Ahad, 15 Disember 2013

CERPEN : BERSEDIA


Datuk Seri Osman memandang ke luar tingkap pejabatnya yang tiga kali lebih besar dari dirinya itu. Dia melihat banyak kenderaan seperti kereta, motosikal, lori dan bas berpusu pusu untuk menuju ke destinasi masing masing di luar pejabatnya. Dia turut melihat beberapa orang manusia yang lalu lalang juga untuk menuju ke destinasi masing masing yang tidak diketahui olehnya.

Kemudian matanya terarah pula kepada bangunan bangunan yang tersergam indah yang berada di hadapan matanya. Dia tersenyum bangga. Dahulu negara itu pernah dijajah oleh beberapa kuasa dunia. Dia sendiri tidak percaya bahawa negara bekas tanah jajahan itu mampu menjadi sebuah negara membangun hasil perjuangan pahlawan pahlawan dan Perdana Menteri terdahulu.

Tiba tiba matanya tertancap pada Bangunan Parlimen. Hatinya berasa gundah gulana semula. Dia melihat senaskhah surat khabar yang terletak di atas meja kerjanya. Tajuk muka depan akhbar itu amat menggerunkannya. ‘Kerajaan Sekarang Perlu Bersedia Untuk Jadi Pembangkang : Prof Dr Hasli.’ Begitulah tajuk utama akhbar tersebut. Akhbar yang mempunyai jumlah pembaca yang agak tinggi di negara itu.

Dia membaca lagi akhbar tersebut. sudah dua tiga kali akhbar itu dibaca. Sudah dua tiga kali dia membaca artikel yang sama. Artikel satu temu ramah dengan seorang ahli akademik yang agak berpengaruh di Malaysia. Prof Dr Hasli bukan calang calang orang. Professor dalam bidang politik itu mempunyai satu pandangan yang kreatif dan kritis. Banyak ramalannya dalam politik mampu menjadi kenyataan.

Datuk Seri Osman meletakkan semula akhbar itu. Sebagai seorang Perdana Menteri dan seorang Presiden sebuah parti politik yang telah memerintah negara itu hampir 60 tahun, membaca artikel seperti itu bukanlah satu perkara yang baik. Lebih lebih lagi perkara itu dilontarkan oleh seorang ahli akademik yang sangat terkenal dan berpengaruh.

Sebelum ini partinya diterajui oleh lima orang Perdana Menteri. Semuanya mengekalkan prestasi yang agak baik dalam pilihan raya umum. Kecuali Perdana Menteri sebelumnya yang telah membuatkan negara itu menjadi Tsunami Politik seketika. Tiba tiba sahaja suara parti pembangkang menjadi kuat. Namun begitu, dia telah berjaya mengekalkan suara majoriti dalam parlimen pada pilihan raya umum yang lalu.

Tetapi, adakah partinya mampu untuk memerintah dan mentadbir negara itu pada pilihan raya umum yang akan datang? Mampukah partinya mendapat majoriti di parlimen pada masa akan datang sedangkan pada masa yang sama suara pembangkang semakin hari semakin kuat? Itulah persoalan yang kerap muncul di kotak fikirannya.

Tiba tiba pintu biliknya diketuk. “Masuk!” Arahnya. Terpacul wajah Ahmad – setiusaha sulitnya di muka pintu. Dia melihat Ahmad sedang memegang senaskhah akhbar. Dia yakin pasti Ahmad sudah membaca berita itu.

“Datuk sudah baca berita muka depan akhbar ini?” Soal Ahmad sambil duduk di hadapannya tanpa meminta izin terlebih dahulu.

Dia tidak kisah tentang perkara itu. Dia tidak mengaanggap itu sebagai biadab dan kurang ajar. Ahmad sudah lama bekerja dengannya. Ahmad seorang pekerja yang baik dan berdedikasi. Datuk Seri Osman mengangguk.

“Jadi apa pendapat Datuk?” Ahmad bertanya lagi.

“Entahlah, kamu rasa?”

“Saya rasa Datuk kena ambil tindakan dengan segera. Kalau terlewat sudah pasri ramalan Prof Dr Hasli ini boleh jadi kenyataan.”

Datuk Seri Osman memandang wajah Ahmad dalam dalam. Kerutan di dahinya semakin bertambah kerana memikirkan sesuatu. Dia mencari idea untuk menyelesaikan masalah yang sedang berlaku itu.

“Tolong jemput Prof Dr Hasli untuk ke pejabat saya esok.” Datuk Seri Osman memberi arahan.

“Baiklah.” Ahmad akur dengan arahan Datuk Seri Osman itu. Dia tahu sudah pasti Datuk Seri Osman mempunyai agenda tersendiri apabila menjemput Prof Dr Hasli ke pejabatnya esok. Datuk Seri Osman seorang yang bijak. Ahmad yakin Datuk Seri Osman dapat menyelesaikan masalah yang melanda kerajaan dan parti pimpinannya sekarang.

…………………………………………………………………………………………

Prof Dr Hasli agak terkejut sebenarnya apabila dia dikunjungi oleh Ahmad yang merupakan setiausaha sulit Perdana Menteri. Mana tidaknya, belum pernah lagi Ahmad berkunjung ke pejabatnya di Universiti Bumiputra itu dan belum pernah lagi Perdana Menteri menjemputnya datang ke pejabat. Dia yakin sudah pasti Datuk Seri Osman mempunyai perkara penting yang hendak dibincangkan bersamanya, jika tidak sudah pasti Datuk Seri Osman tidak akan menjemput datang ke pejabat pada hari itu.

Sampai sahaja di pejabat Perdana Menteri, dia perlu melalui pelbagai pos kawalan dari tingkat bawah bangunan Perdana Menteri sehinggalah ke tingkat atas. Setiap pos kawalan yang dilaluinya, sudah pasti tubuh badannya akan diperiksa oleh pegawai polis yang bertugas di situ. Itu adalah perkara biasa apabila berkunjung ke pejabat orang besar negara. Semua itu dilakukan untuk menjaga keselamatan Perdana Menteri daripada mana mana ancaman untuk membunuhnya.

Apabila dia sampai sahaja di pos kawalan terakhir, dia diperiksa sekali lagi dan dibawa menuju ke bilik Perdana Menteri. Dia menunggu di luar seketika apabila seorang anggota polis yang mengiringinya masuk ke bilik itu sebentar.

“Awak boleh masuk sekarang.” Ujar anggota polis yang berusia dalam lingkuangan 40an itu setelah keluar dari bilik Perdana Menteri.

“Terima kasih.” Ucap Prof Dr Hasli sambil tersenyum. Kemudian dia menghadiahkan sebuah senyuman kepada anggota polis yang serius itu sebelum masuk ke dalam bilik Perdana Menteri.

“Prof Hasli, sudah lama kita tak berjumpa. Kali terakhir kita jumpa masa Prof bagi seminar tentang politik Islam kat Universiti Bumiputra tahun lepas. Sila duduk Prof.” Datuk Seri Osman menyambut Prof Dr Hasli dengan ramah.

“Terima kasih Datuk.” Ucap Prof Hasli dan duduk di salah sebuah sofa empuk yang terletak di sudut bilik kerja Perdana Menteri itu.

Ada apa Datuk nak jumpa saya? Tak pernah lagi Datuk suruh saya datang ke mari?” Soal Prof Hasli tanpa rasa gentar.

“Semalam saya ada terbaca artikel awak tentang parti saya perlu bersedia jadi pembangkang. Sekarang saya nak tahu mengapa awak cakap macam tu kat wartawan?” Soal Datuk Seri Osman tanpa berbasa basi lagi.

“Sebagai seorang ahli akademik, saya perlu berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara saya bukan untuk survival mana mana ahli politik atau parti politik.” Jawab Prof Hasli tenang.

“Sekarang saya nak tahu apa salah kerajaan sampai awak kata kami perlu bersedia jadi pembangkang?”

“Betul Datuk nak tahu?”

“Ya, saya nak tahu.” Jawab Datuk Seri Osman. Sebagai seorang pemimpin dia perlu mendengar luahan hati seorang rakyat lebih lebih lagi luahan hati itu dilontarkan oleh seorang ahli akademik seperti Prof Hasli.

“Cuba Datuk tengok apa yang Datuk dah buat. Dahulu sebelum pilihan raya, Datuk kata Datuk nak berubah tapi rupa rupanya tidak. Datuk masih kekalkan perangai lama Datuk. Datuk menaikkan harga bahan bakar, tariff elektrik, Datuk perkenalkan cukai GST , Datuk naikkan harga gula, semua itu adalah punca kenapa rakyat sudah muak dan jelak dengan kerajaan yang Datuk pimpin ini. Hidup mereka tertekan. Rakyat kita terutama orang Melayu, bukan semuanya kaya raya. Mereka terpaksa menghadapi tekanan hidup ini akibat dasar dasar yang Datuk cipta bersama suku sakat Datuk.” Prof Hasli memberi penerangan dengan berani.

Tidak ada rasa gentar sedikit pun kelihatan di wajahnya. Datuk Seri Osman sendiri akan tersentak dengan keberanian Prof Hasli itu.

“Itulah yang semua rakyat tak faham. Bukan senang nak mentadbir sebuah negara. Saya buat semua tu untuk kukuhkan ekonomi negara kita juga. Untuk pembangunan negara kita juga.” Datuk Seri Osman mempertahankan tindakannya.

“Datuk jangan lupa, bukan semua rakyat negara ini faham tentang masalah yang Datuk hadapi. Mereka tidak kisah tentang semua tu. Yang mereka kisahkan adalah macam mana mereka nak terus hidup dan makan di negara ini. Itu sahaja! Lagipun kalau Datuk dan para menteri yang lain menguruskan kewangan negara dengan baik, saya yakin Datuk tak perlu ambil tindakan yang membebankan rakyat macam ni. Tapi bila kita lihat laporan Ketua Audit Negara, nampak sangat Datuk dan para menteri yang lain gagal menguruskan kewangan negara ini dengan berkesan. Berjuta juta ringgit hilang macam tu saja.” Prof Hasli membentangkan pendapatnya.

Datuk Seri Osman terdiam. Banyak benarnya kata kata Prof Hasli itu. Selama ini dia tidak sedar apa yang telah dia lakukan. Dia hanya bertindak mengikut suara hatinya dan suara para penasihatnya namun dia lupa untuk bertindak mengikut suara hati rakyat. Itulah kesilapan yang telah dia lakukan.

“Datuk kena ingat satu perkara. Rakyat sekarang sudah tak tahan lagi. Mereka dah tak sabar mahu menunggu pada pilihan raya umum yang akan datang. Mereka dah tak sabar nak tukar kerajaan sekarang. Sebab itu saya kata kerajaan yang Datuk pimpin ini perlu bersedia jadi pembangkang. Cuba Datuk lihat, apa lagi janji yang Datuk tak tunaikan? Sebelum pilihan raya dulu Datuk janji nak beri duit kepada setiap isi rumah RM1500 tapi bila perbentangan belanjawan hari tu di Parlimen, Datuk hanya beri RM650 saja. Nampak sangat Datuk mungkin janji. Rakyat benci kepada pemimpin yang mungkir janji.” Prof Hasli terus menghentam tetapi dalam nada yang lembut.

“Ingat Datuk, panas tak akan membawa ke petang, hujan juga di tengah hari. Parti Datuk takkan selama lamanya memerintah negara ini. Ingat! Suatu hari nanti pasti parti Datuk akan tewas dalam pilihan raya dan parti Datuk akan jadi parti pembangkang pula. Datuk bernasib baik pada pilihan raya yang lalu kerana tidak kalah walaupun pada pilihan raya itu merupakan tahun paling getir dalam sejarah pilihan raya dalam negara ini. “ Prof Hasli menyambung apabila tidak mendapat sebarang tindak balas dari Datuk Seri Osman.

“Betul cakap Prof tu. Saya sebenarnya sudah silap. Saya benar benar menyesal.” Kata Datuk Seri Osman lemah. Dia menarik nafas dalam dalam dan menghempaskan satu keluhan berat.

“Satu saja nasihat saya kepada Datuk. Datuk dan semua ahli parti Datuk termasuk menteri menteri kabinet kena berubah jika Datuk mahu kekal berkuasa. Hentikanlah rasuah dan merompak wang rakyat. Selagi Datuk tak berubah, saya yakin jangka hayat pemerintahan parti Datuk akan bertambah pendek.” Ujar Prof Hasli.

Datuk Seri Osman hanya bungkam. Dia cuba mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapinya sekarang di samping memikirkan kebenaran kata kata Prof Hasli. Selama ini dia tidak pernah memikirkan tentang masalah rakyat. Apa yang ada di fikirannya adalah bagaimana mahu mempetahankan kuasa dan mendapat majoriti di Parlimen.

Sudah sampai masanya dia perlu berubah. Dia mengambil keputusan untuk mengambil kira pendapat Prof Hasli dan mengubah apa yang telah berlaku demi survival politik dan survival partinya. Jika dia tidak berubah, dia yakin kata kata Prof Hasli bahawa dia perlu bersedia untuk jadi pembangkang semakin menjadi kenyataan. Datuk Seri Osman mula menanam azam. Dia mengambil keputusan untuk berubah dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya.

…………………………………………………………………………………………..........................

Rakyat agak terkejut dengan tindakan drastik yang dilakukan oleh Datuk Seri Osman sebagai Perdana Menteri. Tiba tiba sahaja Datuk Seri Osman mengambil tindakan tegas kepada mana mana ahli politik yang telah mengamalkan rasuah baik dari parti pembangkang mahupun partinya sendiri. Walaupun perkara itu mendapat tentangan hebat dari ahli partinya sendiri, namun dia sudah tekad.

Negara ini mesti bebas dari rasuah dan perasuah. Semakin ramai ahli politik yang terlibat dalam rasuah dan mereka tidak dikenakan sebarang hukuman, nescaya kepercayaan masyarakat terhadap partinya kian tipis. Dia yakin dengan terbuangnya banyak ahli politik yang terlibat dalam rasuah, dia yakin negara ini akan menjadi lebih baik.

Bukan itu sahaja, pelaksanaan cukai GST, kenaikan harga bahan bakar dan tariff elektrik juga ditangguhkan buat sementara waktu. Beliau menaikkan bantuan setiap isi rumah daripada RM650 kepada RM1500. Itu ada janji dalam manifesto partinya dahulu walaupun parti pembangkang mengatakan itu adalah gula gula pilihanraya. Dia sudah tidak kisah dengan dakwaan pembangkang itu lagi.

Apa yang penting adalah rakyat hidup dengan baik dan bahagia. Dia akan cuba buat yang terbaik demi kebaikan rakyatnya. Namun begitu, ini bukan bermaksud dia akan memberi segala apa yang rakyat minta. Dia hanya melakukan apa yang termampu sahaja. Itu pun sudah ada rakyat yang tidak berpuas hati. Namun dia yakin, sampai bila pun kita tidak akan mampu memuaskan hati semua orang.

Jadi, dia hanya dapat melakukan apa yang dia mampu sahaja. Tanggungjawab sebagai Perdana Menteri memang mencabar. Oleh itu, dia akan cuba sedaya upaya untuk berbakti kepada rakyat dengan sebaik mungkin. Namun, dia tidak yakin Perdana Menteri seterusnya akan mengikut jejak langkahnya dan dia amat berterima kasih dengan Prof Dr Hasli kerana telah menyedarkannya akan tanggungjawab yang perlu dipikulnya. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.