Ahad, 31 Ogos 2014

KITA MASIH TIDAK BERSYUKUR WALAU…




          Syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan kurniaanNya kita dapat menikmati satu lagi nikmat yang Allah berikan kepada umat manusia selain Islam iaitu nikmat kemerdekaan. Semalam kita menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 57 tahun. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berasa bersyukur dan bertuah kerana dilahirkan di negara ini. Cuba bayangkan jika Allah lahirkan kita di Ghana atau Somalia? Bagaimana agaknya nasib kita? Sebab itulah penting kita sentiasa bersyukur di atas nikmat kemerdekaan negara ini. Allah telah memberikan kepada kita sebuah negara yang maju dan mewah.
         
         Walaubagaimanapun, ramai diantara kita yang masih tidak sedar diri dan tidak mahu bersyukur di atas apa yang telah Allah berikan kepada kita selama ini. Kita selalu membanding bandingkan negara kita dengan negara negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Sweden dan Switzland kononnya negara itu lebih baik dan lebih maju daripada kita. Kita selalu mengkritik kerana tidak mendapat itu dan tidak mendapat ini sedangkan rakyat negara lain mendapat apa yang kita tidak dapat di negara kita.

          Saya sentiasa berpegang dengan pepatah Melayu bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Mungkin negara orang lebih baik dari negara kita tetapi saya yakin negara kita pun pasti ada kelebihan yang tidak ada pada negara orang. Allah itu Maha Adil sebenarnya. Jangan kerana kita selalu melancong ke negara orang, kita terus mengaguminya dan kita memperlecehkan negara kita sendiri kerana tidak setanding dengan negara orang yang kita pergi.

         Ya, saya akui bahawa negara kita ini banyak kelemahannya di sana sini dan jujur saya katakan bahawa saya sendiri pun marah atas kelemahan kelemahan itu tetapi saya ingin bertanya, adakah negara orang yang kita kagumi itu tidak ada kelemahan? Adakah semua yang ada di negara orang itu baik baik sahaja? Adakah semua di negara orang itu cantik sahaja? Saya yakin sudah tentu jawapannya tidak. Setiap manusia ada kelemahan dan kekurangannya. Kalau kerajaan kita pun mempunyai banyak kelemahan, kerajaan negara lain pun sama.

             Kita mungkin tidak dapat melihat segala kelemahan itu kerana kita bukan rakyat negara itu. Cuba kita tanya kepada rakyat negara tersebut, apakah mereka berpuas hati dengan pentadbiran dan kualiti yang ada di negara mereka? Saya yakin pasti mereka juga ada rasa tidak berpuas hati dengan pentadbiran di negara mereka sendiri. Kita selalu mengagung agungkan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang maju, yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan akhbar yang tinggi tetapi banyak juga rakyat di negara mereka yang tidak berpuas hati dengan kerajaan mereka. Kita lihat sahaja di Amerika. Sistem kapitalis begitu kuat mencengkam rakyat mereka sehingga ramai rakyat mereka yang menjadi miskin akibat daripada sistem itu. Mahukah kita tinggal di negara seperti itu?

          Kita lihat apa yang berlaku di negara Cuba. Mereka mengamalkan dasar kesihatan percuma tetapi dasar itu tidak ada di Amerika Syarikat walaupun Cuba adalah sebuah negara yang Amerika Selatan yang  miskin. Ini membuktikan tidak ada negara yang sempurna di dunia ini. Kita sahaja yang begitu suka membanding banding dan memuji negara negara itu sedangkan negara mereka tidaklah sebagus mana.

          Negara kita pun banyak kelebihan yang saya fikir tidak perlu saya tulis satu persatu di sini. Anda sebagai rakyat Malaysia sudah tentu tahu apakah kelebihan kelebihan tersebut. Tetapi oleh kerana rasa tidak bersyukur itu sentiasa ada di dalam hati, maka kita nafikan segala kelebihan kelebihan itu. Kita mahukan negara kita menjadi seperti negara orang tetapi persoalannya sekarang adakah negara kita mempunyai kemampuan untuk menjadi seperti negara maju yang kita idam idamkan? Adakah negara kita mempunyai sumber sumber yang cukup untuk menjadi sebuah negara yang maju?

           Saya berharap agar anda semua jangan terlalu berfikiran jumud terhadap perkara ini. Melaksanakan sesuatu perkara bukan mudah seperti memperkatakannya. Kita hanya pandai berkata kata tetapi kita sendiri tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Saya sendiri pun boleh berkata itu dan ini untuk memajukan negara ini tetapi hakikat sebenarnya tidak seperti apa yang saya perkatakan. Ingatlah, kita mesti sentiasa berpijak pada realiti bak kata pepatah di mana bumi berpijak di situ langit dijunjung.

         Jika kita mahu menjadi sebuah negara yang maju, apakah pemikiran kita semua sudah benar benar maju untuk menerima kemajuan yang kita idam idamkan? Kemajuan bukan diukur dari sudut berapa tinggi sebuah bangunan, kemajuan bukan diukur dari sudut berapa canggih sistem pengangkutan awam di sesebuah negara tetapi kemajuan diukur dari sudut pemikiran dan minda. Adakah pemikiran dan minda kita sudah maju? Tidak guna mempunyai sebuah bangunan setinggi KLCC tetapi pemikiran kita lebih teruk dari zaman Rom dan juga Greek!

        Kita lihat sahaja ahli ahli politik kita? Adakah itu sudah melambangkan yang kita semua ini sudah matang berpolitik seperti mana di negara negara maju? Ahli ahli politik kita lebih suka bergaduh daripada memikirkan masalah rakyat dan masa depan di negara ini. Mereka sibuk merebut sesuatu jawatan tetapi mereka tidak memikirkan bagaimana untuk memajukan negara ini dan akibatnya negara kita masih lagi berada di takuk yang lama.

          Oleh itu, nasihat saya kepada semua agar bersyukurlah dengan apa yang telah Allah berikan kepada kita selama ini. Ingatlah, jangan kerana sikap kita yang tidak mahu bersyukur menyebabkan Allah menarik kembali segala nikmat yang telah Allah kurniakan. Ingatlah, Allah sentiasa berpesan di dalam Al Quran bahawa orang yang tidak bersyukur adalah orang orang yang rugi.

        Akhirul kalam, selamat menyambut hari kemerdekaan ke 57 tahun kepada semua pengunjung dan pengikut blog MNH Sastera Melayu ini terutama kepada blogger MZ dan CIA yang sentiasa menjadi pengunjung setia blog saya. Semoga kita dapat mengekalkan kemerdekaan ini sampai bila bila.






















4 ulasan:

  1. Salam, jemput join GA di bawah. Seriously hadiah dia semua superb2

    http://cahayaketinggiankehalusan.blogspot.com/2014/08/september-giveaway-party-hosted-by-iola.html

    BalasPadam
  2. Post MNH kali ni betul-betul terkena batang hidung MZ. Selalu sangat complain dan jarang bersyukur. *thumbs up*

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sesekali kalau mengkritik sebab tak puas hati terhadap sesuatu dasar kerajaan tak apa MZ. Yg tak bolehnya semua yang ada kat negara ni nak dikritiknya. Yg baik pun kritik, yg tak baik pun kritik.

      Padam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.