Inspektor Qairul memanggil semua penghuni Villa Empat ke ruang tamu. Masing-masing mula tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku. Adakah Inspektor Qairul telah berjaya menemui pembunuhnya? Kalau ya, siapakah pembunuh tersebut?
“Saya memanggil tuan puan berkumpul pada hari ni adalah untuk memberitahu satu perkara penting. Kami dah tahu siapa pembunuh Dato Osman.” Ujar Inspektor Qairul sambil memandang wajah semua penghuni Villa Empat yang ada di ruang tamu itu.
“Siapa pembunuhnya?” Datin Hanini sudah mahu menangis. Sudah la dia kehilangan suami. Itu sudah perit baginya. Mengetahui bahawa suaminya dibunuh tambah memeritkan lagi hati dan perasaannya.
“Sebenarnya kes ni bukan saya yang selesaikan. Tapi Pak Rasul.” Kata Inspektor Qairul. Semua mata memandang ke arah Pak Rasul.
“Pak Rasul bolehlah kalau nak terangkan pasal kes ni dan beritahu siapa pembunuhnya.” Sambung Inspektor Qairul.
“Baiklah, terima kasih tuan. Saya terus terang je la. Malas nak panjang-panjang cerita. Pembunuhnya adalah Hazeem!” Pak Rasul menyatakan tanpa selindung.
“What?!” Johari terpekik gara-gara terkejut. Dia memandang Hazeem. Begitu juga dengan yang lain. Semua memandang lelaki kacak itu dengan wajah terkejut campur keliru.
“Seriuslah Hazeem kau bunuh bapak aku?” Johari bertanya dengan nada tidak percaya.
Johari ketawa. “Gila ke apa aku bunuh bapak kau? Asal aku nak bunuh bapak kau pula? Inspektor dengan Pak Rasul salah orang ni. Jangan tuduh-tuduh orang tanpa bukti.”
“Kejap! Encik Rasul, kenapa encik kata Hazeem yang bunuh suami saya?” Soal Datin Hanini.
“Okay macam ni, Dato Osman dibunuh oleh seseorang yang dia kenal. Orang tu memang tinggal dalam rumah ni. Dan orang tu tahu bila beliau akan masuk ke bilik air. Dan orang itu ialah Hazeem.”
“Hazeem tidak membunuh secara tergesa-gesa. Dia merancang pembunuhan itu supaya kelihatan seperti kematian mengejut atau kemalangan di bilik air. Pada pagi Hari Raya kedua, Dato Osman masuk ke bilik air tingkat bawah kerana dia cirit-birit memandangkan bilik air di bilik tidurnya rosak. Hazeem yang tahu Dato Osman sering ke bilik air sebab cirit-birit, sudah menunggu di luar bilik air. Apabila Dato Osman masuk ke bilik air, Hazeem pun masuk sama dan menutup mulut dan hidung mangsa menggunakan tuala tebal dari belakang — bukan untuk mencekik, tetapi untuk menghalang pernafasan dan menahan jeritan.”
“Dalam keadaan panik dan kekurangan oksigen, Dato Osman cuba melawan, tetapi lantai bilik air yang licin menyukarkan pergerakan. Ketika mangsa hampir lemah, Hazeem menghentak bahagian belakang kepala Dato Osman ke dinding seramik bilik air itu. Hentakan itu cukup tepat dan kuat untuk menyebabkan pendarahan di kepala yang membawa maut dengan cepat. Malangnya, Hazeem buat kesilapan. Tuala yang digunakan untuk tutup mulut Dato Osman itu telah terkena darah yang agak banyak yang keluar dari kepala Dato Osman. ”
“Tuala yang Hazeem gunakan itu adalah tuala yang dia ambil dari bilik air tingkat bawah itu yang dijadikan perhiasan oleh Datin Hanini. Apabila Dato Osman sudah meninggal, Hazeem kemudiannya membiarkan air paip mengalir untuk mengaburkan masa kematian. Dia kemudian membersihkan tangannya lalu menyembunyikan tuala yang sudah berlumuran darah di biliknya.”
“Saya tidak tahu hal ini serta-merta. Tapi saya menemukan beberapa petunjuk. Pertama, semasa Datin Hanini menemui jenazah Dato Osman, semua orang kelihatan terkejut kecuali Hazeem. Hazeem kelihatan sangat tenang dan terlalu terkawal. Hal macam ni sangat pelik sebab situasi masa itu memerlukan kita dalam emosi yang tinggi secara psikologinya.”
“Kedua, hasil autopsi menunjukkan luka di belakang kepala Dato Osman terlalu kemas. Maksudnya, Dato bukan jatuh sendiri. Jatuh jarang tepat di satu titik yang sama.”
“Dalam merancang satu pembunuhan yang berjaya, Hazeem melakukan beberapa kesilapan kecil. Pertama, semua tuala perhiasan dalam bilik air mesti ada lapan helai. Masa saya guna bilik air waktu mula-mula sampai pun saya kira ada lapan. Tapi lepas Dato Osman dibunuh, ada tinggal tujuh je. Mana lagi satu tuala tu? Siapa yang ambil?”
“Pembantu rumah, Izzah cerita pada saya pasal bilik Hazeem bau Dettol atau bau ubat. Itu sebenarnya bau antiseptik. Bau itu digunakan untuk menutup bau hanyir darah pada tuala. Lepas tu saya perasan ada kesan luka pada pergelangan tangan Hazeem. Hazeem kata luka sebab tergores. Itu bukan kesan tergores tapi kesan cakar pendek yang menandakan seseorang pernah bergelut dalam jarak dekat.” Pak Rasul bercerita dengan panjang lebar seperti memberi ceramah tentang sejarah.
“Saya dan team dah masuk bilik Hazeem. Kami ada jumpa tuala lembap dan berbau darah tersembunyi di dalam beg pakaian Hazeem. Kami hantar tuala tu pergi makmal. Kami temui kesan darah Dato Osman pada tuala. Dan kami memadankan serat tuala dengan serat yang tertinggal pada kuku mangsa. Memang sangat cocok. Ini tuala dia.” Inspektor Qairul mengeluarkan sehelai tuala berdarah yang ditemui tersembunyi di bilik Hazeem. Tuala tu dibungkus dengan plastik jernih makmal forensik.
Hazeem hanya diam. Dia tidak membantah. Semua mata di ruang tamu itu memandang Hazeem.
“Pihak kami juga menemui sesuatu fakta menarik. Ayah Hazeem pernah bekerja dengan Dato Osman. Dan dia dipenjarakan kerana penyelewengan yang sebenarnya dilakukan oleh Dato Osman sendiri. Ayah Hazeem meninggal dalam penjara.” Sambung Inspektor Qairul.
“Haha. Aku ingat aku dah rancang baik dah. Rupanya kantoi juga. Okaylah, saya mengaku, memang saya yang bunuh Dato Osman sebab nak balas dendam. “ Ujar Hazeem dengan berat.
Dan tengah hari itu, Hazeem ditahan dan dibawa ke balai.
************
Setelah siasatan selesai, jenazah Dato Osman dikebumikan. Johari, Ezany dan Fazli pulang semula ke UK untuk menghabiskan baki pengajian mereka. Villa Empat yang berdiri gah menjadi sunyi dan tidak berpenghuni kerana Datin Hanini telah berpindah. Dia enggan tinggal di situ kerana ada kenangan pahit dan sejarah gelap wujud dalam rumah itu. Tidak lama kemudian, Soleh dan Dania menjual rumah tersebut.
Pak Rasul pulang ke kampungnya seperti dia. Dia masih menulis artikel-artikel sejarah di untuk akhbar dan majalah nasional. Di komputer ribanya, terdapat satu draf artikel masih belum siap. Dia masih membaca dan mengkaji untuk melengkapkan fakta artikel sejarah itu.
Misteri Kematian di Villa Empat sudah pun berakhir…bukan dengan keadilan mutlak, tetapi dengan kebenaran yang pahit.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.