Khamis, 11 Februari 2016

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 12


Air Tasik Cempaka sungguh tenang pada petang itu namun ketenangan itu tidak dapat menenangkan hati Ramli yang sedang dilanda kesedihan. Dia memandang beberapa orang pengunjung Taman Tasik Cempaka yang sedang melakukan aktiviti riadah. Ada yang bersenam, ada yang berlari dan ada juga yang bersantai di bawah pondok yang disediakan.

Ramli teringat akan perbualannya dengan Mahani pagi tadi. Dia tahu keputusannya untuk menikahi wanita itu agak terburu buru tapi yang pasti dia ikhlas mencintai wanita itu. Dia tidak kisah dengan status Mahani sebagai janda beranak satu yang penting Mahani mempunyai hati budi yang baik. Tetapi Ramli tidak menyangka sama sekali Mahani menolak lamarannya mentah mentah.

Mungkin kerana kes ditangkap khalwat itu Mahani menjadi tidak keruan jadi itu dapat mengganggu keputusannya. “Apa Encik Ramli buat kat sini?” Soal satu suara dari arah belakang. Suara itu seperti sudah biasa di dengarnya. Ramli berpaling ke belakang dan melihat Nadia berada di situ. “Kenapa? Tak boleh ke saya datang kat tasik ni?” Soal Ramli pula.


“Bukan tak boleh tapi saya tak pernah nampak encik di sini. Saya selalu lalu kat sini bila nak balik rumah.” Jawab Nadia jujur. “Biasanya saya datang kat sini pada hari Sabtu atau Ahad sahaja.” Ujar Ramli. “Biasanya? Habis hari Selasa ni luar biasalah?” soal Nadia ingin tahu. Ramli tertawa mendengar pertanyaan itu. “Entahlah Nadia. Hati saya tengah berkecamuk sekarang ni. Kepala saya pun tengah sakit ni.” ujar Sahiril.

“Kenapa? Adakah semua ini disebabkan kes Mahani ditangkap khalwat tu?” Soal Nadia lagi. Nadia seolah olah dapat membaca apa yang bermain di fikirannya sekarang. “Saya tak kisah dengan semua tu. Apa yang buat saya sedih ialah Mahani tolak cinta saya Nadia. Saya begitu ikhlas mencintai dia. Kenapa dia tak nampak semua tu?” Luah Ramli. “Jadi betullah selama ini Encik Ramli suka kat Mahani?” Nadia memandang wajah Ramli lama. Dia mahu mencari jawapan dari lelaki itu.

 “Ya. Sebab tu saya selalu tanya kat awak pasal dia.” Akui Ramli jujur. Dia tidak mahu lagi melindungi perasaannya pada Mahani. “Encik Ramli kena sabar. Dalam keadaan sekarang susah untuk Mahani nak buat keputusan. Encik kena bagi dia ruang untuk berfikir. Encik tak boleh bertindak terburu buru.” Nasihat Nadia. Ramli menarik nafasnya dalam dalam dan menghembuskannya perlahan lahan.

Benar kata Nadia. Dia terlalu terburu buru sebenarnya. Dia sepatutnya memberikan Mahani masa untuk berfikir. “Saya balik dulu Encik Ramli. Esok kita jumpa lagi di pejabat.” Ujar Nadia setelah tidak mendapat sebarang tindak balas dari Ramli. “Mari saya hantar awak balik. Sambil tu boleh saya tahu mana rumah awak.” Pelawa Ramli. “Apa salahnya. Rumah saya tak jauh dari sini.” Ujar Nadia.

“Saya betul betul tak sangka yang Mahani boleh buat I macam ni. Nampak saja baik tapi sebenarnya lebih jahat dari syaitan.” Ujar Sahiril kepada Melisa ketika mereka sedang menikmati makan malam di sebuah restoran yang terletak di Jalan Bukit Bintang. “I pun tak sangka. Tapi macam mana you tahu yang Mahani yang rancang semua ni?” Soal Melisa. “I terdengar kawan dia cakap masa I nak cari dia kat bilik dobi pagi tadi.” Jawab
Sahiril bengang.

“Habis tu apa tindakan you?” Soal Melisa lagi. “Mama suruh I kahwin dengan dia.” Jawab Sahiril bersahaja. “What? Habis tu I nak macam mana? Macam mana dengan hubungan kita? Macam mana dengan pertunangan kita?” Soal Melisa bertalu talu. “Sabar Lisa. I belum habis cakap lagi. I kahwin dengan dia dalam tempoh tertentu sahaja. Lepas tu I akan ceraikan dia. I bukan nak kahwin dengan dia sampai bila bila. Semua ni I rancang untuk selamatkan imej I dan hotel I. You ingat I gila ke nak kahwin dengan perempuan jahat macam tu.” Terang Sahiril.

“Mahani setuju tak nak kahwin dengan you?” Soal Melisa. “Nak tak nak dia kena setuju juga. Mula mula memang dia tak setuju tapi bila I ugut dia terus dia setuju.” Jawab Sahiril sambil tersenyum sinis. “You ugut dia apa sampai dia boleh setuju?” Soal Melisa lagi. “I cakap kat dia yang akan gunakan kuasa dan wang I untuk buat dia dan anak dia menderita.” Balas Sahiril.

“Pandai you ni. Tapi I rasa cara you tak berapa berkesan. What ever pun dia dah setuju kan? Yang penting hotel you selamat.” Ujar Melisa. “Betul tu. I akan buat hidup betina tu menderita bila I kahwin dengan dia nanti. I akan ajar dia cukup cukup. Biar dia ingat sampai mati.” Ujar Sahiril dengan penuh perasaan dendam. “Dan sebagai buah hati you, I akan bantu you untuk hancurkan hidup betina tak guna tu.” Ujar Melisa. Mereka berdua tertawa bersama.

............................................................................................................................................

Mahani, Mahmudah dan Irfan berjalan jalan di sekitar pasar raya Sogo dan kedai kedai yang berada di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk membeli barang keperluan pernikahan Mahani dan Sahiril. Begitu banyak barang yang dibeli oleh mereka. “Ibu, Irfan dahaga.” Ujar Irfan. “Jom kita singgah kat kedai tu. Kita beli air dulu. Mak long pun dah penat ni.” ujar Mahmudah.

Mereka bertiga berjalan ke arah sebuah kedai kecil yang menjual kuih muih dan beberapa jenis minuman. Setelah membeli sedikit kuih dan tiga cawan minuman, mereka bertiga duduk di tepi tangga kedai yang agak luas dan jarang orang lalu di situ. “Kenapa dengan kau ni Mahani? Aku tengok kau dari tadi asyik monyok saja. Kau sakit ke?” Soal Mahmudah sambil menyedut air minumannya. “Tak. Cuma penat saja.” Jawab Mahani pendek.

“Aku tahu kau risau pasal pernikahan ni. Kalau kau tak nak kenapa kau tak tolak saja permintaan Sahiril tu?” soal Mahmudah lagi. “Saya tak nak dia apa apakan keluarga kita. Saya tak nak sebab saya keluarga kita jadi mangsa. Irfan masih kecil lagi kak long. Dia belum tahu banyak perkara dalam dunia ni.” Jawab Mahani sambil mengusap usap kepala Irfan.

“Kau takut dengan ugutan Sahiril tu? Apa dia boleh buat? Dia tu saja nak kau masuk perangkap dia.” Ujar Mahmudah. “Kita tak tahu kemampuan dia kak long. Dia tu orang kaya. Macam macam dia boleh buat.” Ujar Mahani pula. “Aku betul betul tak sangka. Aku ingat selama ni Sahiril tu baik, sopan santun tapi rupa rupanya tak seindah yang aku bayangkan. Dia sanggup buat apa saja demi darjat, pangkat dan harta dia.” Kata Mahmudah.

“Itulah orang kaya kak long. Mentang mentang mereka kaya mereka boleh buat sesuka hati mereka.” Ujar Mahani. “Kau dah fikir masak masak ke nak kahwin dengan anak orang kaya tu?” Soal Mahmudah lagi. “Dah. Sebab tu saya ambil keputusan ni. Lagipun saya ambil keputusan ni sebab saya tak nak Ramli menaruh hati pada saya lagi.” Ujar Mahani.

“Apa? Macam mana kau tahu Ramli cinta kat kau?” Soal Mahmudah agak terkejut dengan kenyataan Mahani. “Semalam kan dia datang rumah. Dia nak kahwin dengan saya sebab dia cintakan saya.” Jawab Mahani. “Habis tu kau terima tak?” Soal Mahmudah tidak sabar sabar. “Tak. Kalau saya terima takkan saya nak kahwin dengan Sahiril.” Jawab Mahani.

Dia berasa janggal dengan pertanyaan Mahmudah itu. “Kenapa kau tak terima? Dia tu lelaki yang baik tahu tak. Macam macam dia dah tolong kau. Kenapa kau ni bebal sangat?” Marah Mahmudah. Dia merasakan adiknya menolak tuah. Apakah makhluk yang mendiami kepala adiknya itu sehingga mengambil tindakan yang boleh dikatakan bodoh seperti itu.

“Kak long, saya tahu Ramli tu baik. Sebab dia terlalu baiklah saya tolak cinta dia. Dia tak layak untuk saya. Saya janda kak long dan dia teruna. Dia dah banyak tolong saya dan saya tak nak menyusahkan dia kali ni. Biarlah saya selesaikan masalah saya sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Lagipun saya tahu Nadia sukakan Ramli. Ramli dan Nadia boleh menjadi pasangan yang serasi.” Jawab Mahani dengan panjang lebar.

“Tak tahulah aku nak cakap apa Mahani. Masalah kau ni rumit sangat. Kenapalah kau diuji sampai macam ni sekali.” Ujar Mahmudah. “Saya redha kak long. Saya redha dengan semua yang terjadi ni. saya tahu ada hikmah di sebalik semua ni.” Ujar Mahani pasrah. “Sudahlah tu. Hari dah nak hujan ni. Mari kita balik.” Kata Mahmudah lalu terus berdiri kemudian diikuti oleh Mahani dan Irfan. Mereka bertiga berjalan menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.

.....................................................................................................................................................

Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Mahani dan Sahiril. Mahani hanya bungkam di sebelah Sahiril manakala Sahiril pula memberi sepenuh tumpuan pada pemanduannya. Pagi tadi Sahiril ada menyuruh Mahani supaya bersiap namun dia tidak beritahu yang mereka mahu ke mana pada waktu itu. Bila ditanya Sahiril hanya mendiamkan diri.

Sepanjang perjalanan itu Mahani cuba berbual bual dengan jejaka itu namun Sahiril membuat Mahani seperti orang bodoh. Jadi Mahani hanya duduk mendiamkan diri sahaja. Pagi tadi Mahmudah ada menawarkan diri untuk menemaninya berjumpa dengan Sahiril namun Mahani membantah. Dia tidak mahu Mahmudah menyusahkan diri. Kakaknya itu sudah banyak membantunya. Biarlah dia menghadapi masalahnya sendiri tanpa bantuan orang lain.

Sahiril memberhentikan keretanya di hadapan sebuah pintu pagar yang besar dan tinggi. Sahiril menunggu beberapa saat dan tiba tiba pintu pagar itu terbuka dengan sendirinya. Sahiril terus memecutkan keretanya masuk ke dalam kawasan itu. Mahani melihat sebuah halaman yang amat luas seperti tiga buah padang bola sepak. Di kiri dan kanan kawasan itu terdapat banyak pokok pokok palma dan pokok pokok bunga yang terdiri daripada pelbagai jenis.

Kawasan itu tidak ubah seperti sebuah taman bunga. Tiba tiba Sahiril berhenti di hadapan sebuah rumah yang berwarna putih. Rumah itu sungguh besar bagai istana. Tidak pernah Mahani melihat rumah sebesar itu sepanjang hidupnya. Rumah itu bukan sahaja cantik malahan cukup indah dipandang mata. Tentu pemiliknya seorang yang kaya raya dan bertaraf jutawan kerana memiliki rumah sebesar itu.

“Apa yang termenung lagi tu? Turunlah. Kau nak aku ambil karpet merah baru kau nak turun?” Sindir Sahiril. Mahani terus membuka pintu kereta dan keluar dari kereta tersebut. Dia cuba bersabar dengan sikap Sahiril. Kalau diikutkan mulut Bakri sepuluh kali lebih berbisa dari mulut Sahiril. Jadi dia sudah biasa disindir dan diperli seperti itu. Dia langsung tidak terasa hati dengan kata kata Sahiril.

Mahani mengikut Sahiril masuk ke dalam rumah. Sungguh cantik dekorasi dan hiasan dalaman rumah tersebut. Tentu pemiliknya berbelanja besar untuk membuat keadaan menjadi seperti ini. Hiasan dan perabotnya semua mahal mahal belaka dan sudah pasti diimport dari luar negara. “Kau duduk kat sini dulu. Aku nak panggil mama kejap.” Perintah Sahiril. Mahani hanya menurut.

Dia duduk di salah sebuah sofa yang mahal, cantik dan lembut itu. “Mama? Jadi inilah rumah Datuk Hasanah, ibu Sahiril.” Bisik hati kecil Mahani. Beberapa minit kemudian muncul Datuk Hasanah, Sahiril dan Melisa dari arah dapur rumah banglo tersebut. Mahani lantas bangun untuk bersalaman dengan Datuk Hasanah. Dia menghulurkan tangannya namun tidak disambut oleh Datuk Hasanah.

Mahani menarik tangannya semula. “Datuk apa khabar? Sihat?” Soal Mahani cuba bermesra dengan wanita itu. “Kalau aku sakit aku takkan berdiri kat depan kau sekarang ni.” Jawab Datuk Hasanah angkuh. “Lisa apa khabar? Lama tak jumpa Lisa. Lisa makin cantik sekarang.” Ujar Mahani sambil memandang ke arah Melisa. “Buat apa aku nak jumpa kau. Bukan boleh dapat duit pun.” Jawab Melisa.

Terkejut Mahani dengan jawapan Melisa. Melisa yang berada di hadapannya sekarang berlainan sekali dengan Melisa yang dia temui ketika di Port Dickson dulu. Melisa di Port Dickson dulu seorang yang periang, lemah lembut dan agak manja tetapi mengapa Melisa boleh berubah sebegitu pantas. Apakah yang telah mengubah Melisa? Mahani tidak ada jawapan untuk soalan itu.

“Sudah, tak payah kau nak berlakon kat sini. Duduk! Ada perkara penting aku nak cakap dengan kau.” Ujar Datuk Hasanah. Mahani melabuhkan punggungnya di sofa itu semula. Hatinya tertanya tanya apakah perkara penting yang hendak disampaikan oleh Datuk Mahani kepadanya. “Aku rasa kau tahu pasal kes kau kena tangkap khalwat dengan Sahiril kelmarin kan?” Soal Datuk Mahani. “Mama, mestilah dia tahu. Dia yang rancang semua tu.” Ujar Sahiril.

“Apa yang awak cakap ni Sahiril? Apa maksud awak saya rancang perkara tu?” Soal Mahani tidak faham. “Hei perempuan! Boleh tak kau berhenti berlakon? Boleh tak kau buka topeng kau tu? Kau jangan nak buat drama kat sini boleh tak?” Jerkah Melisa kemarahan. Terkedu Mahani pada waktu itu. Dia sama sekali tidak tahu atas apa yang berlaku. Mengapa pula dia yang dituduh merancang perkara itu.

Mengapa pula dia mahu mencemarkan maruah dirinya dengan cara ditangkap khalwat bersama Sahiril. “Astaghfirullahalazim, apa Lisa cakap ni? Saya tak pernah rancang semua ni. Buat apa saya nak rancang perkara yang boleh merosakkan maruah saya sendiri.” Ujar Mahani mempertahankan diri. “Kau tu jenis perempuan yang sanggup buat apa saja demi wang. Aku dah tahu Mahani. Semua tembelang kau dah pecah. Kau tak
payah nak sorok lagi.” ujar Sahiril.

“Sahiril, siapa yang beritahu awak saya yang rancang semua ni? itu semua fitnah. Awak jangan percaya cerita yang mengarut macam tu.” Ujar Mahani lagi. “Sudah. Aku tak nak dengar apa apa lagi dari mulut kau. Kau dengar sini baik baik Mahani. Kau jangan ingat kau boleh rampas harta aku. Aku akan pastikan kau dan seluruh keluarga kau hidup menderita kalau perkara itu berlaku.” Kata Datuk Hasanah.

“Datuk, demi Allah. Saya tak pernah buat semua tu. Jangan dengar cerita yang bukan bukan.” Ujar Mahani yang sudah mula mahu menangis. “Kau dengar sini baik baik Mahani. Dua minggu lagi perkahwinan kau dengan Sahiril akan berlangsung. Sebelum kau berkahwin kau kena tandatangan dahulu satu perjanjian.” Ujar Datuk Hasanah. “Perjanjian apa?” Soal Mahani.

 Tiba tiba muncul seorang lelaki dari arah dapur sambil membawa beberapa buah dokumen. “Ini Encik Jamil. Dia peguam peribadi keluarga aku. Jamil, bagi dia baca perjanjian tu.” Arah Datuk Hasanah. Encik Jamil menghulurkan sebuah dokumen kepada Mahani. “Kau baca surat perjanjian itu.” Perintah Datuk Hasanah kepada Mahani. Mahani membaca surat perjanjian itu.

Dalam surat itu ada menyebut bahawa tempoh perkahwinan Mahani hanya dua tahun sahaja. Mahani juga tidak berhak untuk menuntut harta sepencarian  selepas berpisah dengan Sahiril dan ada beberapa lagi perkara yang perlu dia patuhi sepanjang perkahwinan itu berlangsung. “Saya rasa surat perjanjian ini berat sebelah.” Ujar Mahani berani. “Habis tu kenapa? Kau tak nak tanda tangan surat perjanjian tu? Kalau kau berani kau buatlah. Kau nak ke tengok kakak dengan anak kau tu jadi mayat yang tak cukup sifat aku kerjakan?” tengking Datuk Hasanah kegeraman.

Kecut perut Mahani mendengar ugutan Datuk Hasanah itu. Demi keluarganya dia sanggup berkorban. “Sekarang kau tanda tangan surat perjanjian tu.” Kata Datuk Hasanah sambil memberikan Mahani sebatang pen. Walaupun berat hati Mahani mahu menurunkan tanda tangan pada perjanjian yang berat sebelah itu namun dia terpaksa berbuat demikian untuk keselamatan ahli keluarganya.

Dia tidak mahu Mahmudah dan Irfan menjadi mangsa gara gara dirinya. “Bagus, kau telah membuat pilihan yang bijak Mahani.” Ujar Sahiril sambil tersenyum sinis. “Mulai hari ini kau kena buat persiapan pasal perkahwinan tu. Kau tak perlu risau pasal perkara lain. Kau risau pasal diri kau saja. Sekarang kau boleh berambus dari rumah aku. Perempuan sejijik kau tak layak langsung nak masuk ke rumah aku. Keluar.” Jerit Datuk Hasanah.

Tanpa melengahkan masa, Mahani terus keluar dari rumah banglo itu. Belum pernah lagi seumur hidupnya dia menerima penghinaan sebegitu rupa. Begitu murah harga dirinya dipermainkan oleh Datuk Hasanah dan Sahiril. Mahani terus berlari sambil menangis.


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.