Isnin, 24 Ogos 2015

TINGGI ILMU TETAPI MASIH DUNGU

Gambar sekadar hiasan
sumber : Google

Saya berasa pilu melihat ustaz ustaz yang wujud pada zaman sekarang. Mereka mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang agama tetapi masalah kedunguan masih lagi menghantui diri mereka. Mereka bijak berceramah di sana sini, berdakwah dengan orang ramai dan mempamerkan ketinggian ilmu mereka di tengah tengah masyarakat namun masalahnya ucapan mereka tidak seiring dengan perbuatan mereka.

Golongan ustaz ini berguru dengan ulamak ulamak yang muktabar dan sudah pasti menerima ilmu yang bersanad dan penuh keberkatan. Ilmu ilmu yang mereka ada itu bukan calang calang ilmu, ilmu yang boleh membawa keuntungan di dunia dan di akhirat kepada diri mereka tetapi sayangnya mereka tidak mempratikkan ilmu yang mereka pelajari itu di dalam kehidupan seharian.

Mereka berdakwah dan menasihati masyarakat supaya mengamalkan Sunnah Sunnah Rasulullah, berpegang teguh dengan Al Quran dan mengamalkan sifat sifat mahmudah kepada anggota masyarakat tetapi pada masa yang sama, mereka sendiri tidak mengamalkan apa yang mereka ajarkan kepada anggota masyarakat.


Sebagai contoh, mereka menganjurkan masyarakat supaya sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan tetapi mereka sendiri tidak pernah bersabar dalam kehidupan mereka. Jika anak anak mereka melakukan kesalahan, mereka akan memarahi anak mereka seperti anak itu merupakan orang gaji mereka padahal kesalahan yang dilakukan oleh anak mereka kecil sahaja seperti tidak membasuh stoking di dalam bilik mandi.

Ustaz ustaz ini mendakwa setiap manusia perlu melakukan keadilan kepada manusia yang lain tetapi mereka sendiri tidak melakukan keadilan dalam keluarga mereka. Mereka melebihkan kasih sayang kepada anak bongsu berbanding dengan anak anak yang lain. Anak bongsu tidak disuruh melakukan itu dan ini tetapi anak anak yang lain diarahkan untuk membuat pelbagai kerja padahal anak bongsu itu sudah pun mencapai akil baligh.

Mereka menasihati anggota masyarakat supaya mengawal kemarahan tetapi mereka sendiri gagal mengawal kemarahan mereka apabila berhadapan dengan anak anak. Apabila ada anak anak melakukan kesalahan yang kecil sahaja seperti terlupa untuk membuang sampah di tong sampah besar, mereka memaki hamun dan memukul anak mereka setengah mati. Wajarkah tindakan mereka itu?

Mereka mengajar kepada masyarakat supaya ikhlas dalam setiap pemberian terutama kepada ahli keluarga tetapi mereka sendiri tidak melakukan perkara yang sama. Apabila ada anak anak mereka cuba membantah kata kata mereka (mempertahankan diri), mereka mengungkit apa yang telah mereka berikan kepada anak anak seperti tempat tinggal, makanan atau pakaian. Lebih parah lagi apabila mereka menghalau anak mereka dari rumah jika ada diantara anak anak mereka yang tidak berpuas hati dengan corak ‘pentadbiran’ mereka di rumah tersebut.  

Mereka berceramah hingga tersembur tahi gigi dan air liur di masjid supaya setiap manusia merendahkan ego diri apabila berhadapan dengan manusia lain. Tetapi mereka sendiri tidak merendahkan ego apabila berhadapan dengan anak anak. Jika ada anak anak mereka berjaya mematahkan hujah hujah mereka, mereka akan mencetuskan isu yang lain supaya anak anak kalah dalam perdebatan tersebut dan anak anak mereka pula akan dimarahi.

Golongan agamawan ini mendakwa mereka adalah pendukung kepada Sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan Sunnah Nabi Muhammad di dalam kehidupan mereka seharian. Jadi jelaslah mereka ini hipokrit?

Golongan ustaz ustaz ini sememangnya mempunyai ilmu yang tinggi tetapi hakikatnya mereka masih dungu! Mereka cuba berlagak pandai dan berlagak alim di hadapan orang ramai untuk mempamerkan ketinggian ilmu mereka tetapi hakikatnya tidaklah begitu. Mereka hanya berlakon supaya mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat dan dipandang tinggi oleh orang lain.

Ustaz ustaz ini memang mempunyai ilmu yang tinggi lagi banyak tetapi keberkatan ilmu itu tidak meresap dalam sanubari mereka. Sebab itulah, sifat sifat mahmudah yang timbul daripada ilmu tersebut tidak ada dalam jiwa mereka kerana niat mereka untuk menuntut ilmu itu pun sudah salah sejak dari mula lagi. Mereka hanya pandai mengata itu dan ini serta berzikir beribu ribu kali selepas solat tetapi keimanan dan ketaqwaan masih jauh dari senubari mereka. 


Semoga golongan ustaz ustaz ini sedar yang mereka sebenarnya penuntut ilmu yang dungu!

6 ulasan:

  1. Itulah masalah bila ilmu digunakan untuk mencari makan semata..

    BalasPadam
  2. Ustaz juga manusia biasa, tidak lari daripada melakukan kesilapan. Namun yang sedar akan kesilapan tetapi masih berlakon demi keuntungan, ianya amatlah menyedihkan.


































    BalasPadam
  3. skg ni ramai yg ngaku ilmu tinggi..tp perbuatan dan tutur kata xmenggmbrkan keilmuannya....

    BalasPadam
  4. tiada manusia yg sempurna tetapi kekurangan itu bukanlah yg boleh menjadikan org lain kurang hormat dgn mrk ... pertuturan dan pendapat itu biarlah yang tepat ...

    BalasPadam
  5. Harapnya mana-mana ustaz yang tergolong di dalam ciri-ciri di atas dapat mengubahnya.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.