Rabu, 30 Ogos 2017

NASIB MELAYU SELEPAS 60 TAHUN KEMERDEKAAN


Image result for melayu bangsa terbesar di malaysia
Sumber : Google


Esok seluruh rakyat Malaysia akan menyambut 60 tahun usia kemerdekaan negara. Seandainya negara Malaysia ini dianjakkan maknanya berbentuk seorang manusia, pasti manusia itu telah mencapai usia tua. Manusia yang sudah berusia 60 tahun biasanya bukan sahaja matang dari segi pemikiran, malah sikap dan perlakuan. Tetapi adakah Malaysia (baca : rakyat) sudah mencapai kematangan dari segi pemikiran, sikap, dan perlakuan? 

Dalam tempoh 60 tahun kemerdekaan ini, molek benar kiranya nasib bangsa Melayu -- bangsa terbesar di Malaysia -- kita renungi. Kita mahu tahu adakah orang Melayu selepas 60 tahun kemerdekaan telah berubah serba-serbi. Atau masih berada di takuk yang lama lagi.

Mari kita renungi nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi. Mendengar cakap-cakap kedai kopi setakat ini, orang Melayu itu masih gagal menguasai ekonomi. Hal ini dibuktikan apabila melihat senarai sepuluh orang terkaya di Malaysia. Dalam senarai itu orang Melayu yang terkaya seorang sahaja. Kebanyakkan senarai itu diungguli oleh bangsa Cina. Bangsa India pun diwakili oleh seorang sahaja. Padahal bangsa Melayu bangsa yang terbesar di Malaysia. 

Kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi telah menjadi perbahasan sejak sekian lama. Sekian ramai tokoh dari pelbagai bidang telah mencari punca. Namun, jalan keluar kepada masalah itu masih gagal ditemui. Orang Melayu masih terus gagal menguasai ekonomi. 

Memang tidak dinafikan telah ramai orang Melayu yang menjadi jutawan. Tetapi yang menjadi jutawan itu sangat sedikit berbanding yang tinggal di rumah pangsa kecil-kecilan. Lebih sedih masih ramai lagi yang dihambat kemiskinan. 

Orang Melayu memang ramai yang berniaga. Tetapi mereka berniaga di bawah payung dan di tepi jalan cuma. Perniagaan mereka sekadar jual buah potong atau perniagaan kecil-kecilan yang lain sahaja. Itu pun nasib jika ada permit daripada kerajaan. Jika tidak, pasti barang dagangan mereka menjadi harta rampasan. Padahal untuk mendapat permit berniaga, perlu menghadapi kerenah birokrasi yang entah apa-apa. 

Bukan sahaja masalah ekonomi, masalah politik pun orang Melayu terpaksa hadapi. Dalam politik orang Melayu terus mengalami perpecahan. Sedangkan perpecahan itu sekian ramai orang Melayu tahu ia membawa kemudaratan. Tetapi kerana nafsu politik lebih menguasai diri, maka kemudaratan hasil perpecahan itu langsung tidak mahu diambil peduli.

Orang Melayu masih gagal mencari pemimpin yang benar-benar berwibawa. Pemimpin Melayu yang bersih, adil, bijaksana, cekap, beriman, dan boleh menyatukan semua bangsa, masih gagal ditemui entah apa sebabnya. Pemimpin yang ada sekarang semuanya berebut-rebut untuk mengejar kuasa. Dan orang Melayu pun semakin terseksa dan semakin tidak tahu hendak ke mana.   
  
Tidak dinafikan bahawa orang Melayu tetap mempunyai kehebatan. Kehebatan orang Melayu itu terletak dalam dunia hiburan. Dalam dunia hiburan orang Melayu memang telah mencapai takah kegemilangan. Sebab itu ramai anak muda Melayu berlumba-lumba untuk menjadi pelakon dan penyanyi. Sebab di situlah lubuk untuk menjadi popular dan mencari rezeki. Punya kemaruk orang Melayu dengan hiburan, sampai kerja-kerja dakwah untuk agama pun dibuat dalam bentuk persembahan!

Sedang bangsa lain sibuk membangunkan perniagaan dan mengembangkan pengetahuan, orang Melayu masih berseronok dengan hiburan. Tidak hairanlah orang Melayu masih banyak ketinggalan. 

Orang Melayu mempunyai tempat yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi orang Melayu-lah yang paling kaya dengan kelemahan. Entah apalah sebabnya orang Melayu jadi begini. Sedangkan nenek moyang orang Melayu dahulu hebatnya di segenap segi. 

Bukan dalam dunia hiburan sahaja orang Melayu menjadi juara, dalam keruntuhan akhlak pun begitu juga. Masalah seks bebas, kelahiran anak luar nikah, gejala buang bayi, ketagihan dadah, gangsterisme, rempit, rasuah, dan sebagainya adalah keruntuhan akhlak yang terjadi dalam kalangan orang Melayu dengan sebanyaknya. Bermacam cara telah dilakukan oleh banyak pihak untuk mencegah segala masalah yang ada. Namun, hasilnya masih tetap sama.  
 
Selepas 60 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, rupa-rupanya orang Melayu tidak banyak mengalami perubahan. Perubahan yang ada pun tidak boleh dibanggakan. Lebih sedih perubahan yang berlaku itu lebih banyak menjurus ke arah keburukan. Sewajarnya sajak ‘Melayu’ karya Sasterawan Negara Usman Awang itu wajar semua orang Melayu renungi. Sajak hebat itu berbunyi begini :

“Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu / Masihkah tunduk tersipu-sipu / Jangan takut melanggar pantang / Jika pantang menghalang kemajuan / Jangan segan menentang larangan / Jika yakin kepada kebenaran / Jangan malu mengucapkan keyakinan / Jika percaya kepada keadilan / Jadilah bangsa yang bijaksana / Memegang tali memegang timba / Memiliki ekonomi mencipta budaya / Menjadi tuan di negara merdeka.” 

Saya tidak mahu tunding jari kepada sesiapa atas segala kelemahan yang membelengu orang Melayu pada hari ini. Orang Melayu-lah perlu mengubah diri jika mereka benar-benar mahu hebat dalam segenap segi. Orang Melayu sudah tidak boleh lagi menjadi bangsa yang berminda subsidi. Semoga Melayu tidak menjadi bangsa terbangsat di muka bumi! 


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.