Ahad, 2 Julai 2017

ANJAKAN MAKNA DALAM PERCAKAPAN SEHARIAN KITA


Image result for bahasa
Sumber : Google


Saya teringat kata-kata pensyarah Semantik (disiplin ilmu yang mengkaji makna dalam bahasa) saya, Dr Rozaimah Rashidin : (jika saya tidak salah) setiap apa yang terjadi di dalam dunia, pasti ada makna. Menurut Datuk Rahman Shaari (seorang tokoh sastera yang terkemuka), setiap makna yang terdapat di dalam dunia pasti akan beranjak sentiasa. Tidak hairanlah beliau merupakan tokoh yang memperkenalkan Teori Anjakan Makna (atau dalam bahasa Inggeris disebut Meaning Shift Teory) di Malaysia. 
 
Makna yang beranjak itu (menurut Rahman Shaari) tidak hanya berlaku di sekitar sastera dan bahasa sahaja. Tetapi ia turut berlaku di seputar kehidupan seharian kita seperti politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam esei ini, memadailah jika saya hanya fokuskan anjakan makna itu dalam bahasa sahaja. 

Esei mengenai anjakan makna ini bukanlah mencakupi segala-galanya. Esei ini mungkin (ulang : mungkin) boleh menjadi pencetus kepada kajian yang lebih meluas lagi mengenai anjakan makna amnya dan bidang ilmu Semantik khasnya oleh para pengkaji dan sarjana bahasa. Apa yang sedang saya utarakan ini boleh dibincang secara lebih akademik, kritis, dan terperinci lagi sifatnya. Esei ini juga boleh dibahas dalam wacana yang lebih luas lagi cakupannya.

Ramai yang bukan dalam kalangan orang bahasa bertanya kepada saya, mengapa perkataan ‘pisang’, ‘kacang’, dan ‘payung’ boleh dianggap sebagai ‘bosan’, ‘senang’ dan ‘belanja’? Apa kaitan antara ‘pisang’ dengan ‘bosan’? Apa pula hubungan antara ‘payung’ dengan ‘belanja’? Dan bagaimana pula ‘kacang’ boleh bertukar menjadi ‘senang’?   
         
Semua persoalan ini menjadi pertanyaan (atau mungkin perbahasan) oleh sekian ramai orang di Malaysia. Tidak hanya orang yang bukan daripada kalangan orang bahasa, kami – para pelajar bahasa juga turut tertanya-tanya perkara yang sama. Meskipun persoalan itu sekadar berlaku dalam bahasa slanga (kata-kata yang biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi oleh kelompok sosial tertentu) sahaja, tetapi ia tetap menarik minat ramai orang untuk mengetahuinya. 

Pernah saya sarankan kepada seorang rakan supaya mengkaji hal ini dalam penulisan ilmiahnya (final year project). Tetapi apabila kajian lepas yang membicarakan soal ini tiada, maka saranan saya hanya tinggal saranan sahaja kerana dia tidak berupaya untuk mengkajinya. 

Apa yang berlaku terhadap tiga perkataan itu adalah kerana ia telah melalui proses Teori Anjakan Makna. Perkataan ‘pisang’, ‘kacang’ dan ‘belanja’ itu telah dianjakkan maknanya. Bukan hanya tiga perkataan itu sahaja, malah banyak lagi perkataan lain seperti ‘kayu’, ‘gila, ‘badai’, ‘barai’, dan sebagainya. Perkataan-perkataan ini juga telah dianjakkan maknanya oleh ramai orang muda (biasanya). Makna asal perkataan tersebut telah berubah (atau mungkin diubah) selaras dengan perkembangan fikiran dan bahasa. 

Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, banyak perkataan lain juga telah dianjakkan maknanya. Misalnya, kalau dahulu perkataan ‘khalwat’ itu membawa konotasi yang mulia, tetapi menjadi ‘bersekedudukan tanpa nikah’ setelah dianjakkan maknanya. Perkataan ‘balak’ yang biasanya dianggap sebagai kayu, kini telah dianggap sebagai ‘teman lelaki’ oleh anak muda suatu ketika dahulu. Perkataan ‘dedak’ yang biasanya dikaitkan dengan makanan haiwan, tetapi kini menjadi sesuatu yang sangat negatif apabila dikaitkan dengan rasuah dalam politik kepartian. Lihatlah bagaimana masyarakat kita menjadikan sesuatu makna perkataan itu boleh dianjakkan.  

Amatlah dangkal jika sebiji buah berwarna kuning dikaitkan dengan perasaan jemu. Begitu juga dengan benda yang digunakan untuk melindungi kita daripada panas dan hujan dikaitkan dengan perbuatan mengeluarkan duit untuk membiayai seseorang bagi tujuan-tujuan tertentu. Tigak logik sekiranya sejenis makanan yang banyak protein dikaitkan dengan keadaan yang mudah selalu. Tetapi itulah yang berlaku kepada tiga perkataan tersebut yang telah dianjakkan maknanya. Meskipun kelihatan wujud unsur paradoks di situ, tetapi anjakan makna terhadap tiga perkataan itu (dan banyak lagi perkataan lain) telah pun berlaku.    
  
Bahasa adalah alat komunikasi yang berubah dan hidup sentiasa. Bahasa boleh menjadi apa sahaja dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sebenarnya. Semuanya bergantung kepada individu atau kumpulan manusia yang menggunakan bahasa. Bahasa tidak hanya digunakan untuk berkomunikasi dan menyampaikan sesuatu mesej semata-mata, bahasa (baca : perkataan) juga boleh dianjakkan maknanya. Sama ada kita bersetuju atau tidak bersetuju terhadap sesuatu perkataan yang telah dianjakkan maknanya, itu sudah jatuh ke soal yang nombor dua. Tetapi kita melihat anjakan makna telah pun berlaku dengan banyaknya dalam bahasa kita. Dan sudah ramai pun orang menerima dan menggunakannya.   

Pastilah ada sebab mengapa perkataan-perkataan itu dianjakkan maknanya. Sesuatu perkara itu tidak akan berlaku secara tiba-tiba. Sama ada ia untuk memenuhi fungsi sosial, atau membentuk identiti sesebuah kumpulan (boleh jadi remaja), atau mungkin menjadi kod (code) rahsia atau kata laluan bagi sesebuah kelompok sosial, hanya ‘pencipta’ bahasa tersebut sahaja yang mengetahuinya. Jika ‘pencipta’ tersebut seorang sarjana bahasa, pastilah akan banyak penghargaan telah diterima olehnya. Ini kerana, ‘bahasa ciptaannya’ telah berakar umbi dan menjadi persoalan dalam masyarakat kita.

Sungguh unik apabila melihat bahasa boleh dianjak maknanya. Ini membuktikan bahasa adalah perkara yang tidak akan berhenti di satu-satu tahap sahaja. Bahasa akan sentiasa berubah dan berkembang mengikut keadaan semasa. Tidak mustahil di masa akan datang akan ada lagi perkataan lain dalam bahasa kita akan dianjak juga maknanya. Moga-moga kita bersedia untuk menerima dan mengkajinya.     
      
         

1 ulasan:

  1. artikel intelektual yang sangat bagus untuk dibaca. bak kata boboy, terbaik. :)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.