Khamis, 14 April 2016

PERSEPSI MEROSAKKAN FAKTA DAN BUKTI


Sumber : Google


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, persepsi atau dalam bahasa Melayunya disebut anggapan/tanggapan membawa maksud gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu) atau pandangan (menerusi pancaindera).  

Pada hari ini, semua manusia yang tinggal di bumi memang tidak terlepas daripada dihambat persepsi. Perkara ini berlaku mungkin kerana meningkatnya kemajuan dalam komunikasi, teknologi, pemikiran, dan kebudayaan. Persepsi bukan sahaja boleh wujud di dunia realiti, tetapi juga di dunia maya (internet). Jika persepsi tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi fitnah. Justeru, kita sebagai manusia dan anggota masyarakat, jangan sesekali meletakkan diri kita dalam kancah persepsi terutama persepsi yang buruk kerana ia boleh memakan diri sendiri. Sebab itu sangat penting kita boleh dan pandai menguruskan persepsi.

Ahli ahli politik dan artis atau selebriti adalah golongan yang sering dihambat dengan persepsi (terutama persepsi yang buruk) kerana mereka secara tidak sedar suka meletakkan diri mereka dalam kancah persepsi. Apabila mereka gagal menguruskan persepsi yang datang kepada mereka itu dengan sempurna, maka masyarakat akan percaya bahawa persepsi yang melekat pada diri mereka itu adalah betul. Maka, persepsi yang gagal diuruskan itu boleh dibuat senjata untuk menjatuhkan mereka.


Persepsi itu boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu baik dan buruk. Biasanya apabila disebut persepsi, yang buruk buruk pasti akan banyak keluar dahulu daripada yang baik. Sebab itu, apabila seseorang yang dipalit dengan persepsi, imejnya pasti akan tercemar.

Persepsi yang baik itu penting tetapi persepsi yang buruk sangat bahaya lebih lebih lagi jika ia tidak diuruskan dengan sempurna. Ini kerana, persepsi buruk itu boleh merosakkan fakta ataupun bukti terhadap sesuatu isu atau situasi yang berlaku di sekitar masyarakat.

Sebagai contoh, isu pergaduhan antara keluarga pengantin di Kuala Lumpur (dan di masjid pula) baru baru ini gara gara wang hantaran tidak cukup. Persepsi yang buruk pada awalnya diletakkan pada pihak pengantin perempuan kerana mengenakan jumlah hantaran yang tinggi kepada pihak pengantin lelaki walaupun mereka tahu bahawa pengantin lelaki itu hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kemudian, apabila imam masjid dan pihak pengantin perempuan mula mengeluarkan kenyataan itu dan ini di laman sosial, persepsi yang buruk pula mula jatuh kepada pihak pengantin lelaki.

Maka masyarakat yang menjadi pemerhati kepada isu itu mula keliru dan buntu. Masyarakat tidak tahu siapakah yang benar benar bersalah dalam isu tersebut. Masyarakat juga tidak tahu apakah isu sebenar sehingga membawa kepada pergaduhan yang sangat dahsyat itu. Semua ini berlaku kerana persepsi yang dilontarkan oleh kedua dua belah pihak. Persepsi yang timbul telah merosakkan fakta dan bukti kepada isu yang tidak pernah berlaku itu.    

Akhirnya masyarakat meletakkan persepsi dan membuat kesimpulan sendiri. Apabila masyarakat sudah membuat persepsi, ia boleh jadi baik dan ia juga boleh jadi buruk. Masing masing ada pendapat sendiri mengenai isu tersebut gara gara persepsi yang dicampakkan oleh kedua dua belah pihak.

Persepsi sebenarnya bagus tetapi ia menjadi tidak bagus apabila ia berupaya untuk merosakkan fakta dan bukti. Apabila fakta dan bukti sudah rosak, maka maklumat yang tepat mengenai sesuatu isu atau situasi itu tidak diperolehi oleh masyarakat. Akhirnya masyarakat terus menjadi buntu dan serba tidak tahu. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.