Sumber : Google |
Maafkan saya kerana tidak dapat
menulis dan mengemaskini blog ini hampir setiap hari seperti lazimnya
memandangkan saya perlu memberi tumpuan kepada penulisan sebuah novel yang akan
saya terbitkan di dalam blog ini tidak lama lagi. Menulis sebuah novel
sebenarnya tidak sama seperti menulis sebuah artikel. Menulis sebuah novel
memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Saya sendiri pun tidak dapat
menjangka bila novel itu dapat disiapkan seterusnya diterbitkan di dalam blog
kerdil saya ini.
Ramai orang bertanya kepada saya,
mengapa saya tidak menghantar satu pun karya karya saya sama ada yang berbentuk
puisi, novel, atau cerpen kepada mana mana syarikat penerbitan atau kepada mana
mana akhbar/majalah? Bukan saya tidak pernah menghantar karya karya saya itu
tetapi apabila saya menghantarnya, mesti akan ada penolakkan daripada syarikat
atau penerbitan tersebut memandangkan saya bukanlah seorang penulis yang
kreatif. Saya menulis sekadar untuk bercerita, menyampaikan pengetahuan,
menyampaikan pendapat, membuat teguran, dan menyampaikan pemikiran. Karya karya
saya mungkin tidak ada nilai nilai komersial untuk diterbitkan dan disebabkan
itu ia sering ditolak. Saya sudah berputus asa untuk menghantar semua karya
saya itu kepada mana mana syarikat penerbitan dan oleh sebab itu, saya lebih
selesa untuk menerbitkan semua hasil cipta saya tadi di dalam blog ini sahaja.
Jika anda adalah pembaca setia kepada
blog ini, mesti anda akan sedar ada dua tiga buah novel online yang
tidak siap yang pernah saya terbitkan di dalam blog ini. Salah satu faktor
mengapa saya tidak dapat menghantar karya karya saya itu adalah disebabkan saya
gagal menyiapkannya dalam masa yang singkat memandangkan saya perlu menumpukan
kepada tugasan hakiki saya sebagai seorang mahasiswa. Novel novel yang saya
pernah terbitkan di dalam blog ini seperti novel Aku, Dia, Blog, dan Madu dan
novel Jembalang kekal terbengkalai begitu sahaja sehingga ke hari ini. Namun
begitu, jika ada masa terluang, saya akan sudahkannya dalam bentuk yang lain. Jalan
ceritanya mungkin berubah atau mungkin juga menjadi lebih ringkas tetapi saya
tetap akan menyiapkannya suatu hari nanti.
Baiklah, cukuplah dahulu mukadimah
artikel ini yang melambakkan masalah saya kepada anda. Biarlah saya bersurah
pula tentang tujuan saya menulis artikel ini yakni mengenai ciri ciri sahabat
sejati yang perlu anda ketahui. Siapa diantara pembaca blog ini mempunyai
sahabat sejati atau pernah mempunyai sahabat sejati? Jika ada, pernahkah anda
terfikir bahawa adakah sahabat sejati anda itu benar benar seorang sahabat
sejati? Atau adakah sahabat anda itu jenis sahabat yang semasa senang ia datang
dan semasa susah ia pergi? Dan adakah anda sudah mengetahui ciri ciri seorang
sahabat yang boleh dianggap sebagai sahabat sejati?
Bagi saya, sebagai seorang manusia
yang melalui banyak pengalaman dari jaringan persahabatan ini, sahabat sejati
itu adalah sahabat yang sanggup susah dan senang bersama dengan kita.
Maksudnya, sahabat yang boleh menghulurkan pertolongan tatkala kita
memerlukannya atau setidak tidaknya boleh mendengar masalah kita sekiranya dia
tidak dapat menghulurkan pertolongan seperti yang sepatutnya.
Seorang sahabat sejati tidak akan
meninggalkan sahabatnya terkontang kanting seorang diri di padang pasir
masalah. Dia akan mencuba sedaya upaya untuk membantu sahabatnya di dalam
kesusahan bila mana dia pada waktu itu berada dalam keadaan yang senang. Jika
dia berada di dalam keadaan yang susah atau turut bermasalah lalu tidak dapat
menolong sahabatnya yang berada dalam masalah itu, maka perbuatannya itu boleh dimaafkan
dan dikecualikan.
Sahabat sejati adalah sahabat yang
bukan hanya mencari sahabatnya ketika susah sahaja kemudian meninggalkan
sahabatnya itu ketika senang. Sahabat sebegini memang wujud dan sahabat
sebegini tidak layak untuk dipanggil sahabat sebaliknya hanya layak dipanggil
sebagai pengkhianat! Diharapkan kita dijauhkan dengan jenis sahabat sebegini.
Ciri lain untuk mengenal seorang
sahabat itu sebagai sahabat sejati adalah sentiasa bekerjasama dengan kita
dalam menyiapkan sesuatu tugasan atau melaksanakan sesuatu arahan yang
diberikan oleh pihak atasan dengan bersungguh sungguh. Sebagai contoh, dalam
kehidupan mahasiswa universiti, pasti perlu membuat sesuatu tugasan yang
diberikan oleh pensyarah secara berkumpulan. Mahasiswa dan mahasiswi ini pasti
memilih sahabatnya untuk berada dalam satu kumpulan. Jika rakan anda adalah
sahabat sejati, dia pasti akan bersama sama dengan anda untuk menyiapkan
tugasan yang diberikan oleh pensyarah tadi dengan sebaik mungkin. Jika dia
membiarkan anda menyudahkannya seorang diri, sahabat itu adalah sahabat yang
tidak boleh dianggap sejati tetapi sahabat yang mementingkan diri sendiri!
Sahabat yang sejati juga adalah
sahabat yang sentiasa menjaga hati, perasaan, dan maruah sahabatnya dengan
sebaik mungkin. Dia tidak mudah untuk mengutuk, menghina, atau memperlekehkan
sahabatnya sendiri dihadapan rakan rakan yang lain sehingga mencemarkan maruah,
mengguris hati, dan mencalarkan perasaan sahabatnya itu atas alasan gurauan.
Sahabat yang gemar menjatuhkan maruah, mengguris hati, dan mencalarkan perasaan
sahabatnya ini adalah sahabat yang tidak berperikemanusiaan serta sahabat yang
tidak mempunyai hati dan perasaan!
Sahabat yang sejati sering kali
memohon maaf kepada sahabatnya jika dia telah melakukan kesalahan atau telah
mengguris hati sahabatnya itu sama ada secara lisan atau perbuatan. Dia bukan
jenis sahabat yang cakap tanpa berlapik atau sahabat yang bercakap tanpa
mempedulikan hati dan perasaan orang lain. Namun, saya sangat yakin, sahabat
sahabat sebegini memang banyak di dunia ini cuma kita sahaja yang tidak sedar
akan kehadiran mereka memandangkan kita telah menganggap mereka sebagai sahabat
sejati!
Di atas adalah takrifan dan ciri ciri
sahabat sejati yang telah saya kemukakan. Ciri ciri seorang sahabat sejati
sangat berbeza dengan ciri ciri seorang sahabat biasa. Sahabat sejati sukar
dijumpai tetapi sahabat biasa memang ramai di dunia ini. Saya bukanlah seorang
sahabat sejati yang sempurna tetapi saya cuba sedaya upaya untuk menjadi
seorang sahabat sejati kepada mana mana sahabat yang saya temui. Baiklah,
biarlah saya akhiri artikel ini dengan dua soalan : pertama, adakah sahabat
yang ada dengan anda sekarang telah menepati ciri ciri yang saya sebutkan di
atas tadi? Kedua, adakah sahabat yang ada dengan anda sekarang benar benar
seorang sahabat sejati atau sahabat yang ketika susah datang dan ketika senang
pergi? Tepuk dada dan tanya iman anda sendiri.
Samalah.ada tulis novel,tapi tak pernah hantar.Dekat 10 tahun dok peram.Tapi puas bila dapat menulis.
BalasPadam