Sumber : Google |
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi seperti yang telah dilaporkan oleh Bernama telah berkata,
kadar jenayah negara telah menurun pada kadar di antara 4.2 peratus dengan 12.6
peratus dari tahun 2011 hingga tahun 2015. Jika dibaca berita secara kasar,
sudah pastilah di hati kita tiada sekelumit rasa gusar. Namun, jika kita
perhatikan secara realiti, ia sungguh berlainan sekali.
Walaupun media arus perdana membuat
laporan tentang penurunan kadar jenayah negara, namun rakyat jelata merasakan
jenayah negara makin berleluasa. Hampir setiap hari kita mendengar ada orang
mati. Hampir setiap hari kita mendengar tentang kes curi. Kita juga sering
mendengar tentang perempuan yang dirogol berkali kali. Lalu manakah penurunan
kadar jenayah yang dilaporkan secara acapkali?
Misalnya, baru baru ini, kes yang
dihadapi oleh jiran di kampung saya. Rumahnya telah dirompak lebih daripada
empat kali banyaknya. Entah berapa kali laporan polis telah dibuatnya. Namun,
penjenayah masih tidak tertangkap juga. Bahkan, kecurian masih lagi berlaku di
rumahnya. Dia sendiri pun merasakan bahawa sudah tidak selamat baginya untuk
tinggal di rumahnya sendiri. Segera dia berpindah sebelum dibunuh oleh
penjenayah yang masih gagal dicari dan dikesani.
Penjenayah sekarang bukan sahaja
semakin bijak malah semakin berani. Mereka tidak takut untuk melakukan jenayah
berkali kali. Tidak tahulah apa yang menyebabkan mereka tambah berani. Apa yang
pasti, kadar jenayah negara sebenarnya bagi kebanyakkan rakyat jelata masih
tidak turun lagi.
Kecekapan polis dalam menjalankan
tugas tidaklah kita ragui. Begitu juga laporan akhbar yang dibaca setiap hari.
Tetapi apa yang dilaporkan dan apa yang terjadi di alam realiti sungguh berbeza
sekali. Tidak mahulah saya kata bahawa laporan akhbar arus perdana cuba menipu
kita sebagai rakyat jelata.
Jika benarlah berlaku penurunan pada
kadar jenayah negara, pastilah kes kes jenayah jarang didengari oleh kita
semua. Pastilah televisyen dan surat khabar tidak melaporkan jenayah negara yang
berlaku di sini sana. Dan pastilah kita sebagai rakyat jelata berasa selamat
untuk ke mana mana. Namun, semua itu tidak berlaku pula. Rakyat jelata masih
berasa terancam untuk ke mana mana.
Seperti di negara negara maju
(seperti Iceland, Denmark, Austria, New Zealand), kadar janayah di negara
mereka sangat jarang berlaku. Jenayah di negara mereka memang ada tetapi
tidaklah sebanyak mana. Orang boleh bersendirian untuk ke mana mana tanpa perlu
rasa takut apa apa. Warganya sentiasa hidup dengan aman dan sentosa.
Ada yang mendakwa bahawa punca
jenayah berleluasa akibat teruknya ekonomi negara. Apabila ekonomi negara
teruk, banyaklah warga tidak dapat mencari rezeki dengan sempurna. Maka menjadi
penjenayah adalah salah satu cari untuk mencari rezeki bagi menyambung hayat
kehidupan mereka.
Dakwaan itu barangkali (ulang :
barangkali) betul apabila kita melihat di negara negara maju. Kebanyakkan
negara negara maju yang stabil dan makmur ekonominya, kadar jenayah memang
kurang berlaku. Mungkin dengan memulihkan dan memantapkan semula ekonomi
negara, kadar jenayah boleh turun dengan serta merta. Tetapi semuanya
bergantung kepada pemimpin tertinggi negara bagaimana untuk menjadikan ekonomi
negara pulih dan mantap semula.
Jika benarlah kadar jenayah negara
sudah turun, ia merupakan suatu yang kita perlu bersyukur. Jika ia masih
berleluasa, maka suatu tindakan paling berkesan perlu dilakukan dengan segera.
Jenayah yang berleluasa bukan sahaja menyusahkan rakyat jelata, malah
memburukkan imej negara di mata dunia. Janganlah kerana jenayah berleluasa,
negara kita musnah kerananya.
KPI hanya menyebabkan banyak kejadian jenayah disembunyikan, terutamanya kes berat. Jenayah masih lagi berlaku seperti dulu2, mungkin semakin bertambah dan agak mustahil berkurangan. Malah, jenayah rm2.6 bilion yang terpapr dimuka seluruh warga dunia juga secara jelas ditutup menggunakan kuasa OSA. Apa dah jadi dengan malaysia?
BalasPadam