Sabtu, 9 Ogos 2014

KOMEDI DAN TRAGEDI DI SUKAN KOMANWEL KE 20

amsyar azman
Gambar Hiasan


       Pelbagai tugasan yang perlu saya selesaikan selepas cuti hari raya ini. Tuntutan tugas sebagai seorang pelajar begitu membebankan diri saya untuk terus menulis di blog ini bagi perjuangan membela Islam, Melayu dan Malaysia. Ketika artikel ini ditulis, saya sedang berada dalam keadaan tertekan kerana begitu banyak masalah yang saya hadapi dalam menyelesaikan tugasan tugasan yang diberikan oleh pensyarah saya. Buat rakan rakan pembaca, saya minta pertolongan daripada kalian untuk mendoakan saya agar semua urusan saya sama ada di dunia mahupun di akhirat dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

       Tugasan tugasan yang datang bertimpa timpa ini begitu meragut masa saya untuk menulis. Masa yang saya peruntukan untuk menulis habis begitu sahaja kerana tugasan tugasan yang banyak itu. Di samping itu juga, kuiz dan ujian sering kali diadakan selepas cuti hari raya ini. Oleh itu, masa saya lebih banyak tertumpu kepada perkara perkara itu berbanding dalam dunia penulisan. Namun begitu, saya tetap menggagahkan diri dalam menggerakkan pena untuk mengulas isu isu semasa untuk kesejahteraan kita bersama.


         Sukan komanwel yang ke 20 baru sahaja melabukan tirainya. Tetapi, bak kata pepatah rumah siap pahat masih berbunyi. Pelbagai perkara masih lagi dibincangkan dan diperdebatkan tentang prestasi atlet atlet yang dilihat terus merundum dan merundum apabila Malaysia gagal mencapai sasaran tujuh pingat emas kali ini.

         Sudah pasti kritikan akan dilemparkan kepada skuad hoki negara dibawah kendalian Mohd Damaraj Abdullah. Seperti biasa, kem  negara terus dikalahkan dan lebih memalukan apabila ditewaskan oleh skuad hoki dari Trinidad dan Tobago! Pemain badminton perseorangan negara iaitu Liew Darren terus memaparkan aksi memalukan apabila gagal membawa pingat emas buat negara.

        Apa akan jadi kepada industri sukan di Malaysia tidak dapat saya ramalkan. Industri sukan kita terus malap dan gelap apabila kita masih gagal mencapai sasaran pingat emas yang kita mahukan. Sudah sampai masanya satu kajian khusus perlu dibuat oleh KBS dan dan persatuan persatuan sukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi masalah ini. Sampai bila kita mahu terus kalah dan kalah? Sampai bila kita mahu atlet kita hanya sekadar melancong sahaja dan bukannya memikul tanggungjawab untuk membawa kemenangan kepada negara?

       Soalnya sekarang adalah mengapa kita terus gagal dan gagal? Mengapa kita tidak mampu membawa kejayaan seperti mana era 80an dan 90an dahulu? Di mana salah dan silapnya? Inilah yang sepatutnya dikaji dan diselidik oleh pihak pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah ini.

       Sejujurnya saya sendiri tidak tahu siapa yang bersalah dalam hal ini. Atlet? Kerajaan? KBS? Jurulatih? Atau persatuan sukan? Sampai bila kita mahu menempah keranda kekalahan dalam setiap kejohanan sukan yang kita ceburi? Seandainya tidak ada kajian yang terperinci, nescaya masalah ini akan terus berlarutan. Saya tidak nampak sukan Komanwel ini mampu memberi satu jawapan yang pasti terhadap masalah yang berlaku ini.

        Sekiranya beginilah prestasi atlet atlet yang bertanding di mana mana kejohanan sukan, nasihat saya lebih baik atlet atlet ini tidak perlu dihantar ke mana mana. Cukuplah sekadar mereka bermain di SUKMA sahaja. Untuk apa kita perlu habiskan berjuta juta ringgit kepada mereka seandainya prestasi yang buruk tetap mereka paparkan kepada kita? Alangkah bagusnya jika duit duit yang dilambakkan kepada mereka itu dilambakkan kepada perkara perkara yang lebih berguna untuk pembangunan dan kemajuan negara ini.

      Saya malu setiap kali kita bertanding, setiap kali itulah kita menempah kekalahan! Pada saya, Malaysia tidak mempunyai satu pun penguasaan dalam mana mana sukan seperti mana China yang menguasai sukan badminton. Kita ada atlet yang baik seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Pandalela Rinong, dan Azizulhasni Awang namun setakat itu sahaja. Yang lain ke mana hilangnya?

        Nasihat saya adalah carilah jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini. Saya tidak tahu apa jalan penyelesaiannya sementelahan saya bukanlah peminat sukan namun besarlah harapan saya agar industri sukan di negara ini terus berkembang dan gemilang di persada antarabangsa.

Berkesankah Jika Kita Boikot Produk Israel Terhadap Isu Palestin?

         Sudah ramai blogger dan ilmuwan telah mengulas isu ini namun apabila melihat seolah olah maklumat yang mereka sampaikan masih lagi tidak memberi kesan kepada masyarakat, saya perlu bersama sama dengan mereka menggerakkan pena untuk memberi penjelasan lanjut mengenai masalah boikot memboikot ini. Ada yang masih ragu ragu adakah kita perlu memboikot produk produk yang memberi keuntungan kepada Israel ini? Sudah pasti jawapannya adalah ya kerana kita tidak mahu memberi keuntungan kepada pihak yang telah menghancurkan saudara seagama dengan kita.

        Besar atau kecil pertolongan kita bukan persoalannya. Apa yang penting kita mesti membantu saudara saudara seagama dengan kita yang telah ditindas di Palestin sana. Kita tidak mempunyai kudrat untuk melawan Israel yang sentiasa dibantu oleh proksi besarnya iaitu Amerika Syarikat. Oleh itu, kita lawan mereka dengan kemampuan kita dan salah satu caranya adalah dengan memboikot produk produk yang boleh memberi keuntungan dan kekayaan kepada mereka.

          Ingatlah, jika kita tidak cuba membantu saudara seagama kita, apakah yang kita akan jawab di hadapan Allah nanti apabila Allah bertanya apakah tindakan kita apabila saudara seagama kita dianiaya? Apa jawapan kita? Oleh itu, pada hemat saya memboikot ini merupakan salah satu usaha kita untuk melemahkan Israel yang terus mengganas dan bermaharajalela itu.

         Ingatkah kita pada kisah Nabi Ibrahim ketika dibakar oleh Raja Namrud dalam api yang sangat besar? Ketika itu muncul seekor burung yang membawa air dengan menggunakan paruhnya untuk membantu Nabi Ibrahim dengan memadamkan kebakaran itu. Walaupun kita tahu yang usaha burung itu adalah sia sia sahaja namun sekurang kurangnya dia berusaha supaya dia terlepas daripada pertanyaan Allah mengapa dia tidak membantu seorang Nabi Allah yang berada dalam kesusahan.

        Kisah Nabi Ibrahim dan burung itu sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Contohilah sikap burung kecil itu yang sanggup membantu Nabi Ibrahim yang sedang dianiaya. Kita perlu memberi pertolongan kepada saudara seagama kita yang berada di Palestin sana walaupun usaha kita hanya sebesar zarah sekalipun.

      Timbul juga isu di mana dalam kita memboikot produk keluaran Israel seperti McDonald itu kita telah bertindak sama seperti orang Yahudi. Kita sanggup memukul, meludah dan merosakkan harta dan pekerja pekerja McDonald kerana kita benci dengan Israel. Sepatutnya isu seperti ini tidak boleh berlaku. Boikot tetap boikot tetapi janganlah sampai kita melakukan sebegitu rupa kepada pekerja pekerja McDonald.

       Ada diantara mereka yang seagama dengan kita dan mereka juga tidak bersetuju atas apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin. Sudah rezeki mereka bekerja di McDonald mengapa kita mesti marah? Mereka tidak bersalah. Orang yang bersalah dalam hal ini adalah orang  orang Israel yang kejam dan zalim itu.  

       Nasihat saya, boikotlah menggunakan akal dan bukannya nafsu amarah. Jangan sesekali menghina orang yang bekerja di McDonald tersebut. Mereka tidak bersalah. Selain boikot, hulurkanlah bantuan dalam bentuk derma dan doa kepada rakyat Palestin itu. Sesungguhnya mereka sangat sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita. Siapa lagi yang akan membantu mereka jika tidak kita?

         Saya kagum dengan kesatuan kita semua dalam membantu rakyat Palestin ini. Sepatutnya sikap ini yang perlu kita semua tunjukkan sejak dari awal lagi. Perpaduan merupakan senjata utama untuk menewaskan Israel. Alangkah indahnya jika semua umat Islam di dunia ini bersatu hati dalam menentang Israel dan membantu rakyat Palestin. Saya yakin jika kita semua bersatu padu, isu Israel – Palestin ini sudah lama selesai.

         Apa yang penting sekarang, marilah kita terus bersatu padu sebagai umat Islam bukan hanya dalam isu Palestin sahaja tetapi juga dalam isu isu lain contohnya mempertahankan kalimah Allah yang hendak digunakan dalam kitab Bible baru baru ini. Bersatu padu dalam mempertahankan agama adalah sesuatu yang sangat kita perlukan pada masa ini.

      Bukan itu sahaja, perpaduan kita dalam politik juga sangat sangat kita perlukan. Sekarang ini kita sedang berpecah kerana berlainan ideologi politik. Tidak sepatutnya perkara seperti ini boleh berlaku. Oleh itu, marilah kita sama sama meletak tepi ideologi politik kita dan kembalilah bersatu di bawah panji panji Islam.

Pakatan Rakyat : Antara Hidup Dan Mati

          Pakatan Rakyat yang sememangnya tidak sepakat dalam banyak perkara kali ini sudah mahu pecah dan terbelah akibat kes Menteri Besar Selangor. Ketika artikel ini ditulis Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) telah dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR kerana keenganannya meletak jawatan sebagai Menteri Besar. PAS bersama dengan Majlis Syura Ulamaknya sebelum ini mahu Khalid dikekalkan sebagai MB di negeri terkaya itu.

       Dalam isu ini, PAS dan UMNO sedang bersama sama dengan Khalid manakala PKR dan DAP terus menentang Khalid. Ini membuktikan pakatan tanpa sepakat ini sedang retak menanti belah. Apakah ini merupakan satu alamat dari Allah bahawa Pakatan Rakyat akan berkubur dalam politik Malaysia? Sama sama kita nantikan.

         Apa yang menjadi tanda tanya sekarang adalah kedudukan Khalid sebagai MB. Adakah beliau akan terus tidak mahu meletak jawatan atau akur dengan keputusan bekas partinya itu? Adakah beliau akan masuk PAS atau pun UMNO untuk menyelamatkan kedudukan beliau sebagai MB? Adakah cita cita Anwar Ibrahim untuk melantik isterinya (Wan Azizah) sebagai MB akan berjaya? Hanya Allah dan Khalid sahaja yang tahu akan perkara ini.  

        Dalam isu ini jelas kelihatan bagaimana gaya politik Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat yang selama ini mendabik dada bahawa mereka adalah pembela rakyat dan lebih baik dari UMNO/BN. Ternyata itu semua adalah retorik politik semata mata. Mereka sebenarnya bukanlah pembela rakyat tetapi menggunakan rakyat untuk kepentingan politik dan diri mereka sendiri. Jika selama ini Rafizi Ramli dan kabilahnya sibuk mahu membongkar keburukan UMNO/BN, ternyata dalam isu ini mereka sendiri membongkar tembelang yang mereka simpan kemas selama ini.

       Pelbagai skandal yang mereka tutup rapat selama ini terpecah akibat perebutan jawatan MB Selangor itu. Inilah contoh contoh pemimpin munafik dan cakap tidak serupa bikin. Mereka sibuk membongkar keburukan orang lain tanpa mereka sedari mereka juga mempunyai keburukan yang serupa. Oleh itu, janganlah Rafizi Ramli, Anwar Ibrahim, Khalid Samad, Husam Musa, Lim Guan Eng dan ramai lagi mendakwa mereka ini parti super bersih dan lebih layak memerintah Malaysia daripada UMNO/BN.

       Dalam isu MB Selangor ini, ternyata sifat diktator dan gila kuasa Anwar Ibrahim semakin jelas kelihatan. Ternyata kronisme terus berlaku dalam politik PKR dan oleh kerana itu Khalid Ibrahim yang tidak mempunyai sebab kukuh untuk dipecat telah tersingkir dari parti ciptaan Anwar dan kabilahnya itu.

        Ternyata mereka sama sahaja dengan UMNO/BN dalam menjahanamkan rakyat. Sesungguhnya pemecatan Khalid Ibrahim sebagai MB amat mengejutkan. Ribut taufan politik apakah yang akan terjadi selepas ini? Sama sama kita saksikan.   

3 ulasan:

  1. bagus ye penulis ambik tahu isu semasa...kalau aku sah-sah malas nak amik tau sgt..lagi-lagi politik...berbelit-belit...
    tapi yang pasal isu boikot tu nak komen sikit...kecik atau besar usaha kita utk membantu hanya Allah je yang tahu...mungkin tak seberapa kann...tapi ikhtiar untuk membantu itu ada...
    jangan tensen2 ye bro buat assignment tu...chill sajor...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaha. Terima kasih kid atas nasihat tu. Saya minat politik dan bercita cita nak.jadi penulis. Sebab tu saya ulas isu isu semasa ni. Politik ni mmg berbelit belit tapi best. Hahaha. Saya setuju dengan pendapat awak kid pasal boikot tu.

      Padam
  2. hye saya admin dari segmen mencari 20 bloglist bertuah dan anda boleh check senarai blog anda http://dunia-iekafarhana.blogspot.com/2014/08/senarai-blog-segmen-mencari-20-bloglist.html

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.