Ahad, 12 Februari 2017

MENGAPA VALENTINE HARAM DISAMBUT DALAM ISLAM



 
Tanggal 14 Februari adalah tanggal atau tarikh yang ditunggu oleh ramai muda mudi. Ya, pada tanggal inilah Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih akan disambut oleh kebanyakkan muda mudi di negara ini. Muda mudi yang bagaimana sambut Hari Valentine ini? Pastilah muda mudi yang rapuh kesedarannya di dalam hati. Muda mudi yang mempunyai kesedaran yang tinggi pasti tidak akan sambut Hari Valentine ini. 

Hari Valentine disambut oleh pasangan muda mudi yang sedang hangat bercinta. Ia adalah hari untuk mana mana pasangan kekasih membuktikan ketulusan cinta di antara mereka. Pasangan kekasih ini akan berpakaian cantik (biasanya berwarna merah) dan bertukar tukar hadiah (biasanya bunga ros berwarna merah). Kemudian mereka akan bercanda dan bermesra di mana mana sehinggalah terjadinya adegan sumbang dan maksiat yang merosakkan maruah diri dan keluarga. Semuanya untuk membuktikan kasih sayang di antara mereka yang tidak ternilai harganya (kononnya!).  

Sudah terang lagi bersuluh bahawa Hari Valentine ini haram disambut di dalam Islam. Ini kerana, roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat yang sudah pastinya bercanggah dengan Islam. Sudah sepatutnya Hari Valentine ini perlu dijauhi oleh semua muda mudi. Tetapi sayangnya masih ada muda mudi yang menyambutnya lagi. 

Walau bagaimanapun, kita perlu bersyukur bahawa ramai muda mudi kita yang sudah pun mempunyai kesedaran. Hari Valentine ini sudah ramai yang mahu hindarkan. Tidak ramai lagi yang menyambut Hari Valentine yang penuh dengan kemaksiatan. Cuma ada segelintir sahaja muda mudi kita yang langsung tidak mahu mengendahkan. Muda mudi sebeginilah yang perlu diberi perhatian. 

Apabila tiba Hari Valentine sahaja, zina pasti berlaku di mana mana. Tidak tahulah dari mana muda mudi kita ini belajar jika sambut Hari Valentine mesti melakukan zina. Oleh sebab Hari Valentine ini disambut dengan cara yang penuh maksiat, maka Islam melarangnya atas beberapa maslahat. 

Apabila zina berlaku, maka kegiatan pembuangan bayi pun turut sama berlaku. Zina dan buang bayi kelihatan sudah sinonim dengan sambutan Hari Valentine itu. Sampai bila kita mahu lihat bayi bayi yang tidak berdosa di buang merata-rata? Tidak adakah perasaan sedih, sayu, simpati, dan kasihan di hati kita? Di manakah sifat kemanusiaan kita? Mengapa kita lebih kejam daripada haiwan yang tinggal di hutan sana?
 

Statistik menunjukkan terdapat 53 kes pembuangan bayi yang berlaku pada Julai tahun 2014. Namun, statistik pembuangan bayi telah meningkat sebanyak 78 kes pada Ogos tahun 2015. Ini menunjukkan kes pembuangan bayi semakin teruk berdasarkan statistik di atas.

(Nota : statistik kes pembuangan bayi bagi tahun 2016 masih belum dikeluarkan. Jadi, saya mengutip statistik yang sedia ada iaitu bagi tahun 2015 dan 2014).

Bagi mengekang sambutan Hari Valentine, masalah zina, dan kes pembuangan bayi yang berlaku secara berleluasa, satu tindakan drastik yang paling ampuh perlu diambil dengan segera. Kita sebagai umat Islam tidak boleh sekadar buta mata dan pekak telinga sahaja. Dikhuatiri masalah ini tidak akan selesai sampai bila bila.      

Agamawan yang tinggi ilmu agama perlu sentiasa memberikan maklumat dalam apa jua cara untuk mengatakan bahawa Hari Valentine ini haram disambut dalam agama (Islam). Kerajaan juga perlu membasmi apa sahaja iklan (terutama di media massa) yang mendorong kepada sambutan Hari Valentine itu yang wujud di dalam negara. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memberikan ilmu agama yang secukupnya kepada anak anak mereka. Semua anggota masyarakat perlu menentang apa sahaja usaha yang mahu mengiktiraf sambutan Hari Valentine itu dalam masyarakat Islam di Malaysia. 

Apalah gunanya kita sambut Hari Valentine itu jika maruah kita boleh tercalar dengan zina yang kita lakukan sewenang-wenangnya? Apa gunanya kita sambut Hari Valentine itu atas dasar orang lain pun buat juga? Tidak guna ikut apa yang orang lain buat, tetapi ikutlah apa yang berlandaskan syariat. Jika semua hendak ikut apa yang orang ramai buat, sebab itulah diri kita menjadi sesat!

Menyambut Hari Valentine bagi puak liberal memanglah tiada salahnya. Kerana mereka bercakap berlandaskan hak asasi manusia yang entah apa apa. Tetapi jika kita mengukur dari sudut agama, menyambut Hari Valentine begitu banyak buruk dari baiknya. Eloklah muda mudi semua jauhkan diri daripada menyambut Hari Valentine itu. Lebih banyak perkara lain yang boleh anda lakukan daripada menyambut Hari Valentine yang mengarut itu.
 

1 ulasan:

  1. Moga artikel sebegini mampu sedarkan anak muda yang membacanya..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.