Pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah memahami benar erti
viva kerana di penghujung pengajian, mereka akan menempoh peringkat
akhir halangan sebelum dianugerahkan ijazah. Berbeza dengan doktor
falsafah, peringkat sarjana memberi dua pilihan bentuk pengajian iaitu
sama ada bergraduat dengan tesis atau tanpa tesis. Kelebihan pengajian
sarjana dengan tesis ialah pengetahuan dan pengalaman membuat
penyelidikan.
Dalam proses itu, pelajar didedahkan dengan dua subjek yang sangat
penting iaitu statistik dan kaedah penyelidikan (research methodology).
Kedua-dua subjek ini menjadi asas kepada penganalisisan data dan
pemilihan bentuk penyelidikan yang akan dilakukan. Pada masa yang sama,
pelajar juga mendapat pengalaman saintifik membuat pernyataan masalah
bagi kajian mereka.
Kita ambil contoh pernyataan masalah dalam kajian di bidang sosial.
Biasanya ia muncul kerana ada rungutan dan rasa tidak puas hati yang
disuarakan oleh subjek atau responden yang diambil dari keratan akhbar,
rungutan klien, laporan-laporan awam dan juga pandangan pakar. Selain
itu, pelajar didedahkan dengan kaedah membuat kerangka konseptual kajian
yang tepat dan selari dengan objektif kajian.
Bagi pelajar yang melengkapkan pengajian sarjana tanpa tesis, mereka
didedahkan dengan teori dan latihan ilmiah yang komprehensif. Cara ini
menjadikan perbincangan dalam kumpulan sebagai aktiviti utama. Tanpa
perbincangan, seseorang pelajar tidak dapat menjana idea-idea baru untuk
tugasan yang diberikan.
Apakah VIVA?
Viva adalah peperiksaan yang dilakukan dalam bentuk perbincangan.
Tiga atau empat orang penilai dalaman dan luaran akan memberi maklum
balas dan pandangan mereka ke atas tesis yang disemak. Rungutan oleh
pelajar ialah masa menunggu yang agak lama, ada yang terpaksa menunggu
sehingga enam bulan kerana pelbagai alasan. Namun alasan yang paling
kerap ialah pemeriksa sibuk walaupun pejabatnya hanya dua tiga ela dari
fakulti pelajar.
Pengendalian viva tidaklah sukar seperti yang disangka kerana
pengalaman pelajar adalah berbeza-beza. Ia berkaitan bagaimana kita
mempersembahkan hasil kajian dan pemeriksa juga tidak tahu semuanya
tentang hasil kajian yang dilakukan. Apa yang mereka mahu tahu ialah
sama ada kita mempunyai pandangan yang tepat atau memahami konsep dalam
subjek berkenaan.
Kenapa perlu VIVA?
Viva penting untuk pelajar dan kesannya amat menakjubkan. Mereka akan
benar-benar memahami beberapa perkara dasar yang terdapat di dalam
kajian. Walau bagaimanapun pelajar akan diberitahu tarikh viva yang
dicadangkan termasuk tempat yang akan diadakan. Pemeriksa dalaman dan
pengerusi akan datang tetapi pemeriksa luar terpulanglah kepadanya
kerana tempat yang jauh atau ada urusan lain yang lebih penting dan dia
hanya akan hantar laporan.
Seminggu sebelum viva, peringatan kedua akan dimaklumkan melalui telefon.
Bersedia untuk VIVA?
Tesis yang telah siap dihantar kepada pemeriksa wajar dibaca berulang
kali supaya pelajar memahami kandungan hasil kajiannya. Fokus patut
diberi kepada latar belakang masalah, pernyataan masalah, objektif
kajian dan metodologi kajian kerana pemeriksa juga ingin memahami dengan
mendalam kenapa kajian itu dilakukan dan bagaimana ia dijalankan.
Contohnya bahagian metodologi, kerangka konseptual kajian yang
dikemukakan perlu ada perkaitan dengan penulisan bab kedua iaitu
tinjauan literatur. Pemeriksa sangat cekap mencari kesilapan pelajar
walaupun kecil. Daripada kecil, ia berkembang menjadi seolah-olah isu
besar dan dikaitkan dengan tinjauan literatur dan analisis kajian.
Dari segi penampilan diri, pelajar tidak perlu jadi orang lain untuk
memperkenalkan diri kerana tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan.
Sebaiknya pakai pakaian yang kemas, digosok dan kasut berstoking.
Personaliti yang baik sebegini akan meningkatkan keyakinan pelajar bagi
mengurangkan tekanan.
Pastikan pelajar datang awal kerana dapat mengenal pasti bilik viva,
menguji kesesuaian perisian komputer di samping menyesuaikan diri dengan
suasana viva. Kehadiran yang awal banyak membantu pelajar mengatasi
gemuruh. Jika menggunakan Windows Power Point 2007, pastikan pihak
penganjur menyediakan perisian berkenaan kerana masih terdapat penganjur
yang tidak menaik taraf perisian berkenaan di bilik viva.
Semasa VIVA
Apabila pengerusi dan pemeriksa menunjukkan muka, ambil kesempatan
meraikan kehadiran mereka dengan mengucap salam dan berjabat tangan.
Ucapan ‘Assalamu’alaikum’ sudah cukup sebagai pembuka kata di antara
pelajar dengan mereka. Ambil masa untuk berdiri sehingga pengerusi
meminta duduk dan tidak perlu panik yang keterlaluan.
Jadikan senyuman sebagai kubu paling kuat pada diri pelajar kerana
pemeriksa boleh cam dengan mudah keadaan pelajar yang menggelabah dan
hilang tumpuan.
Jika pelajar tidak tahu jawapan, jangan sekali-sekali menipu. Katakan
saja tidak tahu dan pemeriksa akan memberi maklum balas mereka. Seorang
profesor pernah berkata, ‘Angguk adalah jawapan paling hebat ketika
pemeriksa menerangkan sesuatu perkara tentang kajian pelajar.’ Semasa
viva, pemeriksa umpama raja kerana mereka menguasai keadaan ketika itu,
pengerusi pula mengawal keadaan tersebut dan menjadi penentu kepada
laporan viva selepas itu yang dikeluarkan dalam masa seminggu.
Elakkan bertengkar dengan pemeriksa kerana pelajar mungkin akan lebih
sengsara apabila mereka mula menyerang balas. Matlamat hadir ke viva
adalah untuk lulus sarjana atau doktor falsafah. Membiarkan pemeriksa
memusnahkan usaha selama empat tahun adalah pengalaman yang menyakitkan
pelajar.
Pemeriksa bukannya berperanan menggagalkan pelajar sebaliknya cuba
membantu membaiki hasil kajian. Benarkan mereka membantu pelajar dengan
kritikan-kritikan pedas yang membina supaya pelajar dapat berbangga dan
merasa megah dengan tesis yang akan dikeluarkan kelak.
Sebelum sesi viva berakhir, pengerusi akan memaklumkan keputusan viva
secara lisan dan umumnya adalah lulus. Perinciannya akan dikeluarkan
selepas itu sama ada pelajar perlu melakukan perubahan yang kecil atau
besar. Jika ada sebarang perubahan, ia perlu disiapkan dalam tempoh 60
hari daripada tarikh viva berlangsung.
Ucap terima kasih kepada pengerusi dan pemeriksa selepas viva berakhir dan berjabat tangan.
Nama pelajar akan disahkan pada mesyuarat senat dalam tempoh dua
bulan selepas pihak pengajur mengadakan mesyuarat mereka. Pada masa ini
tidak ada apa-apa lagi yang hendak dirisaukan dan pelajar boleh
merancang masa depannya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.