Khamis, 26 Januari 2017

PEMIMPIN BEGINILAH YANG LAYAK UNTUK PIMPIN NEGARA



Image result for pemimpin
Sumber : Google


Ada banyak sebenarnya ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin untuk membolehkan seorang pemimpin itu menjadi hebat dan berwibawa. Tetapi dalam rencana ini saya mahu menulis tentang satu ciri sahaja iaitu pemimpin yang beriman dan bertaqwa.

Mengapa penting kita memilih pemimpin yang beriman untuk menjadi pemimpin kita? Ini kerana pemimpin yang beriman itu tahu dosa dan tahu pahala. Apabila dia tahu tentang dosa dan pahala, maka kuranglah dia melakukan dosa dan banyaklah dia melakukan pahala dalam kepimpinannya. Segala perbuatan yang boleh mendatangkan dosa seperti pecah amanah, rasuah, kronisme, dan sebagainya pemimpin itu tidak akan melakukannya. Sebaliknya dia akan banyak melakukan perbuatan yang mendatangkan pahala seperti mencegah kemungkaran, menjaga kebajikan rakyat yang miskin, mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat jelata dengan sewajarnya, dan sebagainya.


Jika kita memilih pemimpin yang beriman maka segala kebajikan kita sebagai rakyat jelata akan terjaga sentiasa. Ini kerana pemimpin tersebut takut jika kepimpinannya disoal oleh Allah di akhirat sana. Dia tidak mahu dirinya diazab oleh api neraka kerana tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin ketika dia masih di dunia. Maka, dia akan berusaha untuk menyelesaikan segala masalah yang melanda rakyat jelata dengan segera. 


Masalah masalah rakyat seperti kemiskinan, keadilan, kebajikan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya akan dijaga oleh seorang pemimpinan yang beriman. Seorang pemimpin yang beriman tidak akan sanggup melihat rakyatnya dihurung dengan penderitaan. Dia akan berusaha sedaya upaya supaya rakyatnya boleh menikmati segala kemudahan, kesenangan, dan keamanan.


Apabila kita diperintah oleh pemimpin yang kurang iman atau tiada iman, maka rosaklah negara dan watan. Pemimpin tersebut akan terus melakukan kerosakan. Perkara perkara mazmumah dalam pentadbiran seperti ketidakadilan, ketirisan, pembaziran, dan ketidaktelusan akan terus berjalan. Rakyat yang berada di bawahnya akan terus berada dalam kesengsaraan.


Tidaklah dikata seorang pemimpin yang beriman itu hanya tahu solat dan tahu puasa sahaja. Pemimpin yang beriman mestilah pandai dalam banyak perkara seperti politik, ekonomi, kewangan, perniagaan, dan sebagainya. Seorang pemimpin yang beriman juga mesti bijaksana. Ini bagi membolehkan dia berhadapan dengan sepak terajang politik di pentas antarabangsa. Jika dia tidak bijaksana, pastilah dia mudah ditipu oleh orang di sekelilingnya atau pemimpin dari lain negara.        


Selain itu, seorang pemimpin yang beriman juga mestilah bertolak ansur, kreatif, berwawasan, dan berani. Segala ciri ini dapat membantu seorang pemimpin yang beriman itu untuk membuat sesuatu keputusan nanti. Sesuatu keputusan yang bakal diambil oleh seorang pemimpin itu sangat penting sekali. Jika dia silap membuat keputusan, maka rakyat jelata yang akan menerima kesusahan. 


Model pemimpin yang beriman selain Rasulullah dan Khulafak Arrasyiddin adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Inilah pemimpin yang mesti dicontohi dan diikuti oleh semua pemimpin yang ada di dunia ini. Tetapi sayangnya tidak ramai yang mahu mencontohi pemimpin pemimpin Islam yang agung ini. Ramai pemimpin kebanyakkannya menjalankan kepimpinan mengikut ‘tekak’ sendiri. 


Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang baru iaitu Sultan Muhammad Ke-V daripada negeri Kelantan dipercayai sebagai pemimpin yang beriman. Dia bukan sahaja disukai oleh rakyat jelata malah sering pula diberi perhatian. Ini gara gara sifatnya yang gemar berpakaian biasa dan melayan rakyat jelata dengan mesra. Dia tidak janggal untuk menjadi imam solat, melakukan penyembelihan korban, dan membantu memasukkan jenazah ke liang lahad. Tidak ramai raja di dunia dapat buat seperti mana YDP Agong yang baru boleh buat. Sesungguhnya Baginda adalah seorang Sultan yang sangat hebat.   
     

Sebab itulah sangat penting kita memilih pemimpin yang beriman. Pemimpin yang beriman pasti mewujudkan sebuah negara yang aman dan berkebajikan. Seorang pemimpin yang beriman tidak akan sanggup melihat rakyatnya hidup dalam kesusahan. Moga moga negara kita ini dapat dipimpin oleh ramai pemimpin yang punya taqwa dan iman.


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.