Ahad, 10 Januari 2016

ANAK MUDA DAN POLITIK BARU

Sumber : Google

Di sana sini ramai orang bercakap tentang politik baru. Sejak tsunami politik tahun 2008, frasa ini kedengaran dengan sangat jelas terutama dari mulut pemimpin pemimpin pembangkang dan anak anak muda yang menyokong parti pembangkang. Pemimpin parti pembangkang dikatakan cuba membawa politik baru ini bagi mengubah landskap politik Malaysia setelah negara ini mencapai kemerdekaan selama hampir 60 tahun lamanya. Oleh kerana pengundi pengundi yang ada pada hari ini terdiri daripada anak anak muda, maka politik baru ini berjaya memenuhi aspirasi mereka. Pendek kata, majoriti anak muda bersetuju dengan politik baru yang dibawa oleh pemimpin pembangkang itu.

Secara kasarnya, politik baru yang dibawa oleh pemimpin pembangkang itu memang untuk memecahkan monopoli kuasa UMNO-BN sejak sekian lama. Pemimpin pembangkang percaya, dengan membawa politik baru ini sahajalah sebagai satu cara bagaimana mereka mahu menumbangkan BN yang mereka anggap telah banyak merugikan negara. Dengan membawa politik baru ini, pemimpin pembangkang merancang untuk merampas takhta kuasa UMNO-BN bagi membolehkan mereka mentadbir negara ini mengikut acuan yang mereka kehendaki atau sesuai dengan politik baru yang mereka perkatakan pada hari ini.

Tidak hairanlah mengapa, pemimpin pemimpin liberal dan sekular yang keluar dari PAS itu menamakan diri mereka sebagai Gerakan Harapan Baru lalu menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN). Semua ini berlaku kerana pengaruh politik baru yang mereka cipta itu di samping menyesuaikan parti tersebut dengan aspirasi anak anak muda yang menjadi penentu kemengan mana mana parti politik dalam pilihan raya akan datang.   


Wujud persoalan di benak ramai anak muda, apakah yang dimaksudkan dengan politik baru itu? Menurut beberapa sumber, politik baru yang acapkali dipukul canang oleh pemimpin pembangkang itu adalah politik yang berpisah daripada kerangka perkauman, mengutamakan ketelusan, menghapuskan rasuah, menjalankan pentadbiran kerajaan yang baik dan berkesan serta menjaga kebajikan rakyat. 

Secara umumnya, saya sangat bersetuju dengan politik baru yang hendak dibawa oleh pemimpin pembangkang itu. Pada hemat saya, sudah sampai masanya negara ini berubah untuk ditadbir mengikut acuan politik baru yang dilaung-laungkan oleh pemimpin pembangkang itu. Politik baru itu sangat bagus dilaksanakan bagi memastikan negara dan rakyat negara ini kekal aman dan sejahtera sampai bila bila. Rakyat secara umumnya sudah muak dengan pentadbiran sekarang yang bermasalah di sana sini.

Walaubagaimanapun, mengapa begitu sukar sekali politik baru ini ingin diterima oleh sekalian anak muda? Jika politik baru yang dibawa oleh pemimpin pembangkang ini benar benar berkesan, mengapa ia tidak dapat diterima oleh sekalian anak muda secara keseluruhannya. Tentu ada sebab musabab yang konkrit bagi menjelaskan perkara ini. Jika dilihat secara kasar, kita boleh membuat kesimpulan bahawa politik baru ini sangat berkesan dan sudah pasti mudah diterima oleh ramai anak muda. 

Walaupun ramai anak muda teruja untuk menerima politik baru ini, namun sebahagian besarnya tidak. Ini kerana politik baru ini cuba membuang asas asas pembentukkan negara ini secara perlahan-lahan. Asas asas pembentukan negara yang saya maksudkan adalah kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan raja raja Melayu dan apa sahaja perkara yang disebut dalam Perlembagaan – yakni undang undang tertinggi dalam negara ini.

Walaupun politik baru itu dilihat hebat dan gah, namun ia sukar diterima oleh sebahagian besar anak anak muda yang masih sayangkan asas asas pembentukan negara ini. Walaupun mereka mahu melihat negara ini berubah menjadi lebih baik, namun bagi mereka apa gunanya semua itu sekiranya asas asas pembentukan negara ini dianaktirikan. Oleh sebab itulah, pembangkang sukar untuk mentadbir negara ini walaupun mereka membawa politik baru yang mereka canang sebagai satu cara bagi mengubah negara dan masyarakat menjadi lebih baik.

Politik baru itu boleh diterima oleh semua anak muda jika pembangkang tidak membuang asas asas pembentukan negara ini. Memanglah jika dilihat tidak ada satu kenyataan pun yang dikeluarkan oleh pemimim pembangkang yang mahukan asas asas pembentukkan negara ini dibuang namun jika dibaca secara tersirat atau menganalisis tindak tanduk mereka, kita boleh menilai sejauh mana keikhlasan mereka untuk menjaga asas asas pembentukan negara ini dalam politik baru yang hendak dibawa oleh mereka itu.      

Sepatutnya pemimpin pembangkang tidak boleh sama sekali meninggalkan asas asas pembentukkan negara ini dalam politik baru itu. Ini kerana, asas asas pembentukkan negara ini sudah terpasak kuat dalam sanubari kebanyakkan anak anak muda di negara ini. Jika asas asas pembentukkan negara ini dibuang, dikhuatiri akan mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anak muda seterusnya akan mewujudkan ketidakstabilan sosial dalam kalangan mereka.

Ini bukan cerita Awang Sulung Merah Muda yang punya banyak panau kesaktian itu. Ini adalah cerita betul yang melibatkan masyarakat dan negara. Jika pembangkang mahu memerintah negara ini, perjuangkan politik baru itu tanpa meninggalkan asas asas pembentukkan negara ini. Jika asas asas pembentukkan negara ini dibuang, UMNO-BN akan terus berkuasa sampai bila bila.     


2 ulasan:

  1. Zumal sebenarnya dah tak tahu apa nak pangkah ^-^

    BalasPadam
  2. Sangat setuju dgn MNH. Politik baru yg dicanang nmpk lebih membawa kerosakan. Silapnya kerana mahu membuang terus asas2 plg penting. Nmpk sgt tiada karisma kepimpinan. Pembangkang nmpknya gagal mgambil kesempatan diatas kepincangan besar pentadbiran teruk najib.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.