Ahad, 11 Januari 2026

MINI NOVEL : PEMBUNUHAN DI VILLA EMPAT (BAHAGIAN 1)

Villa Empat berdiri indah dan terpencil di hujung sebatang jalan berbukit, dikelilingi pokok-pokok tinggi dan pagar besi yang dicat indah warna hitam. Dari jauh, ia tampak megah. Apabila didekati, villa itu bagai istana mewah yang menjadi idaman ramai orang untuk didiami. Villa itu adalah kediaman terindah di Lembah Selindung. 

Pak Rasul tiba pada pagi Hari Raya Haji dengan bagasi sederhana dan komputer riba. Jemputan daripada Dato Osman datang secara tiba-tiba. Dia mengajak Pak Rasul datang beraya di rumahnya dan tinggal di situ sehari dua.

Pak Rasul mengenali Dato Osman sejak tahun 70an. Mereka pernah tinggal sebilik di kolej semasa menuntut di universiti dahulu. Dato Osman dari Fakulti Kejuruteraan manakala Pak Rasul dari Fakulti Sains Kemanusiaan. Meskipun berbeza fakulti, bidang dan jurusan, namun itu semua tidak menghalang hubungan baik mereka berdua. 

Sudah agak lama Pak Rasul tidak bertemu dengan Dato Osman. Kalau tak silap, kali terakhir mereka bertemu pada tahun 1978. Itu pun semasa di kolej. Selepas itu mereka tidak bertemu lagi. 

Pak Rasul hanya tahu mengenai Dato Osman melalui berita sahaja. Dia menjadi seorang ahli perniagaan terkenal dan berjaya. Itu pun berkat hubungan baiknya dengan beberapa ahli politik dan pemimpin negara. Sebelum menjadi ahli perniagaan, beliau menjadi seorang jurutera dan aktif dalam parti politik. 

Berbeza pula dengan jalan yang diambil oleh Pak Rasul. Setelah tamat pengajian, dia ditawarkan menjadi tutor universiti jurusan Sejarah. Setelah tujuh tahun berkhidmat, dia terpaksa berhenti kerana ibunya sakit diserang angin ahmar. Tiada siapa yang mahu menjaga ibunya di rumah. Jadi, sebagai anak sulung, dia ambil tanggungjawab itu. Bagi menjana pendapatan, dia menulis artikel Sejarah dan dia kirim ke akhbar. Itulah pekerjaan yang dilakukannya selama puluhan tahun bagi menjana pendapatan.

Meskipun pendapatan itu tidaklah besar dan boleh kaya-raya seperti Dato Osman, tetapi pendapatannya cukup setiap bulan dengan izin Allah. Dia selalu bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada dirinya. 

Selain menulis, di Kampung Dahan, dia terkenal sebagai perungkai hal-hal aneh dan misteri. Dia juga sudah berpuluh kali membantu pihak polis secara tidak sengaja menyelesaikan misteri pembunuhan yang berlaku di sekitar kawasan itu. Boleh dikata, dia ialah seorang detektif amatur yang bijaksana. Apa yang pasti, kebenaran jarang terserlah tanpa orang seperti Pak Rasul.


***********


Dato Osman menyambut Pak Rasul dengan senyum yang lebar. Lelaki itu kaya, berpengaruh, dan terbiasa memerintah. Di sisi beliau, Datin Hanini kelihatan anggun tetapi matanya kosong, seolah-olah sudah lama belajar menyembunyikan sesuatu.

“Apa Khabar Rasul?” Dato Osman bersalam dan memeluk Pak Rasul. Dia gembira kerana bertemu semula dengan sahabatnya sewaktu di universiti dulu sejak sekian lama. Sahabatnya ini walaupun nampak biasa tetapi sebenarnya sangat bijaksana. 

“Mari masuk.” Dato Osman memimpin tangan Pak Rasul masuk ke dalam villa itu sambil diikuti oleh Datin Hanani. Kelihatan beberapa orang sudah ada di ruang tamu.  

“Guys, mari ayah perkenalkan. Ini kawan lama ayah. Pak Rasul nama dia.” Ujar Dato Osman kepada semua yang ada di situ. Seorang demi seorang datang bersalam dengan Pak Rasul.

“Ini anak sulung aku. Soleh nama dia. Ini pula isteri dia, Dania.” Dato Osman memperkenalkan ketika Soleh dan Dania bersalam dengan Pak Rasul. Pak Rasul mengamati kedua-dua mereka. Soleh, si anak sulung, seorang yang pendiam dan kelihatan tegang. Isterinya, Dania pula kelihatan letih - tersenyum nipis dengan bahasa tubuh yang sentiasa berjaga-jaga.

“Ini pula anak kedua aku, Johari. Dia di tahun akhir kat universiti di England.” Kata Dato Osman lagi ketika Johari bersalam dengan Pak Rasul. “Ini pula kawan-kawan Johari. Ezany, Fazli dan Hazeem. Diaorang ikut balik Malaysia sebab parents diaorang semua kat Europe.” 

Pak Rasul mengamati pemuda-pemuda itu. Ezany, seorang yang ceria dan suka bergurau, Fazli, seorang yang pendiam dan suka memerhati serta Hazeem, seorang yang tenang dan mudah tersenyum.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.