Sumber : Google |
Seakan – akan menjadi satu fenomena
pula pada masa kini drama drama dan filem filem tempatan diadaptasi daripada
novel novel popular untuk tatapan rakyat Malaysia. Playboy Itu Suami Aku,
M.A.I.D, Bercakap Dengan Jin, Pilot Café, Ombak Rindu, Suami Aku Encik Sotong,
Suami Aku Ustaz dan sebagainya adalah antara novel novel popular yang diangkat
ke layar televisyen dan layar perak bagi memenuhi selera penonton pada waktu
ini.
Ada pelbagai pandangan sama ada baik
atau buruk dengan pemilihan novel novel popular untuk dijadikan sebuah drama
atau filem. Pokok pangkalnya, drama drama atau filem filem yang diadaptasi dari
novel novel popular ini mampu untuk menjanjikan pulangan yang lumayan kepada
penerbit, pengarah dan pelakon. Filem filem atau drama drama yang diadaptasi
dari novel novel popular ini mudah mendapat sambutan penonton pada masa kini.
Penonton yang pernah membaca novel
novel popular ini sudah pasti mahu melihat apa yang telah mereka baca itu
dipaparkan dalam bentuk visual walaupun mereka sudah pun tahu akan jalan cerita
dan pengakhiran cerita tersebut. Tetapi, oleh kerana selama ini mereka hanya
membayangkan watak watak yang ada di dalam novel novel melalui imaginasi mereka
sahaja, kini mereka boleh melihatnya sendiri di depan mata di dalam bentuk
visual yang dipaparkan di televisyen atau layar skrin. Tetapi tidak semua yang
mereka bayangkan itu seratus peratus muncul di dalam filem atau drama tersebut.
Penerbit dan pengarah juga tahu akan
selera penonton yang mahu memastikan adakah watak dan perwatakkan yang
dipaparkan di televisyen atau di layar skrin itu menepati seperti watak yang
mereka gambarkan melalui pembacaan mereka dalam novel novel popular itu. Oleh
sebab itu, penerbit dan pengarah akan memilihi pelakon yang kacak dan cantik
serta berbakat untuk membintangi drama atau filem mereka bagi memenuhi kehendak
penonton itu kerana di dalam kebanyakkan novel, terutama novel cinta, watak
utama lelakinya pastilah seorang yang kacak, ‘sado’, dan kaya manakala watak utama
wanitanya pula digambarkan sebagai cantik, ayu, dan lemah lembut.
Dalam keghairahan pengarah dan
penerbit memilih novel novel popular yang ditulis oleh penulis penulis baru dan
mapan untuk diangkat sebagai sebuah drama atau filem, mereka seakan akan
terlupa dengan novel novel yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara dan Pejuang
Bahasa. Jika novel novel yang dihasilkan oleh penulis penulis baru dan mapan
ini boleh dijadikan sebuah drama atau sebuah filem, masakan novel novel
Sasterawan Negara tidak boleh?
Ingat, novel novel Sasterawan Negara
lebih besar erti dan mutunya untuk pembangunan bangsa dan negara. Novel mereka
memberi sumbangan yang besar dalam mengangkat kehidupan masyarakat yang
tertindas suatu ketika dahulu. Mereka mengungkapkan kehidupan sebenar
masyarakat dalam novel novel mereka supaya pembaca sedar akan penderitaan yang
ditanggung oleh sesetengah anggota masyarakat di tempat lainnya.
Novel novel Sasterawan Negara seperti
Salina karya A. Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Orang
Kota Bharu karya S. Othman Kelantan, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman karya
Anwar Ridhwan, Imam karya Abdullah Hussein telah memberi sumbangan besar dalam
mengangkat kehidupan realiti masyarakat negara ini. Tidak hairanlah novel ini
diangkat sebagai sebuah karya besar, diiktiraf di peringkat antarabangsa,
diterjemah dalam pelbagai bahasa, dan penulisnya diberi anugerah Sasterawan
Negara! Jika hendak dibandingkan antara novel novel yang ditulis oleh
Sasterawan Negara dengan novel novel yang ditulis oleh penulis penulis masa
kini bezanya umpama langit dengan bumi.
Penulis penulis masa kini hanya
berani menulis novel novel cinta yang sarat dengan cinta muda mudi, imaginasi
melampau, kadang kala tidak berpijak pada realiti dan lebih parah lagi
memaparkan aksi aksi seks atau menggunakan perkataan lucah serta mencarut dalam
karya mereka. Berbeza sekali dengan karya Sasterawan Negara yang kaya dengan
pengajaran, falsafah, pemikiran, realiti, ilmu, dan sumbangan. Sebagai contoh
adalah novel Ranjau Sepanjang Jalan yang ditulis oleh Shahnon Ahmad yang
memaparkan kisah hidup kaum petani di era 50an yang miskin, menderita dan
menyedihkan. Jika kita bukan seorang petani, tetapi mahu mengetahui kisah hidup
petani zaman dahulu, novel ini wajarlah dibaca.
Jelas jika diukur dari sudut yang
betul, karya karya Sasterawan Negara lebih sesuai diangkat sebagai drama atau
filem berbanding dengan karya karya penulis baru dan kadang kala dianggap
picisan!
Saya yakin pasti akan ada pengarah
dan penerbit yang akan mempertikai tentang sambutan penonton jika novel novel
Sasterawan Negara ini dijadikan drama atau filem. Mereka khuatir penonton tidak
mahu menonton drama drama atau filem filem yang diadaptasi dari novel novel
Sasterawan Negara itu. Pada hemat saya, jika
drama drama atau filem filem Sasterawan Negara itu tidak mendapat sambutan
menggalakkan dari khalayak penonton, maka yang salah bukan novel itu tetapi
pengarah, pelakon dan penerbit kepada drama atau filem tersebut. Karya yang
bagus pasti akan menelurkan drama atau filem yang bagus. Tetapi jika karya yang
bagus, berada pada tangan penerbit, pengarah, dan pelakon yang tidak bagus,
maka drama atau filem itu pun akan jadi tidak bagus juga.
Pendek kata, jika filem atau drama
yang diangkat dari novel Sasterawan Negara itu gagal menarik perhatian penonton
untuk menontonnya, maka pelakon, pengarah dan penerbit kepada drama dan filem
itu telah membuat kesilapan dan tidak kreatif sehingga gagal memberi tarikan
kepada penonton untuk menonton drama atau filem yang diadaptasi dari karya yang
diiktiraf di peringkat antarabangsa!
Sebagai penutup, jika karya picisan
yang mengarut, mencarut dan lucah pun boleh dijadikan sebuah filem, masakan
sebuah karya yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat, agama, bangsa dan
tanah air tidak boleh dilakukan dengan perkara yang sama. Jadi, nasihat saya,
wajarlah penerbit dan pengarah di negara ini mengangkat novel novel yang
ditulis oleh Sasterawan Negara untuk tatapan generasi baru pada masa kini.
Karya karya Sasterawan Negara ini juga wajar dipopularkan.
seolah-olah kita menjad takut dengan ungkapan sastera
BalasPadamapa yang dianggap sastera, karya sastera, tulisan sasterawan, termasuk sasterawan negara
dibiarkan. malah novel-novel yang diangkat ke filem atau drama tv dianggap novel popular dan bukan karya sastera?
sastera semakin tidak bertempat kerana ianya sastera
dan ditambah pula sastera melayu
semakin dilupakan
Novel sasterawan negara terlalu berat bagi generasi sekarang. Zaman teknologi canggih ni semua orang nak paparan seringkas mungkin tanpa perlu berfikir. Kalau boleh nak romen lebih, kalau tak ramai yang tak minat nak tonton..
BalasPadamSy teringin nk bacs @ tonton citer yg berkisar realiti hidup masyarakat kita....kisah hidup sy pun menarik jugak..eh tetiba hahaha
BalasPadamZumal pun rasa karya sasterawan negara tu berat, mungkin sukar nak cari pengarah yang boleh mendalami karya tu agaknya...
BalasPadamzaman sekarang semua nak cinta2 bagai
BalasPadamPerbincangan yang menarik dan membuka mata :)
BalasPadam