Petang itu, di pondok kayu Pak Rasul yang dipenuhi dengan hasil mengaitnya - selimut, sarung bantal dengan corak rumit dan sepasang stokin hangat yang belum siap - lima lelaki sedang menghabiskan teh o suam dan kuih karipap. Empat daripadanya adalah pemuda: Edde, si anak saudara dengan bahu dan dada bidang yang jelas melalui kemeja-T ketatnya, bersama tiga rakan rapatnya, Ed, Egi dan Hendra. Ketiga-tiga mereka juga berbadan sado seperti Eddie. Yang kelima ialah Pak Rasul sendiri, lelaki berusia 72 tahun dengan janggut putih dan mata yang berkelip-kelip penuh dengan cerita tersembunyi.
Perbualan mereka berjalan santai, sehingga Edde tanpa sengaja meminta Park Rasul bercerita tentang pengalaman hidup. “Pak Long tak ada cerita best ke…pasal hantu ke…pasal misteri ke?”
Ed, Egi, dan Hendra mengangguk, masing-masing mahu mendengar cerita lelaki tua itu. Pak Rasul hanya tersenyum, matanya berkilat. Dia meletakkan cawannya.
“Aku ada cerita pasal seruling yang berbunyi setiap pukul 11.15 malam. Nak dengar?” soalnya, suaranya berkeriut seperti kayu lama. “Cerita ni berlaku lima tahun lepas kat kampung ni.”
Keempat-empat pemuda itu terdiam, penuh perhatian untuk mendengar. Mereka tahu Pak Rasul bukan sekadar tukang mengait, dia adalah arkib berjalan untuk segala misteri kampung dan penyiasat amatur yang bijak.
“Jadi, ini ceritanya,” mula Pak Rasul, sambil tangannya secara automatik mengambil kait dan benang, mula mengait selari dengan naratifnya.
“Lima tahun lepas,” cerita Pak Rasul. “Ada satu fenomena pelik. Setiap malam, tepat pukul 11.15, kedengaran bunyi seruling. Bukan sekadar tiupan rawak, tapi satu melodi pendek, sedih, dan sama setiap hari. Lagu tu cuma beberapa minit, lepas tu hilang. Bunyinya datang dari arah hujung kampung berhampiran dengan hutan.”
“Orang ramai mula bercakap. Ada kata ianya penunggu hutan. Ada kata arwah pemuda pemain seruling yang mati dalam kemalangan. Yang pasti, ia buatkan ramai orang kampung takut, terutama mereka yang tinggal berhampiran. Nak keluar rumah waktu malam untuk ke kedai atau ke surau, ramai tak berani. Orang mula elak lalu situ pada waktu malam.”
Edde dan kawan-kawannya mendengar dengan tekun. Egi bertanya, “Tapi kenapa pukul 11.15? Ganjil betul.”
“Aku pun tertanya soalan yang sama juga,” balas Pak Rasul sambil mengait. “Ramai juga orang kampung yang datang jumpa aku untuk minta pendapat, tapi aku sendiri pun tak tahu. Tapi aku yakin pasti ada penjelasan di sebalik semua itu.”
“Seorang kawan aku, Ramli namanya ada datang cerita dengan aku.”
“Aku selalu sangat dengar bunyi seruling tu Pak. Bukan aku je, Aziz dengan Sudin pun ada dengar. Bunyi tu biasa muncul pada pukul 11.15 malam. Aku ingat perasaan aku je. Tapi bini aku, si Salmah pun dengar. Jadi, itu bukan halusinasi la kan?” Ujar Ramli ketika dia singgah melepak di pondok Pak Rasul.
“Kat mana biasa kau dengar bunyi tu Ramli?” Soal Pak Rasul.
“Kat hutan hujung kampung ni…” Ramli menjawab.
“Tok Penghulu kampung ni, Haji Dollah pun ada cerita dengan aku pasal bunyi tu.”
“Kau tahu Rasul, penduduk kampung ni mengadu kat aku yang bunyi tu datang dari hutan kat hujung kampung ni. Bunyi seruling tu dalam beberapa minit je. Tapi sebab bunyi tu macam mendayu dan sayu. Kalau dengar betul-betul, naik seram juga la.” Haji Dollah berkata semasa berbual dengan Pak Rasul di masjid.
Pak Rasul hanya diam. Dia cuba memikirkan apa yang dikata Haji Dollah tu.
“Kau rasa bunyi seruling tu apa Rasul? Ada tanda-tanda tak baik ke yang akan menimpa kampung kita ni? Atau memang ada hantu yang meniup seruling tu?” Soal Haji Dollah apabila melihat Pak Rasul hanya diam.
“Entahlah Tuan Haji. Saya pun tak tahu. Tapi saya yakin lambat laun kebenaran akan menjelma juga.” Balas Pak Rasul.
“Imam kampung ni, Ustaz Badrul ada beritahu aku pasal bunyi tu.”
“Kalau saya dengar bunyi tu betul-betul pak, bunyi tu datang dari rumah kosong kat tepi hutan tu.” Kata Ustaz Badrul semasa bertemu dengan Pak Rasul di kedai runcit.
“Itu bukan rumah tu Pak Hassan ke?” Soal Pak Rasul.
“Ye la. Itu rumah Pak Hassan. Setahu saya, rumah tu dah lama kosong.” Ujar Ustaz Badrul.
“Itulah, setahu aku, lepas isteri dia meninggal dua tahun lepas, dia pindah duduk dengan anak dia kat KL. Rumah tu dia biar kosong bertahun-tahun. Sayang rumah tu. Buat cantik-cantik, tinggal macam tu je.” Balas Pak Rasul.
“Kalau rumah tu kosong, dan bunyi seruling keluar dari rumah tu, maknanya siapa yang tiup seruling tu malam-malam?” Perasaan ingin tahu di hati Ustaz Badrul membuak-buak.
“Yang aku pelik tu, bunyi seruling tu boleh tahan kuat juga. Sampai separuh penduduk kampung ni boleh dengar. Kalau misal kata penagih dadah yang main seruling dalam rumah tu, bunyinya takkanlah sekuat itu.” Pak Rasul berkata.
“Pak Rasul nak tahu tak, rumah tu saya dengar ada kisah sedih. Katanya, anak Pak Hassan, yang suka main alat muzik, dikatakan meninggal kat situ.” Ustaz Badrul bercerita.
“Bomoh kampung ni, Wak Malik yang sangat percaya sangat pada hantu, ada datang ke pondok ni bercerita pada aku.”
“Hari tu, aku dengan anak aku pergi tengok kat rumah kosong yang ada bunyi seruling pukul 11.15 malam tu. Memang tepat pukul 11.15, bunyi seruling tu kita boleh dengar. Aku tengok takde cahaya atau pergerakan dalam rumah kosong itu. Bunyi tu aku rasa datang dari kegelapan itu sendiri. Jadi, aku yakin yang seruling itu dibunyikan oleh hantu.”
“Kau ada baca-baca tak untuk halau hantu tu?” Pak Rasul bertanya.
“Aku dah jampi dah. Tapi bunyi tu masih ada lagi. Aku rasa kena buat upacara korban ayam kampung. Mungkin hantu tu nak darah.” Balas Wak Malik. Pak Rasul hanya tersenyum simpul.
“Tak lama lepas tu anak Park Hassan, Bob namanya, datang ke rumah aku. Dia nak beli baju yang aku kait untuk anak dia. Jadi, aku pun tanyalah pasal rumah tu dan keluarga dia.”
“Saya dulu ada seorang abang, Amin namanya. Amin memang pandai main seruling, tapi bukan seruling biasa - dia main seruling Melayu. Tapi Amin meninggal akibat sakit jantung waktu tidur, di rumah itu, lebih kurang nak dekat tengah malam.” Ujar Bob yang duduk berhadapan dengan Pak Rasul.
“Ermm, Amin meninggal pukul 11.15 malam ke?” Bob nampak macam terkejut dengan soalan Pak Rasul.
“Ya.” Bob tergagap sambil menjawab.
“Suhaimi, seorang pemuda kampung yang ada buka bengkel kat pekan, ada datang cerita dengan aku.”
“Kalau Pak Rasul nak tahu, sebenarnya kat sebelah rumah Pak Hassan tu ada sebuah rumah. Rumah sekarang Razak yang duduk.” Suhaimi berkata.
“Dalam kampung ni ada ramai Razak. Razak mana satu ni?” Soal Pak Rasul.
“Ala…Razak teksi.” Balas Suhaimi.
“La…Razak teksi. Razak teksi duduk situ ke?”
“Ye la. Habis selama ni Pak Rasul ingat dia duduk mana?”
“Aku selalu je naik teksi dia ke pekan atau ke bandar. Tak pernah tanya pula dia duduk mana. Dia pun tak cerita yang dia duduk situ.”
“Saya ada tanya pada dia pasal bunyi seruling tu. Dia kata dia selalu dengar.”
“Dia tak takut ke?”
“Dia kata dia dah biasa. Dah lali. Jadi dia dah tak heran.” Suhaimi membalas.
“Aku kenal dengan Razak tu. Razak tu selalu hantar dan jemput aku ke bandar untuk beli barang mengait. Aku selama ni tak tahu yang Razak duduk situ. Nak dijadikan cerita, satu hari Razak ajak aku makan malam kat rumah dia lepas solat Isyak di masjid. Dia kata hari ni dia tak bawa teksi. Malas katanya. Jadi, bila dia ajak, aku pun pergilah. Dapat makan free. Hehe. Dia kata lepas makan nanti, dia akan hantar aku balik rumah. Dalam rumah tu bukan ada Razak je. Ada juga isteri dia. Kalau tak salah aku, Maria nama isteri dia.” Pak Rasul sambung cerita pada keempat-empat pemuda itu.
“Lepas makan tu aku tak terus balik rumah. Razak ajak aku borak-borak dulu, pekena teh tarik yang dibancuh isteri dia kat luar rumah. Lama juga aku borak dengan dia, rasanya sampai pukul 11 malam. Tepat pukul 11.15 malam, bunyi seruling pun kedengaran. Aku pun perhatikan sekeliling rumah Razak. Bunyi seruling tu bukan datang dari hutan atau rumah kosong di sebelah, tapi dari ventilasi udara di sisi rumah Razak. Ventilasi yang menghala ke arah rumah kosong milik Pak Hassan tu.”
“Jadi, aku tanya Razak secara terus pasal bunyi seruling tu. Razak pun cerita pada aku. Rupanya, Razak ni kawan rapat arwah Amin, anak Pak Hassan. Mereka selalu main alat muzik. Amin suka main seruling, Razak pula suka main gitar. Selepas Amin meninggal, Razak yang teramat sedih, dapat idea untuk ‘menghidupkan’ memori pasal Amin setiap malam. Dia ada rakaman pendek seruling Amin. Dia pasang alat pemain kaset automatik yang diatur masa - teknologi sekarang - di loteng rumahnya, disambungkan ke speaker kecil yang diarahkan ke ventilasi. Dia setkan untuk ia main setiap malam pada pukul 11.15, waktu Amin meninggal. Speaker itu diarahkan ke arah rumah kosong supaya bunyi seolah-olah datang dari situ. Dia buat semua ni sebagai penghormatan peribadi, sedar-sedar seluruh kampung jadi takut.”
“Cerita Razak membuatkan aku berasa simpati,” kata Pak Rasul dengan nada lembut. “Dia bukan berniat jahat, dia hanya seorang lelaki yang merindui sahabatnya. Aku tak dedahkan rahsianya kepada orang ramai. Sebaliknya, aku bincang dengannya.”
“Aku suruh dia ubah set-up tu. Aku cadangkan supaya dia main rakaman itu lebih awal, pukul 9 malam misalnya, dengan volume yang rendah, hanya untuk didengarinya sendiri di beranda sebagai kenangan. Atau, lebih baik lagi, ambil seruling asal Amin (yang disimpan oleh Pak Hassan) dan belajar main melodi itu sendiri, sebagai cara menghormati yang tidak mengganggu.”
“Alhamdulillah, Razak setuju. Dia minta maaf dan berterima kasih sebab aku menyelesaikannya dengan bijak, tanpa membuatnya malu. Bunyi seruling pukul 11.15 malam itu berhenti. Beberapa minggu kemudian, orang mula lupa, menganggap ‘hantu’ itu mungkin telah berlepas. Hanya aku, Razak dan kemudiannya Pak Hassan yang tahu kebenarannya.”
Pak Rasul mengakhiri ceritanya, sambil mengikat hujung benang pada sehelai selimut yang hampir siap. Senyap seketika di beranda, hanya diisi bunyi jangkrik hutan.
Edde memecah kesunyian. “Jadi, kesimpulannya, ‘hantu’ itu sebenarnya adalah seorang kawan yang terlalu rindu?”
“Betul,” angguk Pak Rasul. “Kadang-kadang, misteri yang paling menyeramkan adalah punca paling manusiawi - kesedihan, kerinduan, atau ingatan. Kunci penyiasatan sebenarnya bukanlah fakta dan bukti sahaja,” dia senyum ke arah Edde dan kawan-kawannya, “tapi pada pengetahuan, pemerhatian dan yang paling penting, empati. Dengar bukan saja dengan telinga, tapi dengan hati.”
“Power,” Egi berkata penuh minat, “Pak Rasuk memang bijak.”
Pak Rasul mengangkat bahu, matanya berkelip lancar. “Kadang, Allah yang memudahkan urusan kita.”
Mata keempat-empat pemuda itu berbinar. Mereka telah mendapat lebih daripada sekadar cerita hantu, mereka telah mendapat pedoman, dan yang lebih penting, satu perspektif baru. Dan Pak Rasul, dengan senyuman puas di bibir, kemba
li kepada mengaitnya, mengetahui bahawa benang misteri seterusnya akan tiba pada bila-bila masa.
Tamat.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.