Jumaat, 5 Oktober 2018

SEBUAH KILANG BERNAMA UNIVERSITI


Menjadi impian oleh ramai anak muda untuk menjejakkan kaki ke universiti. Hal ini kerana, memasuki universiti bukan sahaja melambangkan ketinggian ilmu, malah melambangkan ketinggian martabat dan prestij seseorang manusia itu.

Masih tersemat kukuh dalam fikiran sebilangan masyarakat kita bahawa jika seseorang itu memasuki universiti, maka orang itu akan mendapat kerja yang bagus, mempunyai gaji yang banyak, mempunyai rumah yang besar dan mempunyai kereta yang mewah. Masih tersemat kukuh dalam fikiran sebilangan masyarakat kita bahawa orang yang keluar dari universiti pasti akan mendapat kerja.

Fikiran itu barangkali betul jika seseorang itu hidup di tahun 60an, 70an, 80an atau 90an. Namun, pada tahun 2018 ini, sepatutnya fikiran tersebut wajar disingkirkan. Hal ini kerana, zaman sudah berubah. Bukan semua siswazah lepasan universiti pasti akan mendapat kerja setelah mereka keluar dari universiti. Bukan semua pelajar lepasan universiti akan mampu untuk mendapat gaji yang banyak, rumah besar dan kereta mewah. Rata-rata siswazah lepasan universiti sekarang sedang bersaing untuk merebut tempat di pasaran kerja. Bagi yang bernasib baik, mereka pasti akan mendapat kerja dalam waktu yang singkat. Bagi yang kurang bernasib baik, mereka akan menganggur berbulan-bulan lamanya.

Universiti yang merupakan gedung ilmu itu bukan lagi menjadi pusat keilmuan sebaliknya menjadi kilang. Fungsi universiti untuk melahirkan seorang manusia yang berilmu telah berubah kini menjadi kilang untuk melahirkan beribu-ribu produk bernama pekerja.

Kebanyakan siswa siswi yang memasuki universiti kini bukanlah untuk menimba ilmu sebaliknya berusaha untuk menjadi seorang pekerja bagi memenuhi pasaran kerja sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta.

Oleh sebab itulah kebanyakan siswa siswi yang memasuki universiti kerana untuk memenuhi pasaran kerja sama ada untuk menjadi jurutera, wartawan, arkitek dan sebagainya, maka ilmu yang mereka timba di universiti itu kebanyakannya tidak melekat dalam hati dan minda mereka. Mereka belajar dan menimba ilmu di universiti itu semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan sahaja.

Apabila siswa dan siswi di universiti kebanyakannya mahu bergelar seorang pekerja dan bukannya untuk mendapat ilmu, maka mereka tidak berperanan dalam masyarakat seperti yang sepatutnya. Setelah mereka menamatkan pengajian di universiti, mereka hanya sibuk dengan urusan kerja dan peribadi mereka sahaja tanpa berbakti semula kepada masyarakat.

Jelaslah di sini bahawa pemikiran kapitalis telah terpasak kukuh di universiti. Pemikiran kapitalis yang bertuhankan keuntungan dan bernabikan wang ringgit telah dianuti oleh para pensyarah dan siswa siswi di universiti. Oleh sebab itulah kebanyakan siswa dan siswi masuk ke universiti bukanlah untuk menimba ilmu sebaliknya untuk mendapat kerja yang bagus setelah mereka tamat belajar nanti.

Dalam pemikiran kapitalis, selain untuk mengejar keuntungan dan wang ringgit, kereta mewah dan rumah besar ialah lambang manusia yang berjaya. Jika tidak mempunyai rumah besar, kereta mewah atau gaji yang banyak bukanlah lambang manusia yang berjaya (dalam pemikiran kapitalis). Pemikiran sebeginilah yang terpasak kukuh dalam diri dan minda siswa dan siswi kita. Dan oleh sebab itulah mereka lebih suka bergelar seorang pekerja daripada bergelar seorang ilmuan, intelektual dan cendekiawan yang sememangnya boleh berbakti semula kepada masyarakat.

Siswa dan siswi perlu menabur bakti semula kepada masyarakat setelah mereka menamatkan pengajian mereka di universiti. Mereka perlu membantu masyarakat mereka yang susah dan tertindas di negara ini. Mereka perlu berjuang untuk masyarakat mereka supaya nasib masyarakat yang miskin dan tertindas di negara ini boleh terbela.  

Terdapat banyak cara untuk siswazah lepasan universiti ini untuk berbakti semula kepada masyarakat. Salah satu caranya ialah dengan menulis. Sekarang ini semua orang sudah mempunyai medianya sendiri iaitu Facebook. Gunalah ilmu yang mereka timba di universiti itu untuk mencerdikkan masyarakat seandainya ada isu-isu panas yang timbul dan mampunyai kaitan dengan ilmu yang mereka pelajari di universiti itu.

Siswa dan siswi di universiti perlu menukar minda mereka untuk menimba ilmu dan bukannya menjadi seorang pekerja. Tidak salah untuk mereka kejar impian mereka untuk bekerja sebagai apa setelah mereka tamat pengajian nanti tetapi suka ataupun tidak, mereka perlu membantu masyarakat, agama, bangsa dan negara mereka supaya lebih maju dan gemilang pada hari ini dan akan datang.


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.