Khamis, 20 Ogos 2015

UNTUNG NASIB POLITIK PAS TANPA PKR DAN DAP

Sumber : Google

Berlaku perdebatan antara saya dan seorang sahabat mengenai nasib PAS dalam pilihanraya akan datang tatkala PAS memutuskan kerjasama politiknya dengan DAP di dalam Twitter baru baru ini. Saya fikir semua orang tahu apakah sebab musabab PAS memutuskan tahaluf siyasinya dengan DAP maka tidak perlulah saya mengulasnya secara panjang lebar dalam entri kali ini lebih lebih lagi sudah banyak sekali entri saya yang mengulas mengenai kemelut PAS dan DAP. Marilah kita memberi tumpuan kepada masa depan PAS dalam suasana politik akan datang.

PAS sebagai parti politik yang mahu kekal relevan sepanjang masa hendaklah memastikan sokongan orang Islam sentiasa berpihak kepada mereka. Sekarang UMNO umpama kerbau yang tercedera, pelbagai masalah yang dihadapi oleh parti yang dipimpin oleh Najib Tun Razak itu. Inilah peluang terbaik PAS dengan merebut undi orang Islam/Melayu pada PRU akan datang. Jika dilihat daripada keadaan politik semasa, ternyata sokongan orang Melayu/Islam semakin goyah pada UMNO. Keadaan ini perlu dimanfaatkan oleh PAS untuk memancing undi mereka pada PRU akan datang.

PAS sebagai sebuah gerakan politik Islam perlu memantapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang ahlinya terdiri dalam kalangan bukan Islam dengan lebih berkesan lagi. Tonjolkan pemimpin pemimpin  DHPP ini secara meluas di pentas pentas ceramah PAS dan dalam lidah rasmi PAS sendiri, yakni Harakah. Letakkan mereka setaraf dengan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dan beri mereka peranan yang lebih besar terutama dalam memancing undi pengundi bukan Islam. Beri mereka jawatan penting di dalam PAS supaya mereka boleh menonjol sebagai pemimpin bukan Islam di dalam sebuah parti politik yang berasaskan Islam.


Saya melihat peranan DHPP ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS menyebabkan pengundi bukan Islam takut untuk mengundi PAS jika PAS tidak bersama PKR atau DAP lagi. Jika ada wakil DHPP yang berkarisma, berilmu dan berwawasan dalam PAS, saya yakin PAS akan diterima oleh pengundi bukan Islam. Sebab itulah penting PAS memperkasakan pemimpin dari DHPP supaya suara mereka dapat didengari seterusnya PAS boleh membuat dasar dasar baru yang sesuai dalam mengaut undi pengundi bukan Islam.

PAS juga mesti memperkasakan kedudukan mereka di Sabah dan Sarawak pada PRU seterusnya. PAS perlu menggerakkan jentera partinya supaya pengundi Islam di Malaysia Timur itu boleh memberi undi kepada PAS. Dalam masa yang sama juga, DHPP yang berada di Sabah dan Sarawak juga mesti dikuatkan supaya pengundi bukan Islam di sana tidak segan silu untuk memilih PAS pada PRU akan datang.

Jika PAS mahu menawan Putrajaya secara bersendirian, PAS tidak boleh tinggalkan pengundi pengundi di Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi simpanan tetap buat Barisan Nasional (BN) di Parlimen. Jentera PAS di sana perlu diperkasa bagi meraih undi pengundi Muslim di samping menguatkan DHPP di Semenanjung serta di Sabah dan di Sarawak supaya pengundi bukan Islam boleh mengundi PAS. Ini perlu dilakukan bagi memperlihatkan PAS kekal sebagai parti politik yang berpotensi untuk mentadbir Malaysia suatu hari nanti.     

Sebagai parti politik yang akan bertarung dengan pelbagai cabaran di segenap penjuru pada masa akan datang, PAS tidak boleh bergantung pada isu Hudud semata mata. Kepimpinan ulamak dalam PAS mesti mengemukakan idea idea bernas untuk membanteras rasuah, mengagihkan kekayaan ekonomi negara seperti lazimnya, memperkasakan isu isu pendidikan, membanteras kemiskinan, mengukuhkan ekonomi negara, memajukan orang Melayu tanpa meninggalkan bangsa bangsa lain, mengurangkan jenayah dan banyak lagi. Idea idea sebeginilah yang mesti dikemukakan oleh kepimpinan ulamak dalam PAS jika PAS mahu kekal relevan dan diterima oleh pengundi terutama pengundi muda. PAS juga boleh ‘melimpah keluar’ dari Kelantan, Terengganu, dan Kedah untuk menjadi pentadbir di Putrajaya pada PRU akan datang jika idea idea bernas ini dikemukakan seterusnya berjaya menawan hati pengundi.     

Saya tahu memang sukar untuk PAS melakukan itu semua tetapi sebagai sebuah parti politik yang berpaksikan Islam, PAS tidak boleh mengalah dan mesti berusaha ke arah itu. Ulamak ulamak dalam PAS terutama pemuda pemudanya mesti kritis dalam pelbagai isu yang melanda Malaysia pada masa ini dan mengemukakan idea bernas lagi logik untuk menyelesaikan semua isu itu. Kajian, wacana, dan perbahasan perlu dilakukan setiap masa untuk PAS memahami kehendak pengundi Islam dan pengundi bukan Islam di negara ini.  

PAS tidak boleh bersandar pada ‘tangkal’ Hudud sepanjang masa kerana ia akan menyebabkan PAS sukar diterima oleh pengundi bukan Islam selain pengundi Islam tidak tertarik untuk mengundi PAS. Dahulu PAS punya golongan professional untuk membantunya kini sudah tiada lagi. PAS pun tidak memerlukan mereka memandangkan manusia seperti mereka lebih tega menggadai agama untuk politik. Biarlah mereka terjun dengan DAP dan PKR di tasik kuasa yang akan hilang pada bila bila masa itu. Ulamak ulamak PAS tidak perlu menghiraukan mereka lagi sebaliknya memandang ke hadapan dengan mencari cara untuk memperkasakan PAS agar mudah diterima oleh pengundi Islam dan pengundi bukan Islam.  

PAS perlu kekal relevan sepanjang masa supaya orang Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya boleh bergantung dengan PAS untuk terus mentadbir negara ini mengikut lunas lunas yang sepatutnya. Rakyat Malaysia sudah jelak dengan UMNO yang korup, suka menjarah harta rakyat, tidak adil dan acapkali menindas rakyat. Rakyat Malaysia yang celik mata hati juga tidak akan mengundi Pakatan Rakyat kerana dasar mereka yang mengelirukan dan boleh mencetuskan huru hara dalam masyarakat terutama sikap mereka yang berkaitan dengan Islam dan Melayu. Sebab itulah PAS perlu mencari jalan supaya kekal relevan agar dapat mentadbir negara ini pada masa akan datang.


Apa yang PAS perlu lakukan adalah berusaha, berdoa dan bertawakkal untuk menjadi ‘penguasa’ di Putrajaya. Saya yakin selepas PAS berusaha kemudian didoa pula oleh ulamak ulamak yang muktabar dalam PAS, doa itu pasti mustajab dan dimakbulkan oleh Allah. Semoga Allah memenangkan gerakan Islam yang mahu menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia. Amin…  

1 ulasan:

  1. Mengkafirkan umno adalah salah satu kesilapan besar PAS, punca ditolak ramai umat Islam di sabah dan sarawak..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.