Khamis, 12 Disember 2013

CERPEN : DI KELAS ITU

Hasyim agak gelisah pada pagi itu. Setelah bapa menghantar dirinya ke sekolah, dia mula sudah rasa tidak sedap hati. Apakah alasan yang akan diberikan kepada Puan Geetha nanti? Sudah pasti hari ini dia perlu mencari alasan lagi untuk melepaskan dirinya. Jika tidak, dia pasti akan dimarahi oleh guru Bahasa Inggerisnya itu. 

Setelah dia dihantar oleh bapanya dengan menaiki motosikal ke sekolah, dia terus masuk ke kelasnya. Dia tidak banyak bercakap dengan rakan rakan yang menegur dirinya. Di dalam fikirannya, hanya mencari jalan apakah alasan yang mahu dia berikan kepada Puan Geetha. Dia masih tidak dapat menghantar buku latihan Bahasa Inggeris itu kepada Puan Geetha. Jika dia menghantar buku itu, sudah pasti tembelangnya pecah. Sudah pasti penipuannya akan terbongkar.

Pada minggu lepas, Puan Geetha ada bertanya siapakah yang masih tidak mendapat kertas latihan yang perlu ditampal dalam buku latihan. Kertas latihan itu mempunyai dua halaman. Dia hanya ada halaman yang kedua sahaja manakala halaman pertama sudah hilang entah ke mana. Jadi dia mengatakan yang dia tidak mendapat kertas latihan itu lagi.

"Bukankah semua sudah dapat? Kenapa awak seorang sahaja yang masih belum dapat?" Soal Puan Geetha kehairanan. Setahunya semua murid darjah dua yang diajarnya sudah menerima kertas latihan itu. Hasyim hanya diam sahaja.
 
"Entah, saya tak dapat lagi." Jawab Hasyim berbohong. Dia terpaksa berbohong kepada guru Bahasa Inggerisnya itu agar tidak dimarahi. Jika dia mengatakan bahawa kertas itu sudah hilang pasti Puan Geetha akan marah. Puan Geetha seorang guru yang tegas dan garang. Hasyim sangat takut kepada Puan Geetha.

"Nah, ambil kertas ini." Puan Geetha memberikan kertas Bahasa Inggeris itu kepada Hasyim. "Terima kasih cikgu." Ucap Hasyim lalu beredar ke tempat duduknya.

"Bukankah kau sudah dapat kertas itu? Bukankah aku dan kau ada membuat latihan itu bersama sama?" Soal Dania, kawan yang duduk disebelahnya.

"Mana ada. Aku tak dapat lagi kertas ini." Hasyim menjawab dalam keadaan berbohong. Bukan Dania sahaja, malahan Siti dan Firdaus juga mengatakan perkara yang sama.

"Kau dah dapat kertas itu bukan? Kau menipu Puan Geetha." Kata Firdaus. "Tidak. Aku bercakap benar." Hasyim cuba membela dirinya sendiri. 

"Cuba tengok pada buku dia itu? Aku rasa aku ada nampak dia tampal kertas latihan itu dalam buku." Dania mencadangkan namun Hasyim tidak membenarkannya.

Apabila Puan Geetha menyuruh semua pelajar menghantar buku latihan itu beberapa hari lalu, Hasyim memberi pelbagai alasan. Hal ini kerana buku latihan itu sudah hilang! Dia tidak tahu di mana dia meletakkan buku latihan itu. Dia sudah mula takut dan panik. Pelbagai perkara buruk yang bermain di kotak fikirannya. Jadi sekali lagi dia perlu menipu. Dia perlu mencari buku itu jika tidak dia pasti akan dimarahi. Sudahlah dia terpaksa menipu kerana kertas latihan itu, sekarang dia perlu menipu atas kehilangan buku itu pula. Walaubagaimanapun, dia perlu menghantar buku itu hari ini juga.

Pada pagi ini, apakah alasan yang mahu diberikan kepada Puan Geetha. Tiba tiba Hasyim mendapat satu idea. Dia terus ke bilik guru untuk berjumpa dengan Puan Geetha. 

"Cikgu, saya tidak dapat menghantar buku itu hari ini." Ujar Hasyim kepada Puan Geetha.

"Mengapa?" Soal Puan Geetha.

"Semalam bapa saya terkena serangan jantung. Saya dan ibu saya perlu menemannya ke hospital. Saya tidak dapat menghantar buku itu hari ini." Jawab Hasyim, masih dalam keadaan menipu.

"Yakah? Kasihan awak. Tidak mengapalah. Hantar sahaja pada esok hari." Puan Geetha berasa kasihan dengan nasib yang menimpa Hasyim. Hasyim bersorak kegembiraan. Dia sudah terlepas daripada Puan Geetha. Namun begitu, dia perlu mencari buku latihan itu secepat mungkin.

Pada tengah hari itu, seperti biasa apabila pulang dari sekolah dia akan dijemput oleh neneknya. "Kenapa kamu cakap dengan Puan Geetha yang bapa kamu sakit jantung?" Soal neneknya yang sudah mula mahu marah. Alangkah terkejutnya Hasyim apabila mendengar pertanyaan neneknya itu. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, neneknya terus memarahi Hasyim kerana berbohong.

"Kenapa kamu berbohong Hasyim? Tahukah kamu berbohong itu satu sikap yang tidak elok. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama lama jadi pencuri." Nenek terus menasihati Hasyim. Hasyim benar benar ketakutan. Dia yakin neneknya pasti akan memberitahu kepada ayahnya. Seperti dijangka, neneknya memberitahu pada ayahnya. Pada malam itu, Hasyim dipukul dengan teruk oleh ayahnya dengan menggunakan rotan.

Keesokan harinya, Puan Geetha masuk ke kelas seperi biasa. "Hasyim, mari ke depan!" Puan Geetha memberi arahan. 

"Kenapa kamu menipu? Saya betul betul kasihan pada kamu semalam kerana bapa kamu diserang sakit jantung. Baru berusia lapan tahun sudah pandai menipu." Puan Geetha memarahi Hasyim yang tegak berdiri dihadapannya. Hasyim benar benar malu. Dia malu dengan Puan Geetha, ayah dan neneknya. Dia malu dengan kawan kawannya. 

"Hari itu ketika kamu ada majlis di dewan saya jumpa buku latihan ini di dalam beg kamu. Kamu kata kamu tidak dapat kertas latihan itu. Sekarang halaman pertama kertas ini ada dalam buku kamu." Ujar Puan Geetha. 

"Kamu sudah melampau Hasyim. Mulai hari ini kamu jangan masuk ke kelas saya. Setiap kali saya masuk ke kelas kamu mesti berdiri di luar kelas. Faham?" Puan Geetha sudah separuh menjerit. Hasyim hanya mengangguk. Mulai hari itu, Hasyim mula berdiri di luar kelas selama berbulan bulan. Dia langsung tidak belajar subjek Bahasa Inggeris. Dia hanya berdiri sahaja.

Suatu hari Amdan, kawannya ada membawa kertas latihan daripada Puan Geetha. "Puan Geetha suruh siapkan." Kata Amdan kepada kawan kawan sekelasnya. Dia mula mengedarkan kertas itu. Hasyim hanya mendapat kertas kosong sahaja. Dia tahu Puan Geetha bencikan dirinya. Oleh itu, dia hanya mendapat kertas kosong sahaja. Dia benar benar sedih dan menyesal. Dia menyesal kerana telah berbohong. Dia berjanji tidak akan berbohong lagi.

Keesokan harinya, Amdan dan rakan rakan bertanya kepada Hasyim. "Kau dah siap kerja yang Puan Geetha beri itu?" Soal Amdan.

"Aku tak dapat pun kertas itu. Aku hanya dapat kertas kosong sahaja. Puan Geetha beri saya kertas kosong sahaja." Jawab Hasyim.

"Apa? Itu bukan Puan Geetha yang beri. Itu aku yang beri." Ujar Amdan. "Mari kita jumpa Puan Geetha. Kita minta kertas latihan  itu dari dia." Amdan mencadangkan.

"Tidak mengapalah. Puan Geetha bukan suka sama aku pun." Hasyim berkata. Namun tidak diendahkan oleh Amdan. Amdan terus menarik tangannya ke bilik guru untuk berjumpa dengan Puan Geetha. 

"Cikgu, Hasyim tidak dapat kertas yang cikgu edarkan semalam. Semalam saya beri dia kertas kosong." Amdan memberitahu Puan Geetha bagi pihak Hasyim. 

"Hasyim, kamu masih mahu belajar lagi?" Soal Puan Geetha.

"Mahu cikgu." Jawab Hasyim takut takut.

"Kamu janji dengan saya yang kamu tidak akan menipu lagi?" Puan Geetha bertanya lagi.

"Saya janji cikgu." Hasyim menjawab.

"Baiklah, saya maafkan kamu kali ini. Lain kali jangan buat lagi. Ambil kertas ini dan siapkan." Ujar Puan Geetha, Sejak itu, Hasyim sudah belajar seperti biasa. Dia tidak lagi berdiri di luar kelas seperti selalu. Di kelas itu Hasyim belajar satu perkara agar jangan sesekali bercakap bohong.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.