Jumaat, 12 Oktober 2018

JANGAN ANGKUH DENGAN RAKYAT YB!

Sumber


Tular baru-baru ini video seorang ADUN DAP merangkap exco kerajaan negeri Melaka, YB Nurhizam Hassan Baktee yang berkelakuan tidak sepatutnya kepada penduduk Kampung Pulau Nibong yang mengadu masalah mereka kepada beliau. Jelas dalam video itu, beliau bersikap angkuh apabila berhadapan dengan rakyat. 

Perkara semacam ini bukanlah pertama kali terjadi. Sebelum ini pun, telah tular video beliau di laman sosial berkenaan sikap yang sama.

Jelas kelihatan wakil rakyat daripada Pakatan Harapan ini masih belum menyesuaikan dirinya sebagai wakil rakyat. Sama ada beliau belum lagi untuk belajar kaedah untuk menjadi wakil rakyat seperti yang sepatutnya ataupun sememangnya sikap beliau begitu, tidaklah kita ketahui. Namun, sikap yang beliau pamerkan itu bukan sahaja merosakkan imej seorang wakil rakyat, malah merosakkan imej DAP, imej Pakatan Harapan dan imej kerajaan negeri Melaka secara keseluruhannya.

Tidak sepatutnya beliau mempamerkan sikap ala gangster begitu apabila berhadapan dengan rakyat. Rakyat sememangnya mempunyai pelbagai masalah yang perlu diselesaikan. Menjadi tugas wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Apabila rakyat datang mengadu masalah mereka kepada wakil rakyat, sepatutnya masalah itu didengari, dibawa berbincang dan cuba untuk diselesaikan. Jika tidak dapat diselesaikan, cubalah berbincang semula dengan rakyat dengan cara yang baik. Mempamerkan sikap ala gangster begitu bukanlah cara yang betul.

Sepatutnya apabila beliau bertanding untuk bergelar seorang wakil rakyat, maka beliau sepatutnya sudah bersedia untuk berhadapan dengan seribu masalah rakyat. Lebih-lebih lagi apabila beliau dilantik sebagai salah seorang exco kerajaan negeri. Maka, beliau sepatutnya sudah tahu bahawa beliau pasti akan berhadapan dengan banyak masalah rakyat dan segala masalah itu perlu diselesaikan.

Jika beliau sudah bersedia untuk bergelar seorang wakil rakyat maka sudah pasti insiden memalukan itu tidak akan muncul. Namun, oleh kerana beliau tidak bersedia, maka jadilah seperti yang kita lihat pada hari ini.

Tidak diketahui mengapa beliau tidak bersedia untuk berhadapan dengan masalah rakyat sedangkan beliau sendiri bertanding dan dipilih sebagai wakil rakyat. Justeru, bolehlah diragui niat sebenar beliau menjadi seorang wakil rakyat. Sama ada benar-benar untuk membantu rakyat atau untuk kepentingan-kepentingan tertentu yang bersifat peribadi.

Beliau sebagai seorang wakil rakyat perlu belajar bagaimana untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berwibawa dan boleh diterima oleh semua. Terdapat ramai pemimpin dalam Pakatan Harapan yang bagus-bagus boleh beliau temui dan pelajari. Jika beliau tidak mempelajari bagaimana untuk menjadi wakil rakyat yang betul, maka insiden sebegitu pasti akan berulang lagi pada masa akan datang.

UMNO-BN kalah pada PRU yang lalu kerana ramai wakil rakyat dan pemimpinnya bersikap angkuh dengan rakyat. Meskipun keangkuhan mereka tidak tular seperti mana YB Pengkalan Batu itu, tetapi sekian ramai rakyat merasakan bahawa ramai pemimpin UMNO-BN bersikap angkuh kepada mereka. Maka, rakyat secara beramai-ramai menghukum mereka dalam PRU yang lalu.

Jangan sampai apa yang berlaku kepada UMNO-BN itu boleh berlaku kepada YB Pengkalan Batu dan Pakatan Harapan. Perkara semacam itu bukanlah mustahil untuk berlaku. Rakyat memberi mandat kepada PH untuk memerintah Melaka sekaligus Malaysia adalah untuk memastikan negara ini berubah. Dengan sikap yang dipamerkan oleh YB Pengkalan Batu itu, perubahan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian rakyat jelata semakin jauh nampaknya.   


1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.