Selasa, 10 Januari 2017

MUSAFIR DI DAERAH NOVEL


Image result for writing a novel
Sumber : Google





Suka benar saya apabila melihat mentor saya, saudara Jibrail Fitrah (penulis buku Si Kosong) yang sedang bercadang untuk menulis novel. Sebagai seorang penulis, saya memang menyokong hasratnya dan saya doakan agar dia berjaya. Menulis sebuah novel bukanlah satu kerja yang mudah sebenarnya. Pengalaman saya menulis tiga buah manuskrip novel (satu pun tidak pernah diterbitkan) telah banyak mengajar saya. 

Dalam lapangan sastera, baik novel, cerpen, puisi, drama, atau kritikan, saya tidak tahu yang mana satu yang boleh saya banggakan. Barangkali satu pun tidak boleh saya anggap sebagai sebuah pencapaian. 

Sepanjang saya terjun ke lapangan sastera, hanya tiga buah manuskrip novel (Abdul Ghaffar, Mencari Makna Cinta, dan Melunas Dendam) sahaja yang sempat saya siapkan. Novel pertama saya, Abdul Ghaffar entah bagaimana penerbit boleh hilangkan. Jadi sampai sekarang manuskrip novel itu tidak pernah diterbitkan. Salinan asal manuskrip itu pun telah hilang entah ke mana dalam komputer riba ibu saya.

Abdul Ghaffar adalah novel yang bercirikan sastera yang dihasilkan oleh seorang budak mentah seperti saya. Saya mula menulis dan sudahkan novel itu ketika saya baru berusia 18 tahun ketika itu. Pengalaman menulis langsung tidak ada pada waktu itu. Hanya minat dan semangat yang mendorong saya untuk sudahkan novel itu. Dan saya kira novel itu adalah sebuah karya tidak matang seorang budak yang berminat untuk menjadi seorang penulis sebuah novel yang bercirikan sastera. Ini kerana saya sangat minat dengan bidang sastera.  

Manuskrip novel Mencari Makna Cinta pula pernah saya hantar kepada penerbit. Tetapi manuksrip itu telah ditolak mentah mentah oleh penerbit. Mungkin novel itu tidak kena dengan selera penerbit atau saya yang tidak kreatif semasa menulis untuk membolehkan novel itu diterbit. Lalu novel itu saya terbit sendiri dalam blog saya. Menulis novel itu bukan sahaja mengambil masa yang sangat lama, tetapi antara pengalaman menulis yang paling menyeksakan bagi diri saya. Novel itu juga adalah satu kegagalan menulis bagi diri saya. Ini kerana, saya hanya mengejar untuk menebalkan muka surat (syarat untuk dihantar ke penerbit mesti 300 muka surat ke atas) dan bukannya untuk memperindahkan jalan cerita. Tambahan pula, tidak banyak nilai sastera yang saya suburkan di dalamnya. Ia adalah sebuah karya cinta cliché yang boleh ditemui di mana mana. Saya menulisnya kerana terikut ikut dengan novel cinta yang pernah saya baca. 

Manuskrip novel ketiga saya berjudul Melunas Dendam. Seperti manuskrip novel Abdul Ghaffar, ia adalah sebuah novel yang saya kira telah mencapai nilai sastera. Novel itu pun saya terbit dalam blog saya sahaja. Semasa menulis manuskrip tersebut, saya menganggap diri saya sebagai penulis indie yang bebas sebebas-bebasnya. Saya tidak mahu terikat dengan apa apa syarat seperti mana yang saya lakukan semasa menulis novel Mencari Makna Cinta. Saya menulis novel itu dengan gaya, cara, dan sesedap rasa saya. Saya masa itu tidak mahu fikir sama ada orang boleh terima ataupun tidak novel saya. Yang penting saya mahu siapkan dengan segera dan menjadikannya sebagai novel ketiga. Tetapi nilai sastera tetap saya tekuni di dalamnya. 

Menulis sebuah novel bukan sahaja perlu kreatif tetapi juga perlu sabar dan mempunyai keindahan bahasa. Daya kreatif sangat penting dalam sesebuah novel supaya novel itu menarik dan orang suka baca. Keindahan bahasa yang merangkumi pemilihan perkataan dan cara susunan ayat perlu dititikberatkan supaya orang tidak bosan ketika membaca.

Bagi saya, prinsip utama dalam menulis sesebuah novel adalah disiplin dan kesabaran. Tanpa dua sikap ini sesebuah novel itu gagal untuk disiapkan. Disiplin sangat penting supaya proses menulis itu tidak terhenti di tengah jalan. Kesabaran juga penting dalam merangka jalan cerita yang terbaik untuk menjadikan sesebuah novel itu menarik untuk diterbitkan. 

Saya tiada masalah dalam disiplin menulis novel. Tetapi saya ada masalah dalam sikap sabar ketika menulis novel. Semasa menulis novel, saya mahu novel itu disiapkan dengan segera. Saya berasa rimas dan lemas untuk terus berada dalam dunia imaginasi sesebuah novel dalam tempoh masa yang lama. Saya tidak pandai merangka jalan cerita yang terbaik supaya novel itu menjadi lebih berkualiti. Maka disebabkan itulah kesemua novel saya mungkin tidak menarik dan tidak diterbitkan sehinggalah ke hari ini. 

Saya juga ada masalah dalam keindahan bahasa. Barangkali saya tidak pandai memilih perkataan yang seharusnya saya guna. Dan barangkali juga pemilihan ayat saya banyak yang tidak kena. Apabila saya baca semula, saya sendiri pun rasa bahawa novel itu tidak menarik untuk dibaca. Dan disebabkan itulah agaknya penerbit menolak mentah mentah manuskrip novel saya. 

Saya mungkin tidak mempelajari atau menekuni teknik penulisan novel dengan sempurna. Saya hanya banyak menekuni teknik penulisan kolum dan artikel sahaja. Saya memang kurang baca novel tetapi saya banyak membaca kolum dan artikel yang ditulis oleh penulis terkemuka. Antara kolum yang ditulis oleh penulis yang saya suka baca adalah Haji Subky Latif (Harakahdaily), Tan Sri Adam Abdul Kadir (Sinar Harian), Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad (Sinar Harian), Datuk A. Kadir Jasin (Sinar Harian), Joceline Tan (The Star), Hishamuddin Rais (Malaysiakini), dan lain lain lagi. Oleh kerana saya banyak baca kolum dan artikel berbanding novel itu sendiri, maka saya tidak berjaya menghasilkan novel yang benar benar berkualiti.

Saya fikir mungkin menjadi seorang novelis saya memang tidak ditakdirkan. Menjadi seorang penulis blog separuh masa atau penulis kolum antara yang boleh saya lakukan. Menulis artikel tidak terlalu susah memandangkan artikel lebih mudah dan lebih cepat untuk disiapkan.  Saya mungkin langsung tidak berbakat dalam menulis novel. Hanya kerana minat sahaja saya boleh siapkan tiga buah manuskrip novel. Dan saya bercadang untuk terus tinggalkan dunia penulisan novel. Boleh dikata saya ini adalah musafir yang singgah sebentar di daerah novel. 

Tiada pengalaman menarik yang saya timba sepanjang saya menyiapkan tiga buah manuskrip novel saya. Penulis terkemuka biasanya ada pengalaman menarik yang mereka timba dalam proses penciptaan novel mereka. Sebab itulah dalam proses penciptaan novel tidak banyak yang saya boleh cerita. Saya berdoa agar abang Jibrail Fitrah boleh berjaya menyiapkan novel sulungnya. Dan saya percaya dia boleh melakukannya.      




1 ulasan:

  1. Pendapat saya pegalaman hidup pun satu faktor yang penting dalam penulisan novel. Mungkin apabila saudara memperoleh berbagai pengalaman hidup yang boleh di gabungkan dengan imaginasi dan kekayaan bahasa yang indah, saudara akan berjaya. Di umur yang muda janganlah cepat berputus asa.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.