Menatap
karya sulung penulis muda yang berbakat besar bernama Ainul Farihah ini
membuatkan saya berasa teruja. Inilah kali pertama saya membaca sebuah novel
yang penulisnya saya boleh bertemu secara empat mata. Saya kenal dia
sementelahan dia bergiat cergas bersama saya dalam Pembina.
Saya
boleh katakan bahawa novel ini adalah sebuah novel yang amat bermutu. Bagi yang
gemar membaca novel selalu, novel ini adalah antara novel yang saya sarankan
untuk dibaca terlebih dahulu. Meskipun penulisnya masih muda, tetapi karyanya
sudah melangkaui usianya. Boleh diramalkan bahawa Ainul boleh menjadi seorang
novelis yang terkemuka.
Bagi
yang ingin merasai kemanisan ukhuwah, novel ini wajar ditelaah. Bagi yang
sedang bergiat cergas di jalan dakwah, novel ini harus diteroka dan dibedah.
Melalui
watak Rif’at, Imran, dan Amrullah, kemanisan ukhuwah (dalam novel ini disebut
penangan ukhuwah) itu telah berjaya dibuka. Kemanisan ukhuwah tidak ramai yang
pernah rasa. Tetapi saya percaya bahawa kemanisan ukhuwah itu ada. Novel ini
secara tidak langsung dapat memberi suntikan motivasi untuk mencari kemanisan
ukhuwah yang selama ini jauh daripada kita semua.
Tidak
hanya kemanisan ukhuwah, cabaran dalam dakwah juga turut sama didedah (dalam
novel ini). Cabaran dakwah itu boleh dilihat menerusi watak Rif’at sebenarnya.
Pertama, ketika dia mula-mula hendak berteman dan ‘menjinakkan’ Imran yang
bersikap ego, degil, dan keras kepala. Kedua, ketika dia cuba mencegah maksiat
dan kemungkaran di Vehaen University setelah dilantik sebagai pimpinan
tertinggi PPIMB dalam kalangan mahasiswa (muslim) Malaysia.
Sebagai
seorang penulis yang berlatarbelakangkan perundangan, penggunaan bahasa Ainul
dalam novel ini boleh dibanggakan. Acapkali saya jumpa orang yang
berlatarbelakangkan perundangan, penggunaan bahasanya (baca : bahasa Melayu)
agak memeningkan. Namun, dalam novel
ini, Ainul menggunakan bahasa yang baik dan sederhana. Meskipun percampuran
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu ada, namun masih boleh diterima.
Konflik
dalam novel ini pun berjaya disusun dengan sempurna. Pembaca tidak perlu gusar
untuk menghadam dua atau tiga konflik dalam masa yang sama. Konflik dalam novel
ini ditimbulkan satu demi satu bagi memudahkan kefahaman dan kepuasan pembaca.
Dan konflik yang paling mengesankan adalah apabila Rif’at mengambil keputusan
untuk meninggalkan sahabatnya (Imran dan Amrullah) untuk kembali di negara
asalnya (Palestin).
Kendatipun
novel ini dibungai dengan kehebatan, namun ia tetap mengandungi beberapa
kelemahan. Dan saya fikir itu adalah sesuatu yang tidak disengajakan.
Novel
sulung Ainul ini sebenarnya kurang mempunyai daya tarikan. Daya tarikan adalah
satu perkara yang penting bagi memakukan pembaca untuk meneruskan pembacaan.
Daya tarikan juga penting bagi membolehkan novel ini tertampal dalam ruang
ingatan. Daya tarikan itu boleh dicungkil dengan bermacam cara antaranya
melalui watak, jalan cerita, dan unsur suspen misalnya.
Pengalaman
saya menghabiskan sebuah novel biasanya mengambil masa dua tiga hari atau
paling lama pun seminggu sahaja. Tetapi novel ini saya perlu habiskan
berbulan-bulan lamanya. Ini berikutan novel ini kurang mempunyai daya tarikan
yang membolehkan saya meneruskan pembacaan. Saya acapkali mencari suasana untuk
memulakan semula pembacaan yang setelah beberapa kali ditangguhkan.
Seperti
yang telah sebut di atas tadi, watak adalah salah satu cara untuk daya tarikan
itu ditemui. Malangnya tidak ada satu watak pun yang mempunyai daya tarikan
dalam novel ini. Saya yakin Ainul menggunakan konsep anti-hero ketika menulis
novel ini. Maka tiada satu watak yang mempersonakan boleh ditemui.
(Anti-hero
bermaksud tidak ada watak utama atau watak yang dominan dalam sesebuah novel
atau cerpen.)
Watak
Rif’at memanglah watak yang mempunyai kewibawaan. Baik dari segi sikap,
pemikiran, keilmuan, dan keagamaan. Tetapi watak ini kurang mempunyai daya
tarikan. Watak ini adalah watak yang kurang mempersonakan.
Saya
percaya Ainul meletakkan Rif;at sebagai ketua dalam ukhuwah dan persahabatan
mereka. Rif’at adalah agen penyatu kepada Imran dan Amrullah yang sekian lama
bersengketa. Tetapi dalam meleraikan pertelingkahan sesama mereka, Rif’at
adalah watak yang kurang berjaya. Meskipun Amrullah itu Rif’at berjaya pengaruhi
(secara psikologi dan agama) supaya berbaik-baik dengan Imran, tetapi
Amrullah-lah yang mengorak langkah paling berkesan secara bersendirian
(memandangkan Rif’at perlu kembali ke Malaysia akibat kemalangan). Watak Rif’at
akan menjadi lebih berkesan jika dia terlibat secara langsung dalam memulihkan
hubungan antara Amrullah dan Imran. Misalnya memberi idea kepada Amrullah
bagaimana untuk berbaik semula dengan Imran.
Watak
Imran juga sama seperti watak Rif’at yang juga kurang mempunyai daya tarikan.
Hanya sikap panas baran dan keras kepalanya itu sedikit sebanyak menyumbang
kepada kekuatan (watak). Sikapnya yang ego itu bolehlah dikata berupaya untuk
menjentik perasaan (geram).
Watak
Imran yang ego dan panas baran itu mempunyai beberapa kontradiksi. Dia
dikatakan menyemak (tasmik) bacaan
Al-Quran Rif’at di waktu Subuh secara acapkali. Dengan itu, boleh dikata yang
Imran ini tidak kurang ilmu agamanya. Maka sikap panas baran dan ego itu tidak
sepatutnya ada dalam dirinya.
Saya
percaya orang yang boleh menyemak (tasmik)
bacaan Al-Quran orang lain secara kerap di waktu Subuh adalah orang yang tinggi
imannya. Maka, sifat mazmumah seperti mudah marah (panas baran) itu tidak
sewajarnya ada.
Watak
Amrullah terus mewarisi kelemahan watak Rif’at dan Imran dalam menjadi satu
daya tarikan. Tetapi watak ini digambarkan sebagai watak yang mempunyai banyak
pengalaman dan penuh kesabaran. Tambahan pula, watak ini adalah sebuah watak
yang mempunyai kematangan. Tidak hairanlah Rif’at boleh mempengaruhi dirinya
supaya berbaik-baik dengan Imran.Watak ini juga berjaya mengharungi fitnah yang
dibuat oleh Eizad dengan penuh ketabahan.
Apa
yang membuatkan saya terkejut dengan Amrullah adalah dia langsung tidak punya
rasa bersalah dan ingin memohon maaf kepada Eizad atas apa yang telah dia
lakukan. Dia terus menggunakan hujah-hujah agama bagi menutup kesilapan yang
pernah dia lakukan (dahulu). Saya menjangkakan yang dia akan memohon kemaafan
(kepada Eizad). Tetapi sebaliknya berlaku apabila dia mengatakan sedikit pun dia
tidak berasa kesal atas apa yang telah dia lakukan (kepada Eizad sehingga ayah Eizad
meninggal dunia).
Unsur
suspen (perasaan ingin tahu secara membuak-buak) dalam novel ini juga amat
kurang sebenarnya. Unsur suspen adalah penting untuk mencungkil daya tarikan
dengan sebanyaknya. Apabila kurang unsur suspen dalam sesebuah karya cereka,
maka kesan karya itu kurang melekat dalam ingatan pembaca.
Unsur
suspen akan dilambakkan dalam novel seram atau novel thriller biasanya. Membaca
novel-novel thriller yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid misalnya pasti
unsur suspen akan banyak ditemui oleh pembaca. Tetapi ada juga novel yang bukan
novel seram atau novel thriller mempunyai banyak unsur suspen di dalamnya.
Novel Sehangat Asmara karya Aisya Sofea adalah sebuah novel cinta yang wujud
unsur suspen yang berkesan dan kuat di dalamnya.
Unsur
suspen di dalam novel Ainul ini hanya muncul dua kali sahaja. Pertama, bagi
mencari siapakah yang telah memfitnah Amrullah dan kedua, nama sebenar Qa’id
yang menjadi teka-teki oleh pembaca. Walau bagaimanapun, watak Adam yang muncul
semasa Amrullah dilanda fitnah sudah boleh diagak bahawa itulah watak Qa’id
yang sebenarnya. Maka, unsur suspen itu tidaklah sekuat mana. Namun, teka-teki
tentang dalang sebenar yang memfitnah Amrullah (iaitu Eizad) berupaya untuk
menimbulkan unsur suspen dengan agak sempurna.
Ketika
menulis novel ini, Ainul dilihat tidak dapat memisahkan budaya lelaki dan
budaya perempuan secara serba serbi. Ainul juga telah terperangkap dengan
penulisan novel cinta secara psikologi (bawah sedar).
Acapkali
Ainul menggambarkan bagaimana Rif’at sering melakukan beberapa ‘sentuhan’
terhadap Imran. Misalnya meletakkan tangan Imran di dadanya (muka surat 115),
menggenggam erat tangan Imran (muka surat 190), menyandarkan kepalanya ke bahu
Imran (muka surat 382), dan sebagainya.
‘Sentuhan-sentuhan’
antara Rif’at dan Imran ini memang tidak salah jika berada dalam konteks budaya
masyarakat di negara Bangladesh sana. Ini kerana, bersentuhan dalam kalangan
lelaki Bangladesh seperti berpegangan tangan sewaktu melintas jalan tidak salah
sebenarnya. Tetapi dalam konteks masyarakat Melayu, budaya ‘bersentuhan’ antara
lelaki ini adalah sesuatu yang sangat tabu. Lelaki yang suka ‘bersentuhan’
dengan lelaki ini (dalam konteks masyarakat Melayu) boleh dianggap sebagai gay
atau homoseksual sebenarnya. Ainul perlu faham tentang budaya lelaki Melayu di
Malaysia.
Tidak
ramai lelaki yang suka disentuh oleh lelaki lain pada mana-mana anggota tubuh
badan mereka (tanpa sebab yang munasabah). Ada lelaki yang boleh terima tetapi
ramai lelaki tidak boleh terima. Yang boleh terima itu jumlahnya kecil sahaja.
Yang tidak boleh itu memang ramai jumlahnya. Adalah sesuatu yang sangat aneh
apabila Imran yang berperwatakan ‘keras’ dan suka bersukan itu membenarkan
Rif’at ‘menyentuh’ anggota badannya. Seandainya saya melakukan perbuatan
sedemikian terhadap kawan lelaki saya, sudah pasti penumbuk akan naik ke muka!
Bukan
sahaja lelaki Bangladesh, ‘bersentuhan’ antara seorang perempuan dengan seorang
perempuan yang lain (seperti yang dilakukan oleh Rif’at terhadap Imran) juga
bukanlah suatu kesalahan. Orang tidak pelik jika perempuan sesama perempuan melakukan
perbuatan sedemikian. Tetapi orang akan berasa ganjil jika perkara tersebut
lelaki sama lelaki lakukan (tanpa sebab yang munasabah).
Boleh
dikata secara bawah sedarnya Ainul telah terperangkap dengan penulisan novel-novel
cinta. Perlakuan Rif’at dan Imran itu biasanya ditemui dalam novel-novel cinta.
Ainul secara di bawah sedar telah menjadikan Rif’at sebagai perempuan dan Imran
sebagai lelaki dalam sebuah kisah cinta. Tetapi Ainul tidak menulis kisah
cinta. Ainul menulis tentang sahabat dan ukhuwah sebenarnya. Tetapi perlukisan
peristiwa dan gambaran perlakuan Rif’at dan Imran itu seolah-olah mencerminkan
yang mereka berdua sedang bercinta.
Saya
tidak pasti sama ada Ainul tidak memahami budaya diri seorang lelaki atau dia
telah terperangkap dengan budaya keperempuanannya / budaya orang bercinta
semasa dia menulis novel ini. Yang pasti, gambaran suasana perlakuan antara
Rif’at dan Imran itu sepatutnya tidak terjadi. Harap Ainul boleh berhati-hati
dalam hal-hal sebegini.
Dengan
menulis ulasan sebegini, saya tidak berniat untuk membakar rumah penulisan
Ainul sama sekali. Ulasan ini hanyalah pandangan subjektif saya sebagai
pembaca. Saya yakin ulasan yang dibuat oleh orang lain pasti berbeza. Saya percaya
Ainul pasti ada sebab mengapa dia menulis novel ini sebegitu bentuknya. Tetapi
ingin saya tegaskan novel ini begitu tinggi mutunya. Saya sendiri pun belum
tentu boleh menulis sebuah novel sebagus Ainul tentunya. Saya sebagai penulis,
hanya mampu duduk di kerusi pengkritik di laman muka buku sahaja. Tetapi Ainul
sebagai penulis, boleh menjadi pengarang besar dunia. Dan saya doakan agar dia berjaya.
GV rasa novel Ainul mungkin fokus pada generasi Ydan Z. Novel generasi skang mmg sangat open minded dan sangat berbeza dengan novel arus perdana. Generasi baru lebih bersifat terbuka mengenai pelbagai jenis budaya dan lazimnya mereka tidak mengikut acuan budaya versi lama. Kebanyakan member GV suka novel style Ainul sebab bagi mereka novel ini tidak klise dan diluar kotak. huhu.
BalasPadam