Isnin, 15 Jun 2015

JADILAH PROFESSIONAL YANG BERFIKIRAN ISLAM




Kemenangan kumpulan pro ulamak dalam menewaskan golongan professional di dalam pimpinan tertinggi PAS yang berlangsung baru baru ini telah mengejutkan ramai orang dan pemerhati politik. Saya juga turut terkejut dengan kemenangan tersebut. Ramai berpendapat ada ‘udang di sebalik batu’ telah berlaku di dalam pemilihan PAS kali ini sehingga hanya satu kumpulan sahaja yang mendominasi pimpinan tertinggi PAS – dari Presiden hinggalah ke Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat.

Saya tidak mahu mengulas berkenaan ‘udang di sebalik batu’ yang dikatakan telah mencacatkan pemilihan kali ini. Saya juga tidak mahu mengulas akan kemenangan besar yang diperolehi kumpulan pro ulamak. Namun saya suka untuk mengulas akan kekalahan yang berlaku kepada kumpulan professional atau kumpulan pro liberal.

Pada hemat saya, kekalahan kumpulan professional dalam pemilihan kali ini bukanlah kerana kumpulan pro ulamak menolak kehadiran kumpulan professional itu. Bukan juga kerana kumpulan ulamak mahu membolot kuasa dan rakus untuk menguasai PAS. Kumpulan ulamak pasti sedar akan kepentingan kumpulan professional yang ada dalam PAS itu. Besar sekali jasa kumpulan professional dalam PAS. PAS diterima oleh semua golongan pada hari ini kerana wujudnya kumpulan professional itu di dalam PAS.  
   

Sebagai sebuah gerakan politik, PAS sudah pasti mahu menang pilihan raya sekaligus mentadbir Malaysia. Mentadbir sebuah negara tidak boleh hanya menggunakan ilmu agama semata mata. Ilmu ekonomi, ilmu pengurusan, ilmu kewangan dan segala macam ilmu juga mesti dikuasai oleh pemimpin pemimpin PAS supaya pentadbiran dapat berjalan dengan lancar dan teratur. Ilmu ilmu itu saya yakin tidak semua kumpulan pro ulamak menguasainya. Oleh itu, kumpulan pro ulamak memerlukan kumpulan professional dalam PAS untuk membantu mereka mentadbir negara ini.

Saya dapati kekalahan kumpulan professional itu bukanlah kerana mereka professional. Mereka kalah kerana mereka terlalu liberal, mengutamakan politik daripada agama, kerap membelakangkan parti dalam membuat keputusan dan kenyataan serta terlalu menyokong DAP, PKR dan Anwar Ibrahim. Mereka juga  kadang kala bertindak lebih Kristian daripada Kristian sendiri!

Penentangan DAP dalam isu Hudud tidak pula dibantah keras oleh kumpulan professional yang ada dalam PAS. Mereka memutuskan hubungan silaturrahim dengan UMNO tetapi bersetongkol dengan DAP yang jelas bencikan Hudud. Mereka langsung tidak cuba mempertahankan parti dan ahli parti yang diserang oleh DAP. Mereka terus mempertahankan tindakan DAP yang menentang Hudud itu dengan mengeluarkan hujah hujah yang dangkal. Oleh itu, mereka tidak mendapat kepercayaan daripada perwakilan untuk terus memimpin PAS kerana roh mereka adalah roh DAP tetapi duduk dalam jasad PAS.

Golongan professional dilihat tidak menghayati perjuangan PAS sepenuhnya. Mereka meletakkan politik di atas sehingga membelakangkan Islam yang menjadi teras perjuangan PAS selama ini. Islam dan PAS terus rugi kerana masih mengekalkan golongan professional yang berfikiran liberal ini di dalam pimpinan parti itu. Perwakilan terpaksa mengambil mudarat yang lebih kecil dengan menyingkirkan golongan professional dalam pimpinan parti itu daripada mengambil mudarat yang lebih besar seperti Islam dihancurkan oleh musuh musuh Islam.

Jika kumpulan professional ini benar benar menghayati Islam dan perjuangan PAS, serta meletakkan kepentingan Islam melebihi kepentingan politik kepartian, saya yakin mereka akan mendominasi kerusi dalam pimpinan tertinggi PAS. Tetapi sayang seribu kali sayang, perkara ini tidak berlaku.

Pertembungan antara kumpulan ulamak dan kumpulan professional bukanlah atas dasar politik semata mata tetapi atas dasar menjaga kepentingan Islam sama. Saya kira tindakan perwakilan yang ‘menendang’ kumpulan professional dari pimpinan tertinggi PAS adalah satu tindakan yang wajar untuk menjaga kedaulatan Islam itu sendiri.  

Kesimpulannya, Islam perlu didahulukan dalam apa juga percaturan politik yang dibuat. Kepentingan politik tidak boleh mengatasi kepentingan Islam. Islam mesti kekal terpelihara kerana itu adalah amanah Allah buat kita. Sebagai orang Islam, wajarlah kita membuang mana mana pemimpin yang boleh merosakkan Islam supaya Islam akan kekal terpelihara sampai bila bila.  


2 ulasan:

  1. jujur saya katakan.. pas akan jatuh lepas ni.. pas ni sebelum ni sebab golongan profesional. Misi dan objective nampak realistik. bukan saya tak sokong ulamak. tapi setiap apa yg kita buat perlu la seiring dan balance. kita perlukan ulamak untuk memastikan misi negara islam tercapai, at the same time kita perlu geng yg profesional untk memastikan misi negara islam dan maju tercapai.. kalau negara islam tp mundur pun tak boleh juga....

    BalasPadam
  2. kdg golongan professional ni terlalu liberal...byk cth yg ktia boleh lihat....tak selari dengan perjuangan sebenar...tp xsemua gol professional ni mcm tu...

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.