “Oh...tadi ayah kau cari kopi. Tapi tak jumpa. Tu yang dia pergi minum kopi kat kedai tu.” Fauziah menjawab.

       “Habis tu tak reti kemas balik? Biar je macam tu. Siapa nak kemas tu?” Hafizah bertanya dengan nada kasar. Dia benar benar geram dengan kedua dua orang tua itu. Baru tinggal satu hari di rumah, sudah tunggang langgang jadinya. Jika tinggal lagi seminggu, silap silap hari bulan terbakar rumahnya.

        “Kau tahu je la ayah kau tu. Suka buat kerja cincai cincai. Dari muda sampai ke tua macam tu. Penat ibu nasihatkan dia.” Fauziah membalas. Mendengar jawapan bena tak bena ibunya itu menambahkan lagi rasa geram dan sakit di hatinya.  

       “Huh, menyusahkan orang betul la orang tua tu!” Hafizah mendengus. Segera dia masuk ke dalam bilik tidur. Dicampaknya beg tangannya ke atas katil lalu segera dia menuju ke dapur untuk mengemas apa yang patut. Oleh kerana terlalu marah, tudung bawal yang terletak elok di kepalanya pun tidak ditanggalkan. Mungkin kerana dia tidak sedar.

       Hafizah segera mengambil kain lalu mengelap tumpahan milo dan nescafe di atas meja. Kemudian dia menyusun kembali barang barang dapur yang bersepah tadi ke dalam rak besar yang dibelinya dua tahun lalu. Hatinya pula tidak putus putus melafazkan sumpah seranah kepada ayah dan ibunya.

        “Kau faham je la perangai ayah kau tu. Dia orang tua. Janganlah kau ambil hati sangat dengan perangai dia. Ibu pun kadang kadang geram juga dengan dia. Tapi nak buat macam mana. Dah macam tu caranya. Ikut je la.” Kata Fauziah yang entah bila dia muncul di dapur itu. Segera dia membuang kulit kuaci yang dimakannya tadi ke dalam tong sampah. Kemudian di menuju ke arah Hafizah untuk membantu anaknya itu mengemas.

       “Mari sini ibu tolong.” Fauziah cuba untuk mengambil dua bungkusan gula yang terletak di atas meja itu untuk disimpan di tempat yang sepatutnya namun tangannya ditepis oleh Hafizah dengan kasar.

       “Tak payah tolong la! Ibu pergi duduk kat depan tu. Tak payah nak menyibuk kat sini. Ibu tu pun bukan sihat sangat. Tolong tolong nanti sakit pula. Tak pasal pasal kena hantar hospital.” Hafizah menyindir. Akibat sindiran Hafizah itu, Fauziah tidak jadi untuk menolong. Hatinya terusik dengan kata kata Hafizah. Namun, dia cuba bersabar. Dia memahami keadaan anak sulungnya.

        “Ibu pergilah depan! Yang tercegat kat sini macam berhala tu nak buat apa? Pergi depan sana!” Hafizah separuh menjerit sambil menghentak hentak barang barang yang disimpannya tanda kegeraman.

       “Ibu bukan apa. Ibu nak tolong kau masak. Malam ni kau masak apa?” Hampir gugur air mata Fauziah pada waktu itu mengenangkan sikap kasar Hafizah terhadapnya. Namun, dia cuba menahan dengan cara bertanya soalan kepada Hafizah.

       “Tak payahlah nak tunjuk rajin kat rumah ni. Masa muda dulu tak nak pula tunjuk rajin. Asyik suruh aku je buat itu ini. Dah tua tua ni tunjuk rajin pula. Buang tebiat agaknya orang tua ni. Tak payah nak tolong tolong bu. Saya tak masak hari ni. Beli kat kedai je senang.” Jawab Hafizah acuh tak acuh. Mimik mukanya jelas dia tidak suka akan kehadiran Fauziah di situ. Fauziah cuba bersabar. Dia tidak sampai hati untuk memarahi Hafizah. Dia tahu, semakin dia marah pada Hafizah, semakin benci Hafizah kepada dirinya.  

        “Kan membazir beli kat kedai selalu. Buang duit je. Baik kita masak. Lagipun masakan kat kedai tu bukannya bersih sangat.” Fauziah berkata. Dia bersungguh sungguh mahu menolong Hafizah memasak kerana dengan cara itu, dia boleh bermesra dengan Hafizah. Bukan mudah mahu bermesra dengan anak sulungnya itu lebih lebih lagi Hafizah selalu sibuk dengan kerja kerja di sekolah.   

       “Yang terbuang duit saya, bukan duit ibu! Kalau duit ibu, ibu boleh cakap banyak. Ini duit saya. Ibu nak makan, ibu makan. Tak nak makan, ibu tengok je.” Balas Fauziah sambil meletakkan sebungkus bawang besar ke dalam rak itu. Kemudian dia berlalu ke biliknya untuk mengambil tuala mandi dan meninggalkan Fauziah yang termanggu-manggu di dapur.

        Fauziah bungkam sahaja di situ buat beberapa ketika. Kemudian segera dia menuju ke ruang tamu dan duduk di salah sebuah sofa yang ada di situ. Diperhatikan peti televisyen yang sedang menayangkan sebuah drama Cina. Tanpa dapat ditahan tahan lagi, air matanya merembes keluar. Dia benar benar sedih mengenangkan sikap kasar Hafizah terhadapnya.            

       Dia sendiri tidak tahu apakah dia yang bersalah mendidik Hafizah dan anak anaknya yang lain? Adakah cara didikannya itu salah sehingga mewujudkan rasa benci anak anak terhadapnya? Pada fikirannya, dia mendidik anak anaknya itu semata mata untuk mendisiplinkan mereka. Untuk menjadikan mereka manusia yang boleh menyumbang jasa kepada agama, bangsa dan negara. Dia tahu bahawa apa yang telah dia lakukan kepada anak anaknya itu sepanjang mereka membesar adalah untuk menjadikan diri mereka sebagai seorang manusia yang berguna. Dia tahu bahawa dia telah bertindak dengan betul cuma anak anaknya sahaja yang tidak boleh terima.

       Dia yakin yang anak anaknya telah salah faham. Dia yakin itu. Dia cuba menerangkan tentang perkara itu beberapa kali tetapi tidak diterima oleh anak anaknya. Dia tidak tahu sampai bila mereka akan terus berdendam dengan dirinya.

        Tiba tiba dia melihat suaminya muncul di muka pintu utama rumah itu. Ditangan suaminya terdapat sebungkus pisang goreng dan sebungkus keropok lekor. Razali meletakkan bungkusan pisang goreng dan keropok lekor itu dihadapannya sambil duduk di sebelahnya.

       “Tadi masa saya minum kat warung depan tu, saya cuba la pisang goreng dengan keropok lekor ni. Sedap pula rasanya. Tu yang saya beli tu. Awak rasalah. Sedap...” Kata Razali. Dia memerhatikan wajah isteri yang berada disebelahnya. Terdapat riak keruh pada wajah itu.

         “Kenapa macam sedih je ni? Awak sakit ke?” Soal Razali dengan nada risau. Diletakkan belakang tapak tangannya di dahi Fauziah. Tidak ada tanda tanda yang isterinya demam kerana badan isterinya tidak panas.

       “Tak demam pun. Awak kenapa ni Fauziah? Awak rindu Hafreez ke? Apa yang tak kena? Cuba cerita dengan saya.” Razali menyoal bertalu talu. Dia sangat risau jika isterinya sakit.

       “Takde apa apa bang. Saya okey je. Awak jangan la risau sangat.” Fauziah menjawab sambil mengukir senyuman paksa untuk suaminya.

      “Awak ingat saya ni baru kenal awak baru sehari dua? Tak payah la awak nak bohong dengan saya. Saya dah lama kahwin dengan awak. Saya tengok muka awak tu pun saya tahu mesti ada yang tak kena. Terus terang je la.” Razali mendesak. Dia tahu isterinya berbohong. Dia sudah kenal amat dengan tingkah laku dan gerak geri isterinya. Fauziah memejamkan mata dan melepaskan nafas berat. Dia merasakan seperti ada batu besar yang bersarang di dadanya.

        “Saya sedih bang. Hafizah cakap kasar dengan saya tadi. Saya tak sangka Hafizah cakap macam tu dengan saya.” Fauziah mengadu. Air matanya sudah mula bertakung semula di kelopak mata.

       “Apa yang dia cakap?! Cuba awak cerita dengan saya. Nak kena budak ni. Dasar manusia tak mengenang budi! Dengan mak sendiri pun nak kurang ajar!” Razali mula naik berang apabila mendengar cerita isterinya. Mahu sahaja dia mencari Hafizah sekarang dan melempang muka perempuan itu sekuat kuat hatinya seperti mana yang pernah dia lakukan ketika Hafizah masih kecil dan masih remaja dahulu.

       “Dia marah sebab kita sepah-sepahkan dapur dia. Tapi awak janganlah marah dia. Cakaplah elok elok dengan dia. Kalau awak marah dia, makin benci dia dengan kita.” Ujar Fauziah. Disekanya air mata yang sudah mula tumpah semula di pipi. Dia cuba menahan tangisannya sebaik mungkin.  

        “Lantaklah dia nak marah ke nak benci ke. Saya peduli apa! Awak tu mak dia. Dia kena hormat awak. Apa nak jadi dengan budak ni. Menyesal aku hantar belajar sampai masuk universiti. Bodoh tetap macam tu juga!” Razali menghamburkan kemarahannya. Hatinya meluap-luap marah kepada Hafizah. Tidak sepatutnya Hafizah bercakap kasar dengan Fauziah kerana Fauziah adalah ibu kandungnya. Wanita yang telah melahirkannya dan telah membesarkan dirinya.

       “Sudahlah tu bang. Makin kita marah dia, makin buruk jadinya. Saya dah maafkan dia. Saya tahu dia tak sengaja. Awak tak payah la marah dia.” Fauziah cuba menenangkan keadaan. Dia tidak mahu keadaan yang lebih buruk berlaku. Jika Razali mula memarahi Hafizah, alamatnya akan berlaku ‘perang besar’ di rumah itu tidak lama lagi. 

        “Awak jangan cakap banyak. Tahulah macam mana saya nak ajar dia. Anak tak reti kenang jasa. Tampar muka tu baru tahu. Kurang ajar! Awaklah bagi lemak banyak sangat. Tengok apa yang dia dah buat dekat awak.” Razali mula membebel. Fauziah diam cuma namun dia tetap sedih atas apa yang diucapkan oleh Hafizah terhadapnya tadi. Sebagai ibu dan orang tua, dia memang terasa dengan kata kata Hafizah cuma dia tidak mahu keadaan bertambah keruh jika Razali mula bersuara. Suaminya itu jika berkata kata memang tidak ingat dunia dan tidak kira siapa. Dia semakin takut keadaan akan kembali seperti sedia kala. 

Dan dia cuba berdoa supaya keadaan baik baik sahaja....


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.