Isnin, 4 Jun 2018

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA

Image result for pengangkutan awam
Sumber : Google


Pada 18 Mei 2018 yang lalu, saya telah menaip satu status pendek di laman Facebook berkenaan sikap pemandu bas RapidKL yang memandu dalam keadaan sambil lewa. Maksud sambil lewa di sini ialah bas yang sepatutnya menuju ke Seksyen 2 tetapi tidak pergi ke Seksyen 2. Pemandu bas tersebut berpatah balik menuju semula ke perhentian bas --- tempat saya menaiki bas itu pada mulanya.  Ini semua gara-gara sikap malas pemandu bas dan sikap tidak mahu mengambil cakna akan penumpang yang berada di dalam perut bas. 

Status saya tersebut telah mendapat ulasan yang agak negatif daripada rakan-rakan Facebook saya. Status tersebut telah diulas dengan sinis oleh mereka. Namun begitu, saya tidaklah menyalahkan atau marahkan mereka. Hal ini kerana, mereka bukanlah pengguna pengangkutan awam (seperti bas, LRT, KTM, dan teksi) yang tegar seperti saya. Tambahan pula, mereka tidak memahami maksud tersirat disebalik status itu sebenarnya.

Walau bagaimanapun, saya berasa amat lucu dengan sambutan yang saya terima melalui status itu. Begitu banyak like dan comment pada status itu. Status yang bersifat gosip begitu mengundang perhatian sebilangan rakan-rakan Facebook saya. Namun begitu, status saya yang berbentuk artikel panjang dan bersifat serius langsung tidak mahu diendahkan oleh kebanyakan daripada mereka.

Secara tidak langsung, melalui status itu, dapatlah saya membuat kesimpulan tentang sejauh mana tahap pemikiran segelintir rakan-rakan Facebook saya. Menjadi tanda tanya, adakah artikel ini mampu untuk mengundang maklum balas (respond) yang sama dengan status tersebut ataupun sebaliknya. 

Maksud tersirat disebalik status itu bukanlah mengenai sikap sambil lewa pemandu bas RapidKL itu sahaja. Ini juga bukanlah soal perlu membuat aduan kepada syarikat bas tersebut semata-mata tetapi mencakupi keseluruhan sistem pengangkutan awam yang wujud di dalam negara. Seandainya dengan membuat satu aduan sahaja segala masalah yang membelengu pengangkutan awam di negara ini dapat diselesaikan, sudah pastilah aduan itu telah lama saya lakukan.

Mungkin perkara yang saya utarakan itu bersifat kecil dan remeh bagi mereka. Namun, bagi saya, itu bukanlah isu remeh dan kecil sebenarnya. Bagi mereka mungkin kecil dan remeh kerana mereka tidak menjadikan budaya menaiki pengangkutan awam sebagai budaya dalam kehidupan mereka.

Dalam artikel ini, saya tidak mahu menyentuh tentang HSR, ECRL, MRT3 dan sebagainya. Hal ini kerana, kesemua pengangkutan awam yang diteruskan atau  dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan itu telah diulas oleh ramai cendekiawan yang ada di dalam negara. Memadailah jika saya hanya mengulas tentang pengangkutan awam yang sedia ada (seperti bas, teksi, KTM, LRT, dan Monorel).

Bagi mereka yang bukan pengguna tegar pengangkutan awam, pastilah mereka tidak menghadapi segala masalah yang dihadapi oleh pengguna tegar pengangkutan awam. Maka, mereka bolehlah menulis ulasan-ulasan sinis di mana-mana. Orang yang memikul bebanan dengan orang yang sekadar melihat bebanan itu dipikul pastilah tidak sama keadaannya.   

Perkara yang saya tulis ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri sepanjang pengajian saya di universiti dan selama hampir dua tahun menggunakan pengangkutan awam (LRT, KTM dan teksi) berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Bangi (semasa belajar di peringkat diploma).  Masalah pengangkutan awam di Malaysia begitu banyak sekali. Di bawah ini saya senaraikan beberapa masalah pengangkutan awam yang sering saya hadapi. 

(1)  Pemandu bas, teksi, dan KTM yang biadap dan kurang ajar. Selalu memarahi penumpang dan tidak memberi informasi dengan baik sewaktu penumpang bertanya. 

(2)  Bas yang tidak bergerak tepat pada masa. Masa menunjukkan bas sepatutnya bergerak pada pukul 10 tetapi pukul 10 masih belum bergerak lagi. Pemandu bas sibuk bergelak ketawa bersama rakan-rakan.

 (3)  KTM yang lambat (siput pun rasanya lebih laju). 

(4)  KTM dan LRT yang pada waktu puncak (orang sedang ramai akibat pulang daripada bekerja) menggunakan dua gerabak sahaja sedangkan mereka boleh menggunakan empat gerabak. Kalau boleh tambah sehingga enam gerabak pada waktu puncak.  

(5)  Loceng bas yang rosak. Penumpang tidak dapat menekan loceng apabila sampai ke destinasi.   


(6)  Teksi yang seringkali menipu harga. Saya bersyukur dengan kewujudan Grabcar. 

(7)  Pihak KTM menghantar gerabak yang lama, kekurangan tempat duduk, dan tiada pendingin hawa ketika waktu puncak untuk mengambil penumpang. 

(8)  Tidak semua tempat boleh diakses dengan menggunakan pengangkutan awam. 

(9)  KTM dan LRT yang sering kali mengalami kerosakan

Di atas ialah seribu satu masalah yang saya dan pengguna pengangkutan awam hadapi ketika menggunakan pengangkutan awam selama bertahun-tahun lamanya. Saya sebenarnya telah acapkali membuat aduan namun masalah yang sama masih lagi berlaku dengan berleluasa. 

Saya sangat percaya, hanya pihak kerajaan sahaja yang mampu menyelesaikan segala masalah dalam pengangkutan awam. Di negara-negara maju, kerajaan mereka sangat mengambil cakna tentang kebajikan rakyat mereka yang menggunakan pengangkutan awam. 

Oleh sebab itulah, kerajaan di negara-negara maju telah melabur berbilion-bilion banyaknya untuk menyediakan pengangkutan awam yang bukan sahaja baik, maju, canggih malah selesa untuk rakyat mereka.

Masalah pengangkutan awam ini telah gagal diselesaikan oleh kerajaan lama. Maka, saya berharap kerajaan baharu ini dapat menyelesaikannya. Namun, apa yang saya harapkan itu berlainan pula. Permintaan saya itu telah diberi maklum balas yang amat sinis oleh rakan-rakan Facebook saya.

Oleh kerana kegagalan kerajaan lama membaiki pengangkutan awam berpuluh tahun lamanya, maka rakyat Malaysia tidak menjadikan budaya menaiki pengangkutan awam sebagai satu budaya. Sedangkan mereka amat tahu tentang kebaikan menggunakan pengangkutan awam berbanding menggunakan kereta. 

Saya tidak bercadang untuk menulis segala macam kebaikan menggunakan pengangkutan awam dalam artikel ini. Hal ini kerana, pelajar sekolah rendah pun tahu mengenai perkara sebegini. Masakan perkara sebegini tidak diketahui oleh rakan-rakan Facebook saya yang kebanyakannya mengaji di universiti. 

Diharapkan kerajaan baharu ini boleh membaiki pengangkutan awam yang sedia ada setelah mereka menghentikan projek pengangkutan awam yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dengan sebanyaknya.  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.