Khamis, 19 Januari 2017

MENGAPA RAMAI SUKA GUNA GRABCAR/UBER BERBANDING TEKSI?



Image result for grabcar
Sumber : Google


Ramai pemandu teksi merungut bahawa mereka sudah tidak banyak untung seperti dahulu lagi. Ini semua gara-gara munculnya banyak Grabcar dan Uber sebagai pengganti. Serta-merta ramai pemandu teksi yang putus rezeki. Ramai yang kasihan dengan pemandu teksi tetapi saya mengambil jalan itulah pengajaran yang kita perlu beri.     

Dahulu, semasa teksi ‘berkuasa’, mereka menjalankan perkhidmatan yang entah apa apa. Mereka menipu penumpang dengan bermacam cara. Mereka bukan sahaja menipu harga, malah kadang kala marah atau kasar kepada penumpang juga. Apabila penumpang tahan untuk pergi ke sesuatu destinasi, ramai yang tidak mahu berhenti. Kononnya mereka tidak lalu di kawasan yang penumpang mahu pergi. Itu belum kes jenayah yang mereka lakukan banyak kali seperti rompak, samun, cabul dan lain lain lagi. Sebab itulah bagus Grabcar dan Uber menjadi pengganti. Barulah para pemandu teksi boleh sedar diri. 

Saya tidak kata pemandu teksi bersikap buruk semuanya. Ada juga pemandu teksi yang jujur dan baik-baik belaka. Tetapi oleh kerana beberapa orang pemandu teksi telah melakukan kebejatan, maka imej pemandu teksi seluruhnya dipandang dengan penuh kejelikan.
Ya, sudah pastilah saya kasihan dengan nasib yang menimpa mereka. Tetapi seandainya dari dahulu lagi mereka jaga mutu perkhidmatan teksi mereka, pastilah perkara semacam ini tidak berlaku kepada mereka. Tetapi oleh kerana dahulu mereka rasa mereka ‘berkuasa’, lalu mereka lalai dan leka. Sekarang pengguna atau penumpang sudah punya kenderaan alternatif untuk pergi ke destinasi yang mereka suka.

Sekalian pemandu teksi tidak boleh marah kepada pemandu Grabcar dan Uber. Mereka juga tidak boleh sesekali memburukkan/menghasut/menjatuhkan imej pemandu Grabcar dan Uber supaya penumpang kembali menggunakan perkhidmatan teksi mereka. Pemandu Grabcar dan Uber telah mendapat pengiktirafan untuk mengambil penumpang yang diberikan oleh kerajaan. Mereka juga berhak mencari rezeki di bumi Tuhan. Bahkan mutu perkhidmatan mereka seribu kali lebih baik daripada perkhidmatan yang pemandu teksi boleh berikan.  

Apabila kita menaiki Grabcar (saya biasa menaiki Grabcar berbanding Uber), kita sudah tahu berapa ringgit tambang yang akan dikenakan. Sama ada pemandu Grabcar tersebut melalui jalan yang  mengalami kesesakan, penumpang tidak perlu risau tambang akan dinaikkan. Harga yang perlu dibayar adalah harga yang tertera dalam aplikasi Grabcar tersebut. Jika di dalam aplikasi Grabcar harga yang dikenakan sebanyak RM23, maka setelah sampai ke destinasi penumpang tetap perlu membayar RM23. Harga untuk perjalanan jauh atau dekat sudah diukur dan dikira sekali dalam aplikasi.   

Berbeza sekali dengan teksi. Kita tidak tahu berapakah tambang yang akan dikenakan jika kita sampai ke sesebuah destinasi melainkan jika kita biasa ke destinasi tersebut dengan menggunakan perkhidmatan teksi. Jika laluan yang teksi tersebut gunakan jauh dan sesak, maka tambang yang dikenakan pastilah tinggi dan banyak. Semakin lama teksi berada di atas jalan raya (ketika kita menaiki teksi tersebut), semakin tinggilah harganya.

Ramai orang suka menggunakan Grabcar dan Uber kerana ia mudah diakses di mana mana. Hanya dengan menggunakan telefon pintar sahaja, kita boleh minta pemandu Grabcar atau Uber datang dengan segera. Berbeza dengan teksi, kita perlu menunggu teksi di tepi jalan atau di perhentian bas dalam keadaan panas terik untuk pergi ke sesuatu destinasi. Kadang kala bukan semua teksi mahu bawa ke tempat yang kita mahu pergi. Jika mereka lalu di kawasan yang kita mahu pergi, barulah mereka bersetuju untuk menghantar kita sekali. Dan disebabkan kerenah sebeginilah yang menyebabkan tidak ramai orang mahu menggunakan perkhidmatan teksi lagi.

Walaupun kita tidak boleh memilih siapakah pemandu Grabcar atau Uber kita, tetapi pemandu yang ambil kita itu adalah orang yang bersetuju untuk mengambil kita. Mereka pastilah berada di kawasan yang berhampiran dengan kita dan bersedia untuk menghantar kita ke tempat yang kita ingin pergi ke sana. Mereka bersetuju untuk menghantar kita dengan hati yang rela dan mereka mendapat keuntungan daripada kita. Sebab itulah saya tidak mendengar lagi pemandu Grabcar atau Uber memarahi penumpang tidak tentu hala. 

Walau bagaimanapun, sudah pastilah Grabcar dan Uber itu ada kelemahan dan keburukannya. Tidaklah semua Grabcar dan Uber itu baik-baik belaka. Hasil tinjauan saya, saya mendapati bahawa Grabcar dan Uber itu mempunyai beberapa kelemahan antaranya : (1) pemandu Grabcar dan Uber tidak memiliki lessen Public Service Vehicle (PSV) (2) kenderaan Grabcar dan Uber tiada kelulusan Puspakom (3) penumpang Uber tidak dilindungi insurans (4) kenderaan yang digunakan oleh Grabcar dan Uber tidak terjamin keselamatannya.

Dalam hal ini, terpulanglah kepada anda mahu menggunakan Grabcar/Uber atau teksi. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekuranganya yang tersendiri. Saya yakin kebanyakkan pemandu teksi tidak suka dengan kehadiran Grabcar dan Uber di sana sini. Sebab itulah daripada awal lagi semua pemandu teksi perlu menjaga mutu perkhidmatan teksi mereka. Jika tidak, inilah akibatnya yang mereka perlu terima. 

1 ulasan:

  1. walhal pelanggan adalah sumber rezeki, tp mutu perkhidmatan xd baiki, cmmna nak tarik pelanggan kan..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.