Rabu, 27 Jun 2018

KENCING RAKYAT

Image result for kencing
Sumber : Google


Ketika berucap di hadapan kita,
Terkandung kuman maki dalam sampah bicara,
Sambil meludah janji semanis gula,
Untuk melumurkan rasa bahagia,
Di hati rakyat yang ditikam derita,
Melontar kemiskinan ke lubuk alpa.

Mereka menyemai benih-benih tuduhan,
Untuk menumbuhkan bunga-bunga keraguan,
Supaya kita menghidu bau-bau kebencian,
Lalu kita mencampakkan suar pergaduhan,
Di tengah-tengah taman kedamaian,
Keamanan musnah dihentak taufan kekacauan. 

Usah sesekali kita percaya,
Walau satu huruf pun bicara mereka,
Agar kita tidak mudah terpedaya,
Kerana mereka sedang menenun dusta.

Dusta yang sengaja mereka cipta,
Semata-mata untuk meraih kuasa,
Perjuangan sebenar tidak akan mengadu domba.
Sehingga kita perlu bermasam muka.

Isnin, 18 Jun 2018

ULAS NOVEL : HARTINI KARYA AZIZ AFKAR

Image result for hartini novel
Sumber : Google


Novel ini adalah sebuah novel lama. Sudah agak lama juga saya mencarinya. Bapa saya ada menceritakan bahawa novel amat sedih apabila dibaca. Ramai orang menangis gara-gara membacanya. Atas sebab itulah saya tertarik untuk membacanya.

Saya menemui novel ini ketika saya sedang mencari buku di perpustakaan universiti saya. Saya bersyukur kerana saya menemui novel ini di sana.

Saya tidaklah menangis tatkala membaca novel ini. Cuma perasaan sedih itu memang tidak dapat dinafi. Hal ini kerana, bukan sahaja novel imi memaparkan kisah cinta yang tidak kesampaian, malah watak-watak utamanya juga yang menemui kematian.

Novel ini menarik bagi saya kerana bahasa yang digunakan oleh penulis amat indah dan puitis. Jarang saya membaca sebuah novel yang bahasanya begitu indah dan puitis. Penulis seperti Aziz Afkar ini ialah penulis yang jarang-jarang ditemui. Allahyarham adalah umpama sebatang jarum yang jatuh ke dalam timbunan jerami.  

Bahasa yang indah dan puitis itu dapat dilihat dengan ketara dari sudut surat-surat yang dihantar antara watak-wataknya (misalnya surat Amli kepada Hartini). Sungguhpun bahasa yang digunakan dalam surat itu adalah bahasa yang biasa, namun cara penulis menulis surat itu sangat indah bahasanya.

Tema yang dibawa oleh novel ini memang agak biasa ditemui yakni kisah cinta terhalang antara seorang pemuda miskin yang tidak berpelajaran bernama Amli dengan seorang gadis yang bergelar guru (sudah tentu berpelajaran) bernama Hartini.

Meskipun tema yang diketengahkan oleh penulis itu ialah tema yang biasa ditemui, namun cara penulis menggarap novel ini amat berbeza sama sekali. Meskipun Amli itu tidak berharta, namun Hartini tidaklah memandang hina kepadanya. Sebaliknya Hartini terus membantu Amli untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Dan ternyata dengan bantuan yang dihulurkan oleh Hartini itu telah membuatkan Amli dapat menjadi seorang penulis yang terkemuka.

Amli itu seorang yang miskin tetapi berbakat sebagai penulis. Dengan bantuan Hartini, Amli berjaya menjadi seorang penulis. Kisah Amli sebagai penulis amatlah menarik minat saya untuk terus menhadam novel ini. Hal ini kerana, kerjaya sebagai seorang penulis itu amat subur dalam jiwa saya sejak dahulu lagi.

Meskipun novel ini menarik, namun jalan cerita novel ini bergerak dengan amat perlahan. Saya terpaksa beberapa kali menangguhkan pembacaan. Oleh sebab itulah untuk terus menghadam novel ini pembaca perlu mempunyai kesabaran. Hal ini kerana, pembaca akan mudah berasa bosan.  

Watak Amli ialah watak tipikal orang miskin dalam novel-novel Melayu. Beliau digambarkan sebagai seorang yang amat merendah diri, suka memperlihatkan dirinya sebagai manusia hina dihadapan orang lain dan seorang yang amat pemalu.

Watak Hartini pula ialah watak tipikal wanita dalam novel-novel Melayu. Hartini digambarkan sebagai seorang perempuan yang manja, lemah, mudah menangis, selalu berserah pada nasib dan pemalu.

Masalah dalam kisah cinta antara Amli dan Hartini ini ialah komunikasi dan keberanian. Jika mereka berdua atau salah seorang daripada mereka berani untuk meluahkan perasaan, pasti mereka tidak akan mengalami penderitaan. Barangkali juga Amli dan Hartini boleh hidup dalam kebahagiaan.

Oleh kerana mereka tidak mempunyai keberanian untuk berkomunikasi, Amli bersetuju untuk bertunang dengan Azimah (kawan Hartini) meskipun tiada perasaan cinta di hatinya. Amli memilih Azimah kerana berasa kasihan memandangkan Azimah begitu bersungguh untuk mendapatkan dirinya.

Hartini pula, oleh kerana berasa sedih dengan pertunangan Azimah dan Amli, terus berada dalam keadaan kecewa dan makan hati. Akhirnya dia jatuh sakit sehingga mati. Amli sendiri pun akhirnya mati kerana sudah tiada lagi Hartini di sisi.   

Novel ini menjadi pengajaran, seandainya kita mencintai seseorang, kita meski mempunyai keberanian untuk meluahkan perasaan. Kita mesti berani untuk menyatakan (baca : berkomunikasi) cinta kita kepada orang yang kita cintai. Jika kita tidak berani berkomunikasi, kita sendiri yang akan makan hati.

Aziz Afkar sebagai penulis amat bijak memainkan emosi pembaca melalui novel ini. Perasaan sedih itu pasti menjalar dalam diri pembaca seusai membaca novel ini.

Meskipun novel ini adalah sebuah novel yang bermutu tinggi, tetapi novel ini bukanlah novel yang saya gemari. Novel sebegini tidak berjaya membuat saya untuk mengulang bacanya berkali-kali.   

Selasa, 12 Jun 2018

MANA BETUL : BAHASA MELAYU ATAU BAHASA MALAYSIA?

Image result for bahasa melayu
Sumber : Google


Perkataan yang paling ditakuti oleh banyak pihak pada masa kini ialah perkataan ‘Melayu’. Apabila disebut sahaja perkataan ‘Melayu’, akan ramailah orang akan berada dalam keadaan tidak menentu. Saya tidak hairan dengan ultrakiasu yang takut dengan perkataan ‘Melayu’. Namun, saya hairan dengan manusia Melayu yang takut dengan perkataan ‘Melayu’. 

Oleh sebab itulah, pada masa kini, segala perkataan yang berunsur ‘Melayu’ itu tidak boleh disebut-sebut lagi. Sesiapa yang menyebut perkataan ‘Melayu’ seperti kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, bangsa Melayu, Tanah Melayu, dan Raja-Raja Melayu akan dicemuh sebagai rasis dengan begitu galak sekali.


Semua perkataan yang mempunyai unsur-unsur ‘Melayu’ sekarang ini akan mengalami dua kemungkinan. Sama ada akan diminta tukar menjadi Malaysia atau paling kejam sekali, dihapuskan!

Oleh yang demikian, bertukarlah Tanah Melayu menjadi Malaysia dan bahasa Melayu pun bertukarlah menjadi bahasa Malaysia. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu, oleh kerana mempunyai perkataan ‘Melayu’, diminta hapus oleh Melayu apologetik dan ultrakiasu.

Apabila bercakap soal bahasa, ramai sekarang ini berada dalam keadaan keliru sebenarnya. Mana satu yang betul agaknya? Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?

Dalam Perlembagaan negara, merujuk kepada Perkara 152, yang disebut ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi Malaysia. Jadi, bahasa Melayu ialah istilah yang paling tepat berbanding istilah bahasa Malaysia.

Oleh sebab kerajaan lama mahu bahasa Melayu itu digunakan oleh semua kaum di dalam negara, jadi ditukarkan bahasa Melayu tu menjadi bahasa Malaysia. Apa yang kerajaan lama lakukan itu adalah mengikut cara kerajaan Indonesia.  

Negara Indonesia itu mempunyai pelbagai etnik di dalamnya antaranya Jawa, Batak, Minangkabau, Mendeleng, Bugis, Melayu dan sebagainya.

Sebenarnya bahasa Indonesia itu pun bahasa Melayu. Namun, oleh kerana etnik Melayu (terutama di Pulau Bentan dan Riau)  hanya minoriti di Indonesia, jadi kerajaan Indonesia tukarkan istilah bahasa Melayu itu menjadi istilah bahasa Indonesia. Hal ini supaya, orang Jawa, Batak, Minang, Bugis, Mendeleng dan sebagainya itu mahu bertutur dalam bahasa Indonesia. Jika kerajaan Indonesia mengekalkan istilah bahasa kebangsaan Indonesia sebagai bahasa Melayu, jadi etnik-etnik lain pasti tidak mahu bertutur dalam bahasa itu (oleh kerana mereka majoriti). Maka, sukarlah Indonesia membentuk perpaduan dalam kalangan rakyatnya. Perpaduan hanya akan dapat dicapai jika semua rakyatnya bertutur dalam bahasa yang sama.

Tidak ada bahasa di dunia ini dinamakan sempena nama negara. Semua bahasa di dunia dinamakan sempena nama bangsa. Hanya Indonesia dan Malaysia yang cuba menamakan nama bahasa sempena nama negara.

Jika ditanya kepada orang Amerika, bahasa apa yang mereka guna, mereka tidak akan kata yang mereka menggunakan bahasa Amerika. Seperti juga ditanya kepada orang Australia. Mereka tidak akan kata mereka menggunakan bahasa Australia. Mereka pasti akan berkata yang mereka menggunakan bahasa Inggeris (English). Bahasa Inggeris (English) itu ialah bahasa orang-orang English (England). Hal ini kerana bahasa dinamakan sempena nama bangsa bukan nama negara. Jadi lebih betullah bahasa Melayu berbanding bahasa Malaysia.

Memanglah kerajaan lama dahulu menukarkan istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia kerana mahu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh bertutur dalam bahasa yang sama (bahasa Melayu). Namun, usaha kerajaan lama itu sia- sia belaka. Ramai ultrakiasu yang lahir dan membesar di sini masih juga tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih. Ironinya, orang Bangladesh yang baru tiga bulan datang ke Malaysia boleh pula bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.

Perpaduan kaum hanya boleh dicapai jika semua rakyatnya tanpa mengira kaum bertutur dalam satu bahasa yang sama dengan sefasihnya. Dan perkara ini hanya akan berjalan jika kita berada dalam satu aliran pendidikan yang sama (sekolah kebangsaan). Itulah yang dilakukan di Thailand, Filipina, Indonesia bahkan di Amerika. Ramai orang Cina yang tinggal di sana fasih bertutur bahasa kebangsaan di negara tempat mereka berada. Mengapa? Hal ini kerana, kerajaan mereka selalu ‘bertegas’ dengan dasar bahawa rakyatnya mesti bertutur dalam satu bahasa yang sama. Dan sistem persekolahan pun hanya satu jenis sahaja yang diterima. Sekolah vernakular memang sukar wujud di sana. Jika wujud pun, tidak akan dibiayi oleh kerajaan mereka.   

Kerajaan kita sama ada yang lama mahupun yang baru tidak bertegas dalam soal bahasa. Oleh sebab itulah perpaduan kaum amat sukar diwujudkan di dalam negara. Ultrakiasu sering mendesak supaya kaum dihapuskan dan dikenali sebagai bangsa Malaysia. Ironinya, mereka sendiri gagal bertutur dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara Malaysia.