Inspektor Husni meletakkan keretanya di hadapan Warung Kak Wan. Dia lihat warung makan tengah hari itu agak ramai orang. Dia keluar dari perut kereta dan meninjau seketika. Setelah memastikan keretanya berkunci, dia masuk ke dalam warung itu. Dia ambil nasi dan lauk kemudian menuju ke kaunter pembayaran untuk membayar. Dia minum air kosong sahaja untuk jaga kesihatan. Kemudian matanya mencari tempat duduk. Semua meja penuh. Tiada tempat dia nak duduk.
Di hadapannya ada sebuah meja sederhana besar. Di meja itu duduk dua orang lelaki secara berhadapan. Kedua-duanya berusia awal 70an. Seorang memakai topi koboi, berbaju merah cair dan berseluar karkis warna coklat manakala seorang lagi memakai kopiah putih dan berjubah coklat lengan panjang. Inspektor Husni menuju ke arah meja itu. Dia melihat ada dua kerusi yang masing kosong.
“Dekat sini ada orang ke? Saya duduk sini boleh?” Soal Inspektor Husni sambil menatang pinggan dan air kosong.
“Boleh…boleh…duduk je…tengah hari macam ni warung ni memang penuh.” Jawab lelaki tua yang memakai topi koboi itu.
Husni pun meletakkan pinggan dan air kosongnya dan duduk di sebelah lelaki yang memakai topi koboi itu. Setelah membaca doa, dia pun mula makan.
“Lampu isyarat nak masuk simpang rumah aku tu selalu sangat rosak. Lampu tu menyala dengan cara yang pelik. Lampu tu selalu bertukar warna dengan sangat cepat. ” Kata Tok Malik, lelaki yang memakai topi koboi itu.
Tok Malik ialah seorang hartawan dan orang yang paling kaya di Kampung Dahan. Dia ada banyak tanah, ladang, kebun dan rumah sewa di kampung itu.
“Kau takde telefon Jabatan Kerja Raya ke?” Soal Pak Mas’ud, lelaki yang memakai jubah dan berkopiah putih itu.
“Dah…setiap kali lampu tu rosak, aku telefon. Diaorang datang betulkan. Tahan sebulan dua je. Lepas tu rosak balik.” Tok Malik menjawab.
“Kau ada beritahu tak hal ni kepada Gul Mohammed?”
“Sudah…dia pun tak tahu kenapa lampu tu selalu rosak. Nak kata budak-budak rosakkan pun pelik juga. Apa pasal pula diaorang nak rosakkan lampu tu.”
“Betul juga tu. Lagipun simpang nak masuk ke kawasan rumah kau tu pun tak ramai orang lalu. Aku rasa kau dengan keluarga kau je kot yang guna simpang tu. Lagi satu budak-budak motor yang nak ke bengkel Mey Eng tu.”
“Itulah, aku pun tak faham.”
“Tapi lampu tu memang dah lama. Seingat aku sejak tahun 70an lampu tu dah diletakkan di situ.” Ujar Pak Mas’ud.
“Ya, sejak arwah bapak aku masih ada lampu tu dah wujud dekat situ.” Kata Tok Malik.
“Bercakap pasal lampu isyarat, aku pernah terbaca satu kes kat luar negara pasal orang gunakan lampu isyarat untuk aktiviti penyeludupan barang curian.”
“Huissh, macam mana pula tu?”
“Aku pun tak pasti sebab berita tu tak cakap pula. Yang aku tahu memang penjenayah tu guna lampu isyarat untuk buat kerja haram mereka.”
“Entah-entah lampu isyarat kat rumah aku pun macam tu juga kot.”
“Ishh, takdelah. Merepek je la kau ni Malik.”
“Manalah tahu. Tapi kita kena siasat benda ni Pak Mas’ud. Kita kena minta Gul Muhammed siasat. Dia kan Timbalan Ketua Kampung.”
“Kenapa pula suruh Gul Muhammed siasat? Dia bukan tahu apa pun. Suruh la abang polis sebelah kita ni siasat. Hehe.” Pak Mas’ud memandang Inspektor Husni yang sedang mahu habis makan. Inspektor Husni, lelaki hitam manis, berwajah nakal namun seksi. Uniform polis yang membalut tubuh lelaki itu tidak dapat menyembunyikan otot-ototnya yang perkasa.
“Saya tak pernah nampak tuan dekat sini. Tuan kerja kawasan sini ke?” Soal Tok Malik.
“Ya, baru pindah sini tiga hari. Ikut orang rumah. Isteri saya jadi cikgu kat Sekolah Rendah Tangga Cina tu. Saya pula baru bertugas kat balai polis Pekan Masjid Keluli tu.” Inspektor Husni menjawab.
“Oh…patutlah tak pernah nampak.” Tok Malik membalas. “Saya Tok Malik. Saya tinggal di utara kampung ni. Kalau tuan pergi ke arah utara, nampak rumah banglo besar tu, rumah saya la tu.”
Inspektor Husni mengangguk sambil tersenyum.
“Ini Pak Mas’ud. Dia bilal kampung ni. Dia duduk di arah timur laut kampung ni.” Tok Malik memperkenalkan Pak Mas’ud. Inspektor Husni mengangguk dan tersenyum ke arah Pak Mas’ud.
“Dah alang-alang tuan ada kat sini, apa kata tuan tolong siasat pasal lampu isyarat kat simpang nak masuk rumah saya tu. Letih la tuan asyik rosak je. Orang JKR pun dah penat dah asyik nak repair je lampu isyarat tu. Memanglah tak banyak kenderaan lalu kawasan tu tapi banyak mat motor singgah situ sebab situ ada bengkel motor. Pernah dua kali saya hampir terlanggar budak motor sebab lampu isyarat asyik rosak je.” Tok Malik merungut.
“Insha Allah…nanti saya beritahu ketua saya pasal benda ni.” Balas Inspektor Husni.
“Kalau tuan nak apa-apa maklumat, tuan boleh tanya pada kami atau penduduk kampung ni. Insha Allah…kami pasti akan beri kerjasama.” Kata Tok Malik.
“Betul tu.” Pak Mas’ud menyokong.
“Takpe, macam ni. Balik balai nanti saya bincang dengan ketua saya. Insha Allah, saya akan siasat kes ni.” Kata Inspektor Husni.
************
Inspektor Husni ada meminta persetujuan ketuanya, ASP Saiful untuk menyiasat kes lampu isyarat itu namun ASP Saiful tidak memberi kebenaran. Menurut ASP Saiful, kes lampu isyarat itu adalah hal kecil dan remeh. Tidak perlu diberi perhatian. Dia mengatakan juga sebenarnya ada banyak kes lain yang lebih yang perlu disiasat.
Oleh kerana tidak mendapat persetujuan daripada ketuanya, Inspektor Husaini memulakan siasatan sendiri secara diam-diam. Dia pergi ke lampu isyarat yang dimaksudkan. Memang benar seperti yang dikatakan oleh Tok Malik. Lampu isyarat itu menyala dengan sangat pelik. Lampu itu tidak menyala seperti lampu isyarat biasa tetapi berkelip dalam keadaan yang tidak teratur dan bertukar warna dengan cepat.
Inspektor Husni bertanya kepada salah seorang penduduk tua di kampung itu yang bernama Mak Siti.
“Lampu tu macam hantu.” Kata Mak Siti. “Setiap kali jadi begitu, pasti akan sesuatu perkara buruk yang berlaku.”
“Apa perkara buruk yang berlaku?”
“Macam-macam. Kadang ada orang mati, kadang ada rumah terbakar. Kadang ada ribut yang melanda kampung ni, macam-macamlah.” Jawab Mak Siti.
Inspektor Husni kemudiannya bertemu dengan Gul Muhammed. Dia ialah Timbalan Ketua Kampung yang memangku tugas Ketua Kampung buat sementara waktu memandangkan Haji Dollah sedang dirawat di hospital.
“Betul ke lampu isyarat kat simpang nak menuju rumah Tok Malik tu selalu rosak?” Inspektor Husni bertanya.
“Betul tuan. Dah banyak kali repair dah. Setiap kali repair, boleh tahan tiga bulan je. Lepas tu lampu tu berkelip-kelip tak tentu arah macam yang tuan tengok tu.” Gul Muhammed menjawab.
“Ada tak sesiapa yang pakcik syak buat kerja tu?” Soal Inspektor Husni.
“Kalau ada pun, budak-budak kampung ni la. Tak lain tak bukan unsur vandalisme.” Jawab Gul Muhammed.
“Terima kasih pakcik atas kerjasama.”
“Sama-sama.”
Inspektor Husni memandang lampu isyarat tu. Dia memandang corak lampu itu berkelip. Lampu merah menyala dengan agak lama - dalam beberapa minit, lampu kuning berkelip sebanyak tiga kali dan lampu hijau menyala dalam beberapa saat. Itulah yang berlaku terhadap lampu itu secara berulang-ulang.
***********
Oleh sebab Inspektor Husni tidak mendapat kebenaran daripada ketuanya untuk menyiasat kes itu, jadi tidak boleh akses segala maklumat dalaman PDRM. Justeru, dia menghubungi Aini, seorang pustakawan separuh masa yang bekerja di Perpustakaan Awam Negeri.
“Aini, kau pernah tak dengar kes orang guna lampu isyarat untuk buat aktiviti jenayah?” Soal Inspektor Husni melalui panggilan telefon.
“Ya, ada. Pernah dalam tahun 60an ada geng penyeludup di Jepun yang seludup senjata api menggunakan lampu isyarat untuk berkomunikasi.” Aini menjawab.
“Macam mana mereka gunakan lampu isyarat untuk berkomunikasi?” Inspektor Husni bertanya lagi.
“Mereka pasang peranti pada lampu isyarat tu. Kemudian mereka buat lampu tu macam kod Morse. Setiap kelipan lampu merah, hijau dan kuning tu adalah kod.”
“Oh…jadinya mereka pasang peranti la kat lampu isyarat tu?”
“Betul. Tanpa peranti, lampu isyarat tu tak boleh buat kod Morse tu.”
“Baik, terima kasih Aini atas segala maklumat kau.”
“Sama-sama.”
************
Keesokan harinya, seorang juruletrik kampung bernama Abang Hassan ditemui mati di tepi jalan berhampiran lampu isyarat. Mayatnya kelihatan seperti kemalangan - ditimpa oleh pokok yang tumbang. Inspektor Husni pergi melakukan siasatan. Semasa siasatan, dia menjumpai sesuatu yang pelik. Di tangan Abang Hassan, ada sehelai kertas dengan corak lampu isyarat yang dilukis dengan warna merah-kuning-hijau dalam urutan tertentu. "Ini bukan kemalangan." Gumam Inspektor Husni. "Ini pembunuhan!"
Inspektor Husni pun mula menyiasat kes pembunuhan itu. Ketika menyiasat, Cikgu Jannah bertemu dengan Inspektor Husni untuk memberi kerjasama dalam penyiasatan. Dalam laporannya, Cikgu Jannah mengaku melihat Abang Hassan membaiki lampu itu malam semalam semasa dia lalu di simpang itu untuk mengajar tuisyen persendirian untuk cucu Tok Malik.
"Dia kata ada wayar pelik kat dalam lampu tu." Cerita Cikgu Lina. “Saya ada berhenti kejap tegur dia.”
“Pukul berapa cikgu jumpa dia?”
“Lebih kurang pukul 7.45 malam.”
“Cikgu balik dari rumah Tok Malik pukul berapa?”
“Lebih kurang pukul 10.00 malam.”
“Cikgu ada jumpa dengan Abang Hassan masa tu?”
“Masa saya balik, dia dah takde kat situ.”
“Masa cikgu nak pergi atau balik dari rumah Tok Malik, cikgu ada nampak sesiapa tak dekat situ?”
“Ada, masa nak pergi saya ada nampak Miss Gewa. Dia baru je habis bercakap dengan Abang Hassan. Lepas tu saya pula tegur abang Hassan kat lampu isyarat tu.”
“Ada nampak tak Puan Gewa ke mana lepas tu?”
“Rasanya dia melintas jalan untuk pergi ke bengkel Madam Mey Eng.”
“Masa nak balik ada jumpa sesiapa?”
“Saya cuma nampak Madam Mey Eng baru nak tutup bengkel dia.”
*************
Berdasarkan laporan daripada Cikgu Jannah itu, Inspektor Husni bertemu pula dengan Miss Gewa. Wanita itu bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran masakan India di Bandar Sungai Gelang.
“Apa yang miss buat kat lampu isyarat tu malam semalam?” Soal Inspektor Husni.
“Saya cuma tegur je Abang Hassan saya tengah nak repair lampu isyarat tu.” Jawab Miss Gewa.
“Apa tujuan miss pergi ke kawasan tu malam-malam?” Inspektor Husni menyoal lagi.
“Saja. Saya nak jumpa Madam Mey Eng. Nak ajak dia pergi melawat Haji Dollah di hospital lagi dua hari.” Miss Gewa menjawab.
“Lepas habis jumpa Madam Mey Eng, miss pergi mana?”
“Saya terus balik rumah.”
“Pukul berapa miss balik rumah?”
“Lebih kurang pukul 9.00 malam.”
“Masa miss nak balik miss ada nampak Abang Hassan dekat situ tak?”
“Ya, dia masih ada lagi dekat situ.”
Inspektor Husni kemudiannya bertemu dengan Madam Mey Eng. Wanita berusia 50an itu ialah satu-satunya pemilik bengkel motor di kampung itu.
“Madam ada berjumpa dengan Abang Hassan?” Inspektor Husni bertanya.
“Tiada. Tapi saya ada nampak dia tengah repair lampu isyarat.” Madam Mey Eng menjawab.
“Pukul berapa madam nampak dia?”
“Lebih kurang pukul 8.00 malam.”
“Masa tu Madam tengah buat apa?”
“Saya ada borak dengan Miss Gewa. Lepas habis borak, saya repair motor dua orang customer.”
“Madam habis repair motor pukul berapa?”
“Lebih kurang pukul 9.30 malam.”
“Masa tu Madam ada nampak tak Abang Hassan dekat situ?”
“Sudah tak ada.”
“Habis repair motor miss buat apa?”
“Saya pergi bancuh teh Cina. Saya minum sekejap. Lepas tu pukul 10 saya tutup bengkel.”
************
Inspektor Husni kemudiannya bertemu dengan Gul Muhammed untuk bertanya tentang Abang Hassan.
“Saya tak faham, kenapa abang Hassan yang pergi repair lampu isyarat tu? Ada sesiapa yang suruh ke?” Tanya Inspektor Husni.
“Dia tu memang macam tu. Dia suka buat kerja tu sukarela.” Jawab Gul Mohammed.
“Biasanya okay tak dia repair lampu tu?”
“Biasanya okay je. Kalau dia repair tak boleh, baru Tok Malik akan call JKR untuk repair lampu tu.”
“Ohh macam tu…” Balas Inspektor Husni pendek. “Setahu pakcik, Abang Hassan ada musuh ke?”
“Setahu saya tak ada. Abang Hassan tu baik orangnya.” Gul Mohammed membalas. Inspektor Husni mengangguk tanda faham.
“Jangan risaulah tuan. Takde apa-apa tu. Malam tadi memang ada ribut kecil sikit. Jadi apa yang berlaku pada Abang Hassan tu kemalangan je.” Kata Gul Muhammed.
Inspektor Husni hanya diam mendengar kata-kata Gul Mohammed. Dia memikirkan apa yang dinyatakan oleh lelaki itu dengan kritis.
Inspektor Husni kemudiannya pergi ke lampu isyarat itu. Dia memeriksa lampu isyarat itu sendiri. Di dalam kotak kawalannya, dia jumpa peranti kecil - sebuah pemancar radio lama yang disambungkan ke wayar lampu. "Sah!" fikir beliau. "Seseorang menggunakan lampu ini untuk menghantar mesej."
************
“Aini, kau ada tak jumpa apa-apa maklumat pasal orang-orang yang aku suruh cari?” Soal Inspektor Husni melalui panggilan telefon.
“Ada. Aku ada jumpa gambar dalam sebuah majalah terbitan Persatuan Pengakap Negeri yang memaparkan Abang Hassan adalah seorang ahli Pengakap yang aktif di tahun 80an. Pada masa itu, dalam Pengakap, antara yang diajar ialah membaca dan membuat kod Morse.” Jawab Aini.
“Oh…jadi, kau rasa Abang Hassan dapat membaca kod Morse yang dibuat melalui lampu itu?”
“Ya betul tu. Tapi aku tak tahu apa mesej dalam kod Morse yang dijumpai oleh Abang Hassan tu.”
“Aku dah tanya kawan aku dalam PDRM yang pandai baca kod Morse. Aku bagi dia kertas yang aku jumpa dalam tangan Abang Hassan tu. Kod itu bermaksud barang sampai malam ni pukul 11.00 malam.”
“Apa maksudnya tu? Barang apa yang sampai?”
“Itu yang aku tak tahu. Maksudnya Abang Hassan dia boleh baca kod tu. Dan mesti orang yang punya kod tu tak mahu rahsia dia pecah jadi dia bunuh Abang Hassan.”
“Itu penjelasan yang logik.”
“Lagi? Kau ada jumpa apa-apa lagi maklumat yang lain tak?”
“Ada. Aku ada jumpa satu berita pasal seorang lelaki yang jadi penyeludup dadah bernama Mr Leong sepuluh tahun lepas. Dia transit dadah tu dari Siam, simpan sekejap di sebuah bengkel di Kampung Dahan sebelum dia edarkan di seluruh Tanah Semenanjung. Mr Leong mati dalam penjara beberapa tahun lepas.”
“Bengkel? Setahu aku dalam kampung ni ada satu je bengkel. Bengkel Madam Mey Eng.”
“Kalau macam tu, cuba kau siasat apa kaitan Madam Mey Eng dengan Mr Leong.”
“Okay. Ni kena guna khidmat dalaman PDRM. Aku kena akses dalam pangkalan data PDRM. Susah sikitlah sebab kes ni aku tak boleh siasat sebenarnya. Takpe, itu aku buat. Lain, ada apa-apa kau jumpa lagi?”
“Last sekali, aku ada jumpa satu berita lama pasal seorang anggota polis bernama Gewa yang jadi pengedar dadah. Yang bestnya, dia jual dadah yang dirampas oleh pihak polis tu kat penagih berhampiran kawasan balai yang dia berkhidmat. Dia ditangkap tapi tak dikenakan tindakan undang-undang. Dia cuma dibuang dari PDRM.”
“Aiyoo…maksud kau Miss Gewa tu ke?”
“Tak pasti. Itu kau kena cari dalam pangkalan data PDRM.”
“Aisyhh, makin pening dan makin menarik. Takpe…itu aku siasat. Ada apa-apa lagi Aini?”
“Takde dah. Setakat ni itu sahaja.”
“Okay, thanks Aini tolong aku. Terima kasih sangat-sangat.”
“Sama-sama.”
**********
Inspektor Husni terus menjalankan siasatannya secara mendalam dan terperinci. Dia menemui kawannya secara rahsia yang mempunyai akses kepada pangkalan data PDRM untuk membantunya menangani kes itu. Dia ulang-alik dari Kampung Dahan ke Bukit Aman untuk mencari maklumat bagi melengkapkan siasatan.
“Macam mana dengan kes tu? Dah settle?” Soal Aini melalui panggilan telefon.
“Dah Aini. Semua yang terlibat dah ditangkap.” Jawab Inspektor Husni.
“Ceritalah. Nak tahu juga apa sebenarnya yang terjadi.” Balas Aini.
“Okay macam ni. Baru-baru ni Makcik Siti ada jumpa aku. Dia beberapa kali dengar Abang Hassan cerita pada dia yang Abang Hassan selalu nampak Madam Mey Eng membuat sesuatu di lampu isyarat tu pada waktu malam. Abang Hassan syak yang Madam Mey Eng la yang buat lampu isyarat tu selalu rosak.” Ujar Inspektor Husni kepada Aini melalui panggilan telefon.
“Oh…lepas tu?”
“Bila kau cakap pasal Mr Leong, aku check latar belakang Mr Leong. Mr Leong sebenarnya adalah suami Madam Mey Eng!”
“Ohh Tuhan…”
“Mr Leong menggunakan operandi yang sama untuk menyeludup dadah dari Siam. Dia buat kod Morse menggunakan lampu isyarat untuk beritahu kepada pengedar besar bahawa dadah dah sampai dan ada di simpan dalam bengkel dia. Bila Mr Leong masuk penjara dan meninggal pun, lampu isyarat tu masih rosak. Kalau ikut apa yang Abang Hassan cerita pada Makcik Siti, maka Madam Mey Eng la yang buat lampu isyarat tu jadi macam tu. Maksudnya, dia sambung kerja suami dia jadi penyeludup dadah di Malaysia.”
“Faham. Jadi, Abang Hassan dapat baca kod tu baru-baru ni. Maka, Madam Mey Eng bunuh dia untuk tutup mulut.”
“Yup. Tapi bukan Madam Mey Eng yang bunuh.”
“Hah? Habis siapa?”
“Miss Gewa!”
“Ohh Tuhan…apa kaitan Miss Gewa dalam kes ni?”
“Kan kau cakap kan pasal seorang anggota polis bernama Gewa yang jadi pengedar dadah berhampiran balai polis tu?”
“Okay…betul…aku ada cakap macam tu.”
“Miss Gewa yang kau jumpa dalam berita dan Miss Gewa kat Kampung Dahan ni adalah orang yang sama!”
“Ohh Tuhan…”
“Dia la yang ajar Mr Leong dan Madam Mey Eng buat kod Morse tu. Peranti dalam lampu isyarat tu dibuat oleh Mr Leong dan Madam Mey Eng. Yang susun kod Morse tu semua dia.”
“Maksudnya Miss Gewa tu dia pandai baca dan buat kod Morse?”
“Ya, dia adalah anggota polis yang pernah dihantar kursus untuk belajar kod Morse.”
“Wow… Tapi kenapa masa Mr Leong ditangkap, dia tak dedahkan hal ni?”
“Entahlah. Maybe dia setia kot pada Miss Gewa. Dia nak business dadah dia diteruskan oleh isteri dia pula.”
“Habis, macam mana kau tahu Miss Gewa yang bunuh Abang Hassan?”
“Madam Mey Eng yang pecah rahsia sebab takut. Lepas Abang Hassan jumpa peranti dan mula memahami kod tu, dia jumpa Madam Mey Eng. Dia tanya Madam pasal kod tu. Dia tahu kod tu pasal penyeludupan dadah sebab Mr Leong pernah ditangkap dan didakwa atas kes yang sama. Madam Mey Eng hubungi Miss Gewa beritahu pasal perkara tu dan Miss Gewa pun bunuh Abang Hassan untuk tutup mulut. Silap Miss Gewa ialah, dia tak ambil kertas yang ada kod Morse tu kat tangan Abang Hassan.”
“Huissh, dahsyat betul kes ni.”
“Betul tu. Kes ni bermula pada lampu isyarat yang rosak je tapi berlakunya tragedi pembunuhan dan pengedaran dadah di Tanah Semenanjung. Syukurlah, sebab melalui kes ini, pihak polis dapat membanteras rantaian pengedaran dadah yang agak besar.”
“Wow…apa pun tahniah Husni sebab berjaya selesaikan kes ni.”
“Yup, aku juga nak ucapkan terima kasih kat kau sebab sudi tolong aku. Tanpa kau, kes ni pun takkan selesai.”
“Ya, sama-sama.”
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.