Rabu, 10 Februari 2016

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 9



Sahiril sedang membaca buku Fail Sulit Presiden Amerika Syarikat yang ditulis oleh Muhd. Nur Iman Ramli. Buku itu sungguh menarik. Buku itu sebenarnya sudah lama dibelinya namun dia tidak ada kesempatan untuk membacanya memandangkan tugasannya di pejabat seolah olah tidak mahu habis. Dirinya sentiasa sibuk sehingga dia tidak ada masa untuk berehat.

Pada malam inilah baru dia boleh berehat sambil membaca buku yang telah dibelinya beberapa bulan yang lalu. Buku itu menceritakan tentang sejarah pembinaan negara Amerika Syarikat, Biodata Presiden dan Wanita Pertama negara itu, pertubuhan pertubuhan yang berada dalam negara itu dan sebagainya. Pokok pangkalnya buku itu sungguh menarik untuk dibaca. Pelbagai pengetahuan tentang negara Uncle Sam itu yang boleh dia dapati.

“Kamu tak tidur Sahiril?” soal Datuk Hasanah yang tiba tiba muncul di muka pintu bilik Sahiril. “Belum mama.” jawab Sahiril ringkas. Dia menutup buku tersebut dan meletakkan buku itu di sisinya. “Bila klien kita dari Arab Saudi tu nak datang?”  Soal Datuk Hasanah sambil duduk di birai katil. “Itu saya tak pasti. Saya rasa diaorang datang hari Isnin..” Jawab Sahiril.


Datuk Hasanah sekadar mengangguk lalu bergerak ke meja bacaan Sahiril. Dia mengambil sebuah majalah sekolah di atas meja itu dan membukanya. Ada sekeping gambar yang terjatuh dari celahan muka surat majalah itu. Datuk Hasanah mengambil gambar yang terjatuh di lantai itu. Dia melihat gambar Mahani yang sedang berdiri bersama anaknya dan memakai uniform sekolah.

“Bila kamu tangkap gambar ni Sahiril?” soal Datuk Hasanah sambil menunjukkan gambar itu pada Sahiril. “Oh! masa jamuan akhir tahun. Masa kitaorang tingkatan lima sebelum nak ambil SPM.” Jawab Sahiril. “Kenapa kamu simpan gambar ni?” soal Datuk Hasanah tidak berpuas hati. “Mama, kenapa dengan mama ni? Kenapa mama soal saya macam saya ada buat kesalahn besar?” soal Sahiril pula.

“Mama nak tahu kenapa kamu simpan gambar ni? Kamu suka kat janda ni kan?” soal Datuk Hasanah. Suaranya sudah mula keras. “Mama, mana ada? Kitaorang hanya kawan saja. Tak lebih dari itu.” Jawab Sahiril. Dia tidak faham mengapa mamanya boleh menjadi marah dengan tiba tiba. “Baguslah kalau macam tu. Mama tak suka kamu kawan dengan dia.” Ujar Datuk Hasanah.

“Kenapa pula? Dia baik mama. Takkan kerana dia janda saya tak boleh kawan dengan dia. Lagipun dia satu satunya kawan sekolah menengah yang saya boleh jumpa.” Ujar Sahiril. “Mama tak suka janda tu. Mama tahu dia nak goda kamu sampai kamu cair lepas tu kahwin dengan kamu. Lepas tu dia nak rampas semua harta keluarga kita.” Ujar Datuk Hasanah. “Mama, kenapa mama boleh fikir sampai macam tu. Mahani tu wanita beriman mama. Dia tutup aurat dan tidak pernah tinggal sembahyang. Takkan dia nak buat macam tu. Mama ni mesti banyak tengok cerita P. Ramlee ni sampai mama boleh terpengaruh dengan cerita cerita macam tu.” Ujar Sahiril sambil tertawa kecil.

“Sahiril, ini bukan cerita P. Ramlee atau A. Ramlee. Ini perkara betul. Perempuan tu ada niat tak baik. Lebih baik kamu berhati hati.” Ujar Datuk Hasanah. “Baik mama. Saya akan ingat pesan mama tapi mama jangan risaulah. Mahani tu perempuan yang baik. Saya yakin dia takkan buat macam tu.” Ujar Sahiril. “Suka hati kamulah. Kamu jangan menyesal kalau ada apa apa berlaku pada kamu.” Datuk Hasanah terus beredar dari bilik itu.

Sahiril terus mengambil gambar yang diletakkan oleh Datuk Hasanah di atas meja itu. Gambar itu diambil ketika jamuan akhir tahun kelas mereka sebelum peperiksaan SPM bermula. Dia menatap gambar Mahani. Sungguh comel Mahani pada waktu itu. Mahani merupakan wanita pertama yang berjaya mencuri hati lelakinya.

.............................................................................................

Ramli berjalan menuju ke arah bilik cucian. Dia melihat Nadia berada di situ sambil memasukkan cadar katil dan sarung bantal yang telah kotor ke dalam mesin basuh. Bakri terus menuju ke arah gadis itu. “Mahani dah sampai?” soal Ramli. “Opocot mak engkau meletup.” Nadia melatah. Hampir terlompat jantugnnya keluar pada waktu itu. Dia benar benar terkejut mendengar suara Ramli.

“Maaf! Maaf! Saya tak sengaja. Sepatutnya saya bagi salam dulu.” Ujar Ramli. Hampir sahaja dia ketawa apabila melihat Nadia melatah namun dibatalkan niatnya. Dia tidak mahu Nadia tersinggung. “Encik Ramli, nasib baik saya tak ada sakit jantung. Apa encik tanya tadi?” soal Nadia sambil mengurut ngurut dadanya. “Saya tanya Mahani dah sampai?” soal Ramli semula. “Sudah, dia baru sahaja naik kat tingkat enam belas. Kenapa encik cari dia?” soal Nadia ingin tahu.

Ada perkara yang saya nak cakap dengan dia. Okey, saya pergi dulu. Terima kasih sebab tolong saya.” Ucap Ramli lalu terus beredar. “Sama sama.” Balas Nadia pendek. Dia memandang ketuanya itu beredar. Dia tahu bahawa Ramli ada menyimpan perasaan pada Mahani. Dia berdoa semoga hubungan antara Mahani dan Ramli berkekalan. Dia tahu Ramli seorang lelaki yang baik.

Dia pasti akan menjaga Mahani dengan baik. Sudah sampai masanya Mahani berkahwin. Irfan pasti memerlukan kasih sayang seorang ayah sebaik Ramli. Dia ada bercakap tentang perkara itu pada Mahani namun Mahani selalu mengatakan dia suka bercakap perkara yang bukan bukan. Mungkin Mahani tidak sedar yang Ramli mencintai dirinya ataupun Mahani pura pura tidak sedar. Dia sendiri tidak tahu tapi apa yang dia tahu Ramli mencintai diri Mahani seadanya walaupun mengetahui Mahani ialah janda beranak satu.

Ramli terus menuju ke tingkat enam belas untuk bertemu dengan Mahani. Dia ingin memberitahu wanita itu bahawa Encik Sahiril akan mendaftar pada hari Isnin minggu depan. Dia mahu Mahani memastikan bilik yang akan didiami oleh Encik Sahiril benar benar bersih dan kemas. Dia lupa mahu memberitahu Mahani semalam kerana dia sungguh sibuk. Semalam majlis makan malam syarikat Mutiara Holdings berlangsung di hotel itu.

Dia perlu memastikan majlis itu berjalan dengan lancar. Setelah sampai di tingkat enam belas dia tidak melihat kelibat Mahani. Hanya troli yang digunakan untuk mengangkut cadar dan sarung bantal sahaja berada di hadapan bilik 116. Mungkin Mahani berada di dalam bilik itu. Fikir Ramli. Dia terus masuk ke bilik tersebut. Dia mencari cari di mana Mahani dan apabila dia melihat di lantai, Mahani sudah terbaring di situ.

Dia terus menuju ke arah Mahani. “Mahani! Mahani!” panggilnya sambil memangku tubuh Mahani. Mahani tidak memberi sebarang tindak balas Dia meletakkan belakang tangannya pada dahi Mahani. Sungguh panas dirasakan dahi wanita itu. Sudah tentu Mahani demam. Dia terus mengangkat Mahani lalu turun ke bawah. Dia terus ke keretanya untuk membawa Mahani ke klinik yang berdekatan.

Mahani membuka matanya. Dia melihat kipas berputar ligat di siling. “Aku kat mana ni?” Soalnya di dalam hati. Dia cuba bangun namun kepalanya sungguh berat pada waktu itu. Dia memandang di sekelilingnya. Dia mendapati dia berada di sebuah bilik namun itu bukan biliknya. Dia dapat merasakan yang dia pernah melihat bilik itu namun dia tidak ingat di mana. Kepalanya sungguh sakit pada waktu itu.

Tiba tiba pintu bilik itu ditolak. Dia melihat Mahmudah datang sambil membawa sebuah dulang yang berisi air dan ubat. “Kak long, apa kak long buat kat sini?” Soal Mahani kehairanan. “Apa aku buat kat sini? Ini rumah aku. Mestilah aku ada kat sini.” Jawab Mahmudah. “Macam mana saya boleh ada kat rumah kak long? Bukan ke tadi saya kat RaHa Hotel.” Soal Mahani kehairanan. Dia mendapati yang dia masih lagi memakai baju kerjanya.

“Tadi memang kau kat RaHa Hotel tapi sekarang kau kat rumah aku. Kau pengsan tadi. Encik Ramli yang hantar kau ke mari dengan Nadia lepas hantar kau pergi klinik.” Jawab Mahmudah sambil membantu Mahani duduk. “Oh yakah? Habis tu mana diaorang?” soal Mahani lagi. “Kami ada kat sini.” Mahani memandang ke muka pintu. Dia melihat wajah Nadia dan Ramli berada di situ.

“Awak dah sedar Mahani?” soal Ramli. Mahani mengangguk. “Terima kasih Ramli sebab dah tolong saya.” Ucap Mahani. “Tak apa. Kebetulan saya nampak awak tengah pengsan jadi mestilah saya tolong.” Ujar Ramli. “Macam mana kau boleh pengsan Mahani? Kau tak makan ke pagi tadi?” soal Nadia.“ Entahlah. Kepala saya sakit sangat. Mungkin sebab saya balik dalam hujan semalam.” Jawab Mahani jujur.

“Itulah kau. Degil sangat. Kau kan tahu yang kau tak boleh kena hujan. Nanti demam dan sakit kepala. Degil betul budak ni. akaau ni bukan budak lagi tau tapi mak budak.” Ujar Mahmudah. Nadia dan Ramli tertawa kecil mendengar kata kata Mahmudah. “Aku bukan nak balik dalam hujan la. Tapi aku nak ambil Irfan semalam kat sekolah agama. Tu yang kena hujan. Aku bukan sengaja nak kena hujan.” Mahani membela dirinya.

“Ada saja alasannya.” Ujar Mahmudah. “Tak apalah. Kami berdua nak pulang dulu. Nanti kami datang lagi. Mahani, saya bagi awak cuti dua hari. Awak rehatlah cukup cukup.” Ujar Ramli. “Terima kasih Ramli. Terima kasih Nadia sebab dah tolong aku.” Ucap Mahani. “Sama sama.” Jawab Ramli dan Nadia hampir serentak. Mahmudah menghantar mereka ke kereta.

..................................................................................................

“Ibu, Irfan nak beli buku latihan Matematik dan Sains. Buku latihan Irfan semuanya dah habis Irfan buat. Lagipun peperiksaan akhir tahun dah dekat. Irfan nak buat banyak latihan. Nanti Irfan boleh dapat banyak A.” ujar Irfan ketika Mahani sedang melipat baju. “Oh yakah? Tak sangka anak ibu ni seorang yang rajin. Petang nanti lepas ibu solat Asar kita pergi beli buka ya.” Ujar Mahani. Irfan mengangguk.

Seperti yang dijanjikan Mahani membawa Irfan ke kedai buku pada petang itu. Mahani selalu membeli buku dan novel di Aila Bookstore. Kedai buku di situ sungguh besar dan mempunyai pelbagai jenis buku. Mahani membawa Irfan ke rak rak yang mempamerkan buku buku sekolah. Dia mencari rak yang mempunyai buku buku latihan sekolah rendah. Mahani mengambil buku  latihan Matematik Tahun 1 dan buku Latihan Sains Tahun 2.
Kemudian mereka pergi ke rak yang menempatkan novel novel dalam Bahasa Melayu. Begitu banyak novel yang dipamerkan pada rak itu. Mahani membaca sinopsis beberapa buah novel yang dirasakannya menarik lalu dia memilih dua buah novel. Dia memilih novel Adam dan Hawa karya Aisya Sofea dan Seribu Kali Sayang karya Anis Ayuni. Dia terus berjalan ke kaunter untuk membuat pembayaran sambil leka menatap kulit kedua dua buah novel tersebut.

Tiba tiba dia terlanggar batang tubuh seseorang. “Maaf, saya tak sengaja.” Pinta Mahani sambil memandang ke wajah orang yang dilanggarnya. Dia melihat Sahiril sedang tersenyum padanya. “Tak apa. Lain kali kalau jalan pandang depan bukan baca novel.” Sindir Sahiril dalam berseloroh. Sungguh panas wajah Mahani pada waktu itu menahan malu.

“Saya benar benar minta maaf Sahiril. Saya seronok baca novel ni. Awak pun beli buku juga?” Soal Mahani sekadar berbasa basi. “Ya. Saya kan suka membaca. Awak beli buku apa?” soal Sahiril sambil memandang ka arah dua buah buku yang berada di tangan Mahani. “Saya beli novel saja. Nak baca kalau bosan bosan kat rumah.” Jawab Mahani. “Oh macam tu. Awak memang suka membaca novel ke?” soal Sahiril.

“Ya. Awak tak tahu ke? Bukan ke dulu awak pernah pinjam novel saya. Awak pasti dah lupa.” Mahani menggenggam erat tangan Irfan. Dia tidak mahu Irfan ke mana mana ketika dia sedang bebual dengan orang lain. “Oh saya lupa pula. Tapi saya kurang gemar baca novel. Hanya novel novel tertentu saja saya baca macam Salina karya Datuk A. Samad Said.” Ujar Sahiril.

Sahiril sudah terlupa yang Mahani suka membaca. Tidak ramai orang suka membaca sebenarnya. Melisa sendiri tidak suka membaca. Dia lebih suka membeli belah atau mencantikkan dirinya sahaja. Mahani seorang wanita yang istimewa. Dia selalu berangan angan mahu mempunyai isteri yang suka membaca. Baginya wanita yang suka membaca ini seorang wanita yang bijak.

“Okeylah Sahiril. Saya nak bayar buku buku ni lepas tu saya nak balik. Esok saya kena kerja. Kalau ada masa kita berbual lagi. susah kita nak berbual sekarang ni. Awak tengoklah anak saya ni. Nakal!” Pinta Mahani. “Okey. Jalan baik baik.” Ujar Sahiril.

Seperti biasa Mahani pergi ke RaHa Hotel pada pagi itu untuk bertugas. Setelah mengemas semua bilik, dia mahu menghantar troli ke bilik dobi untuk membasuh cadar dan sarung bantal yang kotor. Ketika mahu menaiki lif tiba tiba dia terlanggar seseorang dengan trolinya. Dia melihat Ramli sedang terhincut hincut memegang hujung kakinya. Mungkin jarinya terkena roda troli tersebut.

“Maafkan saya Ramli. Saya memang tak sengaja.” Pohon Mahani. Entah mengapa sejak belakangan ini dia selalu sahaja terlanggar orang. “Cuai betul aku ni. Orang punya besar macam tu pun tak nampak.” Mahani memarahi dirinya di dalam hati. “Tak apa. Siikit je. Saya kan lelaki sejati. Lelaki yang maskulin macam saya ni memang kena tahan sakit kalau tak mana perempuan nak suka ya tak?” ujar Ramli bergurau. Mahani tersenyum mendengar gurauan Ramli,

“Dah sakit macam tu pun boleh gurau lagi.” Bisik Mahani dalam hati. Bukan mudah mahu melihat Ramli bergurau. Lelaki itu amat jarang senyum apatah lagi ketawa. Dia sentiasa serius apabila bekerja. Ramai orang bawahan tidak suka dengan sikapnya termasuk Mahani. Tapi itu dulu. Sekarang Ramli sudah pandai tersenyum dan ketawa. Nadia ada mengatakan bahawa semua itu adalah gara gara dirinya.

Mahani hanya mengatakan bahawa Nadia hanya merepek. Tidak mungkin Ramli mecintai dirinya memandang dirinya dan Ramli amat jauh berbeza apatah lagi dia ialah seorang janda manakala Ramli seorang teruna. Sudah tentu Ramli tidak akan memilihnya. Hubungannya dengan Ramli tidak lebih dari seorang pekerja dengan ketuanya.

“Mahani, esok Encik Sahiril akan mendaftar masuk. Saya nak awak kemas bilik 104 tu.” Ujar Ramli. “Baiklah. Saya pergi dulu ye Ramli.” Mahani menolak trolinya ke dalam lif. “Baik baik. Jangan sampai langgar orang lagi.” ujar Ramli. Mahani tertawa kecil mendengar kata kata ketuanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.