Rabu, 10 Februari 2016

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 10



Ramli memandang bintang bintang di langit. Dia yang sedang duduk di kerusi taman yang berada di halaman rumahnya mengira ngira bintang yang berada di langit itu. Sesekali dia mencari buruj buruj yang diketahuinya seperti buruj scorpio dan buruj pari namun tidak ditemuinya. Dia memandang langit ciptaan Allah s.w.t itu dengan khusyuk. “Subhanallah. Indah sungguh pemandangan pada malam ini.” Desis hatinya.

Apabila terpandang bintang dia teringat akan Mahani. Wanita itu seperti bintang dalam hidupnya. Bersinar menggantikan cahaya bulan dalam kegelapan malam. Dahulu dia takut untuk bercinta. Dia masih teringat bagaimana ibunya berlaku curang dengan ayahnya. Dia teringat kisah dua puluh tahun lalu. Ketika umurnya baru sepuluh tahun. Ayahnya sering sibuk dengan tugasnya sebagai peguam dan sering meninggalkan ibu dan dirinya di rumah.

Ayahnya sering pulang lewat malam ketika dia sudah tidur. Apabila ayahnya pulang pasti kedua dua ibu bapanya bertengkar. Dia amat takut dengan keadaan itu. Dia melihat kawan kawannya mempunyai ibu dan ayah yang amat mengambil berat tentang diri mereka sedangkan ibu bapanya sering sibuk dan seperti langsung tidak mahu mengambil tahu perihal dirinya.


Memandangkan bapanya sering pulang lewat ataupun tidak pulang langsung ke rumah, ibunya pasti akan keluar mencari hiburan. Tinggallah dia bersendirian di rumah. Kadang kala dia melihat ibunya membawa  lelaki masuk ke dalam rumah. Kemudian mereka akan tidur di bilik ibunya sampailah ke pagi. Lelaki yang dibawa oleh ibunya pula semuanya muda muda dan tampan tampan belaka.

Mereka juga bukan orang yang sama setiap malam. Siapakah mereka. Dia sendiri tidak tahu. Umurnya pada waktu itu baru sepuluh tahun. Apabila ditanya pada ibunya pasti ibunya mengatakan bahawa semua itu ialah kawan ibunya. Sampailah satu malam ayahnya pulang awal. Pada waktu itu dia sedang membuat kerja sekolahnya di ruang tamu. “Mana ibu kamu?” soal Salleh.

“Ibu ada dalam bilik dengan kawan dia.” Jawabnya ringkas. “Dengan kawan? Siapa kawan dia?” Soal Salleh ingin tahu. “Saya tak tahu.” Jawabnya lagi. “Kawan lelaki ke perempuan?” Soal Salleh lagi seperti seorang polis menyoal penjenayah. “Lelaki!” Jawab Ramli ringkas. Dia terus menyiapkan kerja sekolahnya dengan cepat. Pasti ‘perang’ akan meletus antara ibu dan bapanya.

“Aku dah agak dah. Perempuan ni memang tak guna. Aku keluar pintu depan dia keluar pintu belakang. Dasar perempuan murahan.” Kata Salleh sambil berjalan ke bilik tidur utamanya. Kemarahannya sudah sampai ke kemuncaknya. Pada mulanya dia tidak mahu percaya dengan kata kata jirannya bahawa Aida selalu membawa lelaki lain pulang ke rumah namun tingkah laku Aida sudah berlainan benar sejak belakangan ini.

Rumah tangganya seperti tidak terjaga. Lama kelamaan dia mula yakin bahawa Aida mempunyai hubungan dengan lelaki lain selain dirinya. Apabila sampai sahaja di pintu dia mendengar suara orang ketawa. Sesekali kedengaran suara orang sedang mengerang kesedapan. Salleh tidak segera bertindak. Dia mencari kunci bilik yang berada di dalam laci meja di ruang tamu.

Dengan senyap senyap dia membuka pintu bilik itu. Dia melihat Aida dan seorang lelaki sedang berada di atas katil tidurnya. Keadaan mereka sungguh memalukan. Mereka tidak memakai seurat benang pun di badan. Terkejut Aida apabila melihat Salleh berada di muka pintu sambil memandang bengis ke arahnya. Dia menarik selimut untuk menutupi tubuhnya yang bertelanjang bulat itu.

Begitu juga dengan Zack. Hatinya mula tidak keruan. Semua rahsianya sudah pecah. Dia melihat jam di dinding. Jam baru menunjukkan pada pukul sembilan malam. “Awal betul orang tua ni balik.” Bisik hatinya. “Abang, awal awak balik hari ni. Biasanya pukul dua belas malam baru awak sampai ke rumah. Ada benda tinggal ke?” soal Aida untuk menutup rasa malu yang sudah menyerang hatinya yang hitam itu.

“Saya sengaja balik awal hari ni. saya nak tengok kecurangan yang awak lakukan pada saya.” Ujar Salleh lalu terus mendapatkan Zack yang berada di atas katil. Dia terus memukul, menumbuk dan menendang lelaki yang dalam keadaan telanjang itu sekuat kuat hatinya. “Ampunkan saya bang. Maafkan saya bang. Saya tak buat lagi.” pohon Zack. Dia tidak mampu melawan kekuatan Salleh yang sedang kemarahan itu.

Dirinya benar benar lemah menerima tumbukan Salleh yang seperti besi itu. Salleh seperti dirasuk hantu pada malam itu. “Punya banyak perempuan dalam dunia ni kenapa bini aku juga yang kau nak sapu? Kau ni tak ada agama ke? Kau tahu tak berzina dengan isteri orang tu berdosa besar? Mak bapak kau tak ajar ke?” Jerit Salleh sambil menumbuk muka Zack bertalu talu.

Ramli yang mengintai di luar bilik benar benar ketakutan. Tidak pernah ayahnya bertindak seganas itu. “Sudah, saya kata sudah bermakna sudah.” Aida terus menarik tubuh Zack di dalam rangkulannya. “Oh! Ada pula pembela kat sini. Awak nak ke diri awak jadi macam tu?” Soal Salleh.

“Awak jangan lupa semua ni berpunca dari awak juga.” Kata Aida yang masih lagi memeluk Zack yang berada di dalam kesakitan itu. “Awak nak salahkan saya pula atas kesalahan yang awak buat. Kenapa pula saya yang jadi punca sedangkan awak yang buat salah?” Salleh benar benar tidak berpuas hati dengan kata kata Aida. “Awak jarang balik rumah. Awak jarang nak luangkan masa dengan saya. Awak sibuk dengan kes awak yang berlambak lambak tu. Inilah akibatnya kalau suami sering mengabaikan isterinya.” Luah Aida.

“Saya pergi kerja awak tahu tak? Bukannya saya menggatal dengan perempuan lain. Bukannya saya pergi berzina macam awak dalam rumah sendiri. Awak tak malu ke dengan Ramli? Dia tengok awak dengan lelaki lain yang bukan bapa dia. Saya pergi kerja sebab saya nak senangkan awak dan Ramli. Saya nak bagi awak kemewahan. Tapi ini balasan awak di atas semua pengorbanan yang telah saya lakukan.” Bidas Salleh.

“Orang lain pun bekerja juga tapi diorang masih ada masa dengan keluarga diaorang. Awak tu memang suami yang tak guna. Lebih baik saya cari lelaki lain yang lebih sayang dan lebih menghargai diri saya.” Ujar Aida. “Oh, awak nak cari suami yang sayang dan hargai awak Cik Aida. Baiklah saya tunaikan permintaan awak. Dengar sini baik baik. Aida binti Azman. Mulai hari ini saya ceraikan awak denga talak satu. Awak berambus dari rumah ni dengan lelaki yang sayang dan hargai awak ni. Berambus!” jerit Salleh.

Terkejut Ramli mendengar suara ayahnya. Tapi dia tidak mengerti apa itu makna talak. “Awak ingat saya nak sangat bersuamikan orang macam awak. Terima kasih Salleh sebab awak dah ceraikan saya. Saya gembira sangat. Jom sayang kita keluar dari rumah neraka ni.” ujar Aida lalu menarik tangan Zack. Setelah memakai pakaian, mereka berdua terus keluar dari rumah tersebut.

Sejak itu Ramli hanya tinggal dengan ayahnya. Ayahnya juga selalu meluangkan masa bersamanya. Peristiwa itu banyak menyedarkan ayahnya bahawa keluarga lebih penting dari kerja. Sejak peristiwa itu dia tidak pernah lagi bertemu dengan ibunya. Mana ibunya berada sampai sekarang dia tidak tahu. Pada mulanya dia tidak faham tentang apa yang berlaku. Lama kelamaan sesudah dia meningkat dewasa dia mula mengerti.

Sejak itu dia takut untuk jatuh cinta. Dia takut untuk disakiti dan dicurangi. Sejak peristiwa itu juga dia sentiasa murung. Dia sengaja membuat muka masam dan jarang senyum supaya perempuan tidak berani mendekati dirinya. Tetapi semua itu berubah sejak dia bertemu dengan Mahani. Mahani seorang wanita yang cantik, periang, tabah, berani dan beriman.

Dia teringat kali pertama dia bertemu dengan Mahani. Ketika itu dia baru bertugas sebagai Pengurus Besar RaHa Hotel pada waktu itu. Sebagai orang baru dia sengaja berjalan jalan di sekitar kawasan hotel yang besar itu. Dia memasuki dusun kecil yang ditanam khas buat pengunjung di hotel tersebut. Buah buahan seperti mangga, cempedak, manggis dan sebagainya akan dikutip oleh tukang masak hotel untuk diletakkan dalam masakan mereka.

Selain itu, Datuk Hasanah membenarkan kakitangan di hotel tersebut untuk makan buah buahan di dusun itu jika musim buah buahan bermula. Ketika dia leka berjalan jalan sambil menikmati buah yang ada di situ, dia mendapati dirinya telah sesat. Dia lupa jalan keluar yang dilaluinya tadi. Dia melihat di sekelilingnya. Hanya pokok pokok buah buahan yang kelihatan.

Hatinya diserang rasa takut. Dia mula fikirkan perkara yang bukan bukan. “Adakah aku disorok oleh hantu dusun?” Bisik hatinya. Dia cuba mencari jalan keluar namun tidak ditemuinya. Jalan yang dilaluinya sebentar tadi sudah tidak kelihatan. Kawasan itu sungguh asing baginya. Tiba tiba dirasakan ada seseorang yang menyentuh bahunya. Hatinya mula tidak sedap.

Perlahan lahan dia pusing ke belakang dan mendapati ada dua orang wanita yang bertudung dan memakai baju putih. “Tolong!” Jerit Ramli. “Encik Ramli, awak tak apa apa? Encik jangan takut. Kami ada di sini.” Ujar Mahani. Berderau darah Ramli melihat Mahani dan Nadia berada di situ. Di tangan mereka ada sebuah plastik yang di dalamnya terdapat banyak buah manggis dan rambutan.

“Saya ingatkan hantu tadi. Apa awak berdua buat di sini? Awak berdua ponteng kerja ye?” soal Ramli. “Apa? Encik ingat kami hantu? Encik ni muka saja tampan dan badan je sasa tapi penakut.” Ujar Nadia selamba. Terhambur ketawa Nadia pada waktu itu. Mahani terus menyiku lengan Nadia dengan agak kuat. “Sakitlah.” Adu Nadia. “Saya minta maaf Encik Ramli. Mulut kawan saya ni memang tak ada insurans. Saya minta maaf bagi pihak kawan saya.” Pinta Mahani.

“Tak apa. Saya tak ambil hati pun. Apa yang awak buat kat sini? Ponteng kerja?” soal Ramli serkap jarang. “Encik Ramli, sekarang sudah pukul dua belas tengah hari. Sekarang waktu makan tengah hari. Kami ke sini sebab nak kutip buah buahan ini untuk dibawa balik.” Jawab Mahani. “Oh macam tu.” Ujar Sahiril. Dia malu dengan tuduhan yang dibuatnya secara membabi buta.

“Apa Encik Ramli buat kat sini? Nak ambil buah juga ke?” soal Mahani. Nadia yang berada di sisinya sekadar mendiamkan diri. “Tak, saya saja jalan jalan kat sini. Nak tengok kawasan hotel ni. Lepas tu saya nampak dusun ni dan saya masuk. Tiba tiba saya rasa dah sesat.” Jawab Ramli jujur. “Memang banyak orang sesat kat dusun ni. Sebab tu jangan pergi dusun ni seorang diri. Hanya orang yang biasa datang saja yang tak sesat dalam dusun ni. Kalau macam tu mari kami tunjukkan Encik Ramli jalan keluar,” Pelawa Mahani.

“Baiklah.” Jawab Ramli lalu mengikut langkah Mahani dan Nadia yang berjalan keluar dari dusun itu. Sejak melihat wajah Mahani dia sudah mula jatuh cinta. Hatinya sudah mula terbuka untuk menerima cinta seorang wanita. Setiap kali bersama Mahani hatinya sentiasa berdebar. Dia sudah jatuh cinta pada Mahani walaupun dia tahu Mahani seorang janda beranak satu.

Dia mendapat tahu semua itu dari Nadia. Dia selalu bertanya perihal diri Mahani pada Nadia. Walaupun pada awalnya Nadia keberatan mahu menceritakan tentang diri Mahani namun apabila didesak Nadia membuka satu persatu cerita tentang kisah hidup Mahani yang malang itu. Dia kasihan melihat Mahani yang dipersiakan oleh bekas suaminya. Sepatutnya wanita seperti Mahani perlu dihargai dan disayangi.

 Dia mahu meluahkan perasaanya pada Mahani namun dia tidah tahu bila. Dia takut Mahani akan menolak isi hatinya. “Apa yang kamu menungkan tu?” soal Salleh yang entah datang dari mana. Lamunan Ramli sebentar tadi termati begitu sahaja. “Ayah ni buat saya terkejut saja. Nasib baik saya tak ada sakit jantung kalau tak tentu saya dah mati kojol.” Ujar Ramli.

“Ayah tengok dari tadi kamu termenung. Kamu ada masalah ke?’ Soal Salleh lagi. “Tak adalah ayah. Semua okey saja. Kenapa ayah tak tidur lagi?” soal Ramli pula. “Ayah nak tidur tadi tapi bila tengok kamu kat luar ni terus tak jadi tidur. Sejak akhir akhir ni ayah tengok kamu asyik termenung saja. Lepas tu senyum seorang diri. Kamu ingat kat Mahani ke?” Duga Salleh sambil tersenyum nakal.

 “Mana ada ayah. Ayah ni suka sangat bergurau.” Ujar Ramli. Dia sengaja mahu menutup rasa malu yang sudah mula bertandang di hatinya. “Ayah dah makan garam dulu dari kamu. Ayah tengok cara kamu pandang Mahani tu pun ayah tahu kamu suka dia. Kalau kamu suka dengan dia, jangan tunggu lama lama. Luahkan perasaan kamu pada dia atau kamu nak ayah masuk meminang?” Ujar Salleh.

”Entahlah ayah. Saya sendiri pun tak tahu. Saya takut dia tolak cinta saya kalau dia tahu isi hati saya.” Ujar Ramli. “Kalau kamu cakap kat dia yang kamu suka kat dia sekurang kurangnya dia tahu perasaan kamu pada dia. Mana tahu dalam diam diam dia pun sukakan kamu juga. Mungkin kamu tak perasaan.” Balas Salleh. Ramli bungkam seketika.

“Ayah nasihatkan lebih baik kamu ambil dia sebagai isteri kamu. Dia tu wanita yang baik. Status janda bukan ukuran. Yang penting hati budi dia sebagai seorang isteri menjadi keutamaan kita. Tak guna ada isteri cantik tapi perangai macam hantu. Kamu tengoklah ibu kamu. Muka memang cantik tapi hati lebih buruk dari kain buruk.” Ujar Salleh.

 “Ayah terima ke kalau saya kahwin dengan Mahani? Walaupun ayah tahu dia tu janda.” Ramli memandang ke wajah ayah yang amat disayanginya. “Sebagai seorang ayah, ayah terima apa saja pilihan kamu. Apa yang terbaik untuk kamu adalah terbaik untuk ayah.” Jawab Salleh ikhlas. “Terima kasih ayah. Terima kasih sebab sokong saya selama ni.” ucap Sahiril lalu memeluk ayahnya.

 “Sama sama. Mata ayah dah menagntuk ni. ayah nak masuk tidur. Jom kita masuk. Sejuk kat luar ni.” Ajak Salleh. “Okey.” Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam rumah.

.....................................................................................................................................................
      
Pada waktu makan tengah hari itu Mahani keluar bersama Nadia untuk makan di luar. Mereka sudah berjanji mahu makan di sebuah restoran yang baru sahaja di buka pada minggu lepas. Mereka mahu mencuba keenakan makanan yang disediakan di restoran tersebut. Ketika mereka mahu berjalan keluar dari RaHa Hotel, Mahani melihat seorang lelaki yang dikenalinya.

“Apa yang kau tengok tu Mahani? Ada Aaron Aziz ke kat situ?” soal Nadia. Kepalanya dipanjangkan untuk melihat jika pelakon kacak itu ada di RaHa Hotel. Kalau Aaron Aziz di situ sudah tentu dia yang menjadi orang pertama yang meminta autograf kepada pelakon itu. “Bukanlah. Takkan Aaron Aziz ada kat sini. Aku macam pernah tengok lelaki tu. Tapi aku tak ingat kat mana.” Jawab Mahani.

“Lelaki mana ni? aku tak nampak pun.” Soal Nadia lagi.“Lelaki yang pakai baju warna biru gelap dengan seluar warna hitam tu.” Tunjuk Mahani ke arah lelaki yang duduk di lobi hotel itu. “Cuba kau ingat betul betul mana kau jumpa lelaki itu. Entah entah dia tu perompak yang ada keluar kat surat khabar kot.” Duga Nadia. “Dah ingat. Bila kau sebut pasal surat khabar baru aku ingat. Itu Farid. Dia tu satu sekolah dengan aku. Dia dulu duduk sebelah rumah aku .’ ujar Mahani riang.

“Oh yakah? Tak kacak langsung kawan kau tu. Tampan lagi Encik Ramli tu.” Ujar Nadia pula. “Ishh, tak baik kau ni. Dia tu kawan aku tau. Dah lama aku tak jumpa dia. Jom kita pergi jumpa dia.” Mahani menarik tangan Nadia. “Kot ya pun sabar la dulu. Aku ni bukan tali tau main tarik tarik.” Ujar Nadia tidak berpuas hati. “Kalau tak silap ni Farid kan?” soal Mahani apabila mereka sampai di tempat lelaki itu duduk.

“Ya. Awak ni tentu Mahani.” Ujar Farid. “Ya. Ya Allah, lama betul kita tak jumpa. Kau apa khabar? Amboi sejak jadi wartawan ni dah lupakan aku. Sampai hati.” Kata Mahani pula. “Mana ada aku lupakan kau. Kau tu yang lupakan aku. Lepas kau kahwin langsung tak nak jenguk kampung halaman.” Kata Farid. “Aku sibuk la. Kau buat apa kat sini? Bercuti?” soal Mahani.

 “Bukan. Aku ada kerja sekarang ni. Aku ditugaskan oleh akhbar aku untuk cari maklumat pasal RaHa Hotel ni untuk tujuan promosi kepada pelancong.” Jawab Farid. “Kalau macam tu kau mesti akan jumpa dengan Sahiril. Dia tu CEO hotel ni.” ujar Mahani. “Aku tahu. Aku nak temu ramah mak dia iaitu Datuk Hasanah sebentar lagi. Kau nak pergi mana ni? kau dah habis kerja ke?” soal Farid pula.

“Belum. Kitaorang nak pergi makan tengah hari. Jomlah sekali. Boleh kita berbual panjang.” Pelawa Mahani. “Tak apalah. Aku baru makan. Lain kali kalau aku tak sibuk bolehlah kita makan bersama. Boleh bagi nombor kau kat aku?” Pinta Farid. “Boleh. Apa salahnya.” Balas Mahani lalu memberikan nombor telefon bimbitnya kepada Farid. “Kalau macam tu kami pergi dulu ye. Perut aku dah lapar ni. Kejap lagi aku nak masuk kerja.” Pohon Mahani. “Ok. Jalan baik baik.” Ucap Farid. Mahani mengangguk dan terus beredar bersama Nadia.

“Silakan Encik Sahiril.” Pelawa Ramli kepada majikannya itu sambil membuka pintu bilik 104 itu. “Terima kasih.” Ucap Sahiril. Dia berjalan dan duduk di meja solek yang berada di bilik tersebut. “Kalau ada apa apa encik boleh panggil saya.” Ujar Ramli. “Encik Ramli, kenapa meja ni berhabuk. Tolong panggil Puan Mahani untuk membersihkannya. Dia pengemas bilik ni kan?” soal Sahiril.

“Baiklah. Nanti saya akan suruh dia datang untuk bersihkan habuk tu.” Ujar Ramli lalu terus beredar. Sementara itu, Sahiril mengemas pakaiannya. Dia memasukkan pakaiannya ke dalam almari. Apabila terdengar bunyi loceng di pintu bilik, dia terus membuka pintu. Terpancul wajah Mahani di situ. “Tolong cucikan meja solek tu. Banyak betul habuknya.” Ujar Sahiril.

“Yakah. Saya terlupa nak cuci masa saya kemas bilik ni semalam. Saya minta maaf Sahiril.” Pohon Mahani dan terus mencuci habuk habuk yang melekat di atas meja solek itu. “Tak apa. Mungkin awak tak perasan. Saya ada perkara nak beritahu awak. Sebenarnya perkara ni dah lama saya nak cakap tapi sebab saya jarang jumpa awak jadi saya terlupa. Oleh sebab awak dah ada kat sini saya rasa eloklah saya beritahu. Ada jawatan kosong untuk awak di syarikat milik bapa Melisa yang baru buka tu. Melisa suruh tanya awak nak tak kerja tu. Gaji yang diaorang bayar banyak juga tau. Dua kali ganda dari gaji awak kerja di sini.” Ujar Sahiril.

“Betul ke Sahiril? Alhamdulillah. Bila saya boleh kerja? Saya dah tak sabar dah ni.” soal Mahani sedikit teruja. “Kalau awak setuju nanti saya akan cakap dengan Melisa. Saya rasa dalam bulan depan awak dah boleh mula kerja.” Ujar Sahiril. “Saya kerja jadi apa kat sana?” soal Mahani teruja. “Melisa kata dia nak lantik awak sebagai kerani kat syarikat itu.” Jawab Sahiril.

“Baguslah. Tak payah la saya kemas bilik orang lagi.” Gurau Mahani. Mereka berdua tertawa bersama. Tiba tiba mereka terdengar ketukan di pintu bilik. “Biar saya buka. Lagipun kerja saya dah siap.” Pelawa Mahani. Dia terus ke pintu bilik dan membukanya. Dia melihat beberapa orang lelaki yang sedang memakai kopiah. Lagak mereka seperti beberapa orang ustaz.

“Kami mendapat aduan ada berlaku maksiat dalam bilik ini. Anda berdua sila ikut kami sekarang.” Kata salah seorang daripada mereka. “Apa? Kami tak buat apa apa pun. Saya pekerja di sini. Saya datang nak bersihkan bilik sahaja.” Ujar Mahani mempertahankan diri. “Siapa tu Mahani?” soal Sahiril lalu mendapatkan Mahani. “Ada orang buat laporan yang mengatakan kita berdua buat maksiat.” Jawab Mahani.

“Apa? Encik, dia ni pekerja saya dan saya majikan dia. Takkan kami nak buat maksiat dalam bilik kot.” Ujar Sahiril. “Kamu berdua tahu kan yang duduk berdua duan dalam sebuah bilik tu salah. Tak kiralah sama ada pasangan kekasih ataupun pekerja dengan majikan. Pokok pangkalnya kamu berdua telah bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan.” Ujar lelaki itu.

“Encik, saya yang suruh perempuan ini datang ke mari. Saya ketuanya.” Ujar Ramli yang entah datang dari mana. “Kenapa kamu sebagai ketua di hotel ini boleh membenarkan perkara ini berlaku. Kamu sepatutnya tidak membenarkan mereka berdua berdua duan di dalam bilik. Mereka telah melakukan kesalahan. Sila ikut kami.” Putus lelaki itu.


1 ulasan:

  1. saya agak malas untuk membaca sedangkan saya sendiri punya blog, malahan ayat yang tertulis di blog saya hanyalah ringkas sahaja. Namun novel ini memberi kekuatan kepada saya untuk lebih banyak membaca. Terima kasih untuk novel ini.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.