Sumber : Google |
Tidak putus putus serangan yang
dilakukan oleh Dr. Mahathir kepada Najib sejak belakangan ini. Pelbagai cara yang
dilakukan oleh negarawan ulung itu untuk menjatuhkan Najib dari kerusi Perdana
Menteri. Dari dunia blog sehinggalah menjelajah ke seluruh negara – untuk
meraih sokongan supaya Najib mudah dijatuhkan. Apa yang dilakukan oleh beliau
pada Najib itu samalah seperti yang pernah beliau lakukan kepada Tun Abdullah
Ahmad Badawi dahulu. Tetapi, nasib Tun Abdullah tidak sebaik nasib Najib. Tun
Abdullah berjaya dijatuhkan kerana tidak ramai ahli UMNO menyokong beliau
seperti mana yang diperoleh oleh Najib pada hari ini. Najib masih berkuasa
kerana ahli UMNO dan pemimpin pemimpin lainnya masih menyatakan sokongan kepada
beliau.
Pelbagai persepsi sama ada baik atau
buruk berkenaan serangan Mahathir itu. Segolongan anggota masyarakat menyatakan
sokongan akan serangan Mahathir itu namun segolongan anggota masyarakat lainnya
menentang serangan tersebut. Tindakan Mahathir itu mendapat perhatian ramai
orang dan dibahaskan di setiap peringkat. Ramai masih berteka teki adakah
serangan Mahathir itu masih relevan dan jatuhkah Najib dengan serangan mentor
politiknya itu?
Serangan Mahathir berkenaan isu 1MDB,
Altantuya, GST, BR1M dan sebagainya telah menyentak Najib dan UMNO dari tidur
yang lena dan berpanjangan. Serangan yang dilakukan oleh Mahathir itu bukan
sahaja boleh menggerhanakan politik Najib namun politik dan survival UMNO juga.
Jika Najib masih mengambil sikap play safe seperti sekarang, saya
khuatir UMNO akan menerima padah pada PRU akan datang.
Muncul pelbagai persepsi, fitnah, dan
cerita yang bersangkut paut dengan serangan Mahathir ke atas Najib itu. Segala
rahsia dan pekung yang selama ini tersimpan rapi mula diketahui oleh rakyat jelata
seterusnya dibahaskan dan diperdebatkan di semua peringkat. Sedikit sebanyak
segala isu yang berlaku ini akan memberi kesan kepada politik UMNO pada masa
akan datang.
Bagi segolongan anggota masyarakat yang tidak
bersetuju dengan serangan Mahathir itu, maka keluarlah cerita cerita buruk
Mahathir sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Skandal BNM, Perwaja Steel, Memali, MBF, isu moral pemimpin pemimpin
UMNO dan pelbagai isu lagi kembali berkumandang dalam politik negara apabila
Mahathir membuat serangan mengejut ke atas Najib. Segala isu isu yang timbul
itu telah membangkitkan pelbagai persepsi ke atas bekas pemimpin ulung itu.
Dengan lambakan isu isu tersebut,
secara automatik anggota masyarakat berpendapat Mahathir pun bukanlah terlalu
baik untuk membongkar segala keburukkan Najib. Cara Mahathir menjatuhkan Najib
itu seolah olah memberi gambaran bahawa beliau tidak pernah membuat kesalahan
sepanjang menjadi Perdana Menteri. Beliau mengkritik Najib seolah olah beliau
sahajalah pemimpin terbaik yang boleh memimpin Malaysia selama lamanya.
Semua orang tahu akan segala skandal
yang berlaku di zaman Mahathir itu cuma mereka tidak punya bukti kukuh untuk
mendedahkannya. Jika ada maklumat yang baik berkenaan segala skandal skandal
itu, tidak mustahil Mahathir boleh tersingkir sebagai Perdana Menteri dahulu.
Mahathir beruntung kerana beliau tidak memimpin negara dengan segala
kecanggihkan teknologi maklumat seperti sekarang. Jika beliau memimpin negara
pada waktu sebegini, mungkin nasib beliau lebih teruk dari Najib.
Mahathir beruntung kerana segala
skandal yang berlaku di zamannya berjaya ditutup dengan sempurna oleh beliau.
Itu pun kerana pada waktu itu tidak ada lagi blog, Facebook, Twitter dan segala macam
media sosial pada hari ini. Jika ada, nescaya jangka hayat politik Mahathir mungkin
lebih pendek dari Pak Lah!
Walaubagaimanapun, saya tetap
bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Mahathir itu. Jika Najib tidak
diturunkan dari singgahsana kuasa, UMNO akan mengalami nasib yang buruk pada
masa akan datang. Tambahan pula, sampai bila kita mahu negara ini ‘dilanyak’
oleh pemimpin pemimpin yang rakus dan tamak? Negara ini akan musnah jika
pemimpin semacam itu terus memerintah negara ini. Oleh itu, saya memandang positif tindakan
Mahathir itu. Saya ketepikan dahulu nilai nilai negatif yang muncul dari
serangan Mahathir tersebut.
Akhir kata, Mahathir pun bukannya
terlalu baik untuk mendedahkan segala keburukkan Najib. Jika Najib ‘gila’,
mungkin Najib boleh mendedahkan pula keburukkan Mahathir dahulu. Jika itu
berlaku, apa akan jadi kepada Mahathir dan Najib? Sama samalah kita saksikan
‘permainan’ dan ‘wayang’ yang dimainkan oleh pemimpin dan bekas pemimpin itu.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.