Rabu, 6 Jun 2018

MANUSIA MELAYU DAN KRISIS MEMBACA

Image result for membaca
Sumber : Google


Seorang kawan telah menuturkan ayat begini kepada saya tidak lama dahulu : 

“Buat apa kau tulis artikel kat Facebook tu panjang-panjang. Bukan ada orang nak baca pun.” 

Mendengar sahaja kata-katanya, saya hanya mampu tersenyum sahaja. Saya tidak berniat untuk membalas kata-katanya. 

Kawan saya itu adalah seorang manusia Melayu sebenarnya. Jujur saya sedih mendengar kata-katanya. Jelas dalam kata-katanya dia sekarang ini sedang mengalami krisis membaca. 

Krisis membaca ini bukan hanya terkena pada kawan saya ini sahaja malah terkena pada manusia Melayu yang lain juga.

Saya yakin dia bukanlah seorang yang gemar membaca buku. Jika membaca artikel di Facebook yang panjangnya sekadar 10-20 perenggan sahaja pun dia sudah tidak mampu, bagaimana dia hendak membaca buku yang jumlah perenggannya lebih banyak daripada itu?

Sebab itu saya tidak hairan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mengatakan bahawa ramainya orang yang uneducated di negara ini. Dan saya yakin orang yang uneducated seperti yang disebut oleh Tun Dr Mahathir itu terdiri dalam kalangan manusia Melayu itu sendiri (sudah pastilah yang bergelar ultrakiasu pun ramai juga). Hal ini kerana, manusia Melayu adalah golongan manusia yang membentuk jumlah majoriti di negara ini.

Oleh sebab manusia Melayu telah mengalami krisis membaca sejak sekian lama, maka mereka mudah diperbodoh-bodohkan oleh para politikus yang bermaharajalela di dalam negara.

Oleh sebab manusia Melayu mengalami krisis membaca, mereka hanya menjadi pengikut buta para politikus yang rakus mengejar kuasa. Mereka boleh menjadi taksub kepada segala hujah yang disogokkan oleh para politikus ke dalam minda mereka. Mereka percaya apa sahaja yang dikatakan oleh para politikus itu adalah benar belaka. Langsung tidak mahu berfikir secara kritis dan matang dalam menyaring segala dakyah-dakyah songsang oleh para politikus yang wujud di dalam negara. Seandainya dikritik para politikus yang mereka sudah angkat bagai dewa, bersedialah pengkritik itu akan dikecam penuh falasi dengan sebanyaknya.

Krisis membaca ini berlaku bukan sahaja kerana manusia Melayu itu malas membaca buku, malah membaca artikel-artikel panjang di Facebook itu pun mereka tidak mahu.
Tidak dinafikan bahawa bukan semua hujah-hujah yang digunakan oleh para penulis di Facebook (atau blog) itu betul belaka. Sudah pasti segala hujah-hujah yang ditulis oleh para penulis di Facebook perlu disaring dengan sebaiknya. Walau bagaimanapun, bukan semua penulisan yang wujud di Facebook itu tidak boleh diterima. Terdapat banyak penulisan di Facebook itu yang bermutu dan boleh diterima. Cuma kita perlu memastikan latar belakang penulis itu dengan setepatnya. Dan segala penulisan di Facebook itu perlu disaring dan difikirkan secara kritis juga.

Memandangkan ramai manusia Melayu yang malas membaca buku, moleklah kiranya mereka membaca penulisan-penulisan alternatif yang wujud di Facebook itu. Namun, jika artikel-artikel panjang di Facebook itu pun sudah malas dibaca, tidak tahulah apa lagi hendak dikata.    

Manusia Melayu semoleknya perlu banyak membaca buku. Buku bukan sahaja memberikan manusia Melayu ilmu, bahkan manusia Melayu dapat menambah pengalaman baharu.

Misalnya, jika manusia Melayu mahu mengetahui kehidupan seorang wartawan, pastilah manusia Melayu tidak semua boleh menjadi wartawan. Namun, dengan membaca buku sahaja, manusia Melayu boleh mengetahui pengalaman sebenar bergelar seorang wartawan dengan sebanyaknya. Mahu mengetahui tentang pengalaman dan kehidupan seorang wartawan? Bacalah buku Propagandis Zaman (karya Haji Subky Latif --- peneroka New Journalisme di Malaysia).

Manusia Melayu menjadi golongan manusia yang lemah pada hari ini bukan sahaja kerana gagal bersatu padu dan gagal menguasai ekonomi, malah kerana budaya membaca sangat jauh daripada diri. Oleh sebab itulah manusia Melayu amat mudah dimanipulasi.

Manusia Melayu selain suka membaca komik dan novel, bacalah juga buku-buku ekonomi, politik, sastera, bahasa, komunikasi, falsafah, sains, teknologi, pemikiran dan sebagainya. Amatlah molek jika manusia Melayu boleh membaca buku-buku sejarah dengan sebanyaknya. Hal ini kerana, sejarah manusia Melayu itu sendiri sudah diputarbelitkan secara berleluasa. Oleh sebab itulah kita melihat ramai manusia Melayu yang tidak memahami sejarah mereka sendiri dan mereka kini kehilangan jati diri. 

Manusia Melayu mesti banyak membaca. Jika tidak mampu membaca buku dengan sebanyaknya, bacalah artikel-artikel berkualiti yang dikongsikan oleh pengguna-pengguna Facebook yang berwibawa. Hal ini bukan sahaja untuk mengelakkan manusia Melayu mudah ditipu, malah untuk mengelakkan manusia Melayu terus menjadi dungu!

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.