Rabu, 9 November 2016

JIKA DUNIA TANPA PETROLEUM?


Image result for petroleum
Sumber : Google


Sudah agak lama juga saya mahu menulis berkenaan dengan isu ini. Tetapi oleh kerana banyak isu lain yang terjadi, maka saya terpaksa menulis berkenaan isu ini di kemudian hari. Memandangkan ramainya anggota masyarakat yang belum sedar diri, maka suka ataupun tidak saya perlu menulis isu yang dianggap remeh oleh sesetengah orang ini.

Mungkin dengan menulis isu ini orang akan anggap saya sebagai pengikut hippies – anti kereta, anti kemajuan, dan anti pembangunan. Tetapi saya tidak kisah akan label apa yang orang mahu berikan. Yang mahu saya buat sekarang adalah memberi pencerahan. 

Mengikut beberapa maklumat yang saya baca, petroleum yang kita guna sekarang ini sudah mahu sampai ke penghabisannya. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tidak percaya tetapi tidak mustahil untuk perkara itu berlaku juga. Jika tidak sekarang, mungkin pada masa akan datang. Barangkali dalam tempoh dua puluh tahun dari sekarang, petroleum yang dikatakan banyak itu akan hilang.

Setiap hari, berjuta juta tong petroleum di jual beli. Sekarang China adalah negara yang paling banyak membeli petroleum dalam sehari. Ini disebabkan pertambahan jumlah kereta dan kemajuan dalam negara mereka. Itu baru di negara China, di negara negara lain entah berapa juta tong petroleum yang mereka guna. Amerika Syarikat dan India adalah antara negara pengguna petroleum yang paling banyak juga.

Petroleum bukanlah seperti minyak kelapa sawit yang boleh dicari ganti. Setelah digali, ia akan berkurangan lagi. Semua orang tidak pasti berapa banyak tong petroleum yang tinggal kini. Kita tidak khuatir jika Allah tambahkan petroleum di dalam bumi. Cuma kita khuatir Allah tidak mahu tambah lagi kerana mahu manusia berasa diuji. Dan tidak mustahil perkara begitu boleh terjadi.  

Semua perkara dalam kehidupan kita, kita amat memerlukan kehadiran petroleum. Dari sekecil kecil perkara hinggalah sebesar besar perkara kita memerlukan petroleum. Jika tidak ada petroleum, tidak mustahil dunia akan lumpuh. Pembangunan dan kemajuan dunia akan hancur dan rapuh.

Jika tidak ada petroleum, maka tidak akan ada gas lalu makanan tidak boleh dimasak. Jika tidak ada petroleum, pakaian tidak boleh dihantar ke kedai kerana kenderaan tidak boleh bergerak. Jika tidak ada petroleum, ekonomi akan hancur kerana manusia tidak boleh memandu kereta untuk sampai ke tempat kerja.  

Petroleum yang menjadi nadi kepada masyarakat dunia itu semuanya ditelan oleh kereta. Kereta yang dibeli oleh manusia itu bukan sahaja untuk bergerak ke mana mana, malah melambangkan status dan kelas dalam masyarakat juga. Semakin mahal atau semakin besar kereta, semakin tinggi kelas seorang manusia.
 

Pendek kata, kehabisan petroleum di seluruh dunia adalah berpunca daripada kereta. Jika tiada kereta, barangkali untuk petroleum itu lambat habis adalah agak tinggi juga. Tetapi semua manusia di dunia berlumba lumba untuk beli kereta. Jika tidak ada kereta, mungkin manusia di dunia boleh mati serta merta.  

Ada kajian yang dibuat oleh professor di universiti bertaraf dunia yang berjaya memproses minyak kelapa sawit, tebu, jagung, gandum, dan sebagainya untuk menjadi pengganti kepada petroleum. Kajian itu memang dilihat baik pada mata kasarnya tetapi jika diselidik dengan lebih mendalam, kajian itu begitu banyak dangkalnya.

Di seluruh dunia, manusia mengalami krisis makanan. Ramai manusia terutama di Afrika dilanda masalah tidak cukup makan. Itu baru di Afrika, di negara negara sedang bergolak tentulah mengalami masalah yang lebih besar. 

Jika semua makanan manusia hendak ditukarkan menjadi minyak kereta, habis manusia mahu makan apa? Tidak terfikirkah kita bahawa suatu hari nanti manusia akan berebut makanan dengan kereta? Antara perut manusia dengan ‘perut’ kereta, mana yang perlu diutamakan dahulu sebenarnya? 

Seandainya petroleum habis suatu hari nanti, memperoses minyak kelapa sawit, jagung, gandum, dan tebu bukanlah suatu jalan alternatif untuk menyelesaikan masalah yang kronik ini. Jika sekarang manusia mengalami krisis petroleum, tidak mustahil manusia sedunia mengalami krisis makanan pula nanti. 

Tiada cara lain lagi melainkan seluruh dunia mengurangkan penggunaan petroleum. Mengurangkan penggunaan petroleum tidak lain dan tidak bukan adalah dengan mengurangkan penggunaan kereta. 

Mengurangkan penggunaan kereta adalah dengan cara menggunakan pengangkutan awam sahaja. Semua orang jika hendak ke mana mana, sama ada mahu bercuti atau ke tempat kerja, mestilah menggunakan pengangkutan awam semata mata. Tetapi masalahnya pengangkutan awam di negara kita tidaklah sebaik mana. Pengangkutan awam kita bukan sahaja tidak efisien, malah terlembab di dunia!

Sebab itu kita semua minta kerajaan membaik pulih pengangkutan awam di negara kita. Membaik pulih pengangkutan awam bukan sahaja dapat menjimatkan belanja rakyat jelata, malah boleh mengurangkan penggunaan petroleum juga. Tetapi malangnya sudah hampir 60 tahun kita merdeka, pengangkutan awam kita masih lagi berada di takuk yang lama. 

Sukar kita mahu kurangkan penggunaan petroleum jika semua pihak tidak mahu beri kerjasama. Kerajaan dan rakyat mestilah bersama untuk mengurangkan penggunaan petroleum dalam negara. Kerajaan perlu menambah baik pengangkutan awam yang sedia ada manakala rakyat jelata mestilah kurangkan penggunaan kereta. Moga moga petroleum yang tinggal sedikit itu tidak habis semuanya. 

1 ulasan:

  1. Bila zaman berubah, mungkin keperluan bahan asas juga berubah.
    Mungkin suatu masa nanti kita tak perlukan petroleum dengan adanya teknologi terbaharu.
    Macam suatu masa dulu, bijih timah amat perlu sehingga kolonial sanggup menjajah, tetapi sekarang tidak lagi.
    Allah menjadikan sesuatu sesuai dengan zamannya.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.