Sabtu, 12 Ogos 2017

JENIS-JENIS TOKOH YANG ADA DI MALAYSIA


Image result for tokoh
Sumber : Google


Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai bidang dalam setiap ruang kehidupan. Bidang-bidang tersebut termasuklah politik, ekonomi, sains, akademik, kesenian, perubatan, kesusasteraan, dan perundangan. Dalam setiap bidang itu pula, terdapat beberapa orang yang mempunyai ketokohan (biasanya disebut tokoh).

Kita bersyukur kerana terdapat ramai tokoh dalam setiap bidang yang ada di negara kita. Mereka dianggap sebagai tokoh sudah pastilah kerana mereka berupaya memberi sesuatu kesan dalam kehidupan masyarakat kita. Mereka boleh mengundang kegemaran atau kebencian dalam masa yang sama. Dan ia bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadap kehadiran mereka.   

Saya agak tertarik dengan pembahagian tokoh yang dikemukakan oleh Prof Dr Syed Hussein Al-Attas – seorang ahli sosiologi yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Beliau membahagikan tokoh-tokoh dalam setiap bidang itu kepada tiga jenis iaitu tokoh ukuran, tokoh siaran, dan tokoh sialan!

Tokoh ukuran adalah tokoh yang mempunyai kewibawaan dan sering dijadikan rujukan. Mereka menjadi tokoh ukuran kerana mereka sering menjadi ukuran dalam setiap kejayaan yang ramai orang mahu dapatkan. Mereka diiktiraf sebagai tokoh ukuran bukanlah oleh orang sembarangan sebaliknya oleh orang yang juga mempunyai kepakaran. Tokoh ukuran juga diiktiraf bukanlah berdasarkan populariti sebaliknya berdasarkan pencapaian mereka yang sangat tinggi. Dan tidak ramai orang berupaya untuk mencapai kejayaan atau kecemerlangan seperti mana tokoh-tokoh ukuran sering kecapi.      

Antara tokoh ukuran di negara kita adalah seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (politik), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (ekonomi), Prof  Emeritus Dr Nik Safiah Karim (bahasa), Datuk Usman Awang (sastera), Datuk Nicol Ann David (sukan), Prof  Syed Naquib Al-Attas (akademik), Tan Sri Robert Kuok (perniagaan), Tan Sri P. Ramlee (filem), Datuk Siti Nurhaliza (nyanyian) dan ramai lagi.  

Tokoh siaran pula adalah tokoh yang sering mendapat tempat dalam media dan berita. Mereka dikenali oleh anggota masyarakat bukanlah berdasarkan pencapaian atau hasil kerja cemerlang mereka sebaliknya pihak media yang banyak memaparkan tentang diri mereka. Mereka bukanlah terlalu hebat dan hanya mempunyai pencapaian yang sederhana. Mereka menjadi terkenal mungkin disebabkan oleh jawatan, gelaran, kekayaan, kontroversi, ataupun paras rupa mereka.

Contoh tokoh siaran adalah pelakon atau penyanyi yang mempunyai kelebihan dari segi paras rupa. Lakonan atau nyanyian mereka biasa-biasa sahaja tetapi oleh kerana mereka mempunyai wajah yang kacak atau cantik, dan sering pula mendapat tempat dalam berita, maka mareka pun menjadi popular.   

Tidak salah untuk menjadi tokoh siaran. Lebih bagus lagi jika kita boleh menjadi tokoh ukuran. Yang tidak bagusnya apabila kita menjadi tokoh sialan! Tokoh sialan adalah jenis tokoh yang perlu kita semua elakkan. 

Tokoh sialan adalah jenis tokoh yang sering menyusahkan masyarakat. Tokoh sialan memang mempunyai banyak kelebihan tetapi kehadiran mereka bukanlah menyenangkan masyarakat sebaliknya menyulitkan masyarakat. Hasil kerja, pandangan, atau apa sahaja yang mereka lakukan menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara. Mereka suka mencetuskan sesuatu isu kontroversi dengan sengaja. 

Tokoh sialan adalah tokoh yang paling pandai bermuka-muka. Sukar masyarakat ingin meneka niat sebenar di hati mereka. Mereka adalah jenis tokoh yang sukar untuk dikesan juga. Mereka sering mengatakan bahawa mereka adalah pembela masyarakat tetapi apa yang mereka lakukan sering kali membawa masalah kepada masyarakat. Segala kata-kata, gerak kerja, dan tindak-tanduk mereka sering kali membawa perpecahan dalam masyarakat. 

Misalnya, seorang tokoh sialan itu tahu bahawa memegang anjing dengan sengaja adalah sesuatu yang dilarang dalam masyarakat kita. Ia bukan sahaja kerana faktor agama, malahan juga sudah menjadi faktor budaya. Tetapi tokoh sialan mengeluarkan pandangan bahawa memegang anjing tidak salah sebenarnya. Masyarakat yang selama ini percaya bahawa memegang anjing dengan sengaja itu adalah haram baik dari sudut agama mahupun budaya mula diancam kekeliruan. Kekeliruan itu akhirnya mencetuskan perbahasan. Perbahasan itu bukannya memberi pencerahan sebaliknya membawa perpecahan. 

Soal berbeza mazhab adalah soal yang lain sebenarnya. Tetapi masyarakat telah percaya bahawa memegang anjing dengan sengaja adalah dilarang dari sudut agama dan budaya sejak sekian lama. Tokoh sialan sepatutnya menghormati akan hal itu. Tidak perlu dia mengeluarkan sebarang pandangan yang boleh mencabar apa yang telah berakar umbi sejak lama dahulu. Tetapi dia sengaja mencabar hal itu supaya masyarakat menjadi keliru dan akhirnya haru-biru. Dia sengaja ingin  meraih populariti murahan dengan mengeluarkan pandangan-pandangan sebegitu.

Tokoh ukuran, tokoh siaran, dan tokoh sialan memang ramai dalam masyarakat kita. Kita perlu tahu beza jenis-jenis tokoh yang ada di  negara kita. Kita boleh memilih tokoh ukuran atau tokoh siaran untuk menjadi ikutan. Tetapi jangan sesekali memilih tokoh sialan sebagai panduan! Kelak hidup kita akan diancam kehancuran.  


1 ulasan:

  1. Agak serius topik yang diutarakan. Semoga tokoh ukuran menjadi idola kita untuk mencapai kejayaan yang sama seperti mereka. InsyaAllah. Aamin. :)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.