Sumber : Google |
Saya berbangga kerana sudah ramai
anak Melayu yang kaya raya dan menjadi jutawan pada hari ini. Jika dahulu di
sekitar tahun 60an, 70an, dan awal 80an, begitu sukar sekali mahu mencari orang
Melayu yang kaya raya. Jika ada pun terdiri daripada golongan bangsawan dan
golongan diraja sahaja. Selebihnya, orang Melayu dihempap kemiskinan
sehinggalah Tun Dr. Mahathir menerajui negara ini. Di ketika itu, barulah
muncul ramai jutawan jutawan dari kalangan orang Melayu.
Sungguhpun begitu, apabila terlalu
ramai orang Melayu yang kaya raya, mereka merasakan mereka telah mempunyai
kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Gaya hidup mereka juga mula berubah.
Siapa yang masih mengekalkan cara hidup Melayu/Islam itu haruslah dipuji tetapi
bagaimana pula yang mengikut cara hidup orang orang Barat? Arak dan parti liar
mula menjadi santapan harian?
Oleh kerana ramai orang Melayu yang
kaya raya pada hari ini dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat,
mereka mula memandang rendah kepada orang di bawah mereka. Mereka memandang
tukang sapu, tukang cuci, promoter pusat membeli belah itu tidak lebih
daripada manusia yang tidak sekolah! Mereka memandang hina kepada golongan
marhaen ini. Mereka merasakan mereka lebih mulia daripada orang orang yang
tidak berharta seperti mereka itu.
Oleh sebab itulah mereka berkelakuan
sombong apabila berhadapan dengan orang orang yang berpendapatan rendah ini.
Mereka merasakan mereka boleh melakukan apa sahaja kepada orang orang miskin
ini atas alasan mereka adalah orang kaya. Mereka punya harta, pangkat dan
kuasa. Mereka bercakap kasar dan langsung tidak mahu menghormati orang orang
yang tidak setaraf dengan mereka itu.
Memang pahit mahu mengakui bahawa
inilah realiti yang terjadi kepada orang orang kaya Melayu pada hari ini. Mereka
diuji oleh Allah dengan sedikit kekayaan namun mereka menyombong dengan banyak
sekali. Bercakap dengan orang yang tidak setaraf dengan mereka tidak pernah
dengan bahasa yang baik kerana kesombongan yang telah menguasai diri. Jika
bercakap pasti dengan nada kasar campur bongkak.
Mereka cuba menunjukkan kekayaan
mereka dengan cara bercakap mengikut ‘sedap mulut’ mereka ketika berkomunikasi
dengan rakyat marhaen. Mereka mempamerkan sikap mereka sebagai orang kaya
dengan memperlekehkan orang di bawah mereka. Mereka langsung tidak mahu
menghormati perasaan orang di bawah mereka. Kata kata mereka kebanyakkannya
menyakitkan hati dan menimbulkan perasaan benci di hati orang orang di bawah
mereka itu. Mereka melayan orang di bawah mereka seperti seorang hamba abdi
atau orang gaji mereka sahaja.
Kebanyakkan daripada orang orang kaya
ini lupa bahawa harta itu semua hak Allah. Allah mahu menguji mereka dengan
harta kekayaan itu supaya mereka dapat menambahkan lagi keimanan kepada Allah.
Tetapi mereka tidak melakukan itu semua. Mereka masih lagi mempamerkan sikap
sombong walaupun tidak pernah tinggal solat. Apa guna solat jika sombong di
muka bumi Allah?
Sepatutnya orang yang diuji dengan
harta kekayaan oleh Allah ini sedar yang mereka tidak wajar mempamerkan sikap
sombong itu. Mungkin mereka tidak sedar kerana pada anggapan mereka, apa yang
mereka lakukan selama ini betul. Ini kerana tidak ada manusia yang menegur
sikap mereka. Jika ditegur pun mereka tidak mahu terima kerana kesombongan yang
telah menguasai diri sejak sekian lama.
Orang orang yang diuji dengan
kekayaan yang melimpah ruah oleh Allah ini wajar dan patut merendah diri bak
resmi padi, makin berisi makin menunduk. Mereka tidak boleh sesekali bermegah
megah dengan kekayaan yang dimiliki oleh mereka. Jika Allah tarik semula
kekayaan tersebut, nescaya menyesallah mereka seumur hidup.
Kesimpulannya, jangan sesekali
bersikap sombong dengan sesiapa pun walaupun orang itu seorang tukang cuci
tandas sekalipun. Bercakaplah dengan bahasa yang baik dan hormatilah orang
orang yang tidak setaraf dengan kita. Jika kita menghormati orang lain nescaya
orang lain pun akan menghormati kita juga. Gunakanlah kekayaan itu dengan
menginfakkannya ke jalan yang diredhai oleh Allah dan bukannya untuk bermegah
megah!
Benar sekali. Bukan semuanya sombong tapi majoritinya lupa diri.
BalasPadamPengalaman sy sndiri...yg tak bape nak kaya sgt lg sombong dan menghina org lain berbanding yg betul2 kaya..sedihh huhuhuhu
BalasPadam