Isnin, 21 November 2016

PEMBUNUHAN GADAFFI : SUATU PENYESALAN DALAM DUNIA POLITIK


Image result for pembunuhan gaddafi
Sumber : Google


Membaca artikel yang ditulis dalam laman web suara tv, iaitu berkenaan penyesalan rakyat Libya di atas pembunuhan Muammar Gadaffi sebelum ini, ia memberi satu pengajaran kepada semua manusia di atas muka bumi. Bahawasanya, kepada sesiapa yang suka mengambil tindakan politik mengikut hati, maka nasib mereka akan sama dengan nasib yang menimpa rakyat Libya nanti.

Dahulu, di atas nama demokrasi, rakyat Libya secara beramai ramai turun ke jalan raya ataupun menjadi tentera untuk menentang Gadaffi. Hasilnya, mereka berjaya membunuh Gadaffi. Mereka percaya dengan membunuh Gadaffi itu adalah suatu kemenangan bagi mereka yang paling hakiki.  

Namun, mereka semua telah tersilap kini. Demokrasi yang mereka idam idamkan tidak juga muncul sampailah ke hari ini. Lebih parah lagi, apabila negara mereka terus dilanda huru hara. Libya terus menjadi antara negara yang miskin di dunia walaupun Libya adalah antara negara pengeluar minyak dunia.

Sewaktu pemerintahan Gadaffi, kehidupan rakyat Libya tidaklah seperti sekarang. Gadaffi walaupun dia seorang diktator, namun dia adalah seorang pemimpin yang cemerlang. Dengan hasil minyak yang banyak di Libya, Gadaffi telah memberi banyak kemudahan kepada rakyat Libya. Gaddafi mewujudkan sistem pendidikan percuma, perubatan percuma, dan rumah percuma kepada rakyat Libya.

Tetapi, oleh kerana ada suara suara jahat yang menghasut rakyat Libya supaya menegakkan demokrasi, rakyat Libya yang termakan dengan hasutan itu mula menentang dan membunuh Gadaffi. Mereka berharap dengan pembunuhan Gadaffi itu, mereka bukan sahaja boleh menegakkan demokrasi di Libya, bahkan boleh juga menjadikan Libya sama seperti negara Barat sana.

Sekarang semua rakyat Libya yang jadi pejuang untuk menentang Gadaffi dahulu telah menyesal tidak sudah sudah. Mereka mula fikir, jika Gadaffi yang memerintah, keadaan sekarang pasti tidak susah. Namun, Gadaffi sudah pun mati. Menyesal hingga menangis air mata darah pun sudah tidak berguna lagi.

Apa yang berlaku di Libya sekarang sepatutnya diambil pengajaran oleh semua rakyat Malaysia. Pokok pangkalnya, kita tidak boleh mengambil tindakan politik mengikut hati dan nafsu. Kita perlu mengambil tindakan politik – terutama politik demokrasi – dengan akal dan ilmu.

Sungguh sedih apabila melihat orang Melayu berpolitik. Mereka berpolitik bukan untuk membina sebaliknya menghancurkan apa yang ada. Kita sanggup gadai agama dan bangsa kerana mahu menang dalam pilihan raya.

Tidak salah untuk orang Melayu berpolitik dan tidak salah juga untuk orang Melayu menukar pemimpin. Tetapi janganlah sampai menggadaikan agama dan bangsa dengan memberi sokongan kepada pemimpin yang diyakini boleh merosakkannya.

Orang Melayu tidak boleh sama sekali percaya dengan cakap cakap mana mana pemimpin politik. Mereka hanyalah beretorik untuk menarik undi dalam pilihan raya. Kita khuatir, jika mereka sudah dapat kuasa, segala janji janji yang mereka buat dahulu mereka akan lupa. Dan akhirnya orang Melayu juga yang papa kedana.

Penyesalan dalam politik ini bukan hanya di Libya sahaja. Di Malaysia pun sudah ada juga. Dr. Mahathir yang merupakan orang yang mahir dalam sepak terajang politik demokrasi, akhirnya menyesal dan meminta maaf tanpa ada rasa berbelah bahagi. Ini semua berlaku atas apa yang pernah dia lakukan dahulu. Dia sendiri tidak sangka, apa yang dia buat dahulu, menjadikan negara kacau bilau dan haru biru.

Apa yang berlaku kepada Dr. Mahathir itu pun tidak mustahil berlaku kepada orang Melayu yang ghairah berpolitik untuk menukar pemimpin pada hari ini. Keputusan yang akan diambil oleh sebahagian orang Melayu pada masa sekarang, akan memberi kesan pada masa akan datang. Tidak mustahil tindakan yang orang Melayu ambil kini, mereka akan menyesal di kemudian hari.

Sebab itulah saya mengharapkan agar orang Melayu agar berpolitik dengan berfikir terlebih dahulu. Jangan sesekali berpolitik dengan mengikut nafsu. Tidak mustahil nasib orang Melayu sama dengan nasib orang di negara Libya itu.


3 ulasan:

  1. Saya yang sudah tua setuju dengan pandangan penulis. Tengokan keadaan sekarang tidak ramai orang muda akan bersetuju. Mereka sangat emosional dan rebellious.

    BalasPadam
  2. terus berjuang..tarik org ke syurga..berikan pemikiran yg real mantiq

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.