Ahad, 27 November 2016

LAGU AIMAN TINO : MENARIK TETAPI JELIK


Image result for aiman tino youtube
Sumber : Google


Mulanya saya tertanya tanya juga, apa yang menyebabkan penyanyi Aiman Tino ini boleh menjadi begitu popular. Setelah saya melihat dirinya barulah saya tahu kenapa. Wajah comel campur kacaknya adalah sebab utama. Kemudian dengan suaranya yang merdu adalah antara salah satu puncanya. Lagunya yang ‘berhantu’ buat masa sekarang adalah lagu Ku Rela Dibenci. Ramai orang suka lagu itu seperti mana orang suka lagu Sufian Suhaimi (berjudul Terakhir).

Aiman Tino adalah penyanyi generasi baru yang muncul sejak akhir akhir ini. Tidak dapat saya nafikan bahawa dia sungguh berbakat sekali. Dengan bakat yang dia ada dan dengan wajah kacak yang dia miliki membolehkan dia pergi dengan lebih jauh lagi.  
 Image result for aiman tino youtube


Baru baru ini saya ada mendengar lagu Ku Rela Dibenci. Ya, lagu itu sangat menarik sekali. Lagu itu mempunyai melodi yang mantap dan lirik yang sedap. Walau bagaimanapun, lirik lagu yang sedap itu tiba tiba menjadi isu besar pula.

Ketika mula mula saya mendengarnya, apa beberapa liriknya yang saya tidak setuju. Maka saya bercadang untuk menulis artikel ini untuk menyatakan apa yang saya tidak setuju itu. Tiba tiba sahaja timbul lagi satu isu. Lirik lagu Ku Rela Dibenci itu disuruh tukar oleh penerbit Anugerah Juara Lagu. Ini semua gara gara lirik lagu yang tidak sesuai itu.

Walaupun hakikatnya saya tidak setuju dengan lirik lagu itu tetapi saya sama sekali tidak setuju yang lirik lagu itu perlu ditukar. Ia seolah olah mengganggu keaslian lagu itu yang sudah cantik benar. Ia juga sama sekali tidak menggalakkan orang bebas berkarya apatah lagi menggalakkan orang mengambil pengajaran dan terlibat dalam perbahasan  dalam arena muzik tempatan.   

Ya, lagu itu memang banyak tidak cocoknya di sana sini. Tetapi itulah namanya kebebasan berkarya dalam arena seni. Lagu itu selain orang boleh mengambil pengajaran, orang juga boleh terlibat dalam perbahasan. Orang boleh mengambil pengajaran dengan cara tidak mencontohi seperti apa yang tertulis pada lirik lagi itu. Orang juga boleh terlibat dalam perbahasan dengan perdebatan idea yang wujud pada lirik lagu itu. 

Secara umumnya, lirik lagu itu menceritakan tentang pencintaan seorang lelaki dan seorang wanita. Tetapi lelaki itu Allah uji dengan penyakit yang boleh menyebabkan dia mati. Dan sudah pastilah dia berasa sedih sekali. Oleh kerana si lelaki itu tahu yang nyawanya sudah tidak panjang lagi, maka dia lakukan pelbagai cara supaya wanita yang dia cinta boleh membenci dirinya. Dia lakukan itu semua kerana dia mahu wanita itu boleh melupakan kenangan manis bersamanya dan boleh mencari pengganti buat dirinya. Hidupnya di dunia ini sudah tidak berapa lama. Maka dia sanggup berkorban demi wanita yang dia cinta.

Jika dihayati lirik lagu ini, pasti perasaan sedih boleh menerpa di hati. Subjek yang cuba diketengahkan dalam lirik ini adalah berkisar tentang cinta, kematian, dan pengorbanan. Inilah antara sebab mengapa lagu ini menjadi kegemaran.

Pada saya, saya tidak ada masalah dengan baris awal lirik lagu ini iaitu : ku tertawa kau menangis / engkau tertawa aku menangis / kerana dirimu oh sayangku / kesudahan tiada henti / hanya yang tinggal di dalam mimpimu / ternanti nanti / sering kali aku diuji / air mataku terus mengalir / membasahi di dadaku / hanya ratapan di dalam hati / semoga tercipta kesudahan yang dinanti.

Baris awal lirik lagu ini adalah lirik lirik lagu yang cliché seperti mana yang biasa kita temui dalam mana mana lagu. Jadi, lirik ini tidaklah menimbulkan kontroversi. Dengan menghayati lirik ini, kita boleh mengesan bahawa lelaki ini sedang mengalami masalah yakni penyakit yang sedang dia hadapi.

Tetapi saya mula bermasalah dengan lirik yang ini : ku ingin dibenci olehmu / agar kenangan manis terus terpadam selamanya / menghitung menunggu mati / agar kau jumpa yang dinanti / semoga pemberianku ini terbaik untukmu / tak sanggup ku dibohongi / ku rela dijemput Ilahi / kerana dia ku sanggup pergi / hanya di sana kekal dan abadi.

Jelas di sini bahawa lelaki dalam lirik ini adalah seorang lelaki yang mudah berputus asa. Dia seolah olah tahu yang bila dia akan mati sedangkan hidup, mati, jodoh, dan pertemuan semuanya tertakhluk di bawah Allah punya kuasa. Belum tentu lagi apabila kita ditimpa dengan penyakit yang kronik kita boleh mati esoknya. Barangkali, dengan kuasa yang Allah ada, Allah boleh hidupkan kita sampai bila bila walaupun kita menanggung penyakit yang boleh membuatkan kita sengsara.

Saya tidak faham mengapa lelaki dalam lirik lagi ini mahu wanita yang dia cinta membenci dirinya. Dia yang hampir mati sepatutnya perlu untuk menerangkan apa yang telah berlaku padanya. Dan kemudian dia hanya perlu memutuskan sahaja percintaan mereka. Dia hanya perlu minta wanita itu melupakan dirinya dan minta wanita itu supaya cari lelaki lain sebagai pengganti dirinya. Jika dia cuba berlakon untuk mengundang rasa sakit hati wanita itu, jelas dia sebenarnya sedang mengundang bala. Kematiannya nanti bukan ditangisi apabila wanita itu sakit hati, sebaliknya akan diraikan berkali kali.

Dalam frasa ‘tak sanggup ku dibohongi’ dalam lirik lagu ini begitu kontradik sekali. Jelas yang lelaki itu yang berbohong kepada wanita itu tetapi mengapa pula dia yang rasa dibohongi? Apakah maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis lirik melalui frasa ini? Frasa itu sungguh janggal dan jelik sekali. Ia menggambar lelaki itu tidak mahu mengaku kelemahan diri sendiri yakni dia yang berbohong dalam situasi ini.

Mengapa saya kata lelaki dalam lirik ini sebagai pembohong atau penipu? Lelaki itu yang berbohong kepada wanita itu mengenai penyakit dirinya dan dia cuba berbohong kepada wanita itu dengan berlakon menjadi seorang lelaki yang jahat supaya wanita itu membenci dirinya.

Jelas banyak perkara yang tidak kena dengan lirik lagu itu dan sebab itulah ia diminta tukar oleh penerbit Anugerah Juara Lagu. Banyak dalam lirik lagu itu yang saya tidak setuju tetapi saya tegaskan sekali lagi yang saya tidak setuju sama sekali lirik itu ditukar menjadi sebuah lirik yang baru. Saya berpendirian lirik itu perlu dikekalkan supaya keaslian lagu itu akan kekal terpelihara sampailah ke anak cucu. Isu isu yang timbul berkenaan lirik lagu itu usahlah dihiraukan kerana kelak ia akan hilang apabila isu lain datang. 


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.