Rabu, 24 Jun 2015

PENULIS NOVEL PERLU KELUAR DARI KEPOMPONG CERITA CINTA

Sumber : Google

Melihat kepada gaya penulisan novel pada hari ini, di samping melihat kepada gaya pembacaan rakyat Malaysia, kesimpulan yang dapat dibuat adalah rakyat Malaysia memang suka membaca novel novel cinta. Penulis penulis novel pun kebanyakkannya gemar menulis cerita cinta dalam novel novel mereka. Jika dilihat kepada senarai novel novel popular, semuanya didominasi oleh novel novel cinta. Jika dilihat kepada novel novel yang dipaparkan di rak rak buku hampir di kesemua kedai buku yang ada di Malaysia ini, novel novel cinta memang banyak dipamerkan. Jelas novel cinta mendapat permintaan tertinggi daripada khalayak pembaca.

Walaupun ada juga novel novel thriller terbitan Amir Muhammad melalui syarikat penerbitan Fixi-nya, dan novel novel thriller yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid melalui Alaf 21 Sdn Bhd, yang juga mendapat tempat di hati pembaca novel tempatan, namun novel novel thriller masih tidak dapat menandingi kehangatan dan kehebatan novel novel cinta. Walaubagaimanapun, saya masih boleh angkat topi dengan keadaan itu. Sekurang kurangnya, ada juga orang yang berminat menerbitkan novel novel thriller secara konsisten, ada juga penulis yang keluar dari kepompong cerita cerita cinta dan selera pembacaan rakyat Malaysia turut berubah sama. Dari suka membaca novel novel cinta menukar selera membaca novel novel thriller.

Pasaran novel novel cinta sangat luas. Tidak hairanlah ramai penulis novel novel cinta popular boleh hidup senang dengan hasil menulis novel sahaja. Novel novel mereka bukan sahaja laris bak pisang goreng panas malah jika bernasib baik, diadaptasi menjadi drama atau filem pula. Untung sungguh menjadi penulis novel novel cinta. Maka ramailah penulis novel novel cinta popular menjadi terkemuka seperti Suri Ryana, Ahadiat Akashah, Damya Hana, Anis Ayuni, Norhayati Berahim dan ramai lagi.

Semasa saya menuntut di sekolah menengah pun, saya sudah banyak membaca novel novel cinta. Kebanyakkan jalan ceritanya hampir sama -  kahwin paksa, cinta terhalang oleh orang tua, cinta terhalang kerana cemburu, kahwin kerana harta, kahwin kontrak, kahwin atas desakan orang tua, hero yang kacak, ‘sado’, kaya, heroin yang cantik, beriman, bijak, lemah, dan lurus – semua ini adalah perkara biasa yang kita temui dalam penulisan novel novel cinta itu. Tidak ada kejutan yang boleh kita temui dalam penulisan novel novel cinta di negara ini.

Sejak saya menuntut di kolej, setepatnya apabila saya mula membaca buku buku politik, minat membaca saya terhadap novel novel cinta sedikit demi sedikit beransur hilang. Saya mula menumpukan kepada novel novel yang membawa tema yang lebih berat, novel novel thriller, buku buku sejarah, buku buku biografi, himpunan artikel dan buku buku yang bersifat ilmiah. Novel cinta saya baca juga cuma yang terpilih sahaja.  

Novel novel cinta bukanlah tidak bagus untuk dihasilkan cuma kita perlu mengurangkannya. Sampai bila kita perlu membaca bahan bacaan yang bersifat fantasi, imaginasi dan tidak berpijak pada realiti sebegitu? Para pembaca perlu menukar ‘kiblat’ pembacaan mereka dengan membaca novel novel yang boleh memberi manfaat kepada nilai nilai intelektual seseorang. Juga novel novel yang boleh membuat kita berfikir dan novel novel yang boleh memberi kita maklumat tambahan seperti novel Imam karya SN Abdullah Hussein .   

Saya tidak menolak bahawa ada juga diantara novel novel cinta yang berlambak di pasaran itu ada juga nilai nilai intelektual, ilmu, maklumat tambahan dan pemikiran tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Kebanyakkan novel novel cinta yang dihasilkan oleh penulis penulis tempatan telah menyebabkan pembaca berada dalam khayalan dunia cinta yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Pembaca tidak berfikir apabila membaca novel novel sebegitu tetapi lebih banyak berkhayal dan berfantasi.

Itu tidak termasuk lagi penulis penulis novel cinta yang memasukkan unsur unsur lucah, mencarut, dan seks dalam penulisan novel novel mereka. Novel novel sebegini bukan sahaja tidak memberi nilai nilai intelektual kepada pembaca malah merosakkan pemikiran pembaca pula.

Penulis penulis novel perlu berani untuk keluar dari kepompong cerita cerita cinta yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Penulis penulis novel juga perlu keluar dari tema cerita cinta yang cliché seperti kahwin paksa, kahwin kontrak, mengandung sebelum nikah, ditangkap basah dan sebagainya. Penulis penulis novel tempatan perlu menghasilkan novel novel yang membuatkan pembaca berfikir seperti novel Imam karya SN Abdullah Hussein atau setidak-tidaknya menghasilkan novel novel yang mengangkat kehidupan masyarakat lainnya seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan karya SN Shahnon Ahmad dan Salina karya SN A. Samad Said.

Oleh kerana terlalu banyak novel novel cinta yang dihasilkan dengan mengangkat tema kahwin paksa, saya sendiri pun – sebagai penulis novel atas talian (online) terikut ikut tema tersebut dalam dua novel awal saya iaitu Mencari Makna Cinta dan Aku, Dia, Blog dan Madu. Jika saya didedahkan dengan novel novel yang bergenre thriller, kemasyarakatan, keislaman dan sebagainya sejak dari awal lagi, mungkin saya tidak menghasilkan dua buah novel online yang entah bila mahu tamat itu.

Pembaca novel tempatan perlu menukar selera pembacaan mereka dengan membaca karya karya yang boleh memberi nilai nilai intelektual dan mencabar daya keilmuan masing masing. Penulis penulis novel tempatan pun perlu keluar dari kepompong cerita cerita cinta dan cuba untuk menghasilkan karya karya yang bagus sebegitu. Semoga sastera Melayu ini akan didaulatkan dan ditempatkan di tempat yang tertinggi oleh anak bangsanya sendiri.    



5 ulasan:

  1. Assalamualaikum Hai,Bonde blogwalking kat sini.

    Exchange Feed Group ada menganjurkan http://kumahuitu.blogspot.com/2015/06/giveaway-efg-mega-raya-2015-rm3100.html

    GIVEAWAY MEGA RAYA Dengan hadiah bernilai RM 3100.00 ,
    Jemput join tau. Boleh buat duit raya. Terima Kasih.

    BalasPadam
  2. Banyak yang menulis kisah cinta mungkin kerana pengalaman dan ianya mudah untuk dikembangkan.

    BalasPadam
  3. sy teringat dulu2 sy pernah baca novel yg berkisarkan kehidupan anak yatim piatu...masih kecil dan hidup sebagai gelandangan....mengutip lebihan daging yg dibuang di pasar untuk meneruskan kelangsungan hidup....sy suka novel yg mcm ni...mengajar erti hidup sebenar....

    BalasPadam
  4. Sebab kisah cinta paling mudah nak ditulis agaknya. Lagipun para suri rumah sangat suka cerita yang sedih2 ni..;)

    BalasPadam
  5. betul betul, penulis novel kena keluar dr kepompong.. jgn buat novel syok sendiri je.. banyak novel yg cerita seakan akan sama.. pastu cerita x kuat mana.. dijadikan drama...

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.