Sejak Ustaz
Badri yang berusia dalam lingkungan 50an itu berpindah ke Kampung Mendilir,
seluruh kampung menjadi kecoh. Di mana mana sahaja akan kedengaran tentang
kehebatan Ustaz Badri memberi ceramah. Kalau dahulu, masjid di Kampung Medilir
itu agak sunyi daripada kehadiran anak anak muda, kini anak anak muda yang
selalunya berpeleseran dan menjadi kutu rayau di kampung tersebut mula
mendekatkan diri dengan masjid.
Mereka suka
dengan ceramah ceramah Ustaz Badri yang disulami dengan lawak lawak yang
menyeronokkan itu. Kalau dahulu hanya Imam Karim yang memberi ceramah dan dakwah di masjid dan hanya ada
beberapa orang sahaja yang datang. Itu pun hanya terdiri dalam kalangan warga
emas. Sejak adanya Ustaz Badri, masjid itu pasti akan penuh terutama pada malam
Jumaat.
Ustaz Badri
berasal dari Kuala Terengganu. Lepasan sekolah pondok dan bekerja sebagai guru
Al Quran sahaja. Semenjak dia berkahwin dengan isterinya yang ketiga iaitu Asmah, dia berpindah ke kampung itu. Menurutnya dia mahu mencari pengalaman
baru dengan berpindah ke satu tempat ke satu tempat yang lain. Dia meneruskan
kerjanya sebagai guru Al Quran di kampung tersebut di samping memberi ceramah
pada setiap malam Jumaat.
“Abang nak pergi
mana ni?” Soal Salmah kepada Pak Senik yang dilihatnya bersiap siap pada malam
itu.
“Nak pergi
masjid la.” Jawab Pak Senik.
“Selalunya abang
jarang ke masjid. Ada
aktiviti apa kat masjid tu?” Soal Salmah lagi. Suaminya bukanlah seorang kaki
masjid. Suaminya hanya bersolat di rumah sahaja. Oleh itu, dia berasa hairan
jika suaminya ke masjid. Pasti ada aktiviti di masjid seperti ceramah atau gotong royong jika
suaminya ada hati berkunjung ke masjid di kampung itu.
“Ada ceramah Ustaz Badri
malam ni. Malam ni kan
malam Jumaat.” Jawab Pak Senik.
“Oh, Ustaz yang
beristeri tiga itu? Ustaz yang baru datang ke kampung kita tu? Saya dengar dia
tu pandai beri ceramah. Ramai orang suka dengan dia. Bila dia beri ceramah,
orang tak pernah mengantuk sebab dia punya ceramah memang kelakar.” Ujar
Salmah.
“Betul tu. Saya
dah lambat ni. Saya pergi dulu ya.” Ujar Pak Senik.
“Baiklah. Jalan
baik baik.” Kata Salmah. Dia hanya menghantar Pak Senik di muka pintu sahaja.
Seperti biasa
ceramah pada malam itu sungguh ramai yang datang. Tua, muda, miskin dan kaya di
kampung tersebut tidak ketinggalan mahu mengikuti ceramah Ustaz Badri yang
popular di kampung itu. Bukan hanya kaum lelaki, kaum perempuan turut sama
memeriahkan majlis di masjid kampung itu. Jelas kelihatan budaya menuntut ilmu
di kampung tersebut semakin menyerlah sejak kehadiran Ustaz Badri.
Ceramah itu
diadakan selepas solat Isyak. Selepas solat Isyak Ustaz Badri memulakan
ceramahnya seperti biasa. Setelah memberi salam dan memberi mukadimah bicara,
Ustaz Badri menyampaikan ceramahnya dengan penuh bersemangat. Tajuk ceramah
pada malam itu adalah ‘Berbakti Kepada Ibu Bapa.’
“Cuba
kita lihat pada hari ini. Apa khabar dengan ibu bapa kita? Adakah mereka sihat?
Itulah persoalan persoalan yang mesti kita tanya pada ibu bapa kita. Sayangnya
pada hari ini ramai anak anak zaman sekarang yang sanggup membuang ibu bapa
mereka. Mereka sanggup letakkan ibu bapa mereka di rumah orang orang tua.
Mereka sanggup letakkan ibu bapa mereka di tepi jalan atau di perhentian bas.
Anak ini adalah anak derhaka. Neraka adalah tempat bagi anak derhaka. Bodoh
betul anak anak macam ni.” Ujar Ustaz Badri dengan penuh bersemangat.
Beberapa orang
hadirin yang hadir mula menangis mendengar ceramah Ustaz Badri itu. Mereka
berasa insaf apabila Ustaz Badri mengupas tajuk tentang ibu bapa. Serta merta
mereka teringat ibu bapa mereka sama ada yang masih hidup mahupun yang telah
meninggal dunia.
“Ada ibu bapa pada zaman
ini yang marah anak dia kalau tak dapat 10A atau 9A dalam SPM. Tapi jarang
sangat saya jumpa ada ibu bapa zaman sekarang ni yang marah anak dia kalau tak
sembahyang. Dia tak marah kalau anak dia tak pandai solat jenazah. Sedangkan
solat jenazah itu adalah sunat muakkad. Bodoh ibu bapa macam ni.” Sambung Ustaz
Badri.
Di samping
memberi ceramah, mata Ustaz Badri meliar memandang para jemaah yang hadir. Tiba
tiba matanya tertancap kepada seorang gadis yang sangat cantik. Tiba tiba
hatinya menjadi berdebar debar. Nafsu lelakinya meningkat secara mendadak. Dia
sudah jatuh cinta pada gadis itu. Ceramahnya sudah mula tidak keruan. Bahasanya
sudah mula mengarut dan entah apa apa.
Jemaah yang
hadir tiba tiba menjadi bingung. Tiba tiba sahaja Ustaz Badri berubah sikap.
Apa yang telah berlaku kepada Ustaz Badri? Itulah persoalan yang muncul di
benak para jemaah pada waktu itu.
“Kita tamat
sampai di sini sahaja. Kita jumpa lagi pada minggu hadapan.” Ujar Ustaz Badri.
Tiba tiba dia
melihat gadis itu sedang berbual dengan Tok Penghulu. Serta merta perasaan
cemburu menyelinap ke dalam hatinya. Tiba tiba dia melihat Tok Penghulu
bergerak ke belakang masjid. Dia lantas bergerak kea rah gadis berusia 23 tahun
itu.
“Kenapa adik tak
balik lagi? Adik tunggu siapa?” Ustaz Badri menyapa gadis itu. Sungguh cantik
dan manis gadis itu. Senyuman gadis manis itu begitu memikat hati lelakinya.
“Saya tunggu
ayah saya.” Jawab gadis itu.
“Mana ayah
adik?” Soal Ustaz Badri.
“Dia ke tandas
sekejap.” Gadis itu menjawab.
“Oh, begitu.
Siapa nama adik?” Ustaz Badri bertanya buat sekelian kalinya.
“Salima. Saya
anak perempuan Tok Penghulu.” Jawab Salima sopan.
“Oh, anak Tok
Penghulu.” Barulah Ustaz Badri berasa lega. Dia sudah salah tanggapan. Pada
fikirannya Tok Penghulu yang sudah tua itu mahu memikat gadis cantik itu.
Ternyata dia silap.
“Ustaz tak balik
lagi?” Ustaz Badri mendengar ada suara menegurnya dari arah belakang. Dia
lantas memusingkan badannya menghadap pemilik suara itu. Dia melihat Tok
Penghulu sedang berdiri di hadapannya.
“Belum tok. Saya
saja balik lambat. Ingat nak berzikir zikir dan qiamulail dahulu di masjid.
Pagi nanti baru balik rumah.” Jawab Ustaz Badri.
“Aduh, alim
sungguh Ustaz Badri ni. Tak hairanlah ramai orang yang suka dengan Ustaz Badri
ini. Beribadat seolah olah tak ada esok lagi.” Tok Penghulu memuji.
“Saya bukan alim
tok penghulu. Saya biasa biasa saja. Kita ni kenalah beribadat banyak banyak
sebab kita tak tahu bila kita akan mati kan ?
Bila kita menghadap Allah nanti, Insya Allah kita akan ada bekalan yang cukup.”
Ustaz Badri merendah diri.
“Kalau macam tu,
apa kata Ustaz Badri ajar anak perempuan saya ni mengaji Al Quran. Saya sanggup
bayar berapa sahaja yang Ustaz minta.” Ujar Tok Penghulu.
Bagai pucuk
dicita ulam mendatang apabila tok penghulu meminta dia mengajar anak
perempuannya yang cantik itu untuk belajar mengaji dengannya. Nasibnya benar
benar baik. Bagai bulan jatuh ke riba. Hati Ustaz Badri melonjak lonjak riang.
Mahu sahaja dia melompat setinggi langit jika boleh.
“Boleh tok
penghulu. Apa salahnya. Ilmu Allah ini luas tok. Buat apa disimpan simpan.
Kelak tiada siapa yang mewarisinya. Tentang bayaran tu tak payahlah tok risau.
Saya ajar secara percuma saja. Saya ikhlas.” Kata Ustaz Badri sambil tersenyum.
“Baguslah kalau
macam tu. Kalau tak ada apa apa lagi saya balik dululah. Assalamualaikum.” Ucap
Tok Penghulu.
“Waalaikumussalam.”
Balas Ustaz Badri. Dia menghantar pemergian Tok Penghulu dengan Salima dengan
pandangan matanya. Bibirnya tidak henti henti mengukir senyuman. Satu niat
jahat sudah bersarang di dalam hatinya.
…………………………………………………………………………………………
“Mana boleh
Ustaz Badri cakap orang bodoh dalam ceramah dia. Seorang agamawan yang baik
perlu jaga mulut dan kata kata. Perkataan yang baik datang dari hati yang
bersih.” Ujar Imam Karim yang jelas tidak bersetuju dengan cara penyampaian
ceramah Ustaz Badri sejak belakangan ini.
“Biasalah tu
Imam. Ustaz Badri nak beri orang ketawa saja.” Balas Pak Senik. Ketika itu
mereka bertiga sedang duduk di tangga masjid selepas menunaikan solat Zohor secara
berjemaah.
“Betul cakap Pak
Senik tu Imam. Imam janganlah cemburu sangat dengan Ustaz Badri tu sampai nak
buruk burukkan dia.” Kata Tok Penghulu.
“Aku bukan
cemburu dengan dia. Aku cuma beri peringatan saja. Lagipun mana boleh ceramah
sambil bergelak ketawa. Agama bukan perkara lawak yang ditertawakan sesuka
hati. Boleh jatuh kafir tahu tak?” Bidas Imam Karim.
“Cepat betul
Imam nak mengkafirkan orang. Biasalah tu Imam. Kalau tak ada gelak ketawa dalam
ceramah, tak ada orang nak datang ke masjid dan menuntut ilmu Allah ni.” Ujar
Pak Senik.
“Pak Senik, kamu
datang ke masjid ni nak dapat ilmu ke nak gelak ketawa? Kalau nak gelak ketawa
bukan dalam masjid, pergi tengok Maharaja Lawak kat televisyen tu.” Balas Imam
Karim.
“Sudahlah,
janganlah gaduh pasal hal yang remeh macam ni. Tak ada untungnya. Okeylah. Saya
nak balik dulu. Assalamualaikum.” Ucap Tok Penghulu.
“Waalaikumussalam.
Saya pun nak baliklah. Malas nak bertekak dengan Imam Karim ni.” Ujar Pak Senik
lalu meninggalkan Imam Karim berseorangan di masjid itu. Imam Karim
menghempaskan keluhan kasar. Semua penduduk kampung sudah tersihir dengan
kebaikan Ustaz Badri.
…………………………………………………………………………………………
Khatijah
menatang dulang yang di atasnya terdapat seteko kopi dan empat biji cawan ke
ruang tamu rumah tersebut. Kemudian dia meletakkan di atas sebuah meja yang
besar namun agak rendah di hadapan Ustaz Badri. Dia menuangkan air kopi itu ke
dalam cawan cawan yang tersedia itu. “Minum bang.” Khatijah mempersilakan Ustaz
Badri untuk minum.
“Terima kasih.”
Ucap Ustaz Badri. “Mana Aishah dengan Asmah?” Soal Ustaz Badri bertanyakan
isterinya yang kedua dan ketiga.
“Aishah pergi
beli barang dapur kat kedai runcit depan tu. Asmah kat dapur. Dia tengah goreng
kuih karipap.” Jawab Khatijah sopan. Kemudian muncul Asmah sambil membawa
sepiring kuih karipap yang masih panas.
“Silakan bang.”
Asmah mempelawa.
“Sedap kuih
karipap. Tengok rupa pun tahu.” Ustaz Badri memuji. Asmah tersenyum apabila
Ustaz Badri memuji masakannya.
Ustaz Badri
mengambil sebiji kuih karipap yang masih panas di dalam piring itu. Dia
memegang dengan menggunakan hujung jarinya sahaja kerana kuih itu masih panas
akibat baru dimasak. Dia meniup dahulu kuih itu sebelum menggigit sedikit kuih
karipap yang berinti kentang itu. Ternganga nganga mulutnya mengunyah kuih
karipap yang masih panas itu.
“Ada perkara yang abang nak
beritahu kamu berdua.” Ujar Ustaz Badri setelah menelan serpihan kuih karipap
yang dikunyahnya tadi.
“Apa dia bang?”
Soal Khatijah ingin tahu. Asmah disebelahnya hanya diam sahaja. Dia menanti
kata kata Ustaz Badri seterusnya.
“Dalam seminggu
dua ni abang tak balik rumah sebab abang nak beribadat kat masjid. Kamu bertiga
duduklah rumah elok elok. Kalau ada apa apa beritahu saja abang. Abang ada kat
masjid.” Ustaz Badri memberitahu.
“Oh, saya ingat
apa tadi. Abang nak beribadat kat masjid kampung ni saja kan ?” Soal Asmah.
“Ya. Tak lama.
Abang pergi seminggu sahaja. Nak beribadat dan qiamulail kat sana . Khatijah, nanti awak kemaskan pakaian
saya ye. Nanti awak beritahulah dengan Aishah.” Jawab Ustaz Badri.
“Baiklah.”
Khatijah mengangguk.
………………………………………………………………………………………
Ketika Ustaz
Badri di dalam perjalanan ke masjid dengan menaiki motosikal, dia ternampak
Salima sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya. Gadis itu sedang
menjinjing bungkusan plastik berwarna merah. ‘Tentu Salima baru balik dari
kedai.’ Bisik hati Ustaz Badri. Hatinya juga bukan sekadar berbisik malahan
juga sedang melonjak riang.
Dia menghampiri
gadis itu dengan motorsikalnya. Apabila dia sampai sahaja di sebelah Salima dia
lantas memberi salam sambil mematikan enjin motosikalnya. “Assalamualaikum.”
Ucap Ustaz Badri. Satu senyuman terukir di bibirnya.
“Waalaikumussalam.”
Jawab Salima dengan lembut dan sopan. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Ustaz
Badri. Itulah sikap Salima. Memang tidak pernah kedekut dengan senyuman.
Senyumannya yang manis itu pasti menambat hati mana mana lelaki terutama yang
masih bujang atau yang berhidung belang.
“Hari itu tok
penghulu ada minta saya ajar Salima mengaji Al Quran kan ?” Soal Ustaz Badri. Matanya masih tidak
lekang lekang memandang wajah cantik ciptaan Allah dihadapannya itu.
“Ya. Betul tu.
Bila kita boleh mula?” Salima pula bertanya.
“Malam ni Salima
datang kat pondok kat hujung kampung ni. Lepas solat Isyak kita bolehlah mula.”
Jawab Ustaz Badri.
“Kenapa mesti
belajar kat pondok buruk tu? Kenapa tak belajar kat masjid je. Lagipun saya
takut nak pergi pondok tu seorang diri. Seram!” Ujar Salima.
“Kalau kita
belajar kat masjid bising. Banyak orang lalu lalang. Lagipun saya dengar masjid
tu nak buat pengubahsuaian. Mesti bising suasana kat masjid itu.” Jawab Ustaz
Badri.
“Kalau macam tu
baiklah.” Salima mengalah.
“Kenapa? Salima
takut ke? Janganlah takut dengan saya. Saya seorang ustaz. Saya takkan mengapa
apakan Salima.” Ujar Ustaz Badri seolah olah dapat membaca fikiran Salima.
“Saya bukan
takut cuma saya risau.” Ujar Salima.
“Salima tak
perlu takut. kita nak belajar mengaji Al Quran kan ? Bila niat kita baik untuk belajar ilmu
Allah, Insya Allah, Allah pasti akan membantu kita.” Ustaz Badri bertutur
dengan penuh berhemah sekali sehingga mahu menyihir pemikiran Salima.
“Kalau Salima
takut, nanti saya ambil Salima di rumah. Lepas tu saya akan hantar Salima balik
ke rumah semula.” Ustaz Badri menyambung.
“Eh, tak perlulah
susah susah. Nanti saya suruh ayah saya hantar. Ustaz tak perlulah bimbang.”
Ujar Salima jujur. Dia amat mempercayai Ustaz Badri. Dia yakin Ustaz Badri
adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Dia yakin Ustaz Badri tidak akan
berniat jahat.
“Okeylah kalau
macam tu. Malam nanti kita jumpa ye. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Ucap
Ustaz Badri. Dia menghidupkan enjin motosikalnya lalu meninggalkan Salima.
“Waalaimussalam.”
Balas Salima.
…………………………………………………………………………………………
Sudah tiga hari
Ustaz Badri mengajar Salima di pondok buruk itu. Pondok buruk yang terletak di
tepi pantai itu adalah sebuah pondok tinggal yang suatu ketika dahulu didiami
oleh seorang wanita tua. Setelah wanita tua itu meninggal, pondok itu tidak
didiami oleh sesiapa sehinggalah Ustaz Badri menjumpai pondok itu setelah
beberapa hari tinggal di kampung itu.
Setelah mendapat
pengesahan bahawa tiada siapa yang mendiami pondok itu, dia mengambil keputusan
untuk mengajar Salima mengaji di situ. Jadi, dia bisa berdua duaan dengan
Salima di pondok itu. Pada malam itu, seperti biasa dia menunggu Salima di
pondok itu. Kemudian dia terdengar deruman enjin motosikal di luar pondok. Dia
lantas membuka pintu. Dia melihat tok penghulu menghantar Salima ke pondok itu.
Tok penghulu
hanya mengangkat tangan tanda teguran kepada Ustaz Badri. Dia turut membalas
dengan cara yang sama. Kemudian Salima masuk ke dalam pondok itu. “Assalmualaikum
ustaz.” Ucap Salima lembut.
“Waalaikumussalam.”
Balas Ustaz Badri.
Maimunah lantas
duduk di tepi dinding. Dia mengeluarkan Al Quran dari sebuah beg sandang dan
meletakkan kitab suci itu di atas rehal. Ustaz Badri hanya memandang sahaja apa
yang dilakukan oleh Salima. Tiba tiba ada suatu suara yang merasuk
pemikirannya. Tiba tiba nafsu lelakinya memuncak. Dia sudah tidak dapat lagi
menahan gelojak nafsu jahat yang dirasuk oleh syaitan yang direjam itu.
Dia sudah tidak
dapat lagi menggunakan akal warasnya pada waktu itu. Akalnya yang telah
terdidik oleh iman dan Islam sudah dikuasai oleh nafsu jahat ciptaan syaitan
laknatullah. Tiba tiba dia menghampiri Salima. Dia terus memeluk Salima dari
arah belakang.
“Apa yang ustaz
buat ni?” Salima sudah mula panik dan ketakutan. Dia benar benar terkejut
dengan tindakan Ustaz Badri pada waktu itu. Hatinya diserang oleh perasaan
takut yang sangat dahsyat. Ustaz Badri bukan sahaja memeluk Salima malahan
mencium gadis itu di pipi.
“Ustaz, lepaskan
saya. Jangan buat macam ni. Tak baik.” Ujar Salima yang cuba untuk
melawan dan mahu melepaskan diri. Ustaz Badri yang dirasuk oleh syaitan itu
sudah tidak lagi menghiraukan kata kata Salima. Apa yang ada di fikirannya
sekarang hanyalah melepaskan nafsunya yang sudah ditahan sekian lama. Ustaz
Badri terus menarik tudung yang menutup rambut Salima.
Salima terus
meronta ronta dan menjerit meminta tolong namun usahanya sia sia. Pondok itu
jauh dari rumah orang orang kampung. Tidak putus putus doanya kepada Allah agar
diselamatkan daripada manusia durjana seperti Ustaz Badri ini. Ustaz Badri
tidak ubah seperti musang berbulu ayam. Tiba tiba pintu pondok itu terbuka. Kelihatan
tok penghulu sedang berdiri di pintu itu.
Mencerlang matanya
memandang perlakuan Ustaz Badri terhadap anaknya. Patutlah hatinya tidak sedap
pada malam itu ketika dia mahu menghantar Salima mengaji pada malam itu. Apabila
perasaan tidak sedap hati masih membedal bedal hatinya, dia lantas berpatah
balik ke pondok itu. Tanpa melengahkan masa lagi, tok penghulu terus menendang
perut Ustaz Badri.
Ustaz Badri
terus tersungkur di tepi dinding pondok itu. Salima berasa agak lega dengan
kehadiran ayahnya pada waktu itu. Jika tidak sudah pasti mahkota dirinya akan
diragut oleh ustaz syaitan itu.
“Durjana engkau!
Aku ingat kau ni orang baik. Rupa rupanya kau ni lebih jijik dari binatang!” Tok
penghulu menjerit kemarahan sambil memeluk anak gadisnya itu. Ustaz Badri tidak
mengaku kalah begitu sahaja. Dia terus berdiri untuk melawan. Dia lantas
menyerang tok penghulu yang sudah bersiap siaga itu. Tok penghulu yang
sememangnya mahir dalam ilmu persilatan lantas mematahkan serangan dari Ustaz
Badri itu.
Pengalaman masa
lalunya dalam ilmu persilatan itu membuatkan dirinya lebih bersedia untuk
menghadapi Ustaz Badri. Dia lantas menangkap tangan Ustaz Badri dan mengilasnya
kebelakang. Ustaz Badri menjerit kesakitan.
“Salima, panggil
penduduk kampung. Kemudian telefon polis. Biar ustaz durjana ini meringkuk
dalam penjara.” Arah tok penghulu.
“Baik ayah.”
Balas Salima dan lantas berlari keluar dari pondok buruk itu untuk meminta
bantuan dari penduduk kampung.
“Aku tak sangka
Badri. Aku ingat kau seorang ustaz kau baik. Rupa rupanya…” Tok penghulu tidak
mampu menyambung kata katanya. Dia begitu kesal atas kejadian yang berlaku. Harapkan
pagar, pagar makan padi. Pada malam itu Ustaz Badri telah ditahan oleh pihak
polis kerana cubaan merogol. Penduduk kampung yang melihat kejadian itu turut
kesal dan kecewa.
Ustaz yang
mereka sayangi dan percayai kini adalah seorang perogol. Mereka tidak menyangka
di sebalik kepetahan Ustaz Badri memberi ceramah, lelaki itu mempunyai hati
yang sangat hitam. Dia selalu berpesan agar menjaga nafsu kepada penduduk
kampung apabila dia memberi berceramah, namun pada hakikatnya dia sendiri tidak
mampu menjaga nafsunya. Benarlah kata Imam Karim. Jangan sesekali berkata bodoh
pada orang lain. Kelak kebodohan itu akan datang kepada kita semula.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.