Malam itu, takbir raya Aidiladha bergema dari peti televisyen. Siang tadi, mereka dijamu dengan juadah raya yang mewah dan lazat. Juadah raya biasa tetapi dimasak oleh chef istimewa yang dibayar khusus oleh Dato Osman untuk menjamu para tetamunya.
Pada waktu malam pula, para tetamu dihidangkan dengan makanan ala Barat. Para tetamu begitu berselera menikmati juadah yang disediakan. Sambil makan, sambil mereka berbual dan bertukar-tukar cerita.
“Aku tak sangka kau jadi penulis. Kalau aku tak jumpa tulisan kau yang anak saudara kau kongsi kat Instagram tu, sampai sekarang aku tak jumpa kau.” Ujar Dato Osman. Sesekali dia menyuap daging bakar yang dicicah dengan lada hitam ke mulutnya.
“Si Edde tu memang suka post artikel yang aku tulis kat media sosial dia. Dia kata nak tolong promote penulisan aku supaya ramai orang boleh baca.” Balas Pak Rasul.
“Itulah. Tapi boleh tahan juga ye anak buah kau tu. Ramai juga pengikut kat Instagram dia.”
“Ya, dia kan muka hensem, badan sado. Kerja bomba pula. Itu yang ramai follow dia tu.”
“Aku sebenarnya tak perasan. Bini aku yang jumpa link artikel tu kat Instagram si Edde. Terus dia tertarik nak baca. Kebetulan balai bomba si Edde dekat je dengan rumah ni. Hari tu ada sarang tebuan kat stor aku. Aku pun call la bomba suruh buang. Edde dan team dia pun datang. Itu yang jumpa Edde tu. Kami pun berboraklah. Dari situ la aku tahu yang kau pakcik dia. Terus aku minta nombor kau dari dia.”
“Itulah, perancangan Tuhan untuk kita bertemu tu memang dahsyat ye. Hehe.” Pak Rasul tertawa kecil.
“Kau tak ajak Edde sekali datang ke mari?”
“Aku ada ajak tapi dia kena balik Terengganu, kampung bapak dia.”
“Ohh…kalau dia ada sekali, mesti seronok.” Kata Dato Osman.
Sedang rancak mereka berbual, tiba-tiba Dato Osman berdiri. “Aku sakit perut la. Mesti makan macam-macam siang tadi.” Katanya kepada Pak Rasul. Kemudian dia bergegas menuju ke bilik air.
Sepeninggalan Dato Osman, suasana tiba-tiba bertukar sunyi campur janggal. Perbualan di meja makan tiba-tiba terhenti. Hanya suara Ezany yang kedengaran berbual dengan Johari namun perlahan. Yang lain semua diam menikmati hidangan masing-masing.
Dato Osman kelihatan keluar dari bilik air dan menuju ke ruang makan sambil menepuk perutnya. “Aku sakit perut la. Korang semua teruskan makan. Saya nak pergi berehat. Hanini, ada ubat sakit perut tak? Bawa ke bilik.” Muka Dato Osman berkerut menahan sakit.
“Okay, you pergi berehat dulu. Jap lagi I hantar ubat tu.” Balas Datin Hanini. Dato Osman pun menuju ke biliknya di tingkat atas manakala Datin Hanini pula menuju ke dapur untuk mencari ubat sakit perut untuk suaminya. Kemudian dia keluar dari dapur dan menuju ke tingkat atas.
Pak Rasul terus memerhati. Orang tua itu belajar membaca perubahan kecil - cara tangan menggenggam sudu dan cara mata mengelak pandangan untuk semua tetamu di ruang makan itu.
Malam itu berlalu tanpa kejadian. Namun ada bau sesuatu - bukan bau makanan - masih melekat di udara.
**********
Pagi raya kedua bermula dengan jeritan. Pak Rasul yang baru selesai berselawat seusai solat Subuh terkejut mendengar jeritan itu. Segera dia keluar dari bilik tidurnya dan menuju ke tingkat bawah. Waktu itu sudah pukul 7.30 pagi. Dia melihat semua penghuni rumah itu mengerumun sesuatu di dapur. Dia menuju ke arah kerumunan itu.
Pak Rasul melihat Datin Hanini sedang terduduk di lantai bilik air yang ada di dapur. Di hadapannya, tubuh Dato Osman terbaring kaku. Matanya terbeliak besar. Air masih mengalir dari paip, membasahi lantai bercampur darah yang sudah gelap.
Dato Osman meninggal pada dua hari raya Aidiladha, di bilik air sama yang dia kerap masuk sejak malam tadi. Soleh segera menghubungi pihak polis manakala Johari menghubungi ambulans. Datin Hanini menangis tersedu-sedan melihat jenazah suaminya dalam keadaan seperti itu.
Inspektor Qairul tiba pada pukul 10 pagi. Orangnya kelihatan tegas, kemas dan tidak gemar teori tanpa bukti. Dia memeriksa keadaan mayat dengan sarung tangan. Pihak forensik juga ada di situ untuk menjalankan siasatan yang perlu.
“Semua yang ada dalam rumah ini,” katanya, “adalah suspek!”
“Sesiapa pun tak boleh tinggalkan rumah ni selagi siasatan belum selesai.”
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.