Selasa, 20 Januari 2026

CERPEN : PETUNJUK DI JALAN SAYONG PINANG

Inspektor Husni duduk santai di pejabat kecilnya di Unit Paranormal dan Misteri. Dia melayari internet sambil mendengar lagu di komputer riba. Dia dipindahkan ke unit itu setelah dia memukul rakan sejawatnya yang merupakan seorang anggota polis bernama Inspektor Seth sampai mati. Inspektor Seth telah ditangkap melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di ibu kota. Oleh kerana geram dan marah, dia tidak sangka pukulannya membawa maut kepada Inspektor Seth. 

Dia memang bersalah atas kes itu. Namun, dia tidak dibuang atau digantung kerja. Dia cuma dipindahkan dan diasingkan kerana PDRM masih memerlukan khidmatnya memandangkan dia ialah seorang anggota polis yang cekap dan berdedikasi. Dia sendiri tiada masalah disiplin dan tidak terbukti mengambil rasuah. 

PDRM menubuhkan Unit Paranormal dan Misteri - sebuah unit kecil yang menyiasat hal misteri, pelik, ajaib dan aneh. Unit itu diletakkan di bawah Timbalan Ketua Polis Negara. Satu-satunya yang bekerja di unit itu hanyalah dirinya. Dia menerima arahan dan melaporkan terus kepada Timbalan Ketua Polis Negara iaitu Datuk Yusri. 

Inspektor Husni mendapat panggilan telefon dari pejabat Datuk Yusri. Dia diminta ke pejabat Timbalan Ketua Polis Negara itu. Dia kemudiannya terus bergegas ke sana untuk bertemu dengan orang nombor dua dalam PDRM tersebut. 

“Husni, Datuk Faiz yang tinggal di Jalan Sayong Pinang kat Bukit Sabut tu ada melaporkan sesuatu yang misteri. Aku nak kau pergi jumpa dia lepas tu siasat apa yang dia laporkan.” Datuk Yusri memberi arahan. 

“Baik Datuk.” Balas Inspektor Husni.   

Inspektor Husni pun pergi berkereta ke Jalan Sayong Pinang yang terletak di Bukit Sabut. Jalan Sayong Pinang adalah satu-satunya jalan yang ada di tempat itu. Bukit Sabut adalah kawasan perumahan elit yang hanya didiami oleh orang-orang kaya. Tidak banyak rumah yang ada di kawasan itu. Hanya beberapa buah rumah sahaja dan semuanya dimiliki oleh ahli perniagaan yang berjaya. 

Inspektor Husni menemui Datuk Faiz di rumah. Datuk Faiz ialah pemilik syarikat yang menggali lombong bijih besi dan menjualnya ke pasaran antarabangsa.

“Saya nak tahu pasal jalan ni Datuk.” Kata Inspektor Husni sewaktu bertemu di rumah Datuk Faiz. Mereka duduk secara berhadapan di ruang tamu rumah agam Datuk Faiz itu. 

“Sebenarnya ramai orang kata Jalan Sayong Pinang ni menyeramkan. Ramai orang selalu cerita tentang hantu perempuan yang menangis di tengah malam, lepas tu ada bayang-bayang putih yang melintas di antara pokok ke pokok dan suara jeritan yang nyaring. Dulu masyarakat orang Asli yang berhampiran kawasan ni tak bagi kami buat rumah di sini takut terkena sumpahan. Mereka kata ramai orang selalu hilang kat kawasan ni.” Cerita Datuk Faiz.  

Inspektor Husni yang telah tujuh tahun berkhidmat dalam PDRM tidak percaya pada cerita hantu. Berumur 30an, dengan badan tegap dan muka kacak namun nakal sering menganggap bahawa kemunculan hantu pasti ada sebabnya. Cerita tentang Jalan Sayong Pinang itu sangat menarik perhatiannya lebih-lebih lagi selepas dia mendengar cerita dari Datuk Faiz yang sememangnya tinggal di kawasan itu. 

"Saya nampak sesuatu malam tadi," kata Datuk Faiz dengan suara sedikit gemetar. "Seorang perempuan muda, berpakaian compang-camping, berlari keluar dari rumah banglo lama di hujung jalan tu. Tapi bila saya panggil, dia hilang macam tu je. Dan saya nampak ada kereta hitam kat situ.” 

Inspektor Husni mengangguk. "Mungkin bukan hantu. Mungkin sesuatu yang lebih buruk dari itu." Ujar Inspektor Husni. Dia memutuskan untuk menyiasat. Malam itu, dia memandu keretanya menyusuri Jalan Sayong Pinang dan menuju ke rumah banglo lama yang dimaksudkan oleh Datuk Faiz.

Rumah lama itu berdiri sunyi di hujung jalan, dikelilingi pokok ara yang tinggi dan rimbun. Pintu rumah itu terkunci namun tingkap retak membenarkan Inspektor Husni mengintai ke dalam. Tiada apa-apa yang kelihatan tetapi dia mendengar suara samar-samar – seperti tangisan yang ditahan.

Dia berjalan di sekitar rumah itu untuk mencari petunjuk namun tidak menemui apa-apa. Dia akhirnya memutuskan untuk pulang ke rumah. 


                                                                          *************


Keesokan harinya, Inspektor Husni mula mencari dan mengumpul maklumat. Dia bertemu dengan pemilik rumah mewah yang ada di sepanjang jalan itu.  

Inspektor Husni mula-mula bertemu dengan Datuk Nizam, pemilik ladang kelapa sawit di pantai barat Tanah Semenanjung. Datuk Nizam yang kaya-raya itu sudah berumur lima puluh tahun. Dia sering memaparkan gaya hidup mewah dan bersikap sombong.

Datuk ada dengar apa-apa cerita pasal jalan ni?” Soal Inspektor Husni yang duduk berhadapan di taman bunga rumah banglo Datuk Nizam. 

“Cerita? Cerita apa?” Soal Datuk Nizam dengan nada jengkel. 

“Apa-apa cerita. Misalnya cerita hantu ke?” Inspektor Husni cuba bersabar dengan lelaki itu. Mahu sahaja dia bagi penerajang ke muka lelaki itu kalau ikutkan hati geramnya. 

"Hantu? Itu cerita merepek," katanya sambil tertawa. "Saya beli tanah ni untuk buat rumah. Dah lama saya tinggal sini. Tiada apa-apa di sini selain angin dan daun kering je."

Oleh kerana dia tidak dapat banyak maklumat dari Datuk Nizam, Inspektor Husni bertemu pula dengan Datuk Fatimah, seorang janda yang tinggal di rumah banglo berdekatan. Wanita itu ialah pemilik farmasi terbesar di Malaysia. 

“Datuk ada dengar apa-apa cerita pasal jalan ni?” Soal Inspektor Husni ketika dia di kawasan kolam renang Datuk Fatimah. 

“Sangat banyak tetapi dari pengalaman saya sendiri, saya selalu dengar jeritan perempuan bila saya joging malam-malam.” Jawab Datuk Fatimah. 

“Kat mana biasa Datuk dengar jeritan tu?” 

“Kat hutan di sekitar sini. You tahu je la, kawasan ni masih hutan walaupun ada orang tinggal. Malam-malam boleh dengar suara jeritan dalam hutan tu.” 

“Datuk ada ke pergi check suara tu?”

“Tak berani saya. Saya kalau joging kat jalan tu berani la. Nak masuk hutan tu malam-malam saya tak berani. Lagipun, ada seorang wanita orang Asli pernah beritahu saya yang ada perempuan pernah dibunuh bertahun lalu dalam kawasan ni. Dia suruh saya jangan duduk sini sebab takut kena apa-apa.”  

“Selain dengar jeritan, Datuk pernah nampak atau hidu apa-apa?” 

“Tak pernah, saya biasa dengar jeritan je.”

“Selain jeritan, Datuk pernah dengar apa-apa lagi?” 

“Tak pernah. Saya dengar jeritan je.” 

Setelah puas dengan keterangan yang diberikan oleh Datuk Fatimah, Inspektor Husni pergi pula ke rumah banglo Haji Ur-Rahman. Dia ialah Pengerusi NGO Selamatkan Palestine. 

“Tuan Haji ada pernah alami perkara-perkara pelik tak sepanjang tinggal di sini?” Inspektor Husni bertanya semasa dia berkunjung ke rumah banglo mewah milik Haji Ur-Rahman itu. Mereka pada masa itu berada garaj. Haji Ur-Rahman mahu keluar bermesyuarat di ibu pejabat Selamatkan Palestine. 

“Alhamdulillah…setakat ni tak pernah pula.” Haji Ur-Rahman menjawab. 

“Sekali pun tak pernah?” 

“Ya, sekali pun tak pernah. Pada saya semua cerita hantu yang tersebar kat Jalan Sayong Pinang ni karut sahaja.” 

“Kalau macam tu…takpelah. Maaf ambil masa tuan haji sikit.” 

Inspektor Husni keluar dari perkarangan rumah banglo Haji Ur-Rahman. Dia seterusnya menuju ke rumah banglo terakhir. Berdasarkan maklumat yang dia terima dari Pejabat Tanah, rumah itu didiami oleh Tuan Anas. Dia ialah orang kaya baru dan kebetulan baru sahaja tinggal di kawasan itu. Dia ada menerima projek menanam bunga dan pokok sepanjang Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) daripada Kementerian Kerja Raya. Lelaki itu sering kelihatan gelisah ketika berhadapan dengan Inspektor Husni di ruang tamu rumah banglonya. 

“Tuan ada nampak atau dengar apa-apa sepanjang tinggal di sini.” Inspektor Husni bertanya. 

"Saya baru saja tinggal di sini. Setakat ni saya tak nampak atau dengar apa-apa." Kata Tuan Anas. "Tapi ada satu malam, saya ada nampak orang datang ke rumah lama yang kosong tu. Kalau tak salah saya, kereta tu warna hitam."

“Bila tuan lihat kereta tu?” 

“Tak ingat. Kalau tak salah saya sama ada minggu lepas atau dua minggu lepas.” 

Inspektor Husni mencatat semua butiran yang dia dapat dalam buku notanya. Dia mempunyai keraguan akan semua yang tinggal di Jalan Sayong Pinang itu. Mereka seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Dia kembali ke rumah banglo lama di hujung jalan pada petang itu. Ketika meninjau-ninjau di belakang rumah itu, dia menemui sehelai kain putih yang tercabik dengan noda darah kering.


                                                                           *********


Malam berikutnya, Inspektor Husni bersembunyi di antara pokok ara. Dia mahu melihat apa yang ada atau siapa yang mengunjungi rumah itu pada waktu malam. Nasibnya baik apabila dalam beberapa minit kemudian dia melihat sebuah kereta hitam tiba. Terdapat dua orang lelaki turun dari perut kereta dan menarik seorang perempuan muda yang kelihatan lemah. Perempuan itu sedang menangis perlahan namun salah seorang lelaki itu menekup mulutnya. Mereka mahu masuk ke rumah banglo lama itu melalui pintu belakang.

Inspektor Husni mengeluarkan pistolnya dan mendekati pintu belakang rumah itu. Namun, tiba-tiba dia terdengar suara jeritan yang sangat kuat – seperti suara hantu. Inspektor Husni kemudiannya melihat lelaki-lelaki itu terus mencampakkan perempuan tadi dan lari dengan tergesa-gesa ke kereta hitam yang diletakkan di hadapan rumah. Inspektor Husni menuju ke arah perempuan tadi untuk menyelamatkannya tetapi perempuan itu lari ke hutan lalu hilang dalam kegelapan malam.

Inspektor Husni melihat pintu belakang rumah itu sudah separuh terbuka. Mungkin salah seorang lelaki tadi yang membukanya. Inspektor Husni berjalan ke dalam rumah. Dia menemui sebuah kolam renang besar yang telah usang. Rumah itu agak luas dan mempunyai dua tingkat. Keadaan di dalam rumah pada waktu itu sangat gelap. Dia menyalakan lampu suluhnya. Dia berjalan di sekitar tingkat bawah rumah itu untuk memeriksa. 

Di tingkat bawah ada sebuah rak buku yang sangat besar dan tinggi. Ada banyak buku di rak itu. Di dinding belakang rak itu ada dapur dan sebuah bilik tidur yang seperti sudah lama ditinggalkan. Terdapat juga sebuah bilik air yang seperti sudah lama tidak digunakan. 

Inspektor Husni berjalan lagi melewati banglo lama itu. Di tingkat bawah itu juga ada tiga lagi bilik. Terdapat dua buah bilik tidur dan satu bilik yang dilengkapi dengan banyak alat muzik. Inspektor Husni cuba mencari sebarang petunjuk di sekitar situ. 

Apabila dia tidak menemui apa-apa di tingkat bawah, dia naik pula ke tingkat kedua. Di tingkat atas ada beberapa buah sofa dan sebuah bilik tidur yang amat besar. Inspektor Husni yakin yang bilik tidur itu adalah bilik tidur utama. Di dalam bilik itu terdapat katil saiz king, televisyen dan dua buah sofa kecil. Terdapat juga wardrobe dan bilik air. Melihat keadaan bilik itu, Inspektor Husni yakin yang pasti ada orang yang pernah tidur di situ dalam masa terdekat.  

Ketika dia memeriksa bilik itu, dia menemui sehelai kertas yang mempunyai tulisan tangan. Inspektor Husni membaca apa yang tertulis di kertas tersebut. Kandungan dalam tulisan itu tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah luahan perasaan. Tulisan itu mungkin ditulis oleh seseorang yang bernama Lina. Lina menyatakan dia sangat takut tinggal bersendirian di rumah besar itu dan dia mengatakan yang dia mahu dijual ke luar negara. 

Inspektor Husni diam sejenak. Dia mula menghubungkan titik-titik yang ada. Perasaannya kuat mengatakan bahawa rumah itu adalah lokasi mangsa-mangsa culik ditempatkan. Kemudian penjenayah akan jual mangsa ke luar negara. Dan dia rasa mangsa bukan diculik dengan sangaja tetapi menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Justeru, untuk mengaburi aktiviti jenayah mereka, mereka mungkin mewujudkan figura hantu untuk menakutkan orang ramai agar tidak mendekati rumah banglo atau jalan itu.


                                                                    ***********


Inspektor Husni menghubungi Aini, seorang pustakawan secara separuh masa yang bertugas di Perpustakaan Awam Negeri melalui panggilan telefon. Aini banyak membantunya mencari maklumat dan memecahkan misteri.

"Kau nak tahu Aini, cerita hantu tu sengaja dicipta untuk menutup jenayah sebenar, jenayah pemerdagangan wanita. Rumah ini adalah tempat persembunyian sementara sebelum mangsa dibawa ke luar negara.” Ujar Inspektor Husni dengan penuh yakin. 

“Aku check DNA kat kain putih yang aku jumpa kat rumah tu. DNA itu milik Lina, seorang perempuan yang penah hilang bertahun lalu. Dan surat yang aku jumpa tu jadi bukti." Sambung Inspektor Husni lagi. 

“Habis kau tahu la siapa punya kerja jahat tu?” Soal Aini. 

"Aku ada check nombor plat kat kereta hitam tu. Kereta tu milik Datuk Nizam.”

 “What? Ni Datuk Nizam yang kau cerita kerek nak mampus tu ke?” 

“Ya, betul tu.” 

“My God…dah la jahat, sombong pula tu.” 

"Dan kau tahu Lina, sebenarnya Haji Ur-Rahman tahu semua kegiatan Datuk Nizam. Rumah banglo lama tu sebenarnya rumah adik dia yang dah pindah ke luar negara. Dia mengaku yang Datuk Nizam bayar dia untuk bekerjasama.”

“Ya Allah…Pengerusi NGO Selamatkan Palestine pun bersubahat juga. Macam mana kau boleh tahu dia pun bersubahat?”

"Bila aku check kat pejabat tanah, nama pemilik rumah banglo tu ialah Norizah Khalid. Nama bapa Haji Ur-Rahman pun Khalid juga. Aku check latar belakang kedua-dua mereka di Jabatan Pendaftaran Negara. Ya, mereka adik beradik. Aku pun tahan dan siasat Haji Ur-Rahman. Akhirnya dia pun mengaku." 

"Power la cara kau siasat. Lagi, sambung la lagi..."  

“Okay, perempuan yang aku tengok kena culik pada malam tu dia dah beri keterangan pada polis. Dia mengaku yang Datuk Nizam adalah ketua kedua-dua lelaki tadi. Mereka banyak culik perempuan dan jual ke luar negara.” 

“Sangat menakutkan bila dengar cerita kau ni.” 

“Dan lagi best Lina, Datuk Fatimah la yang buat suara hantu tu. Dia sengaja cari beberapa suara hantu kat YouTube dan sambungkan speaker kat rumah dia. Dia halakan speaker tu ke luar rumah supaya orang boleh dengar. Dia buat macam tu sebab dia nak selamatkan mangsa-mangsa dan bantu mereka lari."

“Maksudnya Datuk Fatimah pun tahulah pasal kes jenayah tu?”

“Tahu…tapi dia takut nak dedahkan sebab Datuk Nizam tahu yang dia ada jual ubat terlarang kat farmasi dia. Datuk Nizam ugut dia, kalau tak nak kerajaan tahu pasal kejahatan yang dia buat, dia kena pejamkan mata sahaja. Tapi dia kesian dengan mangsa. Jadi dia tolong mangsa secara tak langsung dengan buat suara hantu tu.” 

"Macam mana kau tahu pasal Datuk Fatimah?" 

"Aku perasan bila aku datang ke rumah dia, aku ada nampak speaker besar di luar rumah yang berada di tingkat dua. Pelik sebab orang letak speaker di luar rumah. Bila Datuk Nizam kena tangkap, Datuk Fatimah sendiri yang datang jumpa aku dan cerita apa yang dia buat." 

“Wuishh…boleh tahan. Sekarang apa jadi dengan Datuk Nizam?” 

“Datuk Nizam cuba lari ke luar negara tetapi polis berjaya tangkap dia kat lapangan terbang.”

“Syukurlah…seekor lagi penjenayah berjaya ditangkap.”  

Melalui siasatan Inspektor Husni, sindiket pemerdagangan wanita berjaya dipatahkan. Jalan Sayong Pinang kini menjadi semakin tenang, tanpa cerita dan jeritan hantu lagi. Inspektor Husni kembali ke Unit Paranormal dan Misteri dengan senyuman. Satu lagi misteri berjaya dia selesaikan. Dan Datuk Yusri sangat memuji kecerdasan dan komitmen dirinya dalam bertugas.

  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.