Seawal pukul
5.30 pagi, Bainun sudah terjaga dari tidurnya. Dia lantas bangkit dari tempat
tidurnya dan mengemas tilam serta bantal. Dia menggulung tilam yang sudak
buruk, kusam dan agak keras itu dan diletakkan di sudut biliknya. Kemudian dua
biji bantal yang menjadi alas kepalanya sewaktu
tidur itu diletakkan di atas tilam yang digulung itu.
Dia mencapai
tuala yang tersidai kemas yang berada di ampaian biliknya. Kemudian dia masuk
ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk bagi menunaikan
solat fardhu Subuh. Itulah rutin hariannya sejak dia mula berkahwin dengan
Majdi. Sesudah Majdi meninggal dunia pun, dia masih meneruskan rutin hariannya
seperti biasa.
Sesudah mandi
dan menunaikan solat Subuh, ditambah pula dengan zikir zikir memuji kebesaran
Allah Yang Maha Esa, disulami juga dengan doa doa yang baik untuk dirinya dan
anak anak. Sesudah itu, dia akan melipat telekung dan sejadahnya serta
menyangkutnya di ampaian. Dia seorang ibu dan perempuan yang rajin. Sejak kecil
lagi dia telah terdidik oleh ibu dan ayahnya agar sentiasa berada di dalam
keadaan bersih dan kemas.
Dia masih ingat
pesanan arwah ayahnya suatu ketika dahulu. “Biar kita tidak cantik tak apa.
asalkan kita sentiasa bersih dan kemas.” Bagitulah menurut arwah ayahnya.
Pesanan arwah ayahnya itu sentiasa diamalkan walaupun kini dia sudah mempunyai
tiga orang anak. Dia juga mendidik anak
anaknya supaya sentiasa bersih dan kemas. Mereka memang orang miskin namun pada
hematnya kekemasan dan kebersihan diri adalah menjadi satu keutamaan. Bukankah
kebersihan itu separuh daripada iman?
Setelah melipat
telekung dan sejadahnya, dia lantas mengejutkan anak anaknya iaitu Hafzan, Ummi
dan Azlin. Hafzan baru berusia sembilan tahun dan menuntut dalam darjah tiga
manakala Ummi dan Azlin pula masing masing berumur lapan dan tujuh tahun.
Mereka berdua menuntut dalam darjah dua dan darjah satu di sekolah yang sama
iaitu Sekolah Rendah Jalan Raja.
Hafzan adalah
anak sulung dan satu satunya lelaki dalam keluarga itu. Sebagai anak sulung,
dia amat memahami kesusahan yang ditanggung oleh ibunya. Oleh itu, dia sedaya
upaya untuk tidak mahu menyusahkan ibunya dan berusaha untuk meringankan beban
ibunya. Sementara menanti anak anaknya mandi, Bainun menggoreng nasi yang tidak
habis semalam.
Bagitulah
selalunya kehidupan mereka. Nasi yang lebih pada makan malam semalam akan
digoreng pada hari ini sebagai sarapan. Mereka orang susah. Oleh itu, mereka
tidak boleh membazir. Jika mereka selalu membazir, sudah pasti makanan mereka
tidak akan cukup. Sebutir nasi adalah sangat berharga. Bainun pasti akan marah
jika anak anaknya membazir. Baginya membazir tidak elok dan membazir itu adalah
amalan syaitan.
Sesiapa yang
membazir adalah sahabat syaitan. Itulah ayat yang selalu dia gunakan untuk
mengelakkan anak anaknya membazir sewaktu makan. Oleh itu, ketiga tiga anaknya
akan makan sampai habis. Dia berasa sedih apabila melihat nasi yang dibuang di
dalam tong sampah atau di tepi jalan. Ramai manusia yang tidak makan di dunia
ini tetapi ada manusia yang lupa daratan dan membuang makanan dengan sesuka
hati mereka. Bainun agak kesal dengan sikap manusia seperti itu.
Setelah semua
anaknya mandi dan bersiap dengan pakaian sekolah, mereka semua berkumpul di
dapur untuk menikmati sarapan pagi. Bainun hanya menyediakan nasi goreng sahaja
pada pagi itu. Anak anaknya makan dengan berselera sekali. Mereka tidak pernah
merungut walaupun makanan mereka tidak sedap dan tidak semewah mana. Jika
mereka merungut pun, tiada gunanya kerana mereka bukan orang kaya. Bainun hanya
bekerja sebagai tukang cuci pakaian sahaja di rumah orang dengan pendapatan
sebanyak RM700 sebulan.
Mereka bersyukur
dengan apa yang ada. Sekurang kurangnya nasib mereka masih baik kerana boleh
makan. Jika hendak dibandingkan dengan orang Palestin sana , nasib mereka masih dikira baik.
Sedangkan bangsa Palestin, mahu minum susu pun belum tentu boleh. Sesudah
sarapan, Hafiz, Ummi dan Azli akan berjalan kaki ke sekolah sejauh tiga
kilometer.
Itulah
perjalanan yang mereka perlu tempuh untuk menuju ke sekolah. Mereka tidak mampu
untuk menaiki bas sekolah. Bainun tidak mampu menyediakan itu semua. Namun,
mereka tidak pernah merungut. Mereka amat memahami bahawa ibu mereka bukan
orang kaya. Mereka boleh pergi ke sekolah pun sudah cukup baik sebenarnya. Oleh
itu, dia senantiasa berpesan kepada anak anaknya agar belajar bersungguh
sungguh untuk menjadi orang yang berjaya dan bisa menaiki kereta suatu hari
nanti.
Setelah semua
anaknya ke sekolah, Bainun mula menyediakan makanan tengah hari buat anak
anaknya. Dia perlu menyediakan makan tengah hari dengan lebih awal kerana dia
tidak ada di rumah pada waktu itu. Dia perlu membasuh kain di tiga buah di
kampung itu. Setelah makanan tengah hari disediakan, tepat pukul sebelas pagi
Bainun akan mula bergerak ke rumah majikannya untuk membasuh kain.
Bukan mudah
sebenarnya untuk membasuh kain lebih lebih lagi apabila menggunakan tangan. Majikannya
lebih suka menyuruhnya membasuh menggunakan tangan terutama baju kemeja dan
baju kurung supaya lebih bersih serta tidak mudah rosak. Hanya baju T dan
seluar track suit sahaja dibenarkan membasuh dengan menggunakan
mesin. Oleh itu, sama ada suka ataupun tidak dia perlu menggunakan tulang empat
keratnya untuk membersihkan baju yang tidak kurang dari dua buah baldi dan kadang kala lebih daripada itu.
Setelah
membasuh, dia akan menjemur pakaian itu pula. Seusai menjemur, mana mana baju
yang perlu digosok, akan digosok pula. Kerjanya tidak ubah seperti pemilik
kedai dobi cuma dia tidak mempunyai kedai sahaja. Seandainya dia boleh membuka
sebuah kedai dobi, sudah pasti hidupnya akan lebih senang. Masakan tidak,
kadang kala dia perlu membasuh tilam yang amat berat. Setelah dibasuh dia perlu
menjemur pula.
Sakit sakit
pinggangnya membasuh kain dan tilam itu. Habis kembang jarinya membasuh pakaian
hampir setiap hari. Namun, dia redha dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah
kepada dirinya. Dia sentiasa bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan ini.
Setelah selesai
tiga buah rumah, barulah dia akan pulang sekitar pukul dua petang. Ketika itu
anak anaknya sudah pun pulang dan makan tengah hari. Setelah makan, dia akan
mandi dan menunaikan solat Zohor. Kemudian dia akan kembali ke dapur untuk
menyediakan minum petang pula. Jika petang itu dia mencanai lempeng, maka
lempenglah yang akan mereka nikmati bersama.
Sekiranya petang
itu dia menggoreng karipap, maka keripaplah yang akan mereka makan. Seandainya
petang itu dia membakar kuih bingka, maka kuih bingkalah yang menjadi santapan
mereka sekeluarga pada petang itu. Walaupun minum petang mereka tidak mewah,
mereka tetap bersyukur. Mereka gembira kerana masih lagi boleh menikmati kuih
muih yang dimasak olehnya.
Selepas
menikmati makan malam, semua anak anaknya akan mengulangkaji pelajaran dan
menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru guru mereka. Bainun pula akan
menonton televisyen. Dia tertarik dengan siaran berita di Buletin Utama itu
mengenai kejayaan beberapa orang pelajar yang berjaya mendapat 8A dalam
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Mereka bukan
sahaja berjaya, malahan akan membantu untuk memajukan keluarga, agama, bangsa
dan negara. Bainun sebenarnya bangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh pelajar
pelajar itu namun baginya itu semua tidak bererti jika mereka tidak mampu
memberi sumbangan untuk membantu agama, bangsa dan negara mereka sendiri. Jika
dilihat dewasa ini, begitu ramai pelajar yang cemerlang dalam SPM, PMR dan
UPSR.
Namun apakah
sumbangan mereka untuk memajukan negara ini? Apakah sumbangan mereka untuk
membantu agama Islam yang semakin tertindas ini? Apakah sumbangan mereka untuk
membantu bangsa Melayu yang masih tidak berjaya mencapai 30% kuota Bumiputra
yang diperuntukan dalam Dasar Ekonomi Baru ini? Tidak guna sekiranya mereka
mendapat 100A sekalipun jika perkara itu tidak langsung terlintas di fikiran
mereka.
Tidak ada rasa
tanggungjawabkah di dalam diri mereka? Bainun amat sedih dengan perkara itu.
Setelah berita tentang kejayaan pelajar pelajar yang cemerlang itu habis,
muncul pula berita tentang misi
kemanusiaan yang dihantar oleh Kelab Putera 1 Malaysia ke Filipina yang dilanda
taufan Haiyan baru baru ini. Bainun agak cemburu dengan orang Filipina. Mereka
menerima banyak bantuan daripada rakyat dan kerajaan Malaysia .
Namun, rakyat Malaysia sendiri yang susah
sepertinya tidak pula mahu dibantu. Cuba jika ditinjau ke jalan jalan
di sekitar pasar Chow Kit itu. Berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadi pengemis? Berama
ramai rakyat Malaysia
yang tidak berumah? Mana bantuan untuk mereka? Mana misi kemanusiaan untuk
mereka? Inilah perkara yang selalu terlepas pandang oleh kerajaan dan rakyat
Malaysia.
Mereka sibuk
mahu membantu rakyat negara lain yang susah namun rakyat negara sendiri tidak
diperdulikan bak kata pepatah kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati
kelaparan. Pada hematnya, tidak salah untuk membantu orang lain yang susah,
namun pastikan dahulu semua rakyat negara ini boleh menikmati kehidupan yang lebih
baik di negara mereka sendiri.
Kebanyakkan
pemimpin pemimpin kini lebih sibuk berpolitik daripada menjaga kebajikan
rakyat. Mereka lebih sibuk untuk mendapat majoriti dua per tiga di Parlimen.
Mereka lebih sibuk untuk menawan dan mempertahankan Putrajaya. Mereka lebih
suka menguasai kerajaan negeri daripada membantu rakyat Malaysia yang susah dan miskin ini.
Inilah kesilapan kesilapan pemimpin Malaysia .
Setelah habis
Buletin Utama, Bainun menonton pula rancangan Bersamamu. Dia sedih melihat
keluarga yang senasib dengannya. Ada
suami isteri yang mengidap pelbagai penyakit namun perlu menyara tujuh orang
anak. Nasib baik ada badan badan yang prihatin seperti pihak TV3 yang sanggup
datang untuk menghulurkan bantuan kepada orang orang miskin di negara ini.
Jika hendak
diharapkan kepada pihak lembaga zakat, barapa sen sahaja di berikan kepada
keluarga yang amat amat memerlukan bantuan itu. Bayangkan, dengan kehidupan
mereka sekeluarga bagai jatuh ditimpa tangga, pihak lembaga zakat hanya memberi
RM300 sahaja sebulan. Kemudian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu pula
dengan menghulurkan bantuan sebanyak RM200 sebulan.
Bangunan mereka
bukan main cantik lagi namun bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada fakir
miskin dan anak anak yatim ini tidak dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Cuba bandingkan
dengan zaman Khalifah Umar Al Khattab dahulu. Pada zaman Khalifah Umar, tidak
ada seorang pun fakir miskin di wilayah Islam kerana wang zakat digunakan
dengan sebaik mungkin.
Namun di
Malaysia, wang zakat hanya disimpan ‘buat perkasam’ dengan tidak ada sebarang
tujuan. Bainun kesal dengan perkara itu. Sepatutnya dengan kekayaan hasil bumi
seperti petroleum, getah, kelapa sawit dan sebagainya di negara ini, keadaan
seperti ini tidak akan berlaku lebih lebih lagi Malaysia adalah sebuah negara
Islam. Bainun memandang ke arah anak anaknya yang sedang menyiapkan kerja
sekolah itu.
Dia berdoa agar anak anaknya tidak mewarisi kesusahan
yang dia hadapi dan orang yang di dalam rancangan Bersamamu itu hadapi. Oleh itu,
dia berusaha untuk memberikan pendidikan yang baik kepada anak anaknya. Dia tahu
hanya Allah dan pelajaran sahaja yang mampu mengubah nasib mereka. Dia juga
berdoa, jika anak anaknya menjadi orang yang berjaya kelak, semoga mereka dapat
menyumbang sesuatu kepada agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.