Ahad, 10 Januari 2016

MALAYSIA DAN TAKRIF KEMAJUAN

Sumber : Google
Menjelang tahun 2020, Malaysia dijangka akan menjadi sebuah negara maju. Ramai pemimpin dan rakyat Malaysia mahukan kemajuan itu. Mereka memasang impian negara Malaysia mungkin akan bertukar menjadi sebuah negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom atau setidak tidaknya menjadi maju seperti negara Singapura. Pada mereka, inilah contoh contoh negara maju yang mesti diikuti oleh Malaysia. 

Tafsiran mengenai kemajuan itu pelbagai sebenarnya. Apakah sebenarnya makna kemajuan bagi anda? Adakah kemajuan itu berupa bangunan yang tinggi tinggi seperti KLCC? Adakah kemajuan itu berupa kecanggihan pengangkutan awam? Apakah kemajuan itu bermaksud semua warganegara menjadi kaya raya? Apakah kemajuan itu bermakna sesebuah negara itu menguasai ekonomi dunia?

Apa yang saya tulis di atas itu bukanlah takrif atau maksud kemajuan yang sebenar. Di atas itu hanyalah lambang lambang kemajuan. Justeru, apakah sebenarnya makna kemajuan?


Baiklah, biarlah saya mengupas takrif kemajuan itu pada pandangan saya sendiri. Sama ada anda bersetuju dengan pandangan saya ini atau tidak itu menjadi soal kedua. Apa yang penting adalah saya ingin melontarkan makna kemajuan itu terutama dalam konteks negara Malaysia.

Pada saya untuk menjadi sebuah negara maju, rakyat sesebuah negara itu perlu menjadi maju terlebih dahulu kerana rakyat itu sendiri adalah agen kemajuan. Jika rakyat hidup lebih teruk dari zaman Rom dan juga Greek, bermaksud sukar untuk negara itu menjadi sebuah negara yang maju.

Kemajuan bagi saya yang pertama adalah kemajuan pemikiran rakyat sesebuah negara. Jika hendak menjadi sebuah negara maju, pemikiran rakyat mesti seiring dengan kemajuan negara tersebut. Ini bukan bermaksud rakyat itu mesti menjadi liberal atau sekular sebaliknya pemikiran rakyat itu mesti berubah menjadi anjal dan andal. Pemikiran rakyat tidak boleh jumud atau dengan kata lain tidak terbuka atau tidak boleh menerima perubahan.   

Pemikiran rakyat bagi sebuah negara yang maju adalah sentiasa berfikir dengan positif, berfikir dengan cara yang mudah, menjana idea idea baru, memisahkan ego dari pemikiran, tidak suka bertelagah pendapat jika pemikiran orang lain tidak sama dengan pemikirannya dan merendah diri dalam menangani perbezaan pemikiran. Konsep perbincangan mestilah dibuat untuk menghasilkan sesebuah idea atau menangani sesuatu masalah.  

Takrif kemajuan yang kedua adalah semua rakyat mesti menghormati Perlembagaan – yakni undang undang tertinggi dalam sesebuah negara. Segala yang termaktub dalam Perlembagaan itu mestilah dihormati dan dipatuhi seperti hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama bagi negara dan Raja Raja Melayu sebagai ketua negara dan ketua agama Islam.

Jika ada pihak pihak yang tidak menghormati atau tidak mematuhi Perlembagaan ini, selagi itulah negara ini tidak usah menjadi negara maju. Ini kerana akan wujud perasaan tidak tenteram dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Perpecahan dan pergaduhan akan terus berlaku. Apa makna kemajuan jika keamanan tidak boleh dikecapi? Maka, untuk menjadi sebuah negara maju, Perlembagaan hendaklah dihormati oleh setiap rakyat. 

Takrif kemajuan yang ketiga adalah tidak wujud perasaan benci membenci antara kaum. Maksudnya di sini, semua kaum mestilah bersatu padu dan tidak cuba menyemarakkan api perkauman dengan apa cara sekalipun seperti perbuatan, perkataan, penulisan, gambaran dan sebagainya. Apa apa elemen elemen yang boleh menyatupadukan kaum seperti memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekolah satu aliran, mengasimilasikan diri dengan kaum peribumi dan sebagainya hendaklah dilakukan. Ini dibuat bagi memastikan keamanan akan kekal terpelihara sampai bila bila.

Pencapaian ekonomi yang cemerlang dan gemilang untuk semua kaum yang ada di negara ini hendaklah dibuat. Maksudnya tidak ada kaum yang mendominasi bidang ekonomi. Semua kaum tidak kira sama ada bumiputra atau bukan bumiputra mesti menguasai kek ekonomi secara seimbang dan adil. Hal ini kerana ekonomi adalah perkara terpenting dalam pembinaan sebuah negara yang maju dan moden. 

Sistem pendidikan yang benar benar mampu untuk menghasilkan manusia yang kreatif, kritis, dan intelektual hendaklah dibuat. Sistem pendidikan yang kita ada sekarang ini gagal untuk melahirkan manusia yang semacam itu. Bayangkan, sudah lebih 50 tahun negara ini mengecapi kemerdekaan, namun satu jenis senjata pun tidak mampu dicipta oleh penduduk negara ini. Mengapa? Hal ini kerana sistem pendidikan kita tidak berjaya melahirkan manusia yang kreatif dan kritis sebaliknya melahirkan manusia yang mempunyai pemikiran aras rendah yakni pemikiran yang tidak memerlukan seseorang itu berfikir secara meluas dan mendalam seperti menghafal atau mengingati sesuatu fakta atau maklumat.

Negara yang maju juga mestilah ditadbir oleh pemimpin yang benar benar mahu berkhidmat untuk rakyat. Pemimpin yang rasuah, pecah amanah, tidak bertanggungjawab dan penipu tidak boleh memimpin sebuah negara maju. Hal ini kerana, pemimpin pemimpin sebeginilah yang akan merosakkan negara maju tersebut. Pemimpin pemimpin sebegini hendaklah dibakulsampahkan terlebih dahulu sebelum menjadikan negara ini sebuah negara maju.

Kemajuan juga tidak boleh dipisahkan dengan teknologi yang canggih. Segala bidang yang melibatkan sains dan teknologi mestilah diperkasakan seperti kejuruteraan, perkomputeran, pensenjataan, dan sebagainya. Bidang bidang sebegini hendaklah dijulang tinggi supaya kehidupan rakyat akan menjadi mudah tanpa merosakkan atau memusnahkan alam sekitar.    

Itulah makna atau takrifan kemajuan bagi saya dalam konteks negara Malaysia yang tercinta ini. Jika dilihat pada keadaan sekarang, negara ini tidak boleh diiktiraf sebagai sebuah negara maju sebaliknya diiktiraf sebagai sebuah negara membangun sahaja, Namun, jika ada manusia dalam negara ini yang gemar berfantasi, maka mereka akan beranggapan bahawa negara ini adalah sebuah negara maju!

  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.