p/s : Sudah lama saya simpan cerpen ini dalam komputer riba saya. Saya tidak dapat menyudahkannya sejak sekian lama kerana terpenuh dengan beberapa tugasan. Baru hari ini saya sudahkannya dan saya harap anda suka membaca cerpen ini. Cerpen ini adalah satu luahan perasaan saya terhadap masyarakat kita. Saya mohon maaf jika anda tidak seronok mambaca cerpen ini. Hahaha. Selamat membaca...
Gambar Hiasan |
Suasana pagi yang hening itu tiba
tiba dipecahkan oleh bunyi lori yang masuk ke kawasan padang ragut tempat Tok Janggut dan anak anak
buahnya sedang leka meragut rumput sebagai hidangan sarapan pagi itu. Serta
merta selera anak buah Tok Janggut mati. Lori merah yang besar itu berhenti
betul betul dihadapan kandang Tok Janggut dan anak buahnya tinggal. Kemudian
mereka melihat Pak Hambali – tuan mereka turun dari lori merah yang besar itu. Kelihatan
juga seorang lelaki Cina turut sama turun dari lori yang besar tersebut.
Beberapa saat kemudian datang lagi
sebuah lori yang sama besarnya dengan lori yang mula mula datang tadi. Lori itu
juga turut berhenti dihadapan kandang yang didiami oleh Tok Janggut dan anak
anak buahnya sejak sepuluh tahun yang lalu.
“Siapa yang datang tu tok?” Soal Aan
sambil menghampiri Tok Janggut – kambing paling tua dan ketua bagi kawanan
kambing di padang
ragut itu.
“Entah! Aku pun tak tahu. Aku rasa ada
kawanan kambing baru yang sampai. Dapatlah kita kawan baru kat sini bagi
menggantikan kawan kawan kita yang dah kena sembelih tu.” Jawab Tok Janggut.
Kata kata Tok Janggut itu telah
mendapat reaksi yang pelbagai dari anak anak buahnya. Mereka tidak sabar dan begitu
teruja untuk mengetahui siapakah kawan kawan mereka yang akan turun dari dua
lori merah yang besar itu.
Tiba tiba Pak Hambali dan lelaki Cina
itu serta dua orang lelaki Melayu dalam lingkungan 20an bergerak ke belakang
dua buah lori. Mereka membuka bahagian belakang lori tersebut dan muncullah
sekawan lembu dari lori yang pertama dan sekawan kerbau dari lori yang kedua.
Bilangan mereka agak banyak juga. Jika dibuat campur tolak darab dan bahagi ada
40 ekor semuanya. 20 ekor kawanan lembu dan 20 ekor kawanan kerbau.
Sungguh meleset tekaan yang dibuat oleh
Tok Janggut sebentar tadi. Pada hematnya, tentulah sekawanan kambing yang akan
turun dari dua buah lori yang besar itu tetapi ternyata dia silap. Lain yang
dia harap lain pula yang keluar. Biasanya Pak Hambali akan bawa pulang
sekawanan kambing datang ke padang
ragut itu untuk menggantikan kambing yang semakin berkurangan sementelahan Pak
Hambali adalah penternak kambing yang berjaya sejak sepuluh tahun yang lalu.
Apabila Pak Hambali membawa sekawanan
lembu dan kerbau, itu adalah sesuatu yang aneh. Pada pandangan Tok Janggut,
sudah pasti Pak Hambali mahu menukar selera. Dari menternak kambing ke
menternak lembu dan kerbau pula. Mungkin juga Pak Hambali mahu membesarkan dan
mempelbagaikan perniagaannya yang semakin maju itu.
Sebagai kambing yang paling tua, Tok
Janggut mula rasa tidak sedap hati. Dia dapat merasakan akan ada sesuatu yang
tidak baik yang akan jadi di padang
ragut itu. Lekas lekas dia beristighfar kepada Allah agar membuang segala perkara
yang tidak baik yang terbit di
sanubarinya.
Kemudian Tok Janggut melihat Pak Hambali
menarik sekawanan lembu dan sekawanan kerbau itu ke dua buah kandang yang
dibina bersebelahan dengan kandang yang dihuni oleh Tok Janggut dan anak anak
buahnya. Pak Hambali dibantu oleh lelaki Cina dan dua orang lelaki Melayu tadi.
Mereka membawa masuk sekawanan lembu dan sekawanan kerbau itu ke kandang masing
masing.
Setengah jam kemudian sekawanan lembu
dan sekawanan kerbau itu pun dibawa keluar semula. Kelihatan Pak Hambali sedang
ketawa sambil berjabat tangan dengan lelaki Cina dan dua orang lelaki Melayu
tadi. Kemudian lelaki Cina dan dua orang lelaki Melayu itu menaiki lori masing
masing dan meninggalkan kawasan padang
ragut itu. Setelah kedua dua buah lori itu pergi, Pak Hambali menaiki
motokarnya yang dipakir di bawah pokok di hujung padang ragut itu lalu meninggalkan tempat
tersebut.
Tok Janggut dan anak anak buahnya yang
sedang enak meragut rumput rumput segar di padang itu tiba tiba dihampiri oleh kawanan
kerbau dan kawanan lembu yang baru sampai tadi.
“Aku dengar kau ketua di sini.” Kata
seekor lembu yang paling tua di dalam kawanan lembu itu kepada Tok Janggut.
“Ya, aku ketua di sini.” Balas Tok
Janggut.
“Aku harap kita boleh menjadi kawan
sementelahan kami pun tinggal di sini juga.” Kata ketua lembu itu.
“Aku pun harap begitu juga. Janganlah
kita bergaduh. Kita kan
sudah berjiran sekarang.” Kata seekor kerbau yang paling tua dalam kawanan
kerbau itu.
“Baguslah kalau kau cakap macam tu.
Lagipun bermusuh musuhan ini bukanlah perkara yang baik. Marilah kita
bersahabat dan tinggal berjiran dengan penuh keharmonian.” Ujar Tok Janggut.
“Nama aku Tok Perkasa. Aku ketua
kawanan lembu ini.” Ujar lembu tua itu.
“Nama aku Tok Hitam. Aku juga ketua bagi
kawanan kerbau di sini.” Kata kerbau tua itu.
“Nama aku Tok Janggut. Seperti yang
kamu ketahui, aku adalah ketua kawanan kambing di padang ragut ini.” Balas Tok Janggut. Mereka
berdua bersalaman dan termeterai satu perjanjian tidak rasmi bahawa mereka akan
saling menghormati antara satu sama lain dan tidak akan bermusuhan sepanjang
mereka tinggal di situ.
Hari hari yang mereka lalui di padang ragut itu sangat
harmoni sekali. Masing masing saling menghormati antara satu sama lain. Sifat
tolak ansur begitu tebal di dalam diri binatang binatang yang tinggal di padang ragut itu. Mereka
bebas makan, minum dan bermain di kawasan padang
ragut tersebut. Jika ada rakan rakan mereka yang perlu disembelih, kesedihan
itu pasti akan dikongsi bersama. Pokok pangkalnya, mereka hidup dengan aman dan
harmoni di kawasan itu.
Sebagai ketua, Tok Janggut sering
mengingatkan anak anak buahnya agar menghormati jiran mereka yang baru itu. Tok
Janggut tidak sesekali membenarkan anak anak buahnya menyakiti hati jiran
mereka dari jenis lembu dan kerbau itu. Jika ada yang degil, Tok Janggut
sendiri yang akan menghukum mereka. Tok Janggut tidak mahu sebarang persengketaan
berlaku di kawasan padang
ragut itu sementelahan mereka semua adalah jiran tertangga.
“Kenapa kau bermuram saja Caca?” Soal
Tok Janggut kepada seekor kambing betina yang sedang berteduh di sebuah pohon
Ara yang besar dan tinggi.
“Tak ada apa apalah tok. Tok tak perlulah
risau pasal saya.” Jawab Caca namun sedikit pun dia tidak memandang ke wajah
Tok Janggut.
“Aku ni sudah tua Caca. Aku dah makan
rumput dulu dari kau. Tak perlulah kau nak berbohong kepada aku. Kalau kau ada
masalah, kau ceritalah pada aku. Mana tahu aku boleh tolong. Sebagai ketua, aku
perlu ambil berat semua masalah yang anak anak buah aku hadapi.” Ujar Tok
Janggut.
“Saya bukan tak mahu cerita pada tok
tapi saya rasa bersalah sangat. Jadi, lebih baik saya tak payah cerita.” Kata
Caca dengan raut wajah yang sedih.
“Janganlah begitu. Kita kan satu masyarakat.
Masalah kau masalah aku juga. Cuba
kau ceritakan. Aku janji, kalau aku boleh selesaikan, aku pasti akan
selesaikan.” Bersungguh benar Tok Janggut mahu membantu Caca.
“Begini tok. Sejak kawanan lembu itu
sampai, sukar sekali kami mahu makan rumput di timur padang ragut ini. Di timur padang ragut tu ada banyak rumput rumput yang
segar segar. Asyik asyik kawanan lembu sahaja yang menikmatinya. Mereka begitu
rakus meragut rumput situ sehingga kami – kawanan kambing ini susah sekali mahu
menikmati kelazatan rumput di sana.
Bila kami makan saja, mereka pasti akan halau kami. Tadi anak saya dan anak
Figi ada makan di sana.
Anak anak kawanan lembu itu menghalau anak anak kami. Sebab itu sekarang ramai
kawanan kambing yang seperti mahu bermusuh dengan kawanan lembu. Hak yang
sepatutnya kami dapat di kawasan padang
ragut ini diganggu gugat oleh kawanan lembu itu.” Caca menceritakan apa yang
berlaku kepada Tok Janggut dengan bersungguh sungguh. Terpancar riak serba
salah dari wajahnya.
Sejujurnya Tok Janggut berasa terkejut
dengan laporan yang baru diterimanya dari Caca itu. Dia tidak menyangka bahawa
kawanan lembu itu sanggup bertindak sebegitu rupa.
“Aku harap kau boleh bersabar Caca.
Mereka masih baru di kawasan ini jadi mereka tidak biasa untuk menyesuaikan
diri dengan keadaan sekarang. Aku harap kau boleh beri mereka masa untuk mereka
sesuaikan diri di kawasan ini.” Ujar Tok Janggut. Caca menghempaskan keluhan
kecil. Sememangnya hatinya sudah lama sakit dengan kawanan lembu itu dan
berharap agar Tok Janggut dapat memberikan keadilan buat dirinya namun semuanya
hampa belaka. Tok Janggut masih lagi mahu bertolak ansur dengan kawanan lembu
itu.
Kalau dia jadi penghulu, sudah lama
dia akan memarahi kawanan lembu itu. Namun itu hanya angan angan sahaja.
Ternyata bukan dia yang menjadi ketua kawanan kambing di situ tetapi Tok
Janggut.
Di hari lain, kelihatan Pak Hambali
datang bersama dengan beberapa orang lelaki muda ke padang ragut itu. Mereka mahu membaiki
kandang kawanan kambing sekaligus mencantikkannya. Ini bagi memberi keselesaan
kepada kawanan kambing yang tinggal di kawasan padang ragut itu.
“Aku pelik dengan Pak Hambali tu.”
Kata Tok Perkasa yang entah datang dari mana ketika Tok Janggut sedang
memerhatikan Pak Hambali dan beberapa orang pemuda sedang tekun membaiki dan
mengecat kandang kambing itu.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Soal Tok
Janggut yang diserang rasa aneh oleh kenyataan yang terbit dari mulut Tok
Perkasa.
“Yalah… sepatutnya kandang kami yang
perlu Pak Hambali baiki. Bukan kandang kalian. Kandang kami itu langsung tidak
selesa. Tetapi kandang kalian yang masih elok dan cantik itu mahu dibaikinya.”
Jawab Tok Janggut.
“Siapa kata kandang kami masih elok.
Kamu tak nampak ke berapa banyak atap yang sudah bocor di kandang kami?” Balas
Tok Janggut.
“Kebocoran atap di kandang kamu itu
hanya sedikit sahaja jika hendak dibandingkan dengan kebocoran yang ada di atap
kandang kami. Pak Hambali memang pilih kasih. Sepatutnya kami yang patut
dilebihkan bukan kalian.”
“Kenapa pula kamu yang mesti
dilebihkan?” Soal Tok Janggut dalam nada yang tidak berpuas hati.
“Yalah… walaupun harga daging kamu
lebih mahal tetapi permintaan terhadap daging kami lebih tinggi dari permintaan
terhadap daging kamu. Daging kami pun lebih banyak daripada daging kamu. Sudah
pastilah kami yang perlu mendapat layanan yang lebih istimewa berbanding kamu
sebab kami menyumbang lebih banyak keuntungan kepada Pak Hambali berbanding
kamu.” Jawab Tok Perkasa dengan nada yang cukup angkuh sebelum dia meninggalkan
Tok Janggut yang berada dalam keadaan terpinga pinga.
Tok Janggut benar benar tidak menyangka bahawa Tok Perkasa tega
mempertikaikan ‘keistimewaan’ yang tidak seberapa yang diberikan oleh Pak
Hambali kepada mereka. Pada hematnya, Pak Hambali sudah memberi layanan sama
rata kepada semua haiwan ternakannnya. Tiada yang lebih dan tiada juga yang
kurang. Semua sama sahaja cuma Tok Perkasa yang sikap iri hatinya terlalu
melampau.
Pada suatu malam tatkala bulan
purnama menampakkan dirinya yang cantik itu, kawanan lembu telah mengadakan
upacara perayaan mereka dengan penuh meriah sekali. Suasana yang biasanya
senyap dan sunyi tiba tiba sahaja bertukar menjadi riuh rendah hasil daripada
perayaan yang dibuat oleh kawanan lembu itu. Mereka menghidangkan rumput rumput
segar dan air hujan bercampur air minuman yang diberikan oleh Pak Hambali
kepada mereka.
Mereka bebas menari dan menyanyi tanpa
memikirkan keadaan jiran tetangga mereka yang tidak dapat tidur dengan lena
kerana dihinggapi dengan bunyi yang terlalu bising. Kawanan kerbau dan kawanan
kambing merungut di dalam kandang masing masing kerana kawanan lembu terlalu
bising pada malam itu. Tok Janggut sendiri berasa marah dengan tindak tanduk
yang dibuat oleh kawanan lembu itu.
“Ini tidak boleh jadi. Mereka semua
sudah terlalu melampau. Kita mahu tidur pun sudah terganggu.” Kata Tok Janggut.
“Betul tu tok. Kawanan lembu sudah
malampau. Mereka sudah berani pijak kepala kita. Kita mesti bertindak tok.”
Ujar Hahi yang merupakan kambing yang muda dan paling gagah dalam kawanan
kambing itu. Hahi sering kali menjadi rebutan dalam kalangan kambing kambing
betina kerana kegagahan dan keberaniannya.
“Begini sahaja tok. Apa kata kita cuba
nasihatkan mereka supaya hentikan saja perayaan itu kerana sekarang sudah masuk
dinihari. Mereka sudah membuat perayaan itu sejak mula matahari terbenam lagi.”
Kata Koku, adik kepada Hahi.
“Tok setuju dengan cadangan kamu tu.
Mari kita nasihatkan mereka supaya hentikan perayaan itu sekarang.” Kata Tok Janggut kepada Koku dan Hahi.
Maka Tok Janggut dan sekumpulan kambing pergi berjumpa dengan Tok
Perkasa dan anak anak buahnya yang leka berpesta pada malam itu berhampiran
dengan kandang mereka.
“Oh… Tok Janggut rupanya. Marilah
sertai kami sekali. Masih banyak lagi rumput rumput segar yang masih terhidang.
Jemputlah.” Kata Tok Perkasa sambil menghampiri Tok Janggut.
“Tak apalah Tok Perkasa. Kami datang ni
nak minta jasa baik kamu untuk tamatkan sahaja pesta ini sekarang. Kamu sudah
mengganggu ketenteraman kami. Kami tidak dapat tidur kerana kamu semua sedang
sibuk berpesta dan kamu terlalu bising.” Ujar Tok Janggut.
“Alah! Baru hari ni kami berpesta kamu
sudah mahu marah? Bukan hari hari kami membuat majlis seperti ini. Setahun
sekali sahaja. Itu pun kamu mahu bising? Kalau kamu tidak suka, kamu tinggal di
padang rumput
lain. Kamu kena hormat jiran kamu yang sedang berseronok. Sikap seperti kamu
inilah yang boleh menyebabkan kita bergaduh.” Tok Perkasa mendengus marah dan
berlalu dari situ sambil diperhatikan oleh Tok Janggut dan anak anak buahnya.
“Kurang ajar punya Tok Perkasa, biar saya ajar dia Tok.” Kata Hahi dan
lantas maju ke hadapan untuk menyerang Tok Perkasa namun pantas dihalang oleh
Tok Janggut.
“Tapi tok dia sudah melampau. Kita
kena ajar dia sikit.” Kata Koku.
“Sabar Koku. Jangan ikut hati nanti
mati. Biar orang buat kita tapi jangan kita buat orang. Marilah kita pulang.
Tak guna kita bercakap dengan orang yang ego seperti itu.” Kata Tok Janggut
lalu beredar dari situ. Koku dan Hahi yang memandang sahaja dengan rasa tidak
puas hati. Mereka merasakan Tok Janggut terlalu berlembut dengan kawanan lembu.
Pada suatu pagi, kelihatan dua buah
lori datang dan berhenti di hadapan kandang kawanan lembu. Semua penghuni padang ragut menjadi pelik
dan hairan terhadap kedatangan lori itu. Mereka tertanya tanya haiwan apakah
lagi yang akan tinggal di padang
ragut itu. Kelihatan Pak Hambali turun dari salah sebuah lori itu. Kelihatan
juga empat orang lelaki yang turun dari kedua dua buah lori tersebut. Masing
masing membuka belakang lori dan muncul beberapa ekor lembu lagi dari belakang
lori itu. Tok Janggut dan anak buahnya bertambah terkejut. Ini bermakna jumlah
kawanan lembu dalam kawasan padang
ragut itu akan bertambah besar.
Lain pula reaksi yang ditunjukkan oleh
kawanan lembu. Tok Perkasa dan anak anak buahnya bersorak kegirangan kerana
mereka akan mendapat banyak kawan baru sekaligus menyebabkan kumpulan mereka
bertambah banyak dan besar. Tok Janggut dan anak buahnya sekadar memerhatikan
sahaja keriangan yang terbit dari kawanan lembu itu. Tok Janggut berjalan
menghampiri Pak Hambali dan empat orang lelaki yang sedang sibuk mengeluarkan
lembu dari lori itu.
“Banyak betul Pak Hambali beli lembu
dari Tauke Wong.” Ujar salah seorang lelaki itu yang dalam lingkungan awal
20an.
“Biasalah Jalil. Permintaan terhadap
lembu lembu aku semakin banyak. Tak cukup simpanan aku setakat tu je. Sebab tu
aku kena tambah bekalan lagi.” Balas Pak Hambali.
Tahulah
Tok Janggut mengapa Pak Hambali membeli begitu banyak lembu dan diletakkan di padang ragut itu. Dia
melihat lembu lembu yang baru datang itu. Mereka semua gembira apabila bertemu
dengan rakan rakan mereka yang tinggal di kawasan padang ragut itu. Mereka bersorak kegirangan
yang keriangan.
“Dengar sini semua…” Terdengar suara
Tok Perkasa apabila Pak Hambali dan empat orang pemuda itu sudah meninggalkan
kawasan padang
ragut.
“Memandangkan kawanan kami yang lebih
besar, maka kamilah kumpulan yang paling berkuasa di kawasan padang ragut ini.” Terdengar sorakan yang
berterusan dari semua ahli dalam kawanan lembu.
“Oleh itu, dengan rasminya akulah
raja di kawasan padang
ragut ini.” Sorakan bertambah kuat dan nyaring daripada kawanan lembu. Suasana
sangat bising dan bertukar menjadi hingar bingar.
“Aku mahu kawanan kambing dan kawanan kerbau menghormati kami di sini.
Kamu semua mesti ikut peraturan yang aku buat. Sesiapa yang melanggar peraturan
itu, mereka akan dihukum.” Sorakan bertambah kuat daripada kawanan lembu. Anak
anak buah Tok Janggut dan Tok Hitam memandang dengan rasa tidak puas hati.
Mereka merasakan tindakan Tok Perkasa itu sudah malampau.
“Tok… mereka memang melampau tok. Tok
nak ke kita semua ikut semua peraturan dia?” Soal Hahi dengan wajah yang jelas
dalam kemarahan dan rasa tidak puas hati. Dengusan nafasnya begitu kasar
sekali. Tok Janggut hanya mendiamkan diri. Tiada kata yang terbit dari
mulutnya. Hanya hembusan nafasnya sahaja yang kedengaran.
“Tok… tok dengar tak apa yang saya
cakap ni?” Soal Hahi yang hairan melihat Tok Janggut yang seperti kambing bisu
itu. Tiba tiba Tok Janggut terus bergerak meninggalkan Hahi yang berada dalam
keadaan terpinga pinga. Hahi berasa hairan dengan tingkah laku yang ditunjukkan
oleh Tok Janggut pada waktu itu. Walaubagaimanapun, dia tidak dapat berbuat apa
apa. Segala keputusan dan arahan terletak di tangan Tok Janggut.
Pada malam itu, kawanan lembu telah
mengadakan pesta yang sangat meriah. Sekali lagi kawanan kambing dan kawanan
kerbau terganggu dengan dengan bunyi bising yang dibuat oleh kawanan lembu.
Kawanan kambing terpaksa bersabar kerana kerana ketua mereka iaitu Tok Janggut
tidak membenarkan mereka membuat apa apa tindakan.
Tiba tiba kawanan kambing mendengar
kawanan lembu menyanyi. Nyanyian mereka sangat menyakitkan hati.
“Kambing haiwan busuk! Kambing berbau
hamis! Keluar dari sini! Berambus dari sini! Jangan kotorkan tempat ini dengan
kebusukkan kamu!”
Lagu yang menyakitkan hati itu diulang
ulang oleh kawanan lembu beberapa kali. Kawanan kambing tersentak dan terkejut
dengan nyanyian kawanan lembu itu. Mereka tidak tahu mengapa kawanan lembu
sanggup menghina mereka sebegitu rupa sedangkan mereka sentiasa menjaga hati
dan perasaan kawanan lembu. Mereka sentiasa melebihkan kawanan lembu dari
segala hal. Mereka sentiasa bersabar dengan kerenah kawanan lembu dan itu
balasan kawanan lembu kepada mereka.
“Tok, mereka sudah melampau. Mereka
sudah berani menghina kawanan kita.” Ujar Hahi dengan perasaan marah.
“Benar kata kamu. Mereka sudah
melampau. Sudah sampai masanya kita bertindak!” Kata Tok Janggut dengan penuh
semangat.
“Apa yang Tok nak buat?” Soal Koku
pula.
“Kita kena ajar mereka supaya mereka
sedar diri. Mereka semua sudah tak boleh diberi muka lagi. Kita beri betis
mereka mahu peha. Kita beri bunga mereka balas dengan tahi. Ya, kita kena ajar
mereka.” Jawab Tok Janggut.
“Hahi, aku nak kamu jadi utusan aku
kepada kawanan kerbau. Tanya mereka adakah mereka sanggup untuk berjuang
bersama sama dengan kita demi mempertahankan maruah kawanan kita bersama? Aku
nak kamu pergi sekarang.” Tok Janggut memberi arahan.
“Baiklah.” Kata Hahi dan segera pergi
meninggalkan kandang kambing lalu menuju ke kandang kerbau sebagai utusan Tok
Janggut.
Satu jam kemudian Hahi pulang bertemu
dengan Tok Janggut. Semua ahli dalam kawanan kambing itu begitu teruja untuk
mendengar perkhabaran dari Hahi.
“Macam mana Hahi? Apa mereka kata?”
Soal Koku yang sudah tidak sabar sabar itu.
“Berita buruk tok. Kawanan kerbau
tidak mahu masuk campur dalam urusan kita. Mereka tidak mahu mengambil risiko.”
Jawab Hahi.
“Tak apalah kalau itu sudah keputusan
mereka. Kita berjuang sahaja bersendirian. Koku, kumpulan semua kambing jantan
yang gagah gagah sekarang. Perjuangan kita dalam mempertahankan maruah sudah
sampai masanya. Kita sudah tidak boleh lagi membiarkan orang lain pijak maruah
kita. Kita jangan biarkan orang lain rampas hak kita.” Kata Tok Janggut dengan
penuh bersemangat.
“Baik tok.” Jawab Koku lalu pergi
berjumpa dengan semua kambing kambing jantan yang gagah perkasa untuk berjuang
demi maruah kawanan dan hak mereka sebagai penghuni padang ragut itu.
“Tok… macam mana kita nak lawan kawanan
lembu tu tok? Mereka semua besar dan gagah gagah pula.” Soal Hahi.
“Mereka semua besar tetapi mereka
tidak kuat sekarang. Mereka semua sedang kepenatan sebab berpesta tadi. Inilah
masa yang paling sesuai untuk kita serang dan ajar mereka.” Balas Tok Janggut.
Hahi tersenyum mendengar kata kata Tok Janggut. Dia tahu ketua mereka itu
sangat bijak dan cerdik.
Koku telah berjaya mengumpul semua
kambing kambing jantan dalam kawanan itu. Wajah mereka langsung tidak
menunjukkan riak riak takut sebaliknya terpancar cahaya dendam dan penuh bersemangat.
“Dengar sini wahai anak anak buahku! Sudah sampai masanya kita berjuang
untuk mempertahankan maruah dan hak kita yang telah dipijak pijak selama ini. Selama
ini kita telah bersabar sejak sekian lama. Berjuanglah wahai anak anak buahku.
Pertahankanlah maruah dan hak kawananmu. Kita jangan beri muka kepada mereka
lagi. Allahuakbar!” Tempik Tok Janggut dengan penuh semangat.
“Allahuakbar!!!” Sahut semua kambing
jantan itu dengan penuh semangat. Kemudian mereka semua bergerak ke pintu
kandang kambing. Mereka melihat semua kawanan lembu sedang tidur dengan nyenyak
akibat terlalu lama berpesta. Tok Perkasa pun sudah terbongkang kepenatan. Ini
adalah peluang baik bagi mereka.
“Serang!!!!” Tok Janggut menjerit
dengan penuh semangat sambil meluru ke arah kawanan lembu yang sedang nyenyak
tidur itu. Dia menghalakan tanduknya yang tajam itu ke arah mereka.
“Serang!!!” Kambing kambing jantan itu
pun turut sama menjerit dan bertempik dengan penuh semangat sambil meluru ke arah
kawanan lembu itu. Mereka mencucuk kawanan lembu yang sedang nyenyak tidur itu
dengan tanduk mereka yang tajam. Banyak lembu lembu yang mati bergemlimpangan
dalam tidur mereka. Oleh kerana terlalu geram dan dendam, lembu lembu betina
dan lembu lembu kecil turut menjadi mangsa.
Tok Janggut yang marah sejak sekian
lama dengan Tok Perkasa terus meluru ke arah ketua kawanan lembu itu dan
mencucuknya dengan menggunakan tanduk. Tok Perkasa yang berada dalam kesakitan
terus tersedar dari tidurnya. Perutnya sudah terburai. Darah menyeruak di mana
mana.
“Apa yang kau buat ni Tok Janggut?” Soal
Tok Perkasa yang masih lagi dalam keadaan terkejut. Dia terkejut kerana
kesakitan dan terkejut kerana anak anak buahnya mati bergemlimpangan.
“Inilah balasan kepada haiwan yang
tak tahu bersyukur dan menghormati haiwan lain seperti kamu ini.” Kata Tok
Janggut dan terus menanduk muka Tok Perkasa dengan tanduknya. Maka, Tok Perkasa
pun mati serta merta di situ juga.
Dengan kematian Tok Perkasa itu,
Tok Janggut mengisytiharkan bahawa kawanan kambing telah memenangi pertempuran
itu. Semua kambing kambing jantan bersorak kegembiraan kerana mereka telah
berjaya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah mereka. Banyak sungguh
kawanan lembu yang mati. Yang tinggal hanya beberapa ekor lembu betina dan anak
anak lembu sahaja. Mereka merayu rayu kepada kambing kambing jantan itu tidak membunuh mereka.
Keesokan paginya Pak Hambali datang
untuk melawat binatang binatang ternakannya di kawasan padang ragut itu. Alangkah terkejutnya dia
apabila melihat hampir semua lembunya mati dengan darah yang begitu banyak
menyeruak keluar. Dia menjadi panik seketika. Apa yang telah berlaku? Siapa
yang buat semua ini? Semua persoalan itu berlumba lumba masuk ke dalam kotak
fikirannya. Dia benar benar kalut pada waktu itu dan akhirnya dia menangis
kesedihan kerana dia sudah rugi beribu ribu ringgit.
Gambar diambil dari blog Hewan Kambing Kurban.
at first, gelak jugaklah baca pasal tok janggut n the geng ni. maap. comel sgt kisah dia. tak baik tau tok janggut smua cucuk geng2 lembu tu. bersabar kan lebih baik. inshaAllah ada kebaikannya nanti. peace.
BalasPadamhaha. tak sangka pula cerpen ni lawak. thanks CIA sebab baca.
Padambanyak pengajaran walaupun cite pasal lembu dan kambing je. hehehe ada satu part lawak . Tok Janggut: Aku dah makan rumput dulu dari kau. Heheeheh... haiwan pun nak berperibahasa. *thumbs up* :D
BalasPadamhahaha. saya tak sangka part tu lawak. thanks MZ sbb baca.
Padam