Sumber : Google |
Berlaku perdebatan antara saya dan
seorang sahabat mengenai nasib PAS dalam pilihanraya akan datang tatkala PAS
memutuskan kerjasama politiknya dengan DAP di dalam Twitter baru baru ini. Saya
fikir semua orang tahu apakah sebab musabab PAS memutuskan tahaluf siyasinya
dengan DAP maka tidak perlulah saya mengulasnya secara panjang lebar dalam
entri kali ini lebih lebih lagi sudah banyak sekali entri saya yang mengulas
mengenai kemelut PAS dan DAP. Marilah kita memberi tumpuan kepada masa depan
PAS dalam suasana politik akan datang.
PAS sebagai parti politik yang mahu
kekal relevan sepanjang masa hendaklah memastikan sokongan orang Islam sentiasa
berpihak kepada mereka. Sekarang UMNO umpama kerbau yang tercedera, pelbagai
masalah yang dihadapi oleh parti yang dipimpin oleh Najib Tun Razak itu. Inilah
peluang terbaik PAS dengan merebut undi orang Islam/Melayu pada PRU akan
datang. Jika dilihat daripada keadaan politik semasa, ternyata sokongan orang
Melayu/Islam semakin goyah pada UMNO. Keadaan ini perlu dimanfaatkan oleh PAS
untuk memancing undi mereka pada PRU akan datang.
PAS sebagai sebuah gerakan politik
Islam perlu memantapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang ahlinya
terdiri dalam kalangan bukan Islam dengan lebih berkesan lagi. Tonjolkan
pemimpin pemimpin DHPP ini secara meluas
di pentas pentas ceramah PAS dan dalam lidah rasmi PAS sendiri, yakni Harakah.
Letakkan mereka setaraf dengan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dan beri
mereka peranan yang lebih besar terutama dalam memancing undi pengundi bukan
Islam. Beri mereka jawatan penting di dalam PAS supaya mereka boleh menonjol
sebagai pemimpin bukan Islam di dalam sebuah parti politik yang berasaskan
Islam.
Saya melihat peranan DHPP ini tidak
dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS menyebabkan pengundi bukan Islam takut untuk
mengundi PAS jika PAS tidak bersama PKR atau DAP lagi. Jika ada wakil DHPP yang
berkarisma, berilmu dan berwawasan dalam PAS, saya yakin PAS akan diterima oleh
pengundi bukan Islam. Sebab itulah penting PAS memperkasakan pemimpin dari DHPP
supaya suara mereka dapat didengari seterusnya PAS boleh membuat dasar dasar
baru yang sesuai dalam mengaut undi pengundi bukan Islam.
PAS juga mesti memperkasakan
kedudukan mereka di Sabah dan Sarawak pada PRU seterusnya. PAS perlu
menggerakkan jentera partinya supaya pengundi Islam di Malaysia Timur itu boleh
memberi undi kepada PAS. Dalam masa yang sama juga, DHPP yang berada di Sabah
dan Sarawak juga mesti dikuatkan supaya pengundi bukan Islam di sana tidak
segan silu untuk memilih PAS pada PRU akan datang.
Jika PAS mahu menawan Putrajaya
secara bersendirian, PAS tidak boleh tinggalkan pengundi pengundi di Sabah dan
Sarawak yang selama ini menjadi simpanan tetap buat Barisan Nasional (BN) di
Parlimen. Jentera PAS di sana perlu diperkasa bagi meraih undi pengundi Muslim
di samping menguatkan DHPP di Semenanjung serta di Sabah dan di Sarawak supaya
pengundi bukan Islam boleh mengundi PAS. Ini perlu dilakukan bagi
memperlihatkan PAS kekal sebagai parti politik yang berpotensi untuk mentadbir
Malaysia suatu hari nanti.
Sebagai parti politik yang akan
bertarung dengan pelbagai cabaran di segenap penjuru pada masa akan datang, PAS
tidak boleh bergantung pada isu Hudud semata mata. Kepimpinan ulamak dalam PAS
mesti mengemukakan idea idea bernas untuk membanteras rasuah, mengagihkan
kekayaan ekonomi negara seperti lazimnya, memperkasakan isu isu pendidikan,
membanteras kemiskinan, mengukuhkan ekonomi negara, memajukan orang Melayu
tanpa meninggalkan bangsa bangsa lain, mengurangkan jenayah dan banyak lagi.
Idea idea sebeginilah yang mesti dikemukakan oleh kepimpinan ulamak dalam PAS
jika PAS mahu kekal relevan dan diterima oleh pengundi terutama pengundi muda.
PAS juga boleh ‘melimpah keluar’ dari Kelantan, Terengganu, dan Kedah untuk
menjadi pentadbir di Putrajaya pada PRU akan datang jika idea idea bernas ini
dikemukakan seterusnya berjaya menawan hati pengundi.
Saya tahu memang sukar untuk PAS
melakukan itu semua tetapi sebagai sebuah parti politik yang berpaksikan Islam,
PAS tidak boleh mengalah dan mesti berusaha ke arah itu. Ulamak ulamak dalam
PAS terutama pemuda pemudanya mesti kritis dalam pelbagai isu yang melanda
Malaysia pada masa ini dan mengemukakan idea bernas lagi logik untuk
menyelesaikan semua isu itu. Kajian, wacana, dan perbahasan perlu dilakukan
setiap masa untuk PAS memahami kehendak pengundi Islam dan pengundi bukan Islam
di negara ini.
PAS tidak boleh bersandar pada
‘tangkal’ Hudud sepanjang masa kerana ia akan menyebabkan PAS sukar diterima
oleh pengundi bukan Islam selain pengundi Islam tidak tertarik untuk mengundi
PAS. Dahulu PAS punya golongan professional untuk membantunya kini sudah tiada
lagi. PAS pun tidak memerlukan mereka memandangkan manusia seperti mereka lebih
tega menggadai agama untuk politik. Biarlah mereka terjun dengan DAP dan PKR di
tasik kuasa yang akan hilang pada bila bila masa itu. Ulamak ulamak PAS tidak
perlu menghiraukan mereka lagi sebaliknya memandang ke hadapan dengan mencari
cara untuk memperkasakan PAS agar mudah diterima oleh pengundi Islam dan
pengundi bukan Islam.
PAS perlu kekal relevan sepanjang
masa supaya orang Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya boleh bergantung
dengan PAS untuk terus mentadbir negara ini mengikut lunas lunas yang
sepatutnya. Rakyat Malaysia sudah jelak dengan UMNO yang korup, suka menjarah
harta rakyat, tidak adil dan acapkali menindas rakyat. Rakyat Malaysia yang
celik mata hati juga tidak akan mengundi Pakatan Rakyat kerana dasar mereka
yang mengelirukan dan boleh mencetuskan huru hara dalam masyarakat terutama
sikap mereka yang berkaitan dengan Islam dan Melayu. Sebab itulah PAS perlu
mencari jalan supaya kekal relevan agar dapat mentadbir negara ini pada masa
akan datang.
Apa yang PAS perlu lakukan adalah
berusaha, berdoa dan bertawakkal untuk menjadi ‘penguasa’ di Putrajaya. Saya
yakin selepas PAS berusaha kemudian didoa pula oleh ulamak ulamak yang muktabar
dalam PAS, doa itu pasti mustajab dan dimakbulkan oleh Allah. Semoga Allah
memenangkan gerakan Islam yang mahu menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia.
Amin…
Mengkafirkan umno adalah salah satu kesilapan besar PAS, punca ditolak ramai umat Islam di sabah dan sarawak..
BalasPadam