Pak Rasul duduk di tangga pondoknya untuk menikmati angin petang. Sambil-sambil itu, dia mencicip nescafe o suamnya yang dia bancuh tadi. Matanya memandang halamannya yang bersih. Hampir setiap pagi, dia akan membersihkan halaman itu dari dedaunan yang gugur. Sesekali matanya melihat ke rumah gadang adiknya. Rumah pusaka tinggalan orang tua mereka dahulu kini didiami oleh adik bongsunya - Hamid. Dia sangat bersyukur kerana Hamid pandai menjaga dan memelihara rumah pusaka itu dengan baik.
Pak Rasul mengalihkan kedudukan badannya untuk bersandar ke pintu. Kepalanya menoleh ke sebelah kiri untuk melihat meja kerjanya. Terdapat banyak buku sejarah di atas meja itu. Dia baru sahaja selesai menulis sebuah artikel sejarah. Dia ingin kirim artikel itu di majalah Fantasi. Namun, sebelum dia kirim, dia ingin semak dan sunting dahulu mana yang patut.
“Pak Rasul!” Pak Rasul lantas menoleh ke sebelah kanan sebaik sahaja dia mendengar suara gedik manja itu. Dia melihat Suhani dengan kebaya merah terang paras lutut dan berkain batik sambil mengenakan tudung merah cair pendek. Perempuan berkulit hitam manis itu memang terkenal sebagai ‘wartawan kampung’. Bergosip, bercerita dan mengumpat memang sudah menjadi hobinya. Sehari tidak buat rasa tidak lengkap hidupnya.
“Ada apa datang ni Suhani?” Soal Pak Rasul sambil memandang Suhani yang berdiri di tangga pondoknya.
“Takde apa. Saja nak lawat Pak Rasul.” Jawab Suhani sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Ada apa-apa cerita ke yang kamu nak sampaikan pada aku?” Pak Rasul bertanya. Dia yakin pasti perempuan becok dan bermulut celupar itu ada membawa cerita untuknya.
“Mestilah ada. Hehe. Pandai Pak Rasul teka.” Balas Suhani yang masih lagi tersengih.
“Apa dia?”
“Pak Rasul tahu tak kedai pakaian yang baru buka kat Padipura tu?”
“Ya tahu. Kenapa dengan kedai tu?”
“Saya dapat cerita tadi yang kedai tu berhantu. Malam-malam ada orang nampak patung mannequin dalam kedai tu berjalan sendiri. Ramai pekerja kedai tu takut nak bekerja waktu malam.”
“Ish, merepek la semua tu. Entah-entah orang nak beri kedai tu muflis, orang buat cerita macam tu.”
“Betul Pak Rasul. Ramai orang kampung dah tahu pasal cerita ni. Owner kedai tu, Sulaiman nama dia, nak jumpa Pak Rasul. Dia nak minta Pak Rasul tolong siasat.”
“Ish, aku mana pandai siasat benda-benda macam tu.”
“Ala…Pak Rasul tolong la dia. Pak Rasul kan bijak.”
Sedang asyik mereka berborak, sebuah kereta Proton Bezza warna biru masuk ke perkarangan kediaman Pak Rasul. Pak Rasul dan Suhani memandang ke arah kereta itu. Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki berusia akhir 30an keluar dari perut kereta.
“Pak Rasul, inilah Sulaiman. Owner kedai yang patung mannequin dia berjalan tu.” Ujar Suhani.
“Apa khabar Pak?” Soal Sulaiman.
“Khabar baik.” Jawab Pak Rasul sambil tersenyum ramah.
“Boleh saya nak cakap dengan Pak Rasul sekejap?”
**********
Pak Rasul menghidangkan air kopi o panas kepada Sulaiman yang duduk di hadapannya. Dia mendengar cerita Sulaiman dengan teliti. Suhani, si tukang kepoh itu sudah balik tadi.
“Pak Rasul... mannequin di kedai saya bergerak sendiri. Saya tak tahulah memang hantu atau bukan. Saya dengar Pak Rasul selalu selesaikan kes-kes aneh dan misteri macam ni. Boleh tolong saya?" Soal Sulaiman penuh pengharapan.
“Aku bukan tak nak tolong tapi aku ni bukan pandai sangat pun.” Pak Rasul merendah diri.
“Tolonglah Pak Rasul. Saya akan bayar untuk khidmat Pak Rasul.”
“Ini bukan soal duit sebenarnya…haihh…okay macam ni la. Aku takkan siasat sebab aku bukan penyiasat tapi aku akan ajar kau macam mana nak siasat. Boleh?”
“Boleh Pak Rasul. Asalkan masalah ni selesai, saya okay je. Ramai pekerja saya takut dan berhenti. Sales kedai saya pun jatuh teruk ni sejak cerita pasal patung mannequin tu tersebar.”
“Okay, macam ni. Aku nak tahu dulu, memang kau nampak ke patung tu berjalan atau bergerak sendiri?”
“Tak pernah nampak. Tapi bila saya check CCTV, memang patung tu bergerak.”
“Dia bergerak macam mana?”
“Ermmm…selalu tangan dan kepala patung tu je bergerak. Biasanya tangan dia naik perlahan-lahan, lepas tu kepada dia berpusing.”
“Patung tu macam mana rupa dia?”
“Dia patung dalam bentuk perempuan. Kami pakaikan dia dengan gown warna merah.”
“Oh…macam tu. Aku pun susah nak cakap sebab aku tak tengok. Okay macam ni. Esok kau datang balik. Nanti aku minta tolong dengan kawan aku. Dengan pertolongan dia, siasatan kau akan jadi lebih baik.”
“Baik.”
***********
Keesokan harinya, Sulaiman datang semula ke pondok Pak Rasul. Dia melihat Pak Rasul bersama dengan seorang anggota polis yang agak berusia. Mereka berdua duduk minum di ruang tengah pondok Pak Rasul. Muka lelaki itu nampak garang dan tegas. Lebih-lebih lagi dengan uniform polis yang dikenakannya. Lelaki itu walaupun nampak berusia namun tubuhnya tegap dan kekar.
“Man, kenalkan, ini kawan aku. Datuk Abdullah nama dia. Dia ni Pesuruhjaya Polis.” Ujar Pak Rasul. Sulaiman bersalam dengan Datuk Abdullah. Meskipun Datuk Abdullah menyambut huluran salamnya, namun lelaki itu langsung tidak senyum. Dia memaparkan wajahnya yang serius.
“Man, Datuk Abdullah bagi kau pinjam alatan dalam beg tu. Dalam tu ada kamera inframerah, multimeter, lampu UV dan pengesan gerakan. Kau gunakan alatan tu untuk bantu siasatan kau.” Kata Pak Rasul sambil menunjuk pada sebuah beg hitam yang tidak jauh dari mereka.
“Boleh ke saya guna alatan ni?” Soal Sulaiman.
“Sebenarnya tak boleh” Kata Datuk Abdullah tegas. “Kalau orang lain tahu, kita bertiga boleh kena. Lagi-lagi aku. Tapi sebab Pak Rasul percaya dan nak sangat tolong kau, aku bagi kau pinjam semua alatan tu. Jaga alatan tu baik-baik. Itu semua polis dan kerajaan punya. Kalau rosak atau hilang, siap kau!”
Teguk liur Sulaiman mendengar kata-kata Datuk Abdullah. Pak Rasul hanya senyum sahaja.
“Man, dalam kedai kau tu siapa je yang masih kerja?” Pak Rasul bertanya.
“Dalam kedai tu masih ada dua pekerja. Azita dengan Che Din.” Sulaiman menjawab.
“Boleh ke kau terangkan dekat aku perwatakan kedua-dua pekerja kau tu?” Pak Rasul meminta.
“Azita dia muda lagi. Dalam pertengahan 20an. Dia seorang yang sopan dan selalu senyum. Che Din pula jenis pendiam dan jarang bercakap. Tapi mereka berdua tu memang rajin dan serius buat kerja. Tak main-main.”
“Macam mana dengan kedai kau sekarang?”
“Kedai jadi sunyi sebab tak ramai orang datang.”
“Okay macam ni. Aku nak kau periksa patung mannequin tu. Cari sebarang tanda yang pelik atau sebarang perubahan yang kau rasa janggal kat patung tu. Kalau tak jumpa, kau gunakan alat-alat dalam beg tu. Nanti Datuk Abdullah akan ajar cara guna semua alatan tu.”
“Baik.” Balas Sulaiman.
“Nanti kau datang balik dan update semua maklumat pada aku.”
*************
“Saya dah periksa patung mannequin tu Pak Rasul. Kat bahagian bahu patung tu licin seperti baru dilincirkan. Pastu ada goresan halus di tapak kaki dan ada kesan cap jari samar di leher patung tu.” Cerita Sulaiman setelah dia memeriksa patung mannequin itu pagi tadi. Petang itu, dia datang semula ke rumah Pak Rasul untuk memberi laporan penemuannya.
“Nampak macam patung tu ada orang ubah suai atau repair. Ada sesiapa ke yang pergi repair patung tu?” Pak Rasul menyoal.
"Oh…saya lupa. Saya ingat bulan lepas Azita ada bawa patung tu pergi repair." Sulaiman menjawab.
“Kenapa dia repair patung tu?”
"Dia kata tangan patung tu patah."
“Oh macam tu…lagi kau ada jumpa apa-apa lagi tak?”
“Masa saya check patung tu, saya terjumpa satu panel kat belakang patung tu. Saya pun buka la panel tu. Saya nampak ada beberapa barang. Saya bawa barang tu jumpa kawan saya yang pandai elektronik. Kawan saya kata barang tu ialah motor servo kecil, modul Bluetooth dan bateri lithium.”
"Sah! Ada orang yang control patung tu dari jauh. Orang tu mungkin guna remote control atau apa-apa peranti untuk kawal pergerakan patung tu." Kata Pak Rasul dengan yakin. Terbeliak biji mata Sulaiman.
“Jadi, memang bukan hantu la yang kawal patung?”
“Bukan, tapi kita kena tahu apa motif dia buat macam tu.” Pak Rasul berkata. “Malam nanti kau pergi kedai kau balik. Kau duduk dalam tu. Dan perhati…”
**********
Pak Rasul terjaga dari tidur sebaik sahaja mendengar telefon pintarnya berbunyi. Dia melihat Sulaiman yang menghubunginya. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam.
“Pak Rasul, saya tengok patung tu bergerak pada pukul 10 malam melalui alat pengesan yang Datuk Abdullah bagi tu. Patung mannequin bergerak sama macam dalam CCTV yang saya tengok kelmarin. Dia akan pergi ke tengah kedai, tangan terangkat dan kepala berpusing.” Ujar Sulaiman melalui telefon.
“Boleh ke kau terangkan kat aku macam mana pergerakan patung tu?” Soal Pak Rasul.
“Hasil pemerhatian saya melalui CCTV tempoh hari dan pada malam ni, patung mannequin tu tak bergerak jauh-jauh…maksimum cuma dalam lingkungan 2 meter dari posisi asalnya. Patung tu dari tingkap ke tengah lorong kedai je. Patung tu tak berjalan keluar kedai, tak lompat atas rak, dan tak buat benda pelik yang lain.” Sulaiman memberi penjelasan.
“Ya, itu disebabkan patung mannequin tu digerakkan oleh motor servo mini tu. Motor jenis tu memang terhad jaraknya…dan biasanya cuma boleh buat pergerakkan kecil macam lengan, kepala atau badan dalam radius kecil je. Orang tu tak boleh buat mannequin ‘berjalan’ jauh macam robot sebenar. Nampak sangat orang tu guna alat mekanikal murah.” Balas Pak Rasul.
Sulaiman hanya diam mendengar penjelasan Pak Rasul. Dia sangat kagum dengan penjelasan orang tua tu.
“Aku rasa la kan, patung tu sengaja dibuat macam tu supaya orang takut. Maksudnya, patung tu digunakan untuk menutup sesuatu. Tetapi ‘sesuatu’ tu yang kita kena cari.” Sambung Pak Rasul lagi.
“Ermm…aku nak tanya, kalau kau tengok CCTV dan pemerhatian kau malam ni, biasanya patung tu bergerak pukul berapa?” Soal Pak Rasul lagi.
“Biasanya pukul 10 malam Pak Rasul. Masa semua staff saya yang kerja shift malam bersiap-siap kemas kedai untuk pulang.”
“Petang tadi kau ada cakap dengan aku kan yang kau ada jumpa Bluetooth modul dalam patung tu?” Pak Rasul bertanya.
“Ya betul.” Sulaiman menjawab.
“Ini bermaksud orang tu guna Bluetooth supaya patung ‘dengar arahan’ dari jauh…dari telefon atau remote control yang dikawal oleh orang tu. Kalau signal aktif tepat masa tu je, bermakna seseorang sengaja program supaya mannequin gerak pada waktu tertentu terutama masa staff kau yang shift malam nak kemas-kemas dan nak tutup kedai. Ini bukan kebetulan atau ‘hantu aktif pada waktu malam’. Ini jadual tetap…macam timer dalam app atau peranti automatik.”
“Oh…macam tu…”
“Takpelah, sekarang kau balik. Rehat dulu. Nanti esok kita akan siasat lagi.”
“Baik Pak Rasul.”
*************
Usai solat Subuh di masjid, Pak Rasul pulang ke pondok kecilnya. Dia duduk di kerusi malas sambil berselawat. Sambil-sambil itu dia memikirkan masalah yang dihadapi oleh Sulaiman. Habis berselawat, dengan ilham yang datang dari Allah, Pak Rasul teringat sesuatu. Segera dia menghubungi Sulaiman melalui telefon pintar.
“Aku rasa aku tahu apa tujuan patung tu sengaja digerakkan.” Kata Pak Rasul sebaik sahaja Sulaiman menjawab panggilan telefonnya.
“Apa dia Pak Rasul?” Soal Sulaiman.
“Dulu aku teringat satu kes yang pernah tersiar di akhbar tempatan. Dulu ada penyeludup yang guna ruang tersembunyi di dinding rumah untuk simpan barang haram macam dadah, emas curi atau barang seludup. Aku rasa hari ni kau tak payah buka kedai. Kau beritahu pada staff kau dua orang tu supaya tak payah datang kedai hari ni.”
“Kenapa pula Pak Rasul?” Sulaiman berasa pelik dengan kata-kata Pak Rasul.
“Aku rasa ada ruang tersembunyi dalam dinding kedai kau. Aku nak kau cari ruang tu.” Pak Rasul menjawab.
“Macam mana nak cari?”
“Kau alihkan semua rak pakaian kau yang melekat kat dinding. Lepas tu kau ketuk dinding tu banyak kali pakai tangan. Kau buat kat semua dinding yang ada di kedai kau. Kalau kau ketuk dan ada bunyi kosong atau gema, maksudnya dalam dinding kedai kau tu ada ruang kosong. Pastu kau pecahkan dinding tu. Tengok ada apa kat dalam.”
“Okay Pak Rasul. Saya akan buat sekarang.”
*********
Petang itu Sulaiman datang ke pondok Pak Rasul untuk mengemaskini maklumat berkaitan penemuannya di kedai.
“Saya ketuk-ketuk dinding kedai macam yang Pak Rasul suruh. Saya tak sangka kat situ saya jumpa ada ruang kosong. Saya pecahkan dinding tu dengan kawan saya. Dalam dinding tu rupanya ada sebuah kotak besi berisi berlian mentah.” Sulaiman bercerita. Dia tak sangka selama ini di kedainya ada barang seperti itu.
"Dahsyat betul. Aku rasa kedai kau selama ni jadi penyeludupan transit." Gumam Pak Rasul.
“Pak Rasul rasa siapa yang punya berlian tu?”
“Itu aku tak pasti. Kita kena siasat. Malam ni kau jangan balik. Kau tunggu kat kedai. Mesti akan ada orang yang akan masuk kedai kau malam ni. Dari situ kita dapat tahu siapa yang jadi dalang.”
“Baik. Tapi macam mana Pak Rasul tahu akan ada orang yang datang malam ni?” Soal Sulaiman.
“Dalam banyak kes jenayah, psikologi penjenayah biasanya akan selalu datang ke tempat jenayah sebab mereka selalu berasa tak selamat. Mereka selalu dalam ketakutan sebab takut bukti tertinggal atau nak pastikan ‘semuanya okay’. Lagipun hari ni kan kau tutup kedai. Mesti penjenayah rasa curiga sebab kau takkan tutup kedai tanpa sebab.”
“Oh…betul juga tu. Baiklah, saya akan ikut cadangan Pak Rasul.” Sulaiman membalas.
***********
Malam itu, dalam pukul 12 malam, Sulaiman menghubungi Pak Rasul melalui telefon. Pak Rasul yang belum tidur kerana ternanti-nanti berita daripada Sulaiman langsung menjawab panggilan telefon itu.
“Saya ikut cakap Pak Rasul…sembunyi dalam kedai ni.” Ujar Sulaiman. “Dalam pukul 11.15 malam macam tu, saya dengar pintu belakang berbunyi. Saya lihat seseorang masuk dan bawa beg kecil. Saya terus terjah orang tu. Pak Rasul tahu siapa yang saya tangkap?”
“Siapa?” Pak Rasul sudah tidak sabar.
“Che Din!”
“Hah? Lepas tu?”
“Che Din terkejut masa tu. Dia keluarkan pisau. Kami berdua bergelut. Tapi saya dapat kalahkan dia. Kemudian saya telefon polis. Dan polis pun dah tangkap Che Din.”
“Lepas tu?”
“Saya pun cerita pada polis pasal ruang rahsia belakang dinding dan berlian tu. Polis pun siasat Che Din. Dan Che Din mengaku yang dia buat patung mannequin tu untuk takutkan saya dan staff saya supaya kedai saya muflis.”
“Dia nak mufliskan kedai kau sebab dia nak mudahkan urusan seludup berlian tu ke?”
“Itu satu. Yang kedua, dia nak Hazimin, supplier kain saya beli kedai saya tu.”
“Aik, supplier kain pun terlibat sekali?”
“Yup. Sebenarnya berlian tu Hazimin punya. Dia yang jadi dalang besar untuk semua ni.”
“Ya Rabbi…macam ini punya orang pun ada ke?” Pak Rasul berasa kesal.
“Okaylah Pak Rasul. Saya nak ke balai ni. Nak bagi keterangan. Apa-apa nanti saya update dengan Pak Rasul. Terima kasih Pak atas pertolongan dan cadangan Pak selama ni.” Ucap Sulaiman.
“Baik, sama-sama.”
************
Usai menyapu halaman pondoknya pagi itu, Pak Rasul meletakkan kerusi malasnya di muka pintu pondok. Dia mencicip nescafo o suamnya sambil menghirup udara pagi. Sungai kecil yang mengalir di hadapan rumahnya yang sunyi dan tenang itu sungguh mententeramkan jiwa raga Pak Rasul yang berseorangan.
Sebenarnya dia gembira dapat membantu kes Sulaiman. Walaupun bukan dia yang terlibat secara langsung dalam menyiasat kes itu, tetapi dengan memberi tunjuk ajar dan panduan sudah cukup baginya untuk menyelesaikan misteri dan jenayah yang menimpa Sulaiman.
Sedang asyik dia mengelamun, dia melihat kereta Sulaiman masuk ke halaman pondoknya. Tidak lama kemudian dia melihat Sulaiman keluar dari perut kereta.
“Morning Pak Rasul. Wah…santai nampak. Tak menulis ke hari ni?” Sulaiman senang melihat Pak Rasul yang sedang duduk santai memakai baju-t tanpa kolar dan berkain pelikat warna biru.
“Artikel aku semalam dah terbit dua kat majalah Fantasi. Hari ni nak rehatlah. Asyik menulis dan menaip je, naik kematu jari-jari aku ni.” Pak Rasul berseloroh.
“Wahh…masyuk la semalam. Dua artikel terbit kat majalah.” Sulaiman tersenyum sambil mengusik Pak Rasul.
“Takdelah masyuk. Tapi cukuplah nak sara hidup ni. Haa, macam mana semalam?”
“Polis pun dah tahan Hazimin. Dia pun dah mengaku yang berlian tu dia punya. Tapi yang lagi best Pak Rasul, Azita pun terlibat sekali.”
“Hah? Azita pun jadi dalang juga?”
“Ya, Hazimin dan Che Din yang bongkar kepada pihak polis. Polis pun dah tangkap Azita.”
“Lepas tu?”
“Dalam keterangan Azita pada pihak polis, Azita mengaku yang Che Din hanya pion. Dia yang pasang mekanisme dan orang yang kendalikan remote untuk gerakkan patung mannequin tu. Hazimin yang upah dia untuk buat semua kerja tu dengan Che Din. Tujuan dia ialah nak saya takut dan tutup kedai, supaya mereka boleh angkut berlian tanpa gangguan. Che Din dia suruh ambil risiko, supaya kalau tertangkap, Che Din yang disalahkan.” Sulaiman menerangkan satu persatu.
“Dan Che Din pula kata dia tak bersalah sepenuhnya. Dia hanya dipaksa oleh Azita dan Hazimin. Dia kata Azita dan Hazimin perancang utama.” Sambung Sulaiman lagi.
“Aku betul-betul tak sangka Azita yang nampak baik tu pun sanggup buat jenayah sampai macam ni sekali.” Ujar Pak Rasul dengan rasa kesal.
“Itulah. Azita pekerja saya yang paling setia. Dia yang paling lama kerja dengan saya. Saya betul-betul percaya pada dia. Tak sangka dia sanggup buat saya macam ni.” Balas Sulaiman dengan nada lemah.
“Dalam sejarah, penjenayah terbaik ialah yang paling tak disangka. Dia gunakan kepercayaan semua orang untuk tutup aktiviti jenayah dia.” Kata Pak Rasul.
Sulaiman mengangguk setuju.
“Apa-apa pun semua dah selesai sekarang. Kau dah boleh berniaga macam biasa tanpa perlu berasa takut lagi.” Sambung Pak Rasul.
“Itulah. Terima kasih ye Pak Rasul sebab sudi bantu saya selesaikan kes ni.” Ucap Sulaiman dengan gembira.
“Sama-sama.” Balas Pak Rasul.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.