Selasa, 5 April 2016

ALUMNI : AGEN PENGGERAK KEMAJUAN UNIVERSITI


Sumber : Google
Gambar sekadar hiasan

Tidak seperti di negara negara Barat, alumni di institut pengajian tinggi kita dilihat tidak menyumbang semula kepada universiti selepas mereka menamatkan pengajian. Oleh sebab itu, kita melihat universiti kita terus berada di takah yang sama tanpa mempunyai sebarang perubahan.

Di negara negara Barat, alumni universiti mereka telah menyumbang semula kepakaran, kekayaan, atau khidmat bakti mereka dalam pelbagai bentuk kepada universiti. Justeru, kita boleh melihat begitu banyak universiti di Barat bukan sahaja menjadi universiti yang terbaik di dunia malah menjadi universiti yang kaya raya!

Semua ini terjadi kerana alumni mereka telah menyumbang semula kelebihan dan kebolehan yang mereka ada kepada universiti yang telah berjaya melahirkan mereka sebagai seorang manusia yang hebat. Jika semua alumni universiti yang ada di negara kita boleh melakukan perkara yang sama, tidak mustahil universiti kita juga boleh setaraf dengan universiti yang ada di negara Barat.


Wujud persoalan mengapa alumni universiti yang ada di negara kita ini tidak boleh menyumbang semula kepada universiti seperti mana yang dilakukan oleh alumni universiti di negara Barat? Semua ini terjadi kerana, tidak ada kesepaduan antara universiti dengan alumni (mahasiswa) universiti yang ada di negara kita.

Kesepaduan di sini bermaksud sejauh mana universiti boleh membimbing mahasiswanya untuk mengecapi kejayaan dalam bidang pekerjaan dengan setinggi mungkin. Sebagai contoh, jika alumni itu adalah graduan dalam bidang perfileman, kita mahu melihat sejauh mana sesebuah universiti itu boleh membimbing para pelajarnya untuk menjadi seorang pengarah/penulis skrip dan menghasilkan sebuah filem pecah panggung? Atau jika alumni itu adalah graduan dalam bidang perniagaan, kita mahu melihat sejauh mana sesebuah universiti itu boleh membimbing graduan tersebut untuk memiliki sebuah syarikat sendiri seterusnya menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

Jika sesebuah universiti itu berupaya untuk melakukan seperti yang saya sebut di atas, saya sangat yakin bahawa semua alumni universiti yang ada di negara kita boleh menyumbang semula kekayaan, kepakaran, dan khidmat bakti mereka kepada universiti sehingga universiti itu boleh menjadi sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa.

Bagi saya, universiti bukan sebuah tempat yang hanya untuk belajar, mengajar, atau mengembangkan ilmu bahkan lebih dari itu. Universiti juga adalah sebuah tempat untuk melahirkan cendekiawan, ahli politik, ahli perniagaan, wartawan, bintang sukan, bintang filem dan sebagainya. Tetapi, adakah semua universiti di negara kita boleh melakukan semua perkara tersebut?

Selama ini kita silap anggap dengan universiti. Kita menganggap universiti itu hanyalah sebuah tempat untuk belajar kemudian menerima diploma/ijazah/PhD dan akhirnya melalui fasa konvokesyen. Selepas itu, universiti sudah tidak mengambil tahu lagi apa yang terjadi kepada alumninya. Oleh sebab itu, alumni tidak berasa sayang dengan universiti lalu kesediaan mereka untuk menyumbang semula kepada universiti sudah tidak wujud lagi.

Jika sesebuah universiti itu boleh mengembangkan bakat dan kebolehan atau sekurang kurangnya mencari peluang pekerjaan untuk semua alumninya, saya yakin pasti ramai alumni universiti akan datang semula ke universiti untuk memberi sumbangan demi pembangunan dan kemajuan universiti.

Jadi, bagi membolehkan semua alumni boleh menyumbang semula kepada universiti untuk pembangunan universiti tersebut, setiap universiti yang ada di negara ini perlu sentiasa keep in touch dengan alumninya. Jika tidak, semua universiti yang ada di negara kita tidak akan dapat menandingi universiti universiti yang ada di negara Barat sana.


1 ulasan:

  1. saya pun alumni UM, dari engine fact, masih keep in touch dengan pensyarah master saya :-)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.