Selasa, 29 Ogos 2017

BILA KAWANKU MASUK POLITIK

Image result for politik
Sumber : Google


Seronok saya apabila melihat ada teman-teman saya yang cenderung untuk terlibat dalam politik kepartian. Pastilah ada sebab tertentu mengapa mereka ingin sangat terlibat dalam politik kepartian. Sebagai seorang anak muda, terlibat dalam politik kepartian pasti ada idealisme suci (mungkin) yang akan mereka bawa bersama.

Tidaklah saya tahu apa tujuan asal mereka untuk berpolitik sebenarnya. Sama ada untuk mengubah negara (dan masyarakat) atau untuk mendapatkan kuasa, hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu tentangnya. Apa yang saya hendak kata, mereka masuk politik itu harapnya untuk tujuan yang baik-baik sahaja. 

Saya suka membicarakan darihal politik menggunakan Hukum Anjakan Makna. Dalam Hukum Anjakan Makna, setiap ahli politik itu cenderung untuk beranjak ke mana-mana. Justeru, untuk taksub kepada mana-mana ahli politik yang kita sanjungi, adalah sesuatu yang sangat rugi.

Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, seorang ahli politik cenderung untuk beranjak ke sana dan ke sini. Jika seseorang ahli politik itu hari ini adalah berada di pihak kerajaan, tidak mustahil untuk dia beranjak pada esok hari kepada pihak pembangkang. Semua ahli politik dibentuk untuk mendapatkan kuasa. Apa sahaja perkara yang boleh membawa mereka untuk mendapatkan kuasa, mereka akan mula beranjak ke sana. 

Cakap-cakap ahli politik usahlah kita terima serba-serbi. Apa yang mereka kata pada hari ini, tidak mustahil untuk beranjak pada lain hari. Seorang ahli politik boleh memberi kawannya (dalam politik) setinggi-tinggi pujian. Kemudian sepuluh tahun akan datang mungkin beranjak dengan mengungkapkan sebanyak-banyaknya cacian. Semuanya berubah apabila kawannya tidak mahu memberi apa yang dia mahukan. 

Musuh dan kawan dalam politik bukanlah suatu ketetapan. Musuh dan kawan dalam politik juga boleh dianjakkan. Jika hari ini mereka adalah kawan, tidak mustahil sepuluh tahun akan datang mereka akan bermusuhan. Setelah mereka menjadi musuh beberapa lama, mereka boleh sahaja beranjak menjadi kawan semula. 

Mana-mana penyokong parti politik (atau tokoh politik) yang sanggup berkelahi kerana ingin memenangkan parti sendiri, adalah sesuatu yang sangat rugi. Jika mereka memahami Hukum Anjakan Makna, mereka pasti tidak akan bergaduh sehingga luka dan cedera. Hal ini kerana, tidak mustahil untuk parti politik (atau tokoh politik) yang mereka sanjungi itu untuk beranjak arah perjuangannya. Jika hari ini seorang ahli politik itu benci kepada parti yang mengamalkan rasuah, sepuluh tahun akan datang mungkin dia akan beranjak untuk masuk ke parti yang dia pernah kata mengamalkan rasuah. Tidak ada seorang pun ahli politik yang bebas daripada beranjak sampai ke sudah. 

Prinsip yang dipegang oleh ahli politik boleh sahaja dianjakkan. Jika prinsip itu boleh menyebabkan kekalahan, prinsip itu pasti akan mereka gadaikan. Dan mereka akan beranjak kepada prinsip yang baru yang mampu untuk membawa kemenangan. Tetapi prinsip itu tidak lari daripada mendapatkan kekuasaan. 

Semua ahli politik akan berkata bahawa kesusahan rakyat mereka akan perjuangkan. Perkataan ‘rakyat’ telah dianjakkan maknanya sebagai suatu umpan yang terkandung emosi untuk mendapatkan sokongan. Jika retorik politik itu kita fahami, pasti kita tidak akan mudah terpedaya sama sekali. 

Politik adalah cabang sains sosial yang cukup sukar dijangka. Meskipun banyak ramalan, kajian, atau analisis dilakukan di mana-mana, dan kita telah mendapat sekian sekian hasilnya, tetapi keadaan sebenar yang berlaku boleh sahaja berbeza. Hal ini kerana, politik itu tidak lurus atau bengkang-bengkok sifatnya.

Seorang ahli politik biasanya berpegang kepada dua kaedah. Pertama, mesti sanggup hilang maruah dan kedua, mesti sanggup menjilat ludah! 

Ahli politik yang kita tidak suka begitu ramai sekali. Mereka sebenarnya sudah tidak layak untuk memegang apa-apa jawatan lagi. Semuanya gara-gara pelbagai skandal atau masalah yang membelengu diri. Tetapi mereka masih boleh lagi bercakap, berkempen, tersenyum, dan berjalan ke sana dan ke sini. Inilah ahli politik yang sudah tidak ada maruah lagi.

Seorang ahli politik bebas mengeluarkan sebarang kenyataan. Misalnya, dia boleh sahaja menuduh musuh politiknya mengamalkan politik perkauman, tetapi apabila musuh politiknya memberikannya bantuan ketika dia kesusahan, maka dia lantas beranjak dengan mengatakan musuh politiknya itu memperjuangkan kesamarataan. Menjilat semula ludah dalam politik bukanlah sesuatu yang menjijikkan. 

Ketaksuban dalam politik tidak perlu sebenarnya. Begitu juga jika kita mengangkat seseorang tokoh politik itu seolah-olah dia tidak ada cacat cela. Jika ketaksuban dalam politik itu berlaku dengan sebanyaknya, maka kebenaran pasti akan tidak terlihat oleh mata. 
Politik berasaskan personaliti perlu dijauhi. Politik berasaskan idea hendaklah dihampiri. Setiap ahli politik berupaya melakukan kesilapan. Justeru, mereka perlu dibebaskan dalam ruang kritikan. Apabila sesuatu kritikan kepada mereka dilemparkan, janganlah ahli politik (atau penyokong ahli politik) itu menghidupkan api kemarahan. Menjawab semula dengan hujah balas adalah diperlukan. Serangan terhadap peribadi, kaum, dan agama perlu segera dihentikan. 

Sebagai seorang yang suka membaca, saya tidak memilih artikel-artikel politik pada satu pihak sahaja. Artikel yang ditulis oleh penulis pro kerajaan, penulis pro pembangkang, dan penulis ‘atas pagar’ saya akan baca semuanya. Hal ini kerana, saya tidak taksub untuk berdiri di sebelah mana-mana. Maka, segala maklumat dalam penulisan daripada tiga aliran pemikiran itu saya boleh nikmati dengan sebanyaknya. Justeru, kebenaran yang cuba dipaparkan oleh kesemua pihak itu saya boleh nilai sebaiknya. 

Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, membaca artikel-artikel berunsur politik semakin saya jauhi. Saya sudah muak dengan keadaan politik pada masa kini. Sekarang saya lebih tumpukan kepada membaca artikel-artikel tentang sastera, bahasa, budaya, dan seni. Tetapi perkembangan politik semasa masih lagi saya tekuni. 

Undi siapa dan parti apa dalam pilihan raya, itu sudah jatuh ke soal yang nombor dua. Yang penting ketaksuban itu hendaklah kita elakkan dengan segera. Yang perlu kita pegang adalah kebenaran semata-mata. Kebenaran itu mestilah berpaksikan untuk melihat negara berada dalam keadaan selamat sentiasa. Jika kita sudah mempunyai pemikiran tertentu terhadap sesuatu perkara, pasti kebenaran kita tidak mampu lihat dengan sempurna. 

Buat teman-teman yang berminat untuk terlibat dalam politik kepartian, artikel ini hendaklah dihadamkan. Tidak salah untuk menyertai politik kepartian jika itu sahaja cara untuk menikmati jalan perjuangan. Tetapi janganlah sampai sanggup menggadaikan keamanan negara. Mengekalkan keamanan negara adalah tanggungjawab kita bersama. Jika orang bertanya kepada saya, saya berdiri di sebelah mana, saya akan menjawab yang saya suka melangkah ke sini dan ke sana!

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.